Dengan serta-merta terhentilah si cengkerik menyanyi, menguncupkan kedua-dua belah kepaknya dan bertanya, Kenapa kau jadi begini, wahai sang lipas
Tolonglah aku, Encik Cengkerik. Aku kena semburan racun besar dua tingkat di sana itu haa, oleh suri rumah itu yang gemuk, yang ganas, yang jahat mulutnya, memaki-hamun aku dan keluarga aku yang mencari rezeki di rumahnya. Tolonglah aku, matilah aku Encik Cengkerik ooi.
Oleh si cengkerik yang budiman, lipas yang sedang terlentang terkapai-kapai itu diheretnya masuk ke dalam lubangnya.
Tunggulah sekejap, Cik Lipas. Aku keluar sebentar untuk mencari ubatmu, sabarlah. Memang manusia pada zaman sains dan teknologi sekarang ini bertambah jahat, ganas dan bengis. Kaum kami pun sering kali sudah kena semburan racun-racun lalang dan rumput-rumpai. Sabarlah, sabarlah, aku keluar sebentar sahaja.
Sejurus kemudian Si Cengkerik masuk semula ke dalam lubangnya membawa beberapa helai daundaun halus.
Haa, ciumlah daun-daun ini, kalau boleh kau makan sehelai dua, kunyah lumat-lumat dan telan. Mudah-mudahan serasi dan mujarab.
Daripada dalam lubang di pinggir rumah besar dua tingkat itu si cengkerik boleh terdengar suara seorang wanita memaki-maki dan bersungut. Ikut iklan di televisyen racun serangga ini handal sangat; nyamuk dan lipas segera mampus, tetapi ngapa tak lekas mampus semuanya Nantilah, aku beli pula yang lebih mahal harganya.
Kau kena tipu, kau kena pengaruh iklan-iklan, takkan boleh kaum manusia hapuskan segala serangga dalam dunia ini. Kami pun ada hak nak hidup, Si Cengkerik mengomel.
Beberapa minit kemudian si lipas sudah hilang mabuknya.
Amboi, mak, serasi sungguh ubat ini! Daun apa ini, Encik Cengkerik Baunya pun sedap, tetapi rasanya pedas sedikit.
Daun timun tikus, kata cengkerik. Manusia tidak ramai yang tahu akan rahsia daun dan buah timun tikus boleh jadi ubat. Mereka sedang khayal dengan kemajuan dan kemodenan, tak mahu lagi pakai ubat-ubat tradisional. Itulah satu daripada sebabsebabnya manusia sekarang pendek umurnya, masuk umur empat puluh tahun sudah kena penyakit darah tinggi, kencing manis dan lain-lain.
Kita sekarang ni, dalam lubang kau ini, berada dalam kawasan mana, Encik Cengkerik Saya tadi terbang berpusing-pusing dalam kesakitan. Jauh rasanya saya dah terbang.
Kita ni berada dalam kawasan yang dinamakan Damansara Utama, tidak jauh dari Kampung Sungai Pencala. Kalau engkau nak lebih selamat, Cik Lipas, eloklah engkau dan keluarga engkau pindah ke kampung sana. Ramaikah anak-anak cucu engkau dalam rumah besar dua tingkat itu Sarang aku ini, kalau nak tahu, ialah dalam taman bunga rumah itu, di bawah timbunan pokok-pokok bunga raya. Aku bercadang nak pindah dari kawasan ini sebab rasanya tak selamat tinggal di sini lama-lama. Kalau cik puan gemuk itu tahu ada lubang, ada sarang aku di sini nanti aku pun disemburnya pula dengan racun-racun serangga yang ada macam-macam namanya itu. Elok tak cadangan aku
Tetapi anak-anak cucu aku ramai ada dalam rumah besar itu dalam almari-almari kain baju, di belakang gubuk-gubuk di dapurnya di sana sini kami bersembunyi pada waktu siang. Bila malam keluarlah kami mencari rezeki. Mewah dalam rumah itu, Encik Cengkerik. Rumah-rumah banyak di Kampung Sungai Pencala sana mudahkah dapat rezeki
Itu entahlah; di kampung itu ramai penghuninya. Entahlah kok mereka itu cermat benar, sebiji nasi jatuh di lantai pun mereka kutip. Yang saya bimbangkan ialah orang-orang kampung pun sudah pandai menggunakan racun-racun serangga, kata cengkerik.
