PERISTIWA DI PADANG KARBALA - 1
RASULULLAH pernah berpesan kepada Baginda Ali Abu Talib, sekiranya Ali mendapat anak lelaki lain, selain daripada Hasan dan Husin hendaklah dinamai Muhammad Hanafiah. Dia akan menjadi pembela kepada Hasan dan Husin. Apabila tiba masa itu menurut Rasulullah lagi semua sahabatnya telah tiada kecuali Muawiah dan anaknya Yazid. Mereka akan berseteru dengan Hasan dan Husin.

Apabila Khalifah Usman wafat terjadilah huru-hara yang besar di Madinah dan di Mekah. Baginda telah diangkat sebagai Khalifah yang keempat menggantikan Khalifah Usman yang dibunuh. Keadaan yang begitu genting, dikeruhkan lagi oleh Muawiah yang mengumpulkan tenteranya hendak menuntut hutang darah terhadap Baginda Ali. Askar kedua-dua belah pihak bertempur dalam satu peperangan yang dahsyat. Banyak askar Muawiah yang gugur. Dengan tipu helah Muawiah maka Khalifah Ali telah dapat dibunuh mereka.

Setelah Khalifah Muawiah wafat maka anaknya Yazid menjadi Khalifah. Maka permusuhan lama antara kedua-dua keluarga ini timbul kembali. Untuk menumpaskan lawannya, Baginda Yazid menjalankan tipu helah. Baginda mengupah seorang panglima kepercayaan Baginda Hasan sendiri untuk meracuni Baginda. Yazid berjaya dan kini berusaha hendak menghapuskan baginda Husin pula.

Sementara itu banyak askar Arab yang berpaling tadah menyebelahi Yazid. Melihat hal ini Yazid bercadang mengadakan jamuan mengalu-alukan mereka.

Memanda Menteri, siapkan satu majlis jamuan negara kerana beta ingin menjamu tentera Arab yang berpaling tadah menyokong beta, titah Baginda Yazid.

Baiklah Tuanku, jawab Memanda Menteri. Memanda Menteri menyediakan jamuan itu di istana. Semua tentera Arab makan dengan berselera kerana makanan dan minumannya sungguh lazat. Baginda Yazid tersenyum melihat kelakuan tentera Arab itu.

Tidakkah kamu lihat beta lebih baik dari Husin tanya Baginda. Benar tuanku, tuanku terlalu pemurah kepada hamba.

Tapi siapakah di antara kamu yang sanggup melawan musuh beta itu titah Baginda lagi.

Seorang pahlawan Madinah yang bernama Utbah, tuanku, jawab salah seorang panglima Arab.

Apa Utbah! Hulubalang Madinah yang perkasa itu

Benar tuanku, itulah sahaja hulubalang yang patik fikirkan dapat menewaskan musuh tuanku itu.

Ya, benar kata mu itu, titah Baginda Yazid. Memanda Menteri, hantar sepucuk surat kepada Panglima Utbah di Madinah minta dia mengiktiraf beta sebagai amir yang sah, tidak Husin.

Memanda Menteri menyediakan surat itu. Kemudian diserahkan kepada utusan untuk disampaikan kepada panglima Utbah. Setelah lima hari mengenderai kudanya, tibalah utusan Baginda Yazid itu ke Madinah. Dia masuk menemui Baginda Husin.

Hamba utusan dari Baginda Yazid menyampaikan sepucuk surat kepada Panglima Amirul Mukminin yang bernama Utbah, kata utusan itu.

Silakan duduk wahai utusan Baginda Yazid, jawab Baginda Husin. Surat itu diserahkan kepada Utbah. Utbah segera membuka surat Baginda Yazid itu lalu membacanya. Isinya ternyata amat bersalahan dengan hatinya. Panglima Utbah terus membawa surat itu kepada Baginda Husin.

Ya Amirul Mukminin, surat yang dikirimkan kepada hamba ini meminta hamba mengiktiraf Yazid di Damsyik sebagai amir yang sah. Hamba rasa surat ini amat bersalahan benar pada hati hamba. Panglima Utbah segera menyerahkan surat Baginda Yazid itu kepada Baginda Husin. Setelah dibacanya, Baginda pun berkata, Ingatlah sahabat ku akan sabda junjungan kita bahawa Yazid itu penghuni neraka jahanam. Beringat-ingatlah akan tipu dayanya.

Hamba tetap ingat, ya Amirul Mukminin.

Panglima Utbah pun segera meminta diri untuk pulang ke rumahnya. Dia bimbang akan tipu daya Baginda Yazid akan mengenainya.

Baginda Husin menyuruh Memanda Menterinya membalas surat Baginda Yazid itu. Setelah selesai ditulis, surat itu pun diserahkan kepada utusan Baginda Yazid yang sedang menunggu.

