MALAM itu, selepas solat isyak, Kudin mengayuh basikalnya ke rumah Pak Sahak. Rumahnya agak jauh dari rumah penduduk kampung yang lain. Agak berpeluh jugalah Kudin mengayuh sampai ke rumah Pak Sahak. Sepanjang perjalanan tadi, dia sempat jeling ke arah sebuah kolam kumbahan yang sudah terbiar lama. Memang nampak menyeramkan. Apalagi di situ selalu penduduk kampung buang benda-benda yang sudah tidak terpakai termasuk bangkai binatang.
Kayuhannya dicepatkan sebaik melihat ada lampu gasolin dari rumah Pak Sahak. Malam itu terasa udara semakin sejuk. Kiri kanan jalan sempit itu penuh dengan hutan kecil dan ladang getah. Kudin mempercepatkan kayuhannya.
"Ish! Apasal pulak rantai basikal aku ni" Kudin terpaksa berhenti di tepi jalan. Dia belek-belek rantai basikal yang sudah kendur. Rantai itu cuba diletakkan semula di tempat asalnya.
"Assalamualaikum.."
Kudin mendongak. Seorang gadis yang cukup cantik berkebaya merah sedang tersenyum kepadanya. Terkesima seketika melihat paras rupa gadis itu yang sungguh mempesona.
"Wa..wa'alaikumussalam..' Kudin tergagap-gagap. Dia mula bangun.
"Maaf, tumpang tanya. Saya baru sampai di kampung ni. Sebenarnya saya nak cari rumah sewa..sebab saya kerja kat pekan. Puas saya cari sekitar pekan tapi tak ada. Kalau ada pun, sewanya agak mahal. Tak mampu saya nanti. Yalah..saya kan kerja biasa-biasa je." Ramah gadis itu menjelaskan keadaan tanpa disuruh.
Kudin masih terpaku di situ. Masih terdiam.
"Err..encik..encik.."
Kudin tersedar. Dia kelip-kelipkan matanya. Ingatkan dia bermimpi tadi. Memang sah gadis itu berdiri di depannya sambil tersenyum manis.
"Err..cik tanya apa tadi" Kudin sudah termalu sendiri.
"Saya tanya..ada tak rumah sewa kat kampung ni"
"Rumah sewa Hmm.." Kudin pula berkerut kening berfikir. Seingatnya mana ada rumah kosong di kampung terceruk ini. Apa yang dia tahu, ada satu rumah yang sudah lama ditinggalkan oleh tuan rumah itu kerana mengikut anaknya ke KL. Jadi rumah tu sudah lama kosong. Itupun sudah nak reput kayunya dimakan dek anai-anai. Semalam dia lalu ikut jalan yang menuju ke arah rumah itu. Memang jelas rumah itu sudah tidak boleh dihuni lagi. Semak dan lalang sudah hampir menenggelamkan rumah usang itu.
"Ada tak" Sedih suara gadis itu bertanya.
Kudin pandang lagi. Nampak riak gadis itu terlalu mengharapkan jawapan yang dinantikannya.
"Err..nak kena cari dulu cik tapi...ada satu rumah yang sudah kosong. Tuan rumah tu..dah lama berhijrah ke KL, tinggal dengan anaknya. Kalau cik nak rumah tu, boleh saya tanya tuan rumah tu atau jiran terdekat." Kudin mula melemparkan senyuman.
"Ya Kalau macam tu, saya balik dulu. Esok saya datang lagi..saya nak cepat rumah sewa tu.."
Kudin senyum lagi. Gadis itu sudah berjalan pergi dari situ. Lama Kudin memerhati gadis itu sehingga lenyap dari pandangan. Dia kembali duduk membaiki rantai basikalnya yang sudah kendur tadi.
"Haih..macam mana boleh kendur pulak ni. Nampak gaya aku kena jalan kaki la macam ni.." Kudin sedikit mengeluh. Dia heret basikalnya dan berjalan ke rumah Pak Sahak. Nasib baik rumah Pak Sahak sudah tidak berapa jauh dari situ.
