PERSEPSI TERBIAR SEPI - 1
SELALU kita bimbang orang akan menyisihkan kita. Dan kita kadang-kadang ada perasaan terlalu ingin diterima oleh semua orang. Tetapi kita lupa bahawa bukan semua orang sukakan kita. Sebab kita juga tidak sukakan semua orang, sama ada kita cuba menafikannya ataupun tidak. Samalah seperti kita selalu mahu perbetulkan persepsi orang lain sedangkan kita sendiri juga mempunyai persepsi yang mungkin bercanggah dengan persepsi orang.

Dua penulis ini, Mai Izyani dan Kak Hassanah, memilih jalan masing-masing dalam menjadi versi diri yang terbaik. Dan setiap hari mereka tidak putus belajar kerana seperti komputer juga, setiap saat, akan ada perisian baru yang lebih cekap dan pintar. Dan seperti perisian komputer yang ada sahaja persepsi baik buruk manusia, begitulah manusia itu sendiri perlu hadapi sesama manusia.

Mai Izyani dan Kak Hassanah, jelas mahu memilih jalan dalam membentuk persepsi diri terhadap diri sendiri, juga mengambil persepsi orang lain sebagai sebuah tangga memperbaiki diri. Kak Hassanah meninggalkan segala anugerah dalam lapangan sukan kerana hal yang mungkin tampak remeh-temeh pada pandangan orang yang tak mengerti tapi cukup harus dipelihara sebagai seorang Muslimah. Ia bukan jalan yang mudah kerana setelah sesuatu itu menjadi sebati dalam hidup, payah pula mahu disulingkan. Ini persepsinya terhadap diri sendiri yang bertegas pula terhadap persepsi orang lain. Mai Izyani juga dilihat memilih jalan untuk sebaiknya menjaga amanah dalam setiap pekerjaannya. Tidak mudah juga ketika kita bertegas itu dan ini, dan dalam masa yang sama kita mengharapkan orang memahami. Nyata, persepsi bagi setiap manusia tidak akan pernah sama.

Whatever you are, be a good one. Kata-kata Abraham Lincoln, meskipun kita memboikot negara para Yahudi ini, harus kita akui kebenarannya. Sebab kita perlu melihat apa yang diperkatakan berbanding siapa yang memperkatakannya. Dalam hal ini, lepaskan semua persepsi daripada sesiapapun, yang paling penting adalah menjadi versi diri yang terbaik. Persepsi apapun, pada akhirnya, semua ini tergantung pada diri sendiri. Caranya membentuk diri yang terbaik untuk diri sendiri, asal tidak memudaratkan seisi dunia, secara automatiknya, tanpa perlu dibuatbuat atau berpura-pura, tenaga kebaikan itu akan tersebar dan menjadikan dunia ini suatu tempat yang baik juga. Untuk dunia yang berubah, diri kita sendiri yang harus terlebih dahulu berubah. Dan, paling berbahaya adalah persepsi diri sendiri terhadap diri sendiri. Kalau baik, baiklah ia dibentuk. Kalau sebaliknya, maka ia terbentuk juga sebaliknya.

Selamat membaca Persepsi Terbiar Sepi oleh Mai Izyani dan Kak Hassanah. Semoga menjadi salah satu bahagian persepsi yang positif dalam hidup kalian.

Sayidah Muizzah

23 Mac 2016 / 14 Jamadilakhir1437 H Bandar Baru Bangi, Selangor.