Suara-suara yang saling bertindih keluar dari halkum masing-masing sambil diperhatikan oleh sepasang bola mata. Tanpa tubuh-tubuh ini sedari, mata dan telinga yang sedang mengikuti perbincangan mereka tiba-tiba tersentak pada sepasang tangan yang menggenggam bentukan panjang di bawah rambut pubik sambil memanggil rakanrakannya dia berkelakar untuk menghibur mereka yang begitu asyik meneliti.
Wajah manusia yang berjubah putih terserlah itu merah bagaikan bara api. Tidak disangka tingkah-laku seburuk itu dilakukan oleh bakal insan yang kelak akan memperaga suatu keperibadian yang mulia lagi unggul.
Amarah yang mengukir mimik di mukanya, meluap dengan herdikan gempita yang mengejutkan keenam-enam tubuh yang mengelilingi jasad yang terbujur kaku. Paling utama tersentak ialah pasangan tangan yang sejak tadi telah mempermain-mainkan bentukan tersulit pada manamana makhluk ciptaan-Nya.
Serentak dengan ledakan kemarahan itu, dua tubuh membuka ruang seolah-olah pintu automatik digedung pasaraya. Dia terus mengisi ruang yang dikosongkan itu dengan pandangan yang tajam ditujukan kepada pesalah itu dengan kelopak matanya tersengkang luas.
Sambil menghela nafas dia bersuara dengan tegas dan keras.
Apa yang awak lakukan amatlah memalukan. Kelantangan suaranya segera mematikan kebisingan di Dewan Diseksi.
Tidakkah awak terfikir bahawa perbuatan yang awak lakukan tidak dapat diterima oleh segenap manusia intelektual yang beradab. Jasad yang kalian hadapi ini ialah mutiara ilmu, bukan semata-mata bahan untuk kalian lulus peperiksaan.
Segenap mahasiswa di Dewan Diseksi itu menghentikan kegiatan mereka. Pandangan mereka tertumpu ke meja 15 yang di bawah penyeliaan Dr Rusdani.
Sedarkah awak bahawa mayat yang awak sayat-sayat itu, pada suatu ketika dahulu dia boleh bercakap, berfikir, bergerak seperti kita ini yang sedang menghuraikan setiap struktur yang ada pada tubuhnya. Jika dia dapat bersuara sekarang ini, apakah dia akan benarkan kita melakukannya dan apakah dia akan mendiamkan diri apabila awak mempermainkan kemaluannya
Osman terus tunduk seolah-olah melihat pada butangbutang pada bajunya. Dia cepat-cepat mencelah, Saya minta maaf doktor.
Dr Rusdani masih belum puas dengan leterannya.
Bila awak meminta maaf, pandanglah pada orang yang awak lakukan kesalahan padanya.
Osman mendongak dan memandang dengan wajah penuh kesal sambil mengulangi ucapan maafnya. Belum sempat ucapan itu berakir, Dr Rusdani mengherdiknya lagi, Bukan pada saya, pandanglah wajah jenazah itu!
Bagaikan pesalah di kandang mahkamah, Osman merenung wajah mayat berpipi cekung dengan dadanya ternganga kosong melafazkan ucapan maaf dengan disaksikan oleh beratus-ratus bola mata.
Kegiatan menyiang mayat-mayat di dewan itu kembali semula. Tetapi Dr Rusdani belum berganjak dari meja 15 walaupun ada empat lagi meja lain di bawah kelolaannya. Tampaknya dia masih belum berpuas hati dengan peristiwa yang baru disaksikannya.
Dia memandang kepada mahasiswi yang berada bertentangan dengannya. Siswa yang lain sudah menduga mereka akan diduga dengan soalan-soalan yang akan tercetus sebentar lagi.
Tahukah saudari, siapakah nama mayat ini
Tanyanya serius dan menanti seketika tapi kesunyian menguasai keenam-enam anggota team diseksi meja 15.
Sejak bila jabatan ini mengambil siswa-siswa bisu, perlinya sarkastik.
Sudah berapa lama anda diseksi mayat ini tanyanya lagi.
Siswi yang bertentangan dengannya menjawab, Enam bulan.