TIBA di laman rumah Pak Sahak, Kudin terus sahaja memberi salam. Terjongol Pak Sahak muncul di muka pintu rumah. Pantas saja Kudin dipersilakan masuk. Kudin mula menapak masuk dan duduk di sofa rotan. Dia perhatikan rumah yang pernah dikunjungi dulu sewaktu zaman sekolah. Yalah..Anum, anak dara Pak Sahak itu adalah insan pertama yang berjaya mencuri hatinya. Kalau boleh setiap hari dia hendak bertandang ke rumah Pak Sahak. Bila sudah habis SPM, Anum dapat menyambung belajar di luar negara dan dia pula sambung belajar di univerisiti tempatan.
"Ni air..air bujang je Kudin." Pak Sahak kembali dengan air kopi o panas.
"Ini pun dah cukup pakcik.." Kudin senyum.
"Hmm..kenapa berpeluh ni" Pak Sahak tegur Kudin yang kelihatan berpeluh dari tadi.
"Oh..basikal saya rosak tadi. Terpaksa jalan kaki..nasib baik dah dekat.." Kudin sengih.
Pak Sahak angguk-angguk.
"Hmm...ada apa pakcik nak jumpa saya malam ni" Kudin terus kepada tujuan asal dia ke situ.
"Ni..pasal anak pakcik..Anum.." Pak Sahak berkata perlahan. Ada nada sebak.
"Kenapa dengan Anum pakcik" Kudin pula teruja hendak tahu.
"Sebenarnya sudah agak lama Anum tak balik kampung ni. Seingat pakcik..mungkin sudah tiga bulan.." Pak Sahak tunduk.
"Mungkin dia sibuk kut. Ya la..dia kan lulusan luar negara. Tentu kerja dia pun bagus kat KL tu. Banyak kerja kut.." Kudin cuba menenangkan Pak Sahak yang sudah berubah riak.
"Anum..setiap bulan akan jenguk pakcik. Itu yang pakcik risau bila sudah tiga bulan dia tak balik kampung. Jadi pakcik harap kamu dapat tolong pakcik cari Anum..tak pun tanya khabar Anum. Kudin tahu kan..kat kampung kita ni mana ada sangat line untuk telefon. Tak jelas sangat bila bercakap. Pakcik nak telefon pun nak kena pergi pekan sana. Ada sekali pakcik pergi, bila pakcik hubungi Anum, pakai telefon awam tu, nombor Anum dah tak ada dalam perkhidmatan..pakcik risau la Kudin." Pak Sahak meraup muka.
"Pakcik jangan bimbang. Saya akan usahakan cari Anum." Kudin pula rasa serba salah. Kalau boleh dia tidak mahu lagi jejak kakinya ke KL. Itu niatnya selepas apa yang telah terjadi.
"Err..pakcik ada dengar cerita tak pasal mayat yang dicampak ke kampung kita ni" Kudin mengalih topik perbualan. Pak Sahak dilihat sudah sebak.
"Mayat" Terkejut Pak Sahak mendengar pertanyaan Kudin.
Kudin angguk.
"Mana kamu tahu cerita ni"
"Senah yang beritahu saya." Kudin senyum.
"Oh ya..tadi siang pun Senah ada datang kedai pakcik. Dia ada tanya benda tu pada Pak Mail. Alah..kalau dari mulut Senah tu, kamu buat dek je. Bukan boleh pakai pun." Pak Sahak sengih.
"Tapi saya rasa...macam betul la cerita tu." Kudin berkerut kening.
"Maksud kamu"
"Masa saya ke sini tadi, saya lalu kolam kumbahan tu..saya nampak ada benda kat situ..macam karung guni dekat dengan pokok buluh tepi kolam tu. Saya syak mungkin ada apa-apa. Tak berani saya nak dekat sebab dah malam kan." Kudin menjelaskan apa yang dilihat tadi.
"Hmm..pelik juga. Tak apa..esok kita sama-sama pergi tengok. Minumlah!" Pak Sahak senyum lagi.
Kudin mula minta diri selepas habis berbual. Pak Sahak sekali lagi berpesan pada Kudin supaya mencari anak gadisnya di KL.