Hai, akan mampus dan pupuslah kita semua kaum serangga, ya Encik Cengkerik Anai-anai akan hapus, kerengga akan pupus, segala jenis semut akan dibunuh oleh manusia. Harga gula mahal sangat sekarang ini. Matilah kita semua kelak ujar si lipas yang mula teringat kepada anak-anak cucunya dalam rumah besar dua tingkat itu.
Kaum engkau, Cik Lipas, boleh cari makan di manamana. Kamu pandai terbang, berlari pantas. Rumahrumah pangsa semakin banyak dalam bandar raya Kuala Lumpur ini. Di sanalah banyak rezeki untuk kaum kamu, sampah-sarap bertimbun-timbun. Tetapi kaum aku terpaksa mencari tanah-tanah lapang yang ada tumbuh banyak rumput-rumput, sebab makanan kami ialah pucuk-pucuk kayu. Kami tidak boleh makan nasi basi, sayur-sayur basi, gulagula, tulang-tulang ikan dan sebagainya. Itu haram pada kami. Kamu juga boleh makan kain baju sutera, anak-anak baju, seluar-seluar dalam manusia. Kami tidak boleh, cengkerik menerangkan beberapa perbezaan di antara kaum lipas dan kaum cengkerik.
Memang betul begitu, Encik Cengkerik, tetapi kamu kini menghadapi macam-macam bahaya. Nak pindah ke kampung-kampung yang jauh dari bandar-bandar besar ada pula beberapa masalah yang kamu akan hadapi.
Ah, kawasan setinggan masih banyak dalam Wilayah Persekutuan, dalam bandar raya Kuala Lumpur ini. Tempat-tempat yang banyak rumahrumah untuk kaum kau ada di mana-mana. Pergilah ke Chow Kit Road, kenyanglah kamu semua.
Tinggallah beramai-ramai di Stesen Bas Kelang atau Puduraya, kenyanglah kamu semua. Kaum aku yang susah. Kami mesti tinggal dalam lubang-lubang di bawah tanah di tempat-tempat yang semak. Tetapi silap-silap pilih kami akan ditimpa oleh banjir kilat. Matilah kami. Tetapi ingatlah, ya Cik Lipas; kalau lain kali kau terkena racun serangga, mabuk atau pengsan, tetapi belum mati, carilah daun-daun timun tikus. Itulah ubatnya yang mujarab. Nasib baiklah malam ini engkau terjatuh di tepi lubang aku. Kalau tidak, entahlah....
Aku ada satu cadangan, Encik Cengkerik. Sudah lama aku fikirkan perkara hidup mati kita kaum serangga, sekalian jenis serangga. Kita sekarang bukan saja menghadapi bahaya racun-racun serangga, pembunuh lalang dan segala jenis rumputrumpai. Kita kaum serangga juga menghadapi kecemaran udara, kehakisan bumi, kemalangan lalu-lintas dan macam-macam bahaya dunia moden. Mahu dengarkah rancangan aku ini, Encik Cengkerik
Ceritakanlah rancangan engkau itu. Nampaknya engkau nak balik segera ke rumah besar itu. Maklumlah rumah gudang. Musim panas ada alatalat pendingin hawa. Agak aku dalam peti televisyen di rumah itu ada anak buah engkau yang duduk bersembunyi. Dah ada videokah di rumah yang kau sayangi itu Jangan marah, ya; aku mengusik-usik dan bergurau saja dengan engkau, kata cengkerik.
Begini Encik Cengkerik; kalau kita panggil satu persidangan agung bagi sekalian serangga, bagaimana Kita pun wajib ada satu pertubuhan seperti manusia ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Cik Lipas mengemukakan.
Soal besarnya, Cik Lipas, ialah kita kaum-kaum serangga pun tidak boleh bersatu padu seperti kaum manusia juga, kata cengkerik.
Apa fasal, apa sebab Belum cuba, belum tahu, tegas Cik Lipas.
Tengok sajalah contohnya Iraq dan Iran. Sama Islam pun berperang. Inikan pula kita kaum serangga! Bagaimanapun lebih baiklah aku rundingkan cadangan engkau ini dengan Profesor Mentadak Mentadu, ulama ulung kaum serangga. Besok siang saya boleh jumpa beliau, ujar Encik Cengkerik, memberi harapan kepada Cik Lipas.