Ini kisah bagaimana seorang peniaga jalanan menceburkan diri dalam perniagaan. Kisah yang akan terus membuatkan kau tak senang duduk dan terus mahu habiskan buku ini hari ini juga.
Percayalah, ini kenyataan yang kau harus terima.
Sebelum itu, biarlah aku ceritakan sikit tentang persekitaran tempat aku membesar. Kedua-dua orang tua aku merupakan penjawat awam yang berkhidmat di dalam sektor perguruan. Mereka guru yang mengajar di sekolah menengah dan sekolah rendah di Pulau Pinang. Selepas pulang dari belajar dari Mesir di bawah tajaan Kerajaan Kedah, ayah aku dipinjam kepada Jabatan Pendidikan Pulau Pinang.
Asalnya, ayah aku cakap takkan lama dia berkhidmat di Pulau Pinang. Apabila Jabatan Pelajaran Pulau Pinang dapat orang baru yang boleh mengajar Usuluddin, dia akan dikembalikan untuk berkhidmat di negeri kelahirannya iaitu di Kedah.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, sampaikan aku pun semakin montel membesar, ayah aku masih lagi mengajar di Pulau Pinang. Masih lagi. Akhirnya kami memutuskan untuk berpindah dan menetap di kuarters guru yang terletak di dalam kawasan sekolah. Duduk dalam kawasan sekolah, tentulah di depan rumah kami ada padang bola yang sangat luas.
Padang itu memang popular, hampir setiap minggu ada sahaja perlawanan bola sepak atau kejohanan sukan di situ. Biasanya, apabila ada kejohanan bola sepak dalam mana-mana peringkat sekalipun, penganjur akan buka tiga padang sekali gus. Apabila ramai orang, mesti ada banyak peluang. Kau kena pegang kata kunci ini.
Seingat aku, waktu itu usia aku baru sahaja memasuki 10 tahun. Baru hendak pandai belanja duit dan kenal dunia pasar malam. Mungkin juga kerana faktor persekitaran beginilah yang membuatkan aku minat berniaga sejak sebelum akil baligh lagi. Mana tidaknya Hampir setiap minggu, aku menyaksikan manusia bersilih ganti masuk berniaga di depan rumah aku di tepi padang. Itu belum lagi program besar-besaran seperti Forum Perdana Ehwal Islam.
Aku cuma mahu berjualan di situ kerana tidak tahan lagi menanggung naluri keinginan untuk mencuba. Mama, abang teringin nak berniaga kat tepi padang itu. Lebih kurang beginilah aku cakap kepada mama aku masa hendak meyakinkan dia untuk modalkan aku berniaga.
Abang nak berniaga apa Mama membalas kata-kata aku sambil mengerdipkan mata.
Ingat nak berniaga benda yang senang-senang saja, jawab aku dengan yakin.
Maka, dengan senang hati mama mencadangkan supaya aku jual buah jambu potong. Sebagai seorang anak yang degil tetapi tidak mahu menderhaka, aku akur sahaja. Mama bawa aku ke pasar pagi (orang Utara panggil market) untuk membeli berkilo-kilo buah jambu batu. Sebaik pulang ke rumah, beliau tunjukkan aku cara-cara membuang kulit, memotong jambu dan membuang biji menggunakan camca (baca: sudu). Tak sampai satu hari aku sudah pandai. Senang sangat!
Aku pun tak pasti dari mana terbitnya nafsu menjual yang membuak-buak ini. Aku syak ini datang daripada jalur keturunan sebelah ayah aku. Moyang aku dahulu memang orang berdagang, mereka datang berhijrah ke Tanah Melayu dari Banjarmasin. Mereka meneroka tanah, bertani dan menjual hasil pertanian. Ini cerita lama sejarah keturunan kami di sebelah ayah, cerita sebelum merdeka.
Berbalik kepada cerita jambu tadi, untuk menjadikan jambu ini laris dijual, lawannya mestilah campuran asam yang memukau. Di Utara, biasanya bila ada asam, mesti ada pasangannya yang dikenali sebagai garam belacan. Maka, hasil gabungan inilah antara adunan resepi yang memukau sesiapa sahaja yang membeli jambu dengan aku nanti.
Disebabkan ayah aku mengajar di sekolah yang memiliki padang bola terkenal ini, maka mudahlah bagi aku untuk mendapatkan jadual perlawanan atau aktiviti akan datang. Jadual ini akan memudahkan aku untuk merancang jadual jualan aku dan tempahan stok jambu daripada pembekal. Sebenarnya, hampir setiap minggu memang ada sahaja aktiviti di padang sekolah ini.
Aku masih ingat, aku cuma buka sebuah meja sahaja setiap kali menjual jambu di tepi padang ini. Jarak tapak aku berniaga pula hanyalah kira-kira 100 meter sahaja dari pintu rumah tempat kami tinggal. Biasanya, setiap kali menjual, mama dan adik-adik akupun rajin tolong kupas jambu. Upahnya seringgit dua ringgit seorang.
Sepotong jambu dijual pada harga dua kupang (baca: dua puluh sen). Harga itu termasuk asam dan sambal belacan percuma. Sebiji jambu biasanya dapat buat tujuh hingga lapan potongan jambu. Jadi, jualan sebiji jambu sekitar RM1.40 hingga RM1.60. Dalam masa satu hari acara di padang, bermula 8 pagi sampai 6 petang biasanya aku dapat menjual 100 hingga 200 biji jambu. Hasil jualan pula sekitar RM200 hingga RM350 sehari. Ini cukup bagus bagi aku yang masih mentah.
Waktu itu, aku memang tak pegang duit jualan, semuanya aku bagi semula kepada mama, dia yang akan aturkan langkah seterusnya.
Mama simpan duit abang dalam bank dan Tabung Haji. Esok-esok abang dah besaq, nak guna senanglah, kata mama kepada aku.
Seronok juga apabila terkenangkan aktiviti menjual jambu di tepi padang sekolah. Setiap kali pulang ke rumah mama di Pulau Pinang, aku pasti akan terbayangkan kisah ini masa memandu di kawasan sekolah. Banyak sekali kenangan indah sewaktu aku membesar di dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al Irshad, Pokok Sena Pulau Pinang. Kisah jambu ini antara kisah berjualan yang aku ingat sangat. Masih segar dalam ingatan sampailah ke hari ini. Aku yakin, kau yang sedang membaca pun pasti ada kisah manis sendiri masa zaman kanak-kanak dahulu.