Oh! Ada juga yang tak bisu, katanya dengan nada terhibur. Sambungnya lagi, Sudah enam bulan tapi anda kalian tidak sedikit pun ingin mengambil tahu nama mayat yang sedang berbakti kepada kalian. Anda telah membelah toraknya, membuka jantungnya, menghafal setiap nama arteri, saraf dan otot-otot serta injap-injap jantungnya tetapi sayang tidak nama jasad ini.
Keenam-enam pasang mata saling bertukar pandangan. Mengharap salah seorang dari mereka tahu jawapannya.
Melirik ke tanda nama di atas saku Osman, Dr Rusdani memandang ke muka yang berkumis jarang sambil mengarah, Saudara Osman, sila lihat pada kertas kecil yang terikat di ibu jari kaki.
Osman yang berada terdekat dengan kaki kiri mayat itu bergerak selangkah ke kanan. Dia membongkok badannya. Tangan kanannya memegang sekeping kertas yang berlubang di hujungnya dengan benang lusuh yang menyimpul di pangkal ibu jari itu. Terpegun sekejap kerana kertas yang dipegangnya itu kosong tanpa sedikit coretan pun. Memandang kembali ke muka Dr Rusdani dengan kebingungan sekosong kertas yang dibelekinya.
Di sebelahnya, sambil Dr Rusdani mengangkat kepalanya ke arah kaki mayat itu.
Kunang Kunang anak Biak, sebutan Osman ragu kerana keanehan nama itu.
Ambil nombornya dan pergi ke bilik atendan dan dapatkan keterangan mengenai mayat ini.
Osman beredar pantas melalui meja-meja diseksi yang lain. Beberapa rakan-rakannya sempat melirik gerakan pantas Osman menuju ke pintu dewan. Kebanyakan rakanrakan dari meja lain mengagak dia diusir keluar oleh Dr Rusdani.
Saya tidak menyangka di antara kalian masih mempunyai martabat kedewasaan yang rendah, tambahnya lagi dengan menggeleng-gelengkan kepalanya. Kelima-lima siswa itu tidak lagi melanjutkan pekerjaan mereka.
Dahulu pada zaman saya menjadi seorang mahasiswa, sebelu kami melakukan diseksi, kami disuruh berdoa dahulu. Menurut agama masing-masing. Di sini, saya bukan ketua jabatan tapi kalau saya yang membuat dasar, tentu saja dua minit sebelum diseksi semua mahasiswa harus bertafakur untuk menghening cipta kepada jenazah-jenazah ini.
Mahasiswa meja 15 sudah terbiasa dengan pidato panjang Dr Rusdani. Mereka sentiasa menjadi pendengar setia setiap kali ada pensyarah bersuara. Bagi Dr rusdani, monolog dengan mahasiswa adalah suatu kebiasaan, seperti kelaziman yang dipupuk oleh budaya resam ubi, kononnya makin diam makin berisi. Mahasiswa terikut-ikut dengan sistem jalan sehala yang popular di Kuala Lummpur.
Saya pernah mencadangkan kepada Prof Surip, setiap mayat untuk empat orang mahasiswa. Kalau enam orang, mesti ada yang menganggur. Tetapi pendapat saya tidak diterima kerana tak cukup mayat. Hal yang semacam ini tak perlu terjadi.
Osman tiba di mejanya tanpa disedari Dr Rusdani. Anak-anak peluh membasahi dahi luas yang menempati benak yang pernah meraih 7 A1 dalam peperiksaan SPM. Denyut jantungnya kencang hinggakan dia dapat merasakan pukulannya pada dada kiri. Jiwanya bergelora dengan fikiran-fikiran kusut akibat dari salah lakunya. Apakah akan digantung dari melanjutkan kursus tahun pertama. Terbayang olehnya Zaleha, junior MRSM yang sedang mengikuti matrikulasi perubatan. Di mana muka ini akan disorok bila Zaleha masuk ke Fakulti Perubatan tahun hadapan. Dr Rusdani punya pengaruh. Bukan saja oleh ketua jabatan malah oleh dekan. Khabarnya dia orang dekan. Kebanyakan pensyarah ada kepalanya. Macam ahli politik. Kepala naik, badan tangan kaki dan kalau ada ekor pun naik juga. Sudah menjadi rahsia umum, salah satu bidang perubatan yang tidak dimasukkan ke dalam kurikulum adalah political medicine. Tetapi mengulangi tahun pertama bersama Zaleha adalah satu penyeksaan. Demikian fikiran Osman bergolak.
