PEREMPUAN ANGGERIK - 1
Apabila saya diberikan tugasan menjejaki semula tokohtokoh penting yang pernah mewarnai gerakan pelajar pada dekad kacau-1960-an dan 1970-an tidak pernah terlintas dalam hati saya ada hati yang begitu terluka. Saya menjangkakan mereka bangga ditemui, akan mudahlah pula tugas saya untuk menemu ramah mereka dan menyajikan kisah duka perjuangan dalam majalah Peristiwa, edisi Februari depan. Saya pun membongkar sejarah, menemui sejumlah nama besar yang mencorakkan sebahagian tarikh besar.

Ada antaranya hilang ditelan sejarah itu sendiri. Ada yang hebat sehingga ke tahap menteri. Ada pula yang melarikan diri, enggan dijejaki. Saya begitu terpengaruh dengan kajian demi kajian, kagum dengan mereka, juga cemburu kerana tidak berpeluang hidup pada zaman itu.

Tentang sudut pidato yang memberi kesan paling besar ke atas gerakan pelajar, tentang konfrontasi PBMUM dan PMUM yang berlarutan, tentang demonstrasi antibahasa Inggeris, tentang kebangkitan PMIUM, tentang bantahan ke atas Thanom Kitika Chorn, tentang kekacauan di depan Lincoln Centre, tentang Teluk Gong dan Tasik Utara, tentang rampasan kuasa di UM pada 21 September 1974, tentang rusuhan Baling dan tangkapan lebih seribu pemimpin mahasiswa, dan tentang Akta Universiti dan Kolej-semua itu sangat membekas dalam diri.

Semua itu saya telusuri, bertawaf ke seluruh Semenanjung mengekori bayang sejarah yang sudah berselerakan.

Cerita ini mudah. Saya diberitahu tentang kesungguhan sepasang mahasiswa, sepasang kekasih, mereka intim dan saling menyayangi. Basri dan Tengku Valizah. Menurut seorang bekas pemimpin mahasiswa, merekalah pengatur strategi setiap mogok, demonstrasi, piket, ucapan, dan rusuhan.

Apa yang berlaku pada mereka adalah cerita sedih. Cerita tragedi, ujarnya sambil menggeleng-geleng kesal.

Kemudiannya saya menjumpai banglo milik Tengku Valizah Tengku Sandel. Memang dialah perempuan yang dimaksudkan. Gambar yang ada dalam simpanan saya mengisyaratkan dia seorang perempuan jelita. Mirip Uma Thurman. Cantik, menggoda, mantap. Itu 22 tahun dahulu. Mungkin keindahan itu sudah pudar; dan saya segera pula teringatkan kata-kata: itu cerita sedih, cerita tragedi. Ini menyebabkan diri semakin tidak sabar ingin menghampiri perempuan itu.

Orang gaji yang menyahut panggilan telefon semalam datang mempersilakan masuk. Kak Yan hilang agak lama sebelum datang menatang dulang berisi jus oren dan sepiring biskut kering.

Sejak Tengku Sandel dan Tengku Hilmiah meninggal, keadaan sudah payah. Mujur ada Tengku Saiful, abang sulungnya yang menyara kami. Kak Yan membawa keluar sebeban gambar lama.

Saya melihat dengan penuh minat setiap gambar lusuh dan kuning tidak terjaga itu. Kak Yan kelihatan mengesat air mata yang hampir menitis.

Kak Yan janda muda dari Baling. Ada seorang anak, meninggal sewaktu kecil kerana makan ubi gadung yang tak dibasuh bersih. Dulu kami, petani di Baling, susah. Kebulurankami minta pembelaan, tiada siapa peduli. Pelajar macam Tengku yang membantu. Tengku bawa saya ke sini dan menggaji saya

Saya tunduk. Tidak sanggup merenung muka perempuan ini. Dia menangis lebih tersedu. Ingin bertanya lebih lanjut jadi terbantut.

Basri yang disayanginya telah pergi dan tidak mahu kembali. Saya dipandu naik ke tingkat atas. Pintu bilik dibuka, ada tampang kurus terduduk di atas kerusi roda, merenung ke luar tingkap, kearah kekosongan. Saya mendekati Tengku Valizah. Dia masih cantik, kecuali bibirnya yang pucat dan matanya nampak bengkak.

Ku, ini ada orang datang, nak tolong carikan Basri.

Dia membatu. Pengetahuan yang ada serba sedikit mengajar saya bahawa perempuan ini sedang menderitai skizofrenia.

Selepas bersalin, selepas diceraikan Raja Hisyamudin dan Basri terus membuang diridia jadi tak tentu hala. Kematian ibu bapanya menambahkan beban. Dia tidak tahan menanggungnya.

