FIZIK-LAH! - 1
Sains untuk semua. Bukan milik eksklusif saintis.

Bolehkah orang awam memahami sains

Apakah seseorang yang tidak berlatar belakangkan sains mampu memahami sains

Adakah sains hanyalah milik eksklusif untuk para saintis sahaja

Adakah sains sebuah topik yang sangat berat sehingga kita jarang-jarang berbincang mengenainya

Selalunya begitulah.

Perbincangan berkenaan sains jarang (atau mungkin tidak ada langsung) dibincangkan di tempat-tempat awam atau di meja kopi. Ia tidak seperti topik-topik politik, gosip artis dan isu agama yang selalu kita cakap-cakapkan tidak kira tempat. Sungguhpun begitu, kesudahannya kita tidak pula menjadi maju dan berjaya di dalamnya

Masyarakat suka berbincang isu politik. Berbagai isu yang mereka bincangkan. Orang yang tidak berlatar belakangkan sains politik pun banyak pengetahuannya berkenaan politik dan boleh bercakap dengan kawankawan di meja kopi dengan yakin.

Samalah halnya dengan isu agama. Di mana-mana sahaja mereka memperkatakan mengenainya. Tidak kira tempat. Tidak cukup di masjid dan surau-surau, isu agama disambung-sambung perbincangannya di meja kopi, di kedai-kedai mamak, di Facebook dan di merata-rata tempat. Mereka bertelingkah dan hebat membincangkan soal-soal bidaah, bahaya syiah, ancaman wahabi dan macam-macam lagi. Tetapi kesudahannya di mana mereka sekarang Jawapannya, tidak ke mana.

Walaupun kita kerap berbincang hal-hal politik, tetapi kesudahannya politik kita pun tidak ke mana. Malah politik itu telah memecah belahkan masyarakat kita. Agama pun sama. Agama kita tidak nampak hebat pun walaupun kita selalu berbincang mengenainya siang dan malam. Pagi petang. Malah kita semakin diperlekehkan. Imej agama kita semakin buruk dan dibenci.

Manakala bidang sains yang jarang-jarang dibincangkan ini pula semakin maju. Walaupun sains tidak dibincangkan di tempat-tempat awam, tetapi ia terus menjadi unggul di seluruh dunia. Teknologiteknologi canggih dicipta adalah hasil daripada ilmuilmu sains. Ia semakin maju dan semakin ke depan! Ironinya, sains menjadi begitu tanpa bantuan kita pun untuk dibincangkan di tempat-tempat awam.

Jika hendak difikirkan lagi, sepatutnya isu sainslah yang perlu lebih hangat dibincangkan kerana cabangnya luas dan menarik pula untuk diterokai. Berbalik kepada persoalan awal tadi, bolehkah orang awam memahami sains Dan adakah sains penting untuk disembangkan Jawapannya ialah, ya!

Sungguhpun begitu, kami bukanlah bermaksud hendak menghasut para pembaca supaya

meninggalkan terus perbincangan politik dan topiktopik biasa yang sudah biasa kita sembangkan. Apa lagi ia sudah lama dibudayakan tentu susah untuk ditinggalkan.

Tapi, apa kata ditambah lagi sebuah topik sains sebagai satu perkara yang perlu dibualkan. Bagi kami, topik sains ini sebenarnya jauh lebih menarik berbanding topik politik kebencian dan topik agama mazhab ini sahaja yang betul.

Kami faham, kenapa sains selalu dilihat tidak menarik, kurang dibincangkan dan dipandang sepi walaupun ia sangat menarik. Mungkin disebabkan apa yang telah kita belajar di sekolah dan mentaliti belajar kita yang hanya untuk peperiksaan. Justeru, sains itu tidak dipelajari untuk memuaskan rasa tahu, faham dan dihayati. Cuma telan dan muntahkan.

Itulah mentalitinya.

Tambahan pula, sains itu selalunya bersifat abstrak. Begitu banyak konsep dan persamaan (equation)! Susah sangat nak faham dan hampir mustahil hendak faham. Banyak sangat benda-benda yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi dipaksa untuk belajar mengenainya.

Belajar pasal sel tumbuhan-lah, belajar mengenai sel haiwan-lah. Belajar mengenai zarah-zarah, elektron, proton neutron. Ah! Semuanya langsung tidak boleh dilihat. Jadi, untuk apa belajar benda-benda ini Masyarakat tidak suka untuk tahu perkara-perkara ini. Tidak ada urusan dengan periuk nasi kata mereka. Tidak ada urusan dengan hidup yang memerlukan duit kata mereka lagi. Yang lain pula akan berkata, biarkan saintis sahaja yang memikirkannya.