PAGI LAGI Kudin sudah ke sawah. Dia perlu jenguk padi yang sudah lebat menguning daripada dimakan burung. Orang-orang yang digantung di tiang di tengah-tengah sawah ditukar baju warna hitam. Biar burung semua takut. Kudin senyum sendiri, teringat pula cerita seram yang pernah dilihat dulu, The Scare Crow, patung itu akan hidup bila saja bulan mengambang.
"Hmm...kalaulah patung ni betul-betul hidup, agaknya tak adalah orang nak tanam padi lagi.." Sengih Kudin semakin lebar. Terasa lucu pula bila mengingatkan kisah tahyul dan hantu ni. Seumur hidupnya dia tak pernah jumpa benda itu semua walaupun dia tahu semua itu adalah makhluk Allah juga. Tambah zaman serba moden sekarang ini.
"Tapi kampung aku ni masih mundur..duk ceruk, lampu jalan pun tak ada, kadang-kadang tu aku tengok orang kampung pakai obor je kalau nak ke mana-mana bila malam. Kudin senyum.
Dia pandang pula pada sawah padi. Teringat kisah zaman budak sekolah dulu. Di petak sawah itulah mereka bermain dan berkubang lumpur sehingga lewat senja. Hmm...bila agaknya aku nak jumpa Jai, Chad dan Jo ni.." Kudin masih memeriksa padinya yang semakin lebat.
"Kudin! Kudin!"
Kudin menoleh. Jai melambai ke arahnya. Kudin senyum. Panjang umur kau Jai!
"Jai! Kau dari mana ni" Kudin berjalan ke arah Jai yang mula duduk di pangkin tempat dia selalu lepak dan berehat bila habis menuai.
"Aku dari rumah makcik aku la. Semalam aku baru balik. Eh, sejak bila kau jadi petani ni" Jai turut sengih. Dia beri tempat untuk Kudin melabuhkan punggung.
"Aku dah bosan kat KL tu. Tak salahkan aku balik jadi petani" Kudin jeling Jai yang sudah senyum lebar.
"Kau kerja apa kat KL" Jai pandang Kudin dengan riak serius.
"Macam-macam.." Kudin tak nak cerita hal yang sebenar.
"Hmm..aku pun mula tu kerja macam kau juga. Macam-macam, lepas tu baru aku dapat kerja yang betul-betul aku nak." Jai duduk bersila pula.
Kudin diam. Macam-macam baginya tak sama dengan macam-macam bagi Jai. Dia hanya jeling Jai yang masih melemparkan pandangannya ke tengah sawah. Dari riak Jai, seperti ada sesuatu yang bermain di benaknya.
"Kudin..kau pernah tak jatuh cinta"
Kudin senyum. Dia pandang Jai yang masih memandang ke tengah sawah. Pertanyaan Jai tadi memang sukar untuknya beri jawapan. Sejak dulu dia memang sukakan Anum tapi entahlah sama ada suka sekadar suka atau suka yang melibatkan rasa cinta. Sampai saat ini, dia masih tertanya-tanya. Suka dan cinta itu adakah dua perkara yang berbeza
"Woi! Aku tanya ni! Yang kau pulak melangut tu kenapa" Jai tepuk bahu Kudin yang sudah mengelamun.
"Tak ada la. Tiba-tiba kau tanya soalan keramat tahap nak puja kubur ni apa hal" Kudin cuba membuat lawak.
"Aku tanya kau sebab dulukan kau pernah sukakan Anum, anak Pak Sahak tu. Aku tahu la Kudin. Eh, sekarang ni kau masih suka Anum tak Mana dia sekarang ni ek" Jai pula teruja nak tahu.
"Dia kerja di KL. Pak Sahak yang beritahu aku.Eh, mana Chad dan Jo Setahun aku kat kampung ni, tak nampak pun batang hidung dia orang ni." Kudin betulkan kakinya yang terjuntai dan diangkat ke atas pangkin.Hanya sebelah kaki saja dibiarkan terjuntai.
"Apa yang aku dengar..Chad kerja kat Kuantan. Jo pulak kat KL tapi aku tak pernah tahu dia kerja di syarikat apa dan di mana.
Tapikan..semalam aku nampak macam Chad je.." Jai teringat semalam semasa dia mula-mula sampai di kampung, dia nampak kelibat Chad di warung Mak Limah.
