Kita pada asalnya diharapkan agar menjadi manusia yang berguna oleh ibu bapa dan masyarakat. Kita dicorakkan sebaiknya oleh penjaga supaya apabila besar nanti kita tidak mensia-siakan hidup ini. Cabaran bermula apabila kita telah berdikari dan memulakan hala tuju kehidupan sendiri. Pergaulan bebas dan pemilihan cara hidup serta kawan yang salah menyebabkan kita mula terjerumus ke dalam lembah yang amat hina.
Kita mempunyai peluang untuk memilih dan menentukan jalan hidup yang baik serta sempurna. Namun, apabila kita mula lalai dan merasai nikmat keseronokan yang sementara, maka penyesalan selepas itu mungkin sudah terlambat.
Lebih-lebih lagi apabila telah melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang negara, maka kita terpaksa menghadapi risiko untuk dijatuhkan hukuman penjara, denda atau hukuman mati. Jika tidak menerima hukuman tersebut atas alasan bahawa kita tidak tahu, maka undangundang jelas menyatakan bahawa, ketidaktahuan tentang undang-undang bukanlah satu alasan.
Perasaan simpati tidak dapat membantu mereka kerana undang-undang negara tidak mengambil kira aspek tersebut. Semua insan inginkan bahagia dan melalui kehidupan ini tanpa liku dan onak. Mereka ingin bebas merdeka tanpa kongkongan dan sekatan kebebasan. Namun, ini tidak memihak kepada semua manusia kerana ada yang memilih untuk terkongkong dek sikap mereka sendiri. Namun, ada juga yang menjadi mangsa ketidakadilan undang-undang atau menderita akibat kegagalan membuktikan bahawa mereka tidak bersalah.
Kadang-kadang, terfikir juga kita, adakah nikmat demi nikmat yang Allah kurniakan ini dianggap sebagai balasan kerja baik terhadap kerja yang kita lakukan atau sebagai dugaan yang amat halus sehingga kadangkala terlepas dari diteliti oleh mata kasar.
Kadang-kadang, terfikir kita, adakah ujian demi ujian yang Allah kenakan ini sebagai balasan kerja jahat kita atau sebagai satu nikmat penghapus dosa yang lampau Kadang- kadang terfikir kita, adakah nikmat dicintai seseorang itu adalah penyejuk mata ataupun sekadar pencapah cinta pada Allah.
Kita acapkali gembira apabila mentari muncul. Tetapi tiba-tiba Allah hilangkan mentari, kemudian Dia datangkan guruh, dan apabila hujan turun hati ini lantas saja menangis mencari sang mentari yang indah. Tidak pernah hati ini terfikir, bahawa Allah rupa-rupanya hendak menghadiahkan kita sang pelangi yang indah sebagai penghibur di kala kedinginan.
Aduhai sang hati, pabila memandang sesuatu yang baik, lantas bersiulan gembira, dan pabila saja terlintas kesusahan, terus sahaja menangis. Namun, sesungguhnya hati yang tenang adalah hati yang sentiasa mengingati Allah. Dan sesungguhnya insan yang paling beruntung ialah mereka yang bertakwa.