Menyedari kehadiran kembali Osman, Dr Rusdani segera menanyakan keterangan mengenai mayat dari Buku Daftar Mayat yang berada di bilik atendan. Melihatkan Osman yang masih gugup, dia tidak mengharapkan Osman dapat membuat presentasi kes yang terarah. Kerana dia sedia maklum sikap siswa masa kini tidak vokal, ibarat mesin vendor, perlu ditekan butang barulah keluar benda yang dikehendaki.
Bangsa apakah mayat ini tanya Dr Rusdani.
Orang asli, doktor.
Apakah asbab kematiannya
Tertulis di Buku Daftar Mayat sebagai C.V.A.
C.V.A. singkatan dari apa Walaupun dia sudah mengetahui tak akan ada mahasiswa tahun pertama faham akan kepanjangan huruf-huruf itu. Sengaja dibiarkan siswasiswanya berpura-pura berfikir seolah-olah mereka pernah dengar tetapi sudah lupa. Bagi Dr Rusdani menanya pertanyaan itu, bagaikan meminta PCnya memberi keterangan yang tidak ada terakam dalam Database III plus. Dia cuba menyembunyikan senyuman yang mahu lahir dari bibirnya bila kepala-kepala saling menoleh ke arah rakan masingmasing.
C.V.A. bererti Cerebral Vascular Accident iaitu kejadian pembekuan darah atau pecahnya pembuluh darah di otak dan kalau betul diagnosa itu, ia pasti melibatkan kawasan batang otak. Jelas Dr Rusdani seolah-olah raguragu tentang kematian mayat itu.
Juriah membaca keraguan di wajah Dr Rusdani. Dia memberanikan diri bertanya sambil membetulkan mini telekung yang sedikit mendedahkan bahagian bawah dagunya.
Doktor fikir dia mati kerana sebab lain
Dia tidak segera menjawab pertanyaan Juriah itu.
Malah dia membalas pula dengan pertanyaan pada Osman. Berapa umur kematiannya
Pada mulanya Osman menganggap Dr Rusdani mahu mengetahui berapa tahun mayat itu telah mati tetapi segera dia agak yang dikehendaki adalah usia mayat itu ketika meninggal.
Tiga puluh lapan tahun.
Tiga puluh lapan tahun, orang asli, tak pernah terdedah dengan tekanan hidup di kota, jarang makan garam berlebihan dan tidak gemuk, mana mungkin dia mati kerana
C.V.A.!
Tapi doktor, mesti autopsi sudah dibuat, celah Rosemary yang sejak tadi mendiamkan diri.
Miss Rosemary, if they had done the autopsy you wouldnt able to disect this corpse, jawabnya tegas dalam bahasa Inggeris. Entah kenapa setiap kali kalau dia bercakap dengan Rosemary yang merupakan salah seorang dari dua siswa India dari seratus dua puluh orang tahun pertama, bahasa Inggeris spontan akan keluar dari lidahnya.
Anyway, sambungnya lagi, anda boleh membuktikan sebab kematian bila anda membuka tengkoraknya pada pertengahan semester akhir. Kalau Cerebral Malaria saya lebih percaya.
Encik Kunang berasal dari mana tanyanya lagi pada Osman.
Kampung eehh Bentong, Pahang, tak ingat kampungnya doktor.
Dr Rsudani hanya mengangguk kecil tanda dugaan diagnosis bersesuaian.
Doktor, Cerebral Malaria itu macam mana tanya Tengku Huzir mendadak, sekadar tidak ingin dicakap siswa pasif dalam perbincangan kelompok itu.