"Hmm..dia baru balik la tu agaknya.." Kudin tuang pula kopi panas yang dibawa bersama tadi dan dia hulur sebungkus nasi lemak kepada Jai. Nasi lemak yang dimasak oleh neneknya.
"Hmm...mana kau beli nasi lemak ni" Jai kunyah perlahan. Rezeki jangan ditolak.
"Nenek aku yang masak. Dia ada letak kat warung Mak Limah tu." Kudin turut mengunyah nasi lemak berlaukkan sambal kerang.
"Hmm...sedap jugak." Jai sengih.
"Kudin! Jai!"
Serentak mereka berdua berpaling. Chad sedang melambai ke arah mereka. Nampak Chad berlari termengah-mengah menghampiri Kudin dan Jai. Sempat dia menyelit di atas pangkin yang hanya muat untuk dua orang.
"Jadi betullah kau dah balik" Jai pula bertanya.
"Korang mengumpat aku eh Aku balik semalam.." Chad sengih.
"Eh, nanti malam kita jumpa kat sini. Bawa makanan sekali. Kita lepak-lepak. Rasanya dah lama kita tak berborak sama kan" Jai beri cadangan.
"Boleh tu boleh Jai tapi malam ni susah sikit la. Kau kan tahu, kampung kita ni gelap yang amat kalau dah malam. Lampu jalan pun tak ada. Takkan nak borak tak nampak muka" Kudin pula membantah.
"Habis tu Nak borak kat mana" Jai macam tak puas hati.
"Kat Warung Pak Kahar nak" Chad pula beri cadangan.
"Kau nak borak ke atau nak menari gelek kat situ" Kudin sindir. Chad dilihat sudah tersengih.
"Okey apa! Sambil borak tu, sambil tu cuci mata tengok orang tua menari dan menyanyi lagu dangdut.." Chad ketawa terbahak-bahak.
Kudin dan Jai turut ketawa. Mereka bersembang seketika. Macam-macam cerita mereka bertiga bualkan.
Dari kisah zaman sekolah sehinggalah ke alam pekerjaan. Kudin pula tidak banyak bercerita bila menyentuh soal kerja. Dia lebih banyak diam dan lebih banyak tanya mengenai kerja Chad dan Jai.
"Korang percaya tak, Senah kata ada orang campak mayat dalam kolam kumbahan belakang kampung kita ni." Kudin mula buka cerita.
"Mayat Kau biar betul Kudin. Aku tahulah kampung kita ni jauh dari kampung lain dan tak ada kemudahan. Tapi kalau cerita campak mayat ni, aku rasa kau ni dah lebih. Kau percaya cakap Senah becok tu" Chad mencebik.
"Ha'ah Kudin. Senah tu bukan boleh percaya sangat. Sejak sekolah lagi dia tu suka bawa cerita. Pot pet pot pet..rimas aku tengok tapi becok dia pun, tergugat jugak naluri jantan aku ni." Jai senyum sengih. Lengannya disiku Chad.
"Aku rasa dia betul lah..kalau tak percaya, kejap lagi ikut aku ke sana. Aku dah janji dengan Pak Sahak nak tengok mayat yang dikatakan tu." Kudin pula pertahankan kata-kata Senah.
"Kau ni...ada hati ke dengan Senah tu" Usik Jai.
"Hish! Mana ada! Kau tu tadi kata dah tergugat." Kudin menafikan.
Chad dan Jai saling berpandangan sambil tersenyum. Petang itu mereka bertiga mula menapak ke rumah Pak Sahak. Hari itu Pak Sahak tidak berniaga. Jadi senanglah mereka pergi ke kolam kumbahan itu. Sampai di rumah Pak Sahak, mereka lepak sekejap di situ sementara menunggu Pak Sahak bersiap.
"Wah! Pak Sahak! Macam nak pergi perang!" Kudin mengusik. Pak Sahak dilihat bergaya dengan seluar lusuh panjang, berserban ala tanjak dan parang diselit di pinggang tempat kilasan kain pelekat. Lagak gaya orang zaman dulu-dulu.
