Demi Ajai - 2
bab 2

KABUS pagi itu padat. Tabun-menabun melegari seisi kampung. Cikgu Isa melangut ke belau langit yang semakin bukat. Gelap. Mungkin hujan akan turun pada pagi itu.

Lantas ingatannya berputar ke pusara Tok Keman yang baru sahaja ditinggalkan beberapa minit tadi. Tok Keman akan bermandi pagi, hati kecilnya mengoceh.

Tampang Ajai mula singgah di pelupuk matanya. Ajai tentu sunyi pagi itu. Teringat dia akan drama malam tadi di jeti Tasik Chini. Ah, bulu romanya menaik!

Isa, betul kamu tak nak balik Satu suara parau dari tengah jalan mematikan lamunannya.

Betul, cikgu. Saya akan tinggal seminggu lagi di sini. Banyak urusan perlu dilangsaikan, Cikgu Isa menjawab dari pintu chalet. Keduadua belah tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Badannya dikit ringkuk, barangkali sejuk dicucuk angin pagi.

Rombongan guru akan bertolak dari daerah Pekan dan bakal meninggalkan nostalgia bersama masyarakat kampung Orang Asli di situ. Biarpun cuma tiga hari, mereka puas menikmati kehidupan yang begitu asing daripada kota. Dikelilingi anjing sepanjang hari, sesuatu yang agak jarang. Di Kuala Lumpur, banyak anjing digari dan dipenjara. Jika bergelandangan pun bersama tuannya. Sebaliknya di sini haiwan itu bersimpuh bersama di bangsal, berjalan seiringan di jalanan. Mujur, anjing-anjing tersebut tidak mengusik. Jika tidak, pasti jenuh untuk bermandi air bercampur tanah.

Mata Cikgu Isa tepat ke tengah jalan. Guru-guru lain sibuk membahu guni yang diisi rambutan. Waktu datang, bonet kereta kosong. Sekarang nak ditutup pun payah, usik Cikgu Isa disambut ceridau guru-guru.

Deruman enjin kenderaan semakin galak. Beberapa saat sahaja lagi Kampung Kelipuk akan kehilangan tetamu dari kota. Cikgu Isa terfikir untuk berganjak. Tidak molek jika dia berdiri jauh melihat sahaja rakan-rakannya berangkat. Terus dia membiarkan kakinya melangkah perlahan sehingga mampir betulbetul di kereta Cikgu Omar.

Pandu cermat, jiwa selamat, pesanan ringkas spontan memancut dari mulut Cikgu Isa.

Insya-Allah. Kamu pun jaga diri. Apaapa hal nanti hubungi kami.

Ya, Isa. Lepas tu, intai-intailah calon orang sini. Seminggu ini sempat kenal hati budi pun sudah cukup bagus, usik Cikgu Maznah menambah keceriaan di tengah jalan. Begitu keakraban yang ditunjukkan warga pendidik.

Cikgu Isa tersipu, menggaru-garu kepalanya. Entah apa yang mampu dibalasnya untuk mematikan gurauan halus sebegitu.

Seperkara lagi, kamu jangan risau sangat pasal budak Ajai tu. Tok Batin Kutam dah berjanji untuk membantu, kata Cikgu Omar. Pesanan Cikgu Omar itu menjentik batin Cikgu Isa.

Dia cuma mampu mengangguk tanda setuju. Memang dia cukup risau memikirkan tentang itu. Sejak malam tadi dia dibuai bayangbayang Ajai. Wajah mendung Ajai memahat sanubarinya.

Jalan kampung dilanyak hebat kenderaankenderaan mereka. Cikgu Isa langsung tidak perasan saat mereka beredar. Hebat hipnosis yang dialaminya. Barangkali penangan roman muka Ajai telah melalaikannya.

Ajai, sungguh, kau tak akan keseorangan lagi.

TOKKI kasihan sama ajeh. Tapi, Tokki tidak boleh tulung. Cuma dia saja boleh, lembut suara Tok Batin Kutam memujuk Ajai. Dielusnya tulang belikat budak itu. Ajai membongkokkan tengkuknya. Malu untuk menengadah.

Kan takut. Lagi pun kan tidak kenal sama mamak itu.

Ajai mahu mempertahankan pendiriannya. Dia tidak rela diambil orang. Biarlah dia hidup seorang diri, asalkan tidak dijadikan hamba kepada sesiapa.

Dia itu cikgu. Dia baik orangnya.

Apa Cikgu Tak mahulah. Nenek lagi baik! Kan nak tinggal dengan nenek, suara Ajai meninggi. Dia masih rindu akan mendiang datuknya. Baginya, tidak ada sesiapa yang mampu menandingi budi datuknya.

Tok Keman memang orang lama di kampung itu, malah diberitakan sudah hidup dahulu sebelum Tok Batin Kutam. Tok Keman juga digelar poyang oleh orang kampung kerana kepakarannya dalam hal-hal kebatinan. Daripada memanggil semangat padi, sehinggalah membuang sial pada badan, semua itu sangat lazim bagi seorang poyang.

