MARSUM AWAN - 1
Syahdu yang kukucup antara dua takdir

ialah rusuh yang terkepung di dada

antara dua kamar hanya satu yang menunggu

antara dua lawang hanya satu yang terbentang.

Dalam ralat usia dan derai tawa

ada sendu yang maujud di celah tangis

walau pawana datang mahu berdamping

dan bintang setia mahu menghulur pedoman

marsum hajatku tetap cuma tertangguh

di rengkung langit nan tipis.

Antara dua takdir,

kukirim bingkisan doa

kuterbangkan harapan yang tidak berbayang.

Elegan, Legasi Oakheart, 2012