Saudara Huzir, hari Khamis akan datang kita akan bertemu di Dewan Diseksi ini dan saya berharap awak akan bercerita mengenai topik itu. Arahan itu sengaja dibuat untuk mematikan perbincangan yang telah berlarutan di meja 15 kerana dia perlu menyelia meja-meja lain di bawah jagaannya. Dan lagi tajuk itu tidak sepatutnya disentuh bagi peringkat tahun pertama.
Dia beredar dari situ. Setelah langkah pertama, tiba-tiba kepalanya menoleh ke arah Osman dan berkata, Esok, masa makan tengah hari datang ke bilik saya.
Rasa gemuruh yang telah reda di jiwa Osman meledak kembali. Kepucatan menghias mukanya. Menghilangkan kemerahan jerawat-jerawat batu yang bertaburan di kedua-dua belah pipinya. Rakan-rakan semeja tidak tega memandangnya. Mereka meneruskan kegiatan diseksi mereka setelah Dr Rusdani meninggalkan meja mereka.
Dr Rusdani menghampiri meja 14. Tetapi dia tak jadi berhenti kemudian meneruskan perjalanannya ke meja 13.
Ada yang tak kena pada meja 13.
Matanya terlatih untuk meneliti kelainan. Tujuh tubuh mengelilingi meja itu. Rapatannya ke meja disambut dengan pandangan yang berbelah-bahagi. Gembira ada, khuatir ada. Gembira kerana ada tempat untuk bertanya. Khuatir kerana takut kalau-kalau ditanya.
Setahu saya meja ini hanya untuk enam orang mahasiswa, katanya sambil melihat kepada Radzi yang dia tahu bukan dari kelompok itu.
Grup saya tak ada pensyarah, doktor, jawabnya menjelaskan.
Bukankah Dr Jalani yang patut menyelia kelompok awak,
Dia tak ada, doktor.
Mengapa dia tidak dipanggil Sambungnya pula, Siapa ketua kelompok awak Tanyanya bertubi-tubi tanpa memberi kesempatan Radzi menjawab. Dr Rusdani merasakan bahawa jawapan dari Radzi tidak perlu didengar. Dia tahu Radzi sendirilah ketuanya. Kehadiran Radzi ke meja 13 oleh kerana tarikan Murni. Dia sering melihat Radzi ke hulu ke hilir dengan Murni. Biar di kafetria, d perpustakaan, mereka sering bersama. Berdua-duaan adalah sesuatu yang langka di kampus masa kini.
Walaupun 55 peratus siswa tahun pertama adalah kaum puteri tetapi Murni tetap menarik perhatian ramai. Tidak terkecuali Dr Rusdani. Kalau tak salah fikirnya, barangkali tak lebih dari lima orang mahasiswa puteri sahaja yang tidak bermini telekung. Ini tentulah tak termasuk wanitawanita bukan Islam. Murni tidak mahu rambutnya ditutup bukan soal suruhan agama. Tetapi dia tidak suka taktik memini-telekungkan siswi-siswi yang ingin mengekalkan rambut mereka sebagai mahkota yang menghiasi kepala mereka. Dia tak suka pulau-memulau pada mereka yang tidak memakai busana menutup aurat dan enggan bekerjasama malah sampai menghindari bergaul dengannya. Murni tahu ada juga siswi yang sekejap buka, sekejap pakai. Dia tidak mahu begitu. Ada pula yang kalau jatuh cinta dengan siswa idaman, mini telekung dibuka. Kemudiaan bila percintaan siswa mati di tengah jalan, balik semula dengan mini telekungnya. Bagi Murni keaslian wajahnya dan pendirian yang kukuh adalah penting.
Raut muka Murni memang anggun. Tiada siapa yang berani menafikan kenyataan itu. Wibawa kewanitaannya halus semulus kulitnya. Selembut pula bila dia bersuara. Nadanya menyejuk dan menghanyutkan. Dia, lebih layak jadi peragawati yang sering mengisi muka depan majalah hiburan daripada bermandikan peluh dingin di bilik bersalin pada ketika orang lain dalam dakapan syahdu di malam hari.
Awak pergi ke bilik persidangan dan katakan saya minta kesemua doktor di situ datang ke dewan untuk menggantikan tugas Dr Jalani. Perintahnya tegas kepada Radzi. Seolah-olah ingin mempamerkan kekuasaannya di hadapan Radzi.
