UTOPIA MASYARAKAT LAMBAK - 1
Hari ini kita terpukul oleh dua bala yang nyata dan bahaya. Pertama, wujud dan menyebarnya jenis pikiran keutopiaan yang angkuh tidak membumi. Kedua berseleraknya minda kelambakan yang menjahanamkan segala kepiawaian dan asas pikiran yang munasabah. Terkadang ia bisa wujud sendiri, tetapi paling terparah bila kedua-duanya bergandingan sama, sehingga bolehlah kita menyebutnya utopia masyarakat lambak, sesuai dengan judul buku ini. Inilah gejala paling mudarat yang sedang kita hadapi. Kedua jenis atau sindrom ini bukanlah perkara baru. Dalam semua peradaban dan masyarakat, akan menemukan dua gejala-bala ini. Apabila kedua-duanya bertapak dan menyelinap di setiap sudut kehidupan kita, ia adalah malapetaka besar.

Keutopiaan yang dimaksudkan ini ialah kecenderungan terbuai dan terkhayal dengan impian sendiri/sekelompok yang tidak membumi, malah tersasar dari dasar manusiawi. Yang diimpiidamkan adalah sesuatu yang kononnya luhur, sempurna, dan kalau semua mendakapnya akan selamat dan sejahtera. Namun seringkali yang mahu dicapai itu adalah sesuatu gagasan yang bisa saja melanggar nilai-nilai universal dan etika kemanusiaan sejagat. Saranan mereka seringkali ditandai cuai dan kalut. Mereka ini menjadi obsesif untuk menuju kepada pancasona ideal yang mereka pujai, dalam perkiraan atau atas sebab tuntutan sesuatu ideologi dan kepercayaan dan diyakini benar. Langsung mereka menjadi taksub, dan setiap segala yang tidak bersetuju dengan idealisme mereka itu, tentulah menjadi kalangan yang dianggap tiada hidayah dan tersesat siasah.

Mereka mahu merubah dan menukar dunia nyata dan yang sedia ada ini, dengan menganjurkan kepada model yang seakan negeri entah-berantah yang ngeri untuk diimaginasi, yang seringkali juga mereka tidak memahami sebab musabab dan cara perjalananya sesuatu negara dan masyarakat di zaman ini. Kesamaran dan ketidakberesan pikiran mereka sama menebalnya dengan kerasukan mereka menuju utopia ini, baik dalam bentuk sebuah bentuk negara, institusi perundangan dan pentadbiran, pendidikan dan keilmuan, sehinggalah kepada sistem perekonomian dan jenis matawang yang harus dipakai.

Yang penting dunia dosaan ini, dengan segala model yang sedia terpakai, harus diganti. Tentu saja sistem yang berlangsungsan hari ini tidaklah sempurna dan seterbaik berjalan. Tetapi saranan yang dianjur dan diidealkan golongan upotis ini sudah cukup ditandai dengan kecelaruan dan kekalutan. Seolah-olah mereka mahu mulakan sesuatu yang segalanya baru atas nama mematuhi perintah yang telah diamanahkan kepada mereka. Anehnya mereka yang mahu mencipta yang baru ini, bertolak dari andaian sejarah yang romantis dan distortif. Model kuno yang telah berlalu, dan tidaklah wujud sebagaimana yang mereka bayangkan, mahu dijadikan model tetap dan abadi kepada semua, walaupun mereka mendabik dada tiada paksaan dalam hidup yang beradab.

Namun dari galak mereka berbicara, terbit pula sikap dan bahasa memaksa kerana mereka tegas beryakin menjadi pemilik kebenaran yang mutlak. Lantas dengan angkuh mengklaim gagasan mereka itu sesuai sepanjang zaman dan tempat. Realitas di depan mereka, yang sangat menggigit dan terhempit, tidak bernafsu mereka merungkai dan memperbaiki, melainkan galak mengusung keutopiaan mereka sebagai satu-satunya jalan keluar, sedangkan kita semua ini yang tidak bersama mereka, adalah golongan daif yang terkeluar dari jalan yang mereka yakini. Lain perkataan, tujuan mereka yang tidak membumi ini dijadikan model sakral yang abadi.