Ada suatu ketika, rumah Tok Keman didatangi sebuah keluarga dari luar daerah. Seorang bapa mengadu anaknya tidak hentihenti menangis.

Ajai melihat sendiri dengan ainnya ketika bayi itu dirawat. Datuknya seperti bercakap dengan alam ghaib. Kumat-kamit bibir lisut Tok Keman sewaktu menurun. Sambil tangannya tercuar ke udara berkali-kali. Selang beberapa minit, budak itu berhenti menangis.

Usai rawatan tersebut, Ajai mendapatkan datuknya. Barangkali dia kagum dengan ilmu batin yang dilihat. Dia mula memintaminta seperti kanak-kanak lain. Termasuklah mengemis kasih ibu dan bapa yang tidak pernah dirasakannya.

Mana boleh. Nenek tak boleh buat begitu.

Kenapa tak boleh Nenek lagi sayang budak kecil tadi daripada kan

Bukan macam itu. Kalau boleh, sudah lama nenek hidupkan nyang ajeh. Sabarlah, Ajai.

Tipu! Nenek tak hebat. Nenek tak boleh buat semua.

Emok ajeh anak nenek juga. Kalau boleh, sudah lama dihidupkan semua, supaya kita gembira.

Ajai masih ingat kisah itu. Sejak hari itu, dia tidak lagi mengungkit-ungkit hal ibu bapanya. Dia tahu tiada siapa boleh membantunya mencari identiti diri. Datuknya bukanlah orang yang patut diagung-agungkan. Tidak semua perkara mampu diselesaikan Tok Keman. Cuma, dia masih menyayangi orang tua itu sebagai penjaganya. Malahan poyang itu tidak pernah menyakitinya walaupun secubit.

Ajai, sabarlah. Dia itu cikgu. Boleh jaga anok-anok macam ajeh. Pujukan Tok Batin Kutam bergaung melenyapkan duka Ajai.

Tok Batin Kutam serba salah. Dia sedar bahawa masa depan Ajai berada di tangannya. Dialah paling layak membuat sebarang keputusan untuk kanak-kanak itu. Ajai tidak boleh terus melara.

Tindakan mengejut Cikgu Isa awal pagi itu benar-benar menyelamatkan reputasinya selaku ketua yang paling berpengaruh. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal.

Betul. Saya dah fikir masak-masak,

Tokki.

Baguslah kalau begitu. Tokki pun tercaricari juga siapa yang layak menjaga budak Ajai tu.

Baik, saya akan terus tinggal di sini dalam masa seminggu lagi untuk uruskan semuanya. Harap Tokki dapat bantu saya.

Ya. Nanti Tokki beritahu Ajai fasal kamu. Biar dia tenang dulu. Dia itu cerdik sikit budaknya. Kadang-kadang berfikir macam orang dewasa.

Giliran Tok Batin Kutam pula merakam semula pertemuannya dengan Cikgu Isa. Dia berasa lega apabila mengenangkan kembali kesungguhan guru itu.

Ajai masih diam. Hingusnya sedikit meleleh.

Tok Batin Kutam pula asyik menyelitkan daun nipah muda ke dalam penggulung rokok. Perlahan-lahan digolekkan sehingga terhasil sebatang rokok daun. Kemudian, dikait tembakau yang bersepah dengan tangan tuanya yang sudah merengkah. Baki tembakau itu dihimpunkan semula ke dalam bekas plastik lut sinar.

Ajai tersandar di dinding pelupuh rumahnya. Dia tidak tahu apa yang perlu difikirkan lagi. Tok Batin Kutam terlalu mementingkan diri sendiri, fikirnya. Sengaja dia merajuki ketua kampung itu sebagai tanda protes. Wajah tua itu dilirik dengan ekor mata. Geramnya terhimpun.

Dingin kala itu sedikit mengangini lahar yang terperam. Mungkin disebabkan binaan rumah yang konservatif membolehkan udara semula jadi ramah bertandang. Mendiang Tok Keman memang pengagum animisme. Dia sanggup mengekalkan kedaifan daripada membenarkan pencabulan tradisi dan adat nenek moyangnya.

Setahu Ajai, itulah satu-satunya rumah yang tidak bersimen batu di dalam kampung. Yang lainnya, sudah dinaik taraf selepas kedatangan orang-orang besar. Empat tahun sekali, akan ada yang berubah di kampung itu, tetapi tidak bagi teratak miliknya yang terletak di hujung kampung.

Decip burung pipit menyuasanai isi rumah. Ajai mendongak melihat kasau di atap. Ligat dua ekor pipit itu bertarung.

Ajai memandang acuh tidak acuh. Sudah lali dengan gangguan unggas yang berbagaibagai ragam. Mungkin perabung di rumahnya lebih selesa dijadikan colosseum berbanding rumah lain yang berloteng dan bersiling, langsung tidak memberi cabaran kepada sang unggas untuk bertarung.