"Perang Kamu ni Kudin..pakcik dah biasa la pakai macam ni." Pak Sahak sengih.
Mereka berempat mula berjalan bersama menuju ke kolam kumbahan yang agak jauh dari rumah Pak Sahak. Tiba di sana, mereka mula mencari karung guni yang dimaksudkan oleh Kudin. Puas mencari merata tempat termasuk dalam kolam. Tak ada tanda-tanda karung guni itu pernah wujud di situ.
"Pelik la..malam tadi saya nampak kat bawah pokok buluh ni la." Kudin garu kepala.
"Betul ke ni Kudin Kamu jangan main-main. Kalau betul ada mayat, kita kena buat laporan polis." Pak Sahak tidak puas hati. Matanya masih liar memerhati sekeliling.
"Betul pakcik. Kat situlah saya nampak karung guni tu." Kudin tuding ke arah perdu pokok buluh.
"Entah-entah ada orang curi kut.." Jai pula mencelah.
Chad angguk-angguk.
"Hish! Nak curi buat apa" Pak Sahak pula tidak percaya.
"Mana tahu..ada yang nak puja mayat tu ke..nak jadikan mayat tu ibu duit Zaman sekarang ni kan benda-benda macam ni, ada lagi orang yang mengamalkannnya." Jai masih dengan andaiannya.
Kudin pula hanya diam. Dia masih bingung. Malam tadi, jelas dia melihat karung guni tu. Walaupun agak gelap tapi masa dia mengayuh basikal, karung guni tu memang dekat saja dengan basikalnya.
"Dahlah! Kita balik." Pak Sahak mengajak anak muda itu pulang.
Kudin, Chad dan Jai terpaksa mengikut kata-kata Pak Sahak.
MALAM, selepas solat Isyak, seperti yang dijanjikan, Kudin, Chad dan Jai menapak ke kedai Pak Kahar. Mereka terpaksa guna lampu suluh untuk ke kedai Pak Kahar yang terletak agak ke dalam sikit dari jalan luar. Setiap malam, penuh dengan orang tua merenyam yang suka menari joget lambak.
"Aku rasa semacam la.." Chad pandang kiri kanan. Hutan kecil dan ada pokok getah yang sudah tua.
"Aku pun..." Jai juga turut merasa.
Kudin sengih. Penakut betullah dia orang ni. Nama saja jantan tapi hati pengecut!
"Apa nak seramnya Korang takut gelap ke" Kudin gelak.
Chad luku kepala Kudin yang suka sindir dan ketawakannya setiap kali dia merasa takut. Jai hanya jeling melihat tingkah Chad tadi. Mereka bertiga berjalan laju menuju ke kedai Pak Kahar. Tiba di situ, sudah ramai warga tua yang sedang menikmati minuman dan juga menyanyi sambil berjoget. Mereka bertiga mula mencari tempat duduk.
"Kamu semua ni dari mana" Pak Kahar menegur.
"Dari rumah la Pak Kahar. Kami nak lepak sambil minum kat sini boleh" Chad sengih.
"Boleh sangat! Nak order apa " Pak Kahar sudah senyum lebar. Nampaknya kedai makannya sudah bertambah pelanggan dari golongan muda pula. Tidaklah orang kata kedainya kedai orang tua! Pak Kahar senyum bangga.
Kudin, Chad dan Jai mula memesan minuman dan makanan. Sementara menunggu makanan yang dipesan sampai mereka bertiga mula bersembang dari satu cerita ke satu cerita. Bila makanan dan minuman sampai mereka mula menikmati hidangan pula sambil menjamu mata dan telinga melihat gelagat orang tua kampung Pinang Patah itu yang sedang terkinja-kinja menari dan menyanyi.
Lagak macam kelab malam, cuma kelab malam ini terletak di kampung saja!
"Apa yang bau busuk ni" Jai kembang kempiskan hidungnya.
Kudin pula turut sama menghidu bau busuk yang mula memenuhi tempat meja makan mereka. Di fikirannya mula terlintas macam-macam. Dia jeling jam. Hampir sebelas setengah malam.
"Entah-entah bau mayat tu kut.." Jai mula menutup hidung.
"Mana boleh Kan kita tak jumpa siang tadi." Kudin cepat-cepat menangkis.
Chad dari tadi hanya diam. Mukanya macam ditahan-tahan.
"Apa kena dengan kau ni Chad Muka dah macam tahan berak je" Jai tepuk paha Chad dengan kuat.
Puuukkk!!
"Cis! Tak guna kau Chad!!" Kudin tekup hidung.
Jai juga terus tekup hidung.
"Sorry la..perut aku tiba-tiba tak selesa tadi. Yang kau tepuk paha aku kenapa Aku dah cuba tahan tadi.." Chad sengih.
Kudin geleng. Selamba dek je mamat ni kentut!
"Weh! Dah la tu! Aku kentut pun bukan sekali tu je..yang korang kata bau mayat tu..itu kentut aku yang pertama!" Chad ketawa terbahak-bahak!
Kudin dan Jai turut ketawa. Kentut Chad dah macam bau gas ammonia!
"Assalamualaikum.."
Serentak mereka menoleh. Kudin tergamam. Dia menelan liur. Chad dan Jai pula terpaku melihat gadis yang berdiri di depan mereka. Masing-masing diam seketika. Saling berpandangan. Senyuman gadis itu sungguh mempesona. Terlopong Chad dan Jai memandang tak berkelip.
"Err..encik dah jumpa rumah sewa tu" Gadis itu menoleh ke arah Kudin.
"Err..be..belum. Saya belum tanya tuan tanah..eh..tuan rumah.." Tergagap-gagap Kudin menjawab.
Chad dan Jai sekali lagi tercengang. Rupanya Kudin sudah kenal dengan gadis manis berkebaya merah itu terelebih dahulu.
"Oh...tak apa la. Kalau macam tu, saya balik dulu." Gadis itu ingin berlalu pergi dengan riak kecewa.
"Nanti!" Kudin cuba pegang tangan gadis itu. Dia cepat-cepat lepas bila gadis itu merenung ke arahnya. Dia gosok-gosok tangannya sendiri. Pucat mukanya.
"Ya ada apa encik" Gadis itu kembali mengukir senyum.
"Cik...cik tinggal kat mana sekarang ni Maksud saya..tidur kat mana" Kudin beranikan diri bertanya. Dia jeling jam di pergelangan tangannya. Hampir dua belas malam.
"Buat sementara ni saya tinggal dengan kawan..tapi dia pun orang susah. Tak apalah..saya pergi dulu.." Gadis itu sekali lagi minta diri.
Kudin, Chad dan Jai hanya memerhati gadis itu pergi sehingga hilang dari pandangan. Terpana melihat kecantikan gadis kebaya merah tadi. Kudin pula sudah mula pucat muka. Apa yang berlaku tadi, benar-benar mengejutkannya. Dan..gadis itu..sentiasa berkebaya merah. Chad dan Jai juga seolah tiada suara. Kelu lidah.
"Nak tambah apa-apa lagi" Pak Kahar datang ke meja anak-anak muda tadi. Pelik melihat ketiga anak muda itu terdiam begitu.
Seperti ada sesuatu yang sungguh pelik baru saja berlaku. Dia tepuk bahu Kudin.
"Hah..apa Pak Kahar tanya tadi" Kudin mula sedar.
"Korang ni kenapa Macam orang kena pukau je. Pakcik tanya, nak tambah air lagi ke...mi goreng ke" Pak Kahar sengih.
"Cukup dah ni.." Kudin sengih.
"Err....Pak Kahar..nampak tak tadi seorang perempuan yang cantik datang sini" Tanya Kudin.
"Perempuan cantik Mak Jemah ke" Pak Kahar ketawa. Setahunya semua perempuan yang bertandang ke kedainya adalah yang tua-tua dan langsung tak ada rupa bak model atau artis. Harapkan solekan saja.
"Err..maksud saya...perempuan muda.." Kudin tanya lagi.
Pak Kahar sudah berkerut kening. "Mana ada.."
Masing-masing diam membisu. Mereka terus habiskan makanan dan pulang ke rumah. Chad dan Jai tidur di rumah Kudin pada malam itu. Mereka tidak berani pulang ke rumah masing-masing.