Ironinya, jika begitu halnya tapi kenapa kita tak boleh berdisiplin dalam hal keagamaan Kita bercakap mengenai agama ikut taram walaupun kita bukan ustaz-ustaz yang belajar agama. Biarkan sahaja agama itu dibincangkan oleh ustaz-ustaz dan orang tertentu sahaja!

Tapi hal seperti itu tidak berlaku. Walaupun kita bukan ustaz dan pengetahuan agama kita pun cetek, ibadah kita pun compang-camping, tapi kita suka nak sibuk berbincang mengenai agama. Justeru, tidak adil jika sains pun dilabel begitu iaitu ekslusif untuk dibincangkan oleh para saintis sahaja. Sama juga dengan politik. Kita ghairah sangat bersembang mengenai politik walaupun kita bukanlah orang politik dan tidak berkecimpung dalam politik.

Sungguhpun masyarakat Malaysia kita telah meminggirkan sains daripada sudut perbincangan, tetapi nampaknya mereka tidak meminggirkannya dalam aspek komersial. Lihatlah ramainya orang yang memiliki produk-produk sains. Ipad, telefon bimbit dan macam-macam lagi. Budak sekolah pun mempunyai alat-alat teknologi yang bukan calangcalang.

Di sekolah sudah ada yang pakai DSLR yang harganya mencecah RM7000! Tetapi hanya tahu guna, tetapi tidak tahu apakah falsafah dan ilmu sains yang telah menjadikan alat itu berguna. Ramai dalam kalangan masyarakat kita memandang sains sebagai sebuah perkara yang memberatkan. Malas hendak layan dan bincangkan.

Leceh!

Tetapi realitinya, setiap hari dalam kehidupan manusia pasti akan berhadapan dengan alat-alat teknologi. Di Barat, isu-isu semasa sains bukan sesuatu yang mereka pinggirkan. Isu sains terus unggul dibincangkan di mana-mana. Ramai penulis-penulis profilik menulis buku-buku dan isu berkenaan sains.

Profesor-profesor di universiti pun ramai yang turun padang dan mengambil bahagian secara aktif untuk menerangkan sains kepada masyarakat. Mereka menjadi figura dan mempunyai ramai pengikut dan peminat kerana kerap muncul dalam televisyen dan banyak menulis buku.

Nama seperti Profesor Brian Coxx, Michio Kaku, Jim Khalili, Neil de Graisse Tyson adalah nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat awam di Barat. Majalahmajalah berkenaan sains pun banyak diterbitkan oleh mereka. Dokumentari sains juga banyak dikeluarkan dan disebarkan ke seluruh dunia.

Ya betul. Barat juga dahulunya macam masyarakat kita. Masyarakatnya memandang sepi pada sains. Memandang sepi bermaksud, pengetahuan sains itu hanya dibincangkan dalam kalangan tertentu sahaja dalam kelompok saintis. Sementara pada peringat awam, ia tidak dibincangkan sangat.

Tetapi pada tahun 1950, apabila USSR telah berjaya melancarkan Sputnik dan apabila Neil Armstrong telah berjaya mendarat di Bulan, masyarakat di sana mula ghairah untuk mendekati sains dan ia dibincangkan oleh ramai orang. Mereka mula sedar akan kemampuan manusia untuk memperalatkan sains bagi mencapai tujuan yang tidak masuk akal. Seperti menjejakkan kaki di Bulan tadi. Ia dikira tidak masuk akal dan mustahil dicapai! Tetapi dengan bantuan sains-lah manusia boleh merealitikan apa jua perkara yang tidak masuk akal tadi!

Penerokaan sains semakin hari semakin maju. Pada abad ke-20, manusia telah menyaksikan banyak pencapaian-pencapaian sains terus diperalatkan untuk membantu manusia dan menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dan selesa. Antaranya seperti pendaratan di planet Venus, kuantum komputer, optik serat, cip-mikro, pemindahan jantung dan organ-organ, superkonduktiviti dan pelbagai lagi.

Pokoknya, kita tidak perlu pun menjadi seorang ahli biologi untuk memahami betapa kompleksnya sel-sel hidupan. Kita juga tidak perlu menjadi ahli fizik dan menjadi pakar dalam matematik untuk menerokai galaksi Bimasakti. Ianya tidak mustahil untuk difahami tanpa kita perlu menjadi saintis.

Ilmu sains dan segala yang diterokainya sangat menarik dan menakjubkan untuk dibiarkan hanya untuk saintis. Ia patut dikongsi dan melibatkan keseluruhan masyarakat tanpa mengira latar belakang apa pun mereka.

Jangan pinggirkan sains, ia terlalu menarik untuk dipinggirkan!