Tanpa berlengah lagi Radzi terus menghilang. Sepantas mungkin. Kerana teguran dan arahan yang diterimanya sedikit sebanyak mempengaruhi air mukanya di hadapan wanita yang dikagumi.
Walaupun sudah setengah jam diseksi bermula tetapi siswa-siswa paska-sarjana belum nampak di dewan itu. Mereka sepatutnya berada di kalangan mahasiswa untuk menjadi instructor gantian. Keenam-enam doktor itu tidak diberi meja-meja yang tertentu. Mereka bebas membantu di mana-mana. Tetapi diharapkan kehadiran mereka akan meninggikan nisbah siswa-pengajar yang sememangnya amat rendah. Tidak banyak doktor ingin mengkhususkan diri di bidang anatomi. Ilmu yang tak berubah-ubah sejak peradaban Romawi. Kalaupun ada yang berminat, hanya sebagai penumpang di jabatan itu atau mempergunakannya sebagai batu loncatan.
Begitulah barangkali gambaran yang jitu untuk Dr Jalani. Sangat jarang dia nampak memimpin siswa di Dewan Diseksi. Kebanyakan masanya habis di bilik makmal melakukan penyelidikan. Tanpa penyelidikan, jabatan itu akan kehilangan seri di mata fakulti, katanya suatu ketika dahulu di dalam bilik mesyuarat jabatan. Universiti tanpa penyelidikan ibarat madrasah tinggi sahaja. Trilogi pengajian tinggi akan cacat jika penekanan ditumpukan kepada pendidikan dan perkhidmatan kepada masyarakat sahaja. Falsafah ini perlu disanjung tinggi di setiap menara gading. Alasan inilah pula yang menjadi seranan utama Dr Jalani setiap kali dia diserang semasa mesyuarat.
Walaupun Prof Surip tidak setuju Dr Jalani mengorbankan segenap masanya untuk tujuan penyelidikan, dia tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawabnya sebagai tenaga pengajar di jabatan itu. Tetapi mulutnya berat untuk menegur Dr Jalani. Dia tak ingin satu perang besar. Perang dingin sudah pun berlanjutan bertahun-tahun sejak Dr Surip mendapat pangkat madyanya. Dan berikutan dengan itu disusuli pula satu tamparan hebat bila Prof Madya Surip mengambil alih kepimpinan jabatan dari Dr Jalani. Tanpa ijazah kedua, Dr Jalani dilantik menjadi pemangku ketua jabatan oleh dekan terdahulu semasa Prof Madya Surip berada di luar negara selama dua tahun. Sekembalinya Prof Madya Surip dengan ijazah doktor falsafah di bidang neuro-anatomi, tidak hanya gelaran madyanya gugur malah Dr Jalani terpaksa mengosongkan kerusi ketua jabatan yang telah dipanasi selama dua tahun. Kepalanya tidak lagi menjadi dekan. Tak tahan daya tarikan pusat perubatan swasta yang cukup menggoda. Sekali bah sekali pinggiran sungai berubah.
Kemabukan menjadi ketua jabatan meninggalkan hangover biar pun haba punggungnya tidak lagi memanaskan kerusi empuk di bilik ketua jabatan. Prof Surip sedar keghairahan Dr Jalani melibatkan diri dalam bidang penyelidikan adalah salah suatu mekanisme pembelaan psikologi. Dia bukan seorang pakar jiwa. Psikoanalisanya setaraf dengan mana-mana doktor yang berminat dalam bidang kejiwaan. Suatu reaksi kejiwaan yang dialami oleh Dr Jalani masih di dalam batas-batas kenormalan. Tak perlu diberi rawatan. Barangkali hasil kajian penyelidikannya kelak akan meningkatkan martabat akademiknya sekaligus dapat meraih gelaran idaman profesor madya. Prof Surip sedikit pun tidak mempunyai idea tentang bentuk researchnya, apa tesisnya. Hanya obsesi melulu. Kompensasi ini dbiiarkan sahaja demi melayani dorongan superegonya. Sejauh ini tak ada kesan buruk yang nyata. Cuma tiga puluh mahasiswa di bawah jagaannya terbiar di Dewan Diseksi.
Rombongan siswa paska-sarjana memasuki dewan sejurus selepas Radzi sampai ke mejanya. Dr Rusdani melirik dari sudut mata seketika. Dari hati kecilnya berkata, inilah barisan calon pakar bedah, pakar mata, pakar bedahtulang dan pakar THK . Dia tak pasti yang mana satu di antara mereka akan mendalami bidang-bidang itu. Yang pasti mereka perlu mengikuti setiap aktiviti jabatan selama tiga bulan untuk menyegarkan kembali ilmu hurai tubuh yang telah menguap dari ingatan mereka selama tiga atau empat tahun berkhidmat di segenap pelosok tanahair. Tak jelas diketahui, kehadiran mereka di tengah-tengah mahasiswa membantu atau tidak tetapi tidak jarang diketemui mahasiswa jadi bingung akibatnya.
Dr Rusdani masih di meja 13. Biasanya dia lebih lama di meja itu. Hanya bila sedar dia terlalu lama di situ, dia akan cepat beredar ke meja lain. Khuatir siswa-siswi lain mengesyaki apa yang terbenam dalam lubuk hati kecilnya. Dalam kepuraan ia membuat jarak dengan Murni. Jarak antara guru dan murid. Ia tidak berjaya membenamkan naluri indah ini di sanubarinya. Hari Isnin dan Khamis adalah hari-hari yang sentiasa dinanti-nantinya. Pada hari-hari itulah dia berkesempatan bertemu Murni dalam suasana formal. Suasana romantik mudah sahaja mati oleh barisan mayat-mayat yang teratur rapi.
Seorang siswa berbangsa Cina dari meja 12 menghampiri Dr Rusdani. Sambil mendakap buku Cunninghams Manual of Practical Anatomy Vol. 2, dia meminta kepastian mengenai sesuatu pada mayatnya. Dr Rusdani sempat memerhatikan jari-jari siswa yang tanda namanya tercetak Hong. Jari-jari itu kecut dan berminyak. Tanda-tanda itu membuktikan bahawa dia memang siswa yang aktif dalam mengerjakan diseksi. Bukan jenis mahasiswa parasit yang hanya memegang Panduan Diseksi Anatomi keluaran Dewan Bahasa dengan jari-jari yang bersih dan kering, sekali-kali akan menjenguk ke mayat bila rakan-rakan yang bekerja menemukan sesuatu.
Membaca Panduan Diseksi Anatomi keluaran Dewan Bahasa adalah sama susah seperti membaca kitab suci. Perlu ditafsir dahulu. Sering yang menghadapi masalah adalah siswa paska-sarjana yang tidak mahir Bahasa Malaysia. Walaupun secara rasmi buku panduan itu dipakai tetapi Cunninghams masih menjadi pedoman instructor dan siswa-siswa.
Mayat meja 12 adalah mayat seorang wanita Cina tua berusia lebih kurang 66 tahun. Mukanya bulat dan sembap. Sebelah kiri mukanya agak penyet, agaknya muka mayat ini tertekan oleh beban berat dari mayat-mayat yang lain yang direndam dalam kolam formalin. Bau formalin yang tengik itu tidak lagi mengganggu deria kelompok 12 yang sedang membongkok rapat ke abdomen mayat tersebut. Tiga dari enam mahasiswa di meja 12 adalah berketurunan Cina. Dr Rusdani memerhatikan, bila terdapat dua atau lebih siswa Cina, anak-anak Melayu tampak lebih gigih. Tapi bila keenam-enam siswa dalam kumpulan itu terdiri dari anak-anak Melayu, fenomena santai mewarnai sindrom tak-apa-isme. Pernah dia berleter dengan siswa Melayu yang dianggapnya tidak cukup rajin. Untuk menaikkan semangat mereka, Dr Rusdani sering bercerita tentang asal-usul keturunan Melayu. Menurutnya ketika Marco Polo tiba di Melaka, dia menulis catatan mengenai pengembaraannya dalam bahasa Latin. Dalam catatan itu, dia menggambarkan bangsa-bangsa yang ditemui nya. Apabila sampai pada giliran bangsa Melayu, beliau mendapati tidak ada terjemahan yang tepat. Yang terdekat sekali untuk menggambarkan bangsa Melayu adalah kata malaise yang bererti malas atau dalam keadaan keletihan akibat penyakit. Catatan itu dibawa ke Eropah maka dari kata itu terbitlah istilah Malay, Malaya dan kemudian Malaysia. Malah dalam perbendaharaan bahasa Melayu, kata melayu bila dikupas menggambarkan keadaan sebenar orang Melayu dari kata buat atau kata sifat. Jadi dia berharap dengan bercerita demikian, siswa Melayu akan menghapuskan naluri instinktif kemelayuan mereka agar dunia mengetahui bahawa Marco Polo membuat kesilapan besar ketika dia membuat catatan mengenai orang-orang Melayu yang hidup di pesisiran pantai Selat Melaka.
Hong segera melepaskan buku yang terbuka dari pelukannya meletakkan di atas buku. Tangan kirinya segera mencapai forsep dan hujung forsep mencepit seutas urat. Hong pun bertanya apakah benar urat yang ditunjukkan itu ligamentum teres hepatis.5 Setelah mengiakan kebenarannya, Dr Rusdani terus menceritakan isi kandungan urat itu dan asal usul struktur rasa kepuasan akademik pada dirinya dan kerancakannya berlarutan sehingga Dr Rusdani tidak teringat yang dia belum lagi singgah ke meja 11. Ketigatiga pemuda Cina itu memanfaatkan setiap detik untuk berkongsi ilmu dengan Dr Rusdani. Dia sungguh gembira dan terhibur dengan nyanyian ilmu yang didendangkan seirama dengan nada dan semangat kecendiakawannya yang tinggi. Di hati kecilnya, tidak hairan kalau 12 tahun lagi, salah seorang dari keenam-enam siswa ini menjadi pakar belah jantung yang unggul. Ciri-ciri perfectionist paling ketara tampak pada gerakan tangan Hong ketika dia mengerjakan diseksi.
Walaupun masa diseksi berakhir pada pukul 5:15 petang tetapi sudah kelihatam siswi-siswi bertudung menghampiri sink panjang di bahagian depan Dewan Diseksi. Dr Rusdani mengangkat lengan kirinya dan jam digitalnya mempamerkan angka 4:00. Dia sedia malum, mahasiswa puterilah yang paling jijik dengan bekas-bekas mayat. Mereka biasanya mengambil masa yang lama mencuci keduadua belah tangan. Takut kalau-kalau serpihan-serpihan tisu mayat bersembunyi di celah-celah kuku mereka dan dipastikan sungguh-sungguh, mereka tak akan jadi kanibal di dewan makan di asrama mereka. Kebanyakan dari mereka akan membawa sabun mereka sendiri kerana sabun yang disediakan oleh jabatan bukan sahaja tidak mencukupi malah mutunya hanya sesuai untuk mecuci lantai. Mahasiswa putera tidak banyak kisah. Asal dicuci sahaja sudah mencukupi.
Yang paling akhir meninggalkan dewan adalah golongan Hong dan rakan-rakannya. Semasa siswa-siswi lain sudah meninggalkan meja mereka, Hong dan kawan-kawannya akan menerpa pada meja-meja lain. Kadang-kadang mereka masih berada di dewan begitu lama sehingga terpaksa diusir oleh atendan mayat yang terpaksa mengembalikan mayat-mayat itu ke dalam kolam formalin.
Entah bila siswa-siswa paska-sarjana itu menghilangkan diri tanpa disedari oleh Dr Rusdani. Dia tidak ambil peduli. Kedatangan mereka hanya sebagai tamu. Tidak lebih dari itu. Kakinya mengayun laju keluar dewan menuju ke biliknya. Dia tak perlu berebut-rebut mencuci tangan dengan mahasiswa. Di biliknya, tersedia Hibitane Antiseptic Liquid untuk mencuci jari-jarinya yang kerepot.