Tok Batin Kutam masih tidak putus asa. Terus dia melabuhkan punggung di sebelah duduk Ajai. Segala kekusutan yang terpenjara perlu dileraikan.

Macam mana Ajeh ikut cikgu itu, boleh

Ajai menoleh kepadanya. Lama mata mereka bertemu. Masing-masing tidak mahu mengalah. Akhirnya, Ajai menghantar matanya ke bawah.

Kan boleh tinggal sama orang lain, sahut Ajai mendatar sahaja suaranya. Seperti tiada angin yang menghalang luncuran kata itu.

Tersengih Tok Batin Kutam dalam debar. Rasa mahu dipeluknya budak itu. Mujur dia masih sombong.

Tapi, Ajai seperti mahu meletakkan syarat. Tetapi dia tertunduk semula sambil ibu jari kakinya diusap-usap lembut. Entah bagaimana ingin dia luahkan. Dia sendiri tidak kenal lelaki malam itu. Kepalanya digeleng pantas. Tanda mahu menarik semula pengakuannya tadi.

Tapi apa Tok Batin Kutam gelojoh ingin mengetahui apa sebenarnya isi benak Ajai.

Tak ada apa-apa.

Sepi. Masing-masing mati akal. Tidak ada suara dari mana-mana jihat. Seperti ada malaikat sedang bertandang.

Tok Batin Kutam sedikit kecewa. Dia terlalu memaksa budak itu. Kini dia akur dan mahu semuanya diselesaikan dengan berhemah. Lagi hebat rasa bersalahnya apabila melihat Ajai tiba-tiba meleburkan kristal dari kolam matanya. Berjujuh mengalir dan bersatu dengan cecair hening dari gua hidung.

Keadaan kembali terkawal. Sungai mata Ajai semakin surut. Mungkin sebunya sudah berangkat pergi.

Tok Batin Kutam pula masih sibuk dengan rokok daunnya. Berlagak seperti tiada apa yang membuncahkan. Dia tidak mahu terus menekan dan memaksa Ajai. Biarlah sejuk dahulu, fikirnya.

Rokok daun pada hujung bibir kecut itu dicucuhnya dengan nyalaan mancis. Kemudian, dikibasnya laju mancis itu setelah rokok mulai bernyala jingga. Asap mengabusi wilayah pandangan. Matanya terpejam-pejam menahan asakan yang maha dahsyat.

Ajai mengorak langkah ke dapur. Dia berasa bersalah dengan sikapnya yang sedikit kurang ajar tadi. Tok Batin Kutam perlu dilayan seperti mana Tok Keman dahulu. Dia mahu memujuk orang tua itu dengan secangkir kopi.

Nenek, kan nak minta maaf. Kan tak sengaja kurang ajar dengan Tokki, rintihnya di dalam hati.

Sepanjang dua belas tahun hidupnya, dia tidak pernah berkasar dengan orang yang lebih tua. Kalau ada pun mungkin sewaktu masih kecil. Ketika itu, dia belum lagi mumaiyiz. Apa sahaja cela yang dilakukan tiada siapa peduli.

Bagaimanapun, sejak dia sudah bijak meletakkan tembok pemisah antara hak dan batil, setiap insan di kelilingnya dihormati. Malah, orang kampung juga turut selesa dengan sikapnya yang ramah dan suka membanting tulang. Apabila tiba musim teratai sekitar pertengahan tahun, dia akan membantu orang kampung mengumpul tumbuhan itu untuk dihadiahkan kepada pelancong yang datang. Sampaikan saat datuknya meninggal ada yang turut meratapi lantaran memikirkan nasib dan takdir Ajai nanti.

Ajeh jangan susah-susah. Tokki dah nak balik ni.

Laungan dari anjung rumah itu didengar dengan jelas. Langsung tidak mempengaruhi tingkah kaki cedingnya. Ajai nekad untuk berbincang semula dengan Tok Batin Kutam. Tetapi, ketika dia tenang dan tidak beremosi.

Rumah tinggalan Tok Keman tampak suram. Cikgu Isa sudah pun terpacak di sebelah perigi. Terjenguk-jenguk, mengintai dari luar.

Dia nampak kelibat Tok Batin Kutam sedang bersila di anjung. Entah apa dibuatnya orang tua itu.

Jauh di sudut hati, lega juga dia ada peneman. Lagi pula, Tok Batin Kutam boleh terus membantu menyelesaikan urusannya.

Tokki, boleh saya masuk

Tok Batin Kutam menelengkan kepalanya untuk menjengah empunya suara. Dilihatnya Cikgu Isa sedang mencelupkan tangannya ke dalam perigi. Barangkali mahu merasai dingin air perigi yang sudah lama ditinggalkan itu.

Ya, cikgu. Naiklah.

Saat itu juga Ajai keluar dari muka dapur. Kaget dia melihat insan yang ditemui malam tadi sedang meniti tangga rumahnya. Terhempas. Cerunyas piring dan cawan kaca.