Pulanglah utusan itu. Setelah lima hari menunggang kudanya, dia pun sampai ke pinggir kota Damsyik. Setelah masuk ke dalam kota dia pun segera menghadap Baginda Yazid.

Baginda menitahkan Memanda Menteri membaca surat itu. Setelah mendengar isi surat itu, merah padam mukanya. Tangannya menggeletar menahan kemarahan.

Cis, Husin! Sanggup dia menghina aku, dia akan tahu betapa seksanya balasan ku, titah Baginda dengan marah.

Memanda Menteri, panggil Panglima Umar Said menghadap beta.

Memanda Menteri segera memerintahkan pengawal memanggil Panglima Umar Said. Setelah beberapa lama menunggu datanglah Panglima Umar Said menghadap.

Ada apa-apa yang tidak baik berlaku, maka patik disuruh menghadap, tuanku tanyanya.

Ya panglima beta Umar Said, berita buruk.

Apa beritanya tuanku

Kumpulkan tiga ratus orang perajurit kita yang handal-handal. Segeralah berangkat ke Madinah dan culik Panglima Utbah, pahlawan Madinah itu. Paksa dia bekerjasama dengan kita. Kalau dia tidak mahu, bunuh saja panglima itu.

Panglima Umar Said hanya menganggukkan kepada dan terus keluar untuk menyiapkan pasukannya. Setelah siap semuanya, pasukan Panglima Umar Said itu pun berangkat menuju ke Madinah. Berita kedatangan gerombolan tentera kecil itu sampai juga ke pengetahuan Baginda Husin. Gemparlah seluruh penduduk Madinah mendengar berita kedatangan tentera Baginda Yazid yang disangkanya begitu ramai.

Semuanya menunggu. Akan tetapi hari demi hari tidak juga nampak tentera Baginda Yazid. Yang nampak hanyalah pasir terhampar sejauh mata memandang.

Akhirnya pada hari kelima datang satu rombongan kabilah seramai hampir tiga ratus orang. Mereka meminta kebenaran tentera Arab yang mengawal Madinah untuk masuk ke dalam kota. Mereka dibenarkan masuk setelah merasai kedatangan kabilah itu tidak mencurigai.

Anggota kabilah itu masuk dengan tenang. Sebenarnya, mereka adalah pasukan Panglima Umar Said. Setelah semuanya berkampung di dalam kota segeralah mereka mencari panglima yang dikehendakinya. Setelah begitu lama mencarinya bertemulah mereka dengan panglima Utbah. Setelah bermesyuarat dengan Panglima Umar Said, Panglima Utbah bersetuju bekerjasama. Oleh itu dengan segera dia mengutus sepucuk surat kepada Baginda Yazid. Surat itu telah diserahkan kepada utusan untuk disampaikan kepada Baginda Yazid.

Setelah lima hari berjalan sampailah utusan itu ke kota Damsyik dan terus menghadap Baginda Yazid. Segera diserahkan surat itu kepada Baginda Yazid dan baginda terus memerintah Memanda Menterinya membaca surat itu.

Ini adalah berita yang disampaikan oleh Panglima Utbah hulubalang kota Madinah ditujukan kepada Baginda Yazid di Damsyik. Untuk menewaskan Amirul Mukminin Husin terlalu sukarlah bagi patik untuk mengerjakannya. Tetapi sekiranya Amirul Mukminin Husin keluar dari kota Madinah bererti rancangan tuanku pasti akan berjaya. Ini ialah kerana terlalu ramai sekali pengikut Amirul Mukminin di dalam kota.

Setelah mendengar isi surat itu dengan segera Baginda memanggil Perdana Menterinya yang kanan Marwan al-Hakkam.

Bagaimana bicara ayahanda menteri tanya Baginda Yazid kepada Marwan.

Begini tuanku, ayahanda ada satu rancangan yang boleh menyebabkan Baginda Husin meninggalkan kota Madinah itu, jawab Marwan.

Apakah rancangan ayahanda menteri itu, khabarkan pada beta agar beta dapat mengetahui sama.

Itu pun kalau tuanku bersetuju dengan rancangan ini, tapi kalau tidak patik akan mencari jalan lain.

Khabarkan saja, kalau rancangan itu baik pasti beta bersetuju. Jangan ayahanda menteri risaukan.

Baginda Yazid sudah tidak sabar-sabar lagi hendak mengetahui apakah rancangan Marwan. Baginda gelisah duduk di atas singgahsana. Perdana Menteri Marwan hanya merenung wajah Baginda Yazid sambil tangannya mengangkat sembah.

Baiklah tuanku, patik akan nyatakan, kata Marwan.