Bala yang kedua adalah wujudnya manusia lambak dalam masyarakat, yakni di kalangan kita, dan boleh jadi juga telah menyelinap dalam diri kita sendiri. Manusia lambak ini boleh dicirikan sebagai manusia angkuh dengan segala ketololan mereka dalam mendiktat citarasa dan pemikiran mereka yang dangkal dan rapuh. Dengan tiada selera intelektual yang tinggi, dengan rasa tingkat moral, yang tidak berpeduli, dan dengan ketidaksabaran memaksakan idea mereka kepada yang lainnya, jenisan manusia ini akan membuka gerbang kepunahan sesuatu peradaban.

Lebih nyata kepunahan ini bila kita saksikan yang terlazim berlaku di sekeliling kita. Gerombolan minda seperti ini berlagak sok tahu, berjubah sebagai pendeta dan peneroka, tetapi bacaan dan kupasan mereka tidak sampai selambaran dua. Takrifan dan tafsiran mereka lopong tapi sering disembunyikan dalam lafaz agung yang memukau dan melampau. Mereka berlagak menjadi ahli itu dan ini, tetapi perancangan dan etos kerja sangat bersifat membuta tuli, sembrono dan asal-boleh itulah yang sebenarnya mereka anuti dan amali.

Kalau dalam bidang ilmu, mereka cepat menghafal ringkas risalah (pamflet) daripada menekuni kitab dan hikmah muktabar. Korpus ilmu mereka kian terkepil dan terpencil kerana mereka geruni idea dari luar yang akan menyesatkan mereka. Kepelbagaian idea bererti bagi mereka mengundang neraka. Dalam ketukangan kerja mereka cari jalan pintas dan lekas, sehingga mutu kerja menjadi memburuk dan teruk. Dalam berfikir mereka mahu segera menyampaikan pendapat dan minta diikhtirafkan secepatnya daripada bertekun mengulit membahas pendapat yang dibawa. Mereka ini yang tidak ada citarasa yang besar, ataupun cita sempurna yang luhur, akhirnya menyeret kita semua ke dalam lembah fikiran yang gelap dan lembab.

Bayangkan pula sindrom ini kalau ia berdamping di dalam benak para pemimpin dan bijak pandai kita. Perlu diingatkan manusia lambak bukan dimaksudkan sebagai rakyat jelata atau orang banyak. Ia adalah konsep untuk menjelaskan jenis manusia dan pikiran, nilai dan psikologinya yang merapuh dan menceroboh, yang bisa saja hadir dalam benak pikiran sama ada di kalangan elit atau orang biasa. Kepunahan intelektual dan kerapuhan etika mereka hanya akan membuka lebuh utama kepada kerosakan dan kedaifan berfikir dan berikhtiar dalam masyarakat. Lain perkataan, mereka ini yang standard pikirannya bersifat kontang, mengangkatnya tanpa segan silu sebagai kemuncak berbintang.

Nah bayangkan pula sekarang apabila terjadi kesepaduan jenis fikiran yang keutopiaan dan yang kelambakan. Itulah bala yang berganda. Tidak dapat tidak ia akan melahirkan cita bencana, sebagaimana yang telah diujarkan oleh Syed Hussein Alatas. Segi-segi fikiran keutopiaan dan sindrom kelambakan ini telah dibicarakan masing masing oleh sosiolog tersohor Karl Mannheim, dan ahli filsafat asal Sepanyol, Jose y Ortega Gasset. Perspektif kritis mereka banyak menjadi rujukan dalam bab-bab yang terdapat dalam buku ini, dengan harapan ia bisa mencetus hujahan yang lebih mendalam di masa menjelang.

Keprihatinan kita terhadap dua gejala ini sekaligus harus menjadi kewajiban intelektual dan budaya. Kita sebagai anggota masyarakat, khasnya yang mendapat pendidikan tinggi, ataupun yang tercerah dari pengalaman dan renungan, harus bersedia berdepan dengan dua gejala ini. Kehadiran mereka yang semakin galak mengundang kita untuk merespons secara rasional dalam bentuk sanggahan intelektual dan pewacaan sosial dengan mempermasalahkan dua perkara ini, sambil menawarkan jalan keluar yang utuh dan rasional. Mereka yang terdidik dan teramanah dengan kesadaran kritis harus berani berdepan dengan gejala ini. Penangguhan kepada amanah ini adalah kecelaruan, malah suatu pengkhianatan intelektual. Pengecualian terhadapnya juga tidak boleh kita justifikasikan, melainkan kelak nanti kita bersekongkolan dengan cara berfikir yang meranapkan ini.

Dengan menyentuh dua perkara ini, kita tidak bermaksud mempermudahkan masalah yang sekarang kita hadapi, jauh lagi menyederhanakan masalah itu dengan usulan-usulan yang kita anjurkan. Kerana itulah sifat dari sindrom kelambakan yang harus kita jauhi. Kita menulis bab-bab yang tercantum dalam buku ini dengan harapan wacana menghurai dan mengusul alternatif dapat terjalin, dengan pendekatan disiplin ilmu yang lintas merencam. Namun kalau ia sedikit bernada akademik, mohon dimaafkan kerana penulisan bab-bab ini memang berniat untuk memperkenal konsep-konsep kritis supaya kelak nanti ia mengalir dan melazim dalam wacana sosial kita di sfera awam. Pencerahan awam yang terbaik adalah dalam wadah wacana yang dianostik dan reformistik, dan bukan deretan berteorian itu dan ini tetapi kerdil pula untuk melafazkan kepedulian dan keberpihakan kepada subjek masyarakat yang sedang kita tangani.

Bab-bab yang tercantum dalam buku ini juga tidak berpotensi untuk menggendang kesimpulan yang definitif, tetapi tidak sampai pula kepada membuat kesimpulan yang semuanya boleh saja dan relatif sifatnya. Itu bukan pegangan kita dalam berwacana, melainkan suatu percubaan dan iltizam untuk meneroka pewacaaan yang jernih, jelas dan dapat menebas segala macam yang culas, malas dan terbabas.

Mungkin saja kita tidak terhasil sepenuhnya tetapi percubaan ini, sayugia ia disambuti oleh yang lain dengan tingkat yang lebih membaik dan bermutu.

Apapun dalam tekad dan kepedulian kita untuk berdepan dengan masalah yang melingkari kehidupan dan masyarakat kita, menjadikan kita untuk terus terpanggil membicara dan menghuraikannya, jangan sampai nanti keutopiaan angkuh dan minda lambak yang sembrono menandai dan memdominasi cakrawala pemikiran dan pandangan dunia kita. Menyanggahnya harus itu menjadi pertanggungjawaban kita.

Dengan terbitnya buku ini, saya mengucapkan sekalung budi khas kepada Sdr Zul Fikri Zamir dan sidang editor Thukul Cetak yang bersedia untuk menerbitkan himpunan esei-esei ini. Juga terima kasih kepada teman-teman saya yang sering membantu khasnya Sdr Hasnan Bachtiar di Malang Indonesia, serta teman-teman sekandangan pikiran baik di Singapura ataupun Kuala Lumpur. Kepada siswa-siswa saya di kampus, sangat saya berterima kasih kerana telah memberi makna kepada kerjaya saya sebagai guru dan pengkaji. Begitupun kepada guru saya, khasnya Dr Shaharuddin Maaruf, sangat saya termakan budi ilmu yang hanya saya terbayar dengan cita ilmu yang harus tertanggung di pihak saya di hari-hari menjelang. Sedangkan doa dari Mak dan Abah serta sekeluarga dan taulan yang lain, sangat saya hargai dan kasihi.

Azhar Ibrahim, PhD

Jabatan Pengajian Melayu

Universiti Nasional Singapura