Aku merasakan betapa beratnya amanah itu. Terutamanya sebagai saorang Muslim yang telah sedia maklum tentang janji Allah terhadap syurga dan neraka. Hari ini kita Islam tetapi besuk belum tentu lagi.! Seharusnya kita sentiasa bersyukur di atas segala kurniaan Allah terhadap kita.
Anugerah yang paling besar sekali selepas Islam bagiku adalah anugerah lahir sebagai umat Muhammad. Nabi akhir zaman yang membawa ajaran Islam dalam perjuangannya selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Aku dengan penuh rendah hati merafakkan sembah ke hadrat Allah SWT yang melimpahkan taufik dan hidayah dalan hidupku.
Malah aku sering berdoa agar Allah sentiasa melindungi aku dan keluargaku dalam segala bentuk ancaman dan bala bencana termasuk ancaman terhadap aqidah kami sekeluarga.
Pada hari ini, ketika mana ada manusia yang melakukan kebaikan di kalangan manusia yang tidak baik, akan terpinggirlah orang-orang yang membuat kebajikan itu. Terlalu ramai manusia yang bangga dengan perbuatan mungkar yang di buat.
Seolah-olah mereka tidak takut bahawa akan tiba satu hari nanti mereka terpaksa berhadapan dengan malaikat Mungkar dan Nangkir, padang Mahsyar dan hari pembalasan. Janji Allah, jika kita syukur maka akan ditambahkan nikmatnya dan jika kita kufur azab Allah amatlah perit.
Aku sering menyaksikan orang-orang tenang jiwanya. Mereka tidak mengharapkan banyak melainkan keredaan Allah. Begitu jugalah orang-orang yang sentisa gelisah walaupun memiliki segala apa yang dikehendaki olehnya. Bila mana ada maksiat dalam hidup maka Allah menarik keberkatannya.
Aku memiki 2 orang cahaya mata dan aku telah melihat dan merasakan sendiri nikmat mempunyai zuriat. Anak sulungku bernama Qistina Saffwah dan anak kedua pula bernama Qasrina Saffwah. Aku tidak ingin mendabik dada. Sama sekali tidak...! Tetapi aku ingin berkongsi kegembiraan di atas kurniaan Allah yang maha hebat ini. Dua orang putriku merupakan pengarang jantung yang sungguh bernilai bagi ku.
Aku ingin mencorakkan isteri serta zuriatku mengikut acuan aku sendiri berlandaskan keperluan agama. Sebagai seorang ketua rumah tangga, aku tidak dapat lari dari tanggungjawap di dalam mendidik, membesarkan serta membentuk nilai-nilai yang baik dalam keluarga.
Aku sering ingat firman Allah iaitu sesungguhnya hartamu dan anakmu merupakan cubaan bagi mu. Menunjukkan betapa beratnya tanggungjawap terhadap anak, isteri serta harta kita. Warisan yang paling baik ialah ilmu yang dapat diamalkan.
Pada hari ini juga aku melihat umat Islam begitu lemah dan dipermainkan serta di kotak-katikkan oleh pihak musuh. Aku tidak gembira dengan fenomena ini.
Setiap hari aku memikirkan di manakah kelemahan umat Islam masa kini serta apakah kaedah yang boleh diambil untuk meletakkan umat Islam pada kedudukan yang tinggi agar di geruni lawan dan di hormati oleh kawan.
Siapalah aku untuk memikirkan semua ini.. tetapi bagiku adalah menjadi kewajipan untuk kita sebagai umat Islam memikirkan tentang masalah ini. Ini adalah kerana berfikir itu adalah pintu kepada pemberian hidayah dari Allah.
Mungkin suatu hari nanti aku mempunyai kedudukan yang boleh mencorakkan kepimpinan serta cara hidup umat Islam agar benar-benar kuat menghadapi ancaman musuh. Malam seperti pendita dan siang seperti singa yang sedia menerkam musuhnya dengan rakus.
Kita perlu konsisten di dalam hidup ini agar apa sahaja yang kita buat tidak bercanggah. Melakukan amal makruf dan meninggalkan perkara yang mungkar.
Musuh mesti di tentang habis-habisan walau apapun cara yang ada. Pada hari ini musuh menjadi kuat adalah kerana kita lemah. Kita bertelagah. Kita tidak bersatu sebagai satu ummah. Pesanan Nabi pada khutbah terakhirnya sebelum wafat Aku tinggalkan pada engkau 2 perkara dan engkau tidak akan sesat selagi mana engkau berpegang teguh terhadapnya, iaitu Al-Quran dan sunnahku.
Namun demikian pada hari ini orientalis Barat dengan angkuh menyatakan bahawa kami tidak takut kepada umat Islam kerana mereka tidak membaca Al-Quran. Kalau mereka baca pun kami tidak takut kerana mereka tidak faham.
Kalau mereka fahampun kami tidak takut kerana mereka tidak hayati. Dan dan kalau mereka menghayati sekalipun kami tidak takut kerana mereka tidak konsisten.
Begitulah jauh kajian yang dibuat oleh para orientalis barat terhadap umat Islam. Kita sebenarnya merupakan harimau yang kehilangan taring kerana kita sendiri tidak sedar bahawa kita sebenarnya punya taring.
Aku amat berharap agar ramai lagi saudara seagamaku mempunyai pendirian sepertiku kerana ini bukan kerja main-main. Tetapi ini adalah kerja agama. Langkah pertama adalah membetulkan diri kita. Biar sedikit asal istiqomah.
Azam mesti kuat supaya kita mempunyai kekuatan untuk bergerak ke arah yang telah kita tekadkan. Senjata yang sangat utama yang kita miliki mestilah digunakan sepenuhnya. Kata Allah berdoalah nescaya aku perkenankan doamu.
Di dalam perjuangan ini kita mesti sabar dan yakin bahawa samada makbul atau tidak sesuatu permintaan itu ada hikmahnya.
Orang yang beriman akan redha terhadap apa sahaja yang di takdirkan oleh Allah. Namun kita mesti terus berusaha agar kita mempunyai peluang untuk berjaya.
Jika cuba belum tentu dapat, tetapi tidak cuba pasti tidak akan dapat. Oleh itu kita mesti cuba dan terus mencuba. InsyaAllah kemenangan akan memihak kepada kita.
Semoga aku dapat merialisasikan buku ini. Buku yang menceritakan catatan peribadiku untuk bacaan serta panduan kepada pembaca.
Ucapan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan serta doa sehingga terhasilnya buku Catatan Saorang Askar Berjalan Kaki.
Buku ini kali pertama didraf ketika aku menjalani operasi di pulau bangi (mulai 4 Mei 2002 hingga 27 Jun 2003). Selepas draf yang pertama aku simpan selama setahun disebabkan kesibukan masa. Dalam operasi aku di Negeri Sembilan/ Melaka (3 Mei 2003 hingga 3 julai 2003), aku teruskan untuk menyiapkan buku ini.
Akhirnya buku ini berjaya di siapkan sepenuhnya pada 4 ogos 2003 di kem Rasah Seremban Negeri Sembilan. Alhamdullilah.