BERLARI DARI JOGJA UNTUK CHRISTIANA - 1
Its a mystery to me

We have a greed with which we have agreed

You think you have to want more than you need

Until you have it all you wont be free Society, youre a crazy breed I hope youre not lonely without me Eddie Vedder, Society.

0.

SI DIA melirik senyum gaya puas. Dia kemudiannya bangun dari kerusi itu, memegang tanganku sebelum memelukku erat. Bunyi bising warga Christiana menghisap marijuana memenuhi seluruh ruang. Ketika mulutnya rapat ditengkukku, kudengar bisikan: Though Im past

one hundred thousand miles

Im feeling very still

And I think my spaceship knows which way to go

Tell my wife I love her very much

she knows

Aku terkebil menangkap ungkapan itu. Lama setelah dia bangun dan berlalu, aku menjerit sekuat hati kepadanya:

Ground Control to Major Tom

Your circuits dead, theres something wrong Can you hear me, Major Tom

1.

Atuk sebelah bapaku memang asal Kebumen. Kebumen ialah kota kecil, ibu kota kepada Kabupaten Kebumen, sebuah kabupaten di Jawa Tengah. Jogjakarta hanyalah 99 kilometer dari Kebumen, sekitar 1 jam 30 minit menaiki kereta ataupun 1 jam jika menaiki kereta api.

Pagi itu, aku bergerak keluar dari Jogjakarta menuju ke Kebumen. Perjalanan dari Semarang, tertinggal bas ke Jogjakarta akibat galak menonton sabung ayam di Pasar Johar, beberapa malam di Malioboro kemudiannya sebelum singgah sebentar di Kebumen dan kemudiannya akan terus ke Bandung di sebelah malamnya.

Aku menaiki kereta api Prambanan Express (Prameks) Solo-Katuarjo dan sampai sekitar jam 9.30 pagi. Di stesen kereta api Kebumen, Pak Sunaryo telah siap sedia menunggu. Bagaimana aku mengenalinya Beliau menyarung baju t-shirt dengan gambar KLCC. Katanya agar mudah untuk aku mengenalinya.

Pak Sunaryo sudah beberapa kali ke Malaysia, khususnya ke Teluk Intan di mana adik beradik ayahku menetap. Tapi kami belum pernah berjumpa di Malaysia. Dari stesen kereta api, aku dibawa ke rumahnya iaitu di Pasar Ungaran di daerah Kutowinangun.

Sohid, atau Sohod, ataupun Haji Nawawi adalah nama datukku. Dia adalah anak sulung kepada Haji Abdul Rahman yang sempat dibawa bersama ketika berlayar ke semenanjung Tanah Melayu pada awal 1900. Diceritakan oleh Pak Sunaryo, adik beradik Haji Nawawi yang lain iaitu Amirudin, Kusnin, Shamsiah, Sartimah dan juga Saminah semuanya masih di Indonesia dan tidak dibawa bersama dalam pelayaran bersejarah itu.

Haji Abdul Rahman memang dikenali sebagai pelaut dan lelaki berani. Ini diketahui oleh warga emas di kampung ini yang sempat mengenalinya dan masih hidup sehingga kini. Beliau akhirnya mendarat di Hutan Melintang dan membina empayar perniagaan di sana dibantu oleh Haji Nawawi.

Anehnya, bapaku sendiri masih belum berkesempatan mampir ke Kebumen ini. Pemergian aku kali ini memang niatnya untuk melihat sendiri suasana kampung dan menziarahi keluarga dan kerabat di sini.

Aku ingin tahu bagaimanakah kampung asal keturunanku Siapakah mereka Mengapa mereka sanggup belayar jauh sehingga ke Tanah Melayu Dan soalan yang sentiasa menjerut dan mencekik diriku ini; siapakah aku sebenarnya

2.

Punyalah ramai orang keluar berjalan dan mengembara. Melarikan diri mereka dari masyarakat dan seluruh hiruk pikuk dunia yang mengelilingi mereka.

Orang-orang ini, melakukan perjalanan dengan harapan untuk keluar dari kehidupan mereka serta melupakan seketika penderitaan dan segala macam kesusah-payahan hidup untuk seketika waktu.

Buat seketika waktu itu, seluruh takdir akan menyebelahi mereka. Kau lupa akan semua penyiksaan hidup yang terpaksa kau tempuhi sebelum ini. Pengembara jalanan seperti kita ini, meniti di atas botol kaca dengan harapan kaki kita tidak akan luka berdarah dengan realiti.

Alam akhirnya berpihak kepada kita. Kita semua tersenyum puas melihat dunia yang bebas dari penindasan, bebas pekerjaan dan bebas masa. Hidup buat sementara waktu adalah untuk melihat dan meneliti. Melihat dan membaca. Melihat dan memikirkan bagaimana agaknya dunia ini berfungsi di satu sudut dan jarak yang berlainan tiap-tiap satunya.

3.

Sejak pertama kali ke Padang pada 2008, Medan dan Danau Toba pada 2009, Surabaya pada 2011 dan seterusnya Jakarta, Semarang, Jogjakarta dan Bandung pada 2012 senantiasa akan ada rasa seperti pulang ke kampung halaman tatkala tiap kali kaki menjejak tanah Indonesia.

Haji Nawawi dikhabarkan mempunyai 3 nama kerana dikejar Tentera Belanda. Beliau juga dikenali sebagai Sohid. Ada juga yang mengenalinya dengan nama Sohod.

Tidak ada siapa yang mengetahui, Haji Nawawi ini lari ke Tanah Melayu kerana dikejar oleh Belanda atau memang dibawa oleh Haji Abdul Rahman untuk membantunya menguruskan perniagaan di Hutan Melintang.

Semenjak menziarahi kuburan pelaut tegar bernama Haji Abdul Rahman dan Haji Nawawi ini, aku melakukan lebih banyak pelarian mengetahui darah pelaut memang mengalir di dalam diriku.

Selalunya aku fikir, pelarian-pelarian yang aku lakukan ini akan menjadikan aku lebih baik dari sebelumnya. Rupanya aku salah. Sama sekali. Aku menemukan jawapannya dua tahun kemudian di Christiana, Copenhagen. Di atas tanah kaum Viking ini, aku terpesona melihat Si Dia dalam bentuk yang begitu mempesonakan. Tanpa mempedulikan aku, Si Dia berlari dan terus berlari. Si Dia fikir itulah tujuan hidupnya. Untuk terus berlari dan meneroka. Mencari dan terus menemukan.

Menurut arus muzik Si Dia kemudian menari dalam lenggok yang paling romantis sekali. Di antara tarian yang mengghairahkan itu, Si Dia menguntumkan senyuman indah yang tepat menuju jantungku.

Sehingga pada satu saat Si Dia terjatuh. Dan saat itu Si Dia temukan, perjalanan paling jauh dan sukar bukanlah merentas benua mahupun melawan ombak-ombak di lautan. Tetapi perjalanan mencari dan menemukan dirinya sendiri.

Di daerah bebas Christiana ini, akhirnya aku sedar seluruh perjalanan yang aku buat ini bukanlah untuk lari dari keributan dan keserabutan hidupku yang lalu.

Tetapi untuk menaiki ribut-ribut itu dan menjahit serabutserabut itu menjadi ais dan krim keseronokan.

Itulah hidup yang sebenar-benarnya.

Itulah; tujuan sebenar perjalanan yang aku tempuhi selama ini.

4.

Aku membesar dengan perasaan penuh untuk sentiasa keluar mengembara dan hidup jauh dari rumah. Tapi keluargaku bukan dari kalangan orang yang berada. Kami jarang sekali berpeluang untuk bercuti.

Jadi cuti untuk diriku pada zaman kecil ialah dengan membaca. Buku ialah jalan-jalan yang membuka seluruh perasaan ini. Ingin tahu, keseronokan, ketakutan serta kemahuan untuk bersendiri adalah perasaan-perasaan yang tersimpan lama di suatu sudut yang paling dalam, dalam diri aku.

Kemudian setelah bekerja, aku memenuhi separuh daripada impian perjalanan-perjalanan yang aku miliki sejak dari kecil untuk mengetahui apakah perasaannya menjadi seorang pengembara

Ke manakah akhirnya tujuan pengembaraan ini