Kak Yan menghulurkan kotak berisi gambar dan surat peribadi Tengku Valizah. Ada lampiran yang saya percaya disalin semula.

Ambil surat-surat..bantulah ku inidan menyiarkan sebahagian yang begitu menyentuh menyentuh hati.

Basri,

Setiap pagi kala embun terjun menjelang datang, aku tahu ada gelora nestapa yang panjang menanti. Sudah berkali-kali aku ikrarkan: Kesucian cinta tidak merubah. Biar berdekad masa diredah, atau berapa ramai pun lelaki yang aku damping, pesona aku tetap utuh buatmu. Dan, mengapa dalam tahun-tahun sepiku ini kau tetap meragui cintaku Percayalah, selagi matahari menerbitkan diri dari timur, ingatan ini tidak mungkin terpudar; dan, yakini jugalah selagi matahari membenamkan diri di barat, kasih ini akan kupupuk sejujurnya.

Jangan kau seenaknya menuduh aku perempuan curang. Sepemergianmu, dunia yang kautinggalkan adalah dunia kacau. Dunia yang memperlihatkan resah mendaki ke puncaknya segesit cahaya. Berapa ramai rakan seperjuangan kita ditangkap Berapa ramai yang tercicir daripada pegangan; atau pernah engkau mempersoalkan berapa banyak tangis yang harus aku kumpulkan

Aku tahu, sayang, cinta terlalu agung bagimu. Engkau mahu menghambat matahari bergolek ke timur dengan cinta. Engkau mahu menyiram sumbunya hingga terpadam cahaya. Dengan cinta engkau bisa mengganggu dengkur tidur sepuluh bintang supaya berjaga. Bagimu, cinta membuatkan malam ibarat belayar di sungai kasih sayang kocak buih asmara cinta sudah seperti menggigit jaluran pelangi yang warnanya pancaran rindu. Katamu, malam tanpaku, malam sepi tanpa kekasih di hati, ibarat penyair kehilangan buku puisi- meraba-raba dalam kelam. Kata-katamu itu sentiasa melemaskan aku di samudera kasih, dan membikin aku semput di jalur pelangi. Ya, kata-kata romantismu itu yang hilang kini. Menurutmu ke kota raya London yang mencabar itu.

Hilang pupus.

Keluarga aku tidak faham. Aku tempang tanpamu. Engkau lari ke London tanpa sebarang khabar berita. Aku tertunggu-tunggu, dan dunia semakin panas. Makin ramai yang diserkup ke dalam lokap. Semua pemimpin disumbat ke dalam penjara. Kami hilang pedoman. Tiada pusat rujukan. Aku sendiri kehilangan teman dan kekasih. Fahamilah keadaanku, jangan menyalahkanku semata.

Aku fikir nilai-nilai telah berubah diangkut masa. Akan tetapi, hatiku kekal buatmu. Percayalah, api cinta di

Kuala Lumpur ini belum terpadam lagi

Val,

Kuala Lumpur, 12 Jun 1987.

Dan, dalam surat lain:

Val,

Usah terkejut! Sudah setahun setengah aku di sini. Sering mengenangimu. Benar, kini aku rasakan terlalu disihir cinta hingga tidak mengenali siang. Hingga aku terlupa di mana telah kukunyahi malam. Di kota raya London ini, semuanya menuntut; dan semuanya harus diberesi dengan cepat.

Setahun setengah tanpa menghubungimu, aku mempunyai terlalu banyak urusan yang harus dikerjakan ingat, aku ini kategori pelarian politik aku meninggalkan Kuala Lumpur kerana diburu!

Di tengah-tengah geliat malam, jelingan bulan mesra dan pada tusukan Mozart di cuping telinga, aku tambah berasa sunyi. Kalaulah engkau berada di sinipagi tadi, aku merayau di sekitar Burlington Arcade, berangankan engkau di sisi dan kita berpimpinan tangan. Aku larut di Trafalgar Square (yang dipanggil William Pitt The Elder itu sebagai paru-paru London) dan kala aku terpandangkan sepasang kekasih yang sudah lanjut melingkari gagah dunia mewah di hujung barat kota ini, kemudian tiba-tiba aku sedari itu semua mimpi. Kita sebenarnya jauh terpisah.

Nantikan aku. Aku akan tetap menyayangimu selamalamanya. Basri,

London, 23 Januari 1980

Penderitaan Tengku Valizah makin jelas dalam surat ini.

Basri,

Sungguh aku tidak menyangka akan menerima warkah daripadamu! Lebih dua puluh lima kali aku cuba menulis surat ini. Bagaimana harus aku nyatakan ini setelah engkau pergi begitu sahaja tanpa pesan dan lafaz cinta seperti selalunya. Kala itu, aku terlalu merunsingkan dirimu. Aku fikir engkau tentu telah pun mengetahui bahawa rakan-rakan kita yang dipenjarakan sudah bebas. Ada perubahan pantas di sini. Semua orang menaruh harapan pada insan bernama Mahathir Mohamad. Semua orang yakin dia akan memimpin dengan cemerlang. Bukankah dia yang menulis Malay Dilemma yang pedas itu

Aku fikir, jika kaukembali, tentu boleh diterima juga sepertimana ramai rakan lain yang ditatang datangnya. Memang ada perpecahan di institusi pengajian tinggi.

Sedih dan haru juga, mahasiswa sudah berselerakan. Jelasnya, ada kelompok islami dan kumpulan yang mahu menggerakkan tajdid dari dalam.

Mungkin engkau sendiri tidak menyangka surat ini akan tiba. Setahun setengah tanpa sepucuk surat ataupun satu panggilan telefon daripadamu. Ada yang mengkhabarkan padaku akan keberangkatanmu ke alam gemulah. Kata mereka, engkau lari melalui Bangkok-hilang di Baghdaddan terbunuh di Beirut. Ketika itu aku tidak tahu untuk terus mempercayainya atau berharap. Sayang, engkau kenal ibu bapaku. Sentiasa mendesak. Setahun setengah terlalu lama. Ada perubahan yang tidak pernah kita gambarkan. Yang tidak aku minta.

Percayalah, aku masih mengasihimu. Selepas diberi keyakinan yang engkau sudah tiada, malah orang-orang di Kementerian Luar Negara sendiri mengesahkan aku sudah menikahi Raja Hisyamudin aku menurutnya bertugas di Sydney dan hanya diserahkan suratmu ini beberapa hari lalu oleh bapaku. Sungguh, aku mengambil masa yang terlalu lama untuk membalasnya. Sukmaku tertekan. Suara angin malam menggomol-gomol dan rakus menderu-deru segala daun kering dan ranting rapuh, sekalipun begitu menyeksaku.

Tolong fahami, ini tidak pernah kita pinta. Takdir. Cinta boleh jadi terlalu agung, tetapi tidak semestinya berakhir bersama. Janganlah kau memandang serong, cukuplah kecamukku yang mengamuk dan kepahitan perasaan ini begitu buruk dengan pandangan yang tentunya engkau tidak bersedia menerima berita sebegini mengejutkan. Hatiku sendiri telah hancur. Aku tidak berniat menodai apa-apa janji luhur dahulu. Kita ini mangsa masa. Apa yang berlaku tanpa kerelaanku. Percayalah, dan terimalah kemaafan yang kupinta.

Basri, aku kini isteri orang. Jangan salahkan aku. Aku akan kenangi dirimu sebagai kekasih pertama bertakhta di hati.

Val,

Ampang, 21 Mei 1982.

Fahamilah saya, salah faham yang timbul:

Val,

Sejak dulu lagi aku sudah menyangka, curiga aku ada asasnya. Apalah ertinya setahun setengah menunggu demi keagungan cinta. Dan serasa-rasa alasan-alasan untuk membenarkan tindakan khianatmu itu.

Sesungguhnya aku terlalu kecewa. Sukar sekali untuk aku menerima hakikat ini. Aku jauh tersingkir di London ini dan aku perlukan semangat cintamu untuk terus bertahan dalam jaring kesunyian, dalam derita keterasingan seorang diri di tempat yang jauh, tempat orang, tetapi engkau membunuh aku dengan kejam sekali.

Lupakan aku. Kini, aku kenal hati budi seorang perempuan. Benar, engkau hanya melihat darjat dan mata kebendaan. Itu sahaja yang mewarisi segenap tindakanmu. Cintaku tidak memerlukan ketidakjujuran dan prasangka buta.

Basri,

London, 1 Julai 1982.

Jelaslah, cinta mereka hidup kala hari-hari rusuhan. Para pelajar keluar memberontak di jalanraya, merusuh membela para petani miskin di Baling dan pada waktu yang sama hati mereka merusuh oleh kerinduan dan kecintaan.

Peristiwa keluaran Februari laris. Cerita luka Tengku Valizah yang kehilangan kekasih kerana membela kemiskinan golongan marhaen membibitkan simpati hebat. Sebab terlalu mengenangkan Basri, dia ditinggalkan suami, anak tunggalnya dibawa pergi, ibu bapa pula kembali kepada ilahi.

Tengku Valizah jadi rusuh dan kacau jiwa lalu tenggelam dalam dunia sendiri. Derita Baling rupa-rupanya belum berakhir. Tengku Valizah itu buktinya.

Sehingga hari ini, saya masih berharap ada panggilan jauh daripada seorag lelaki bernama Basri. Saya kekal menunggu itu.

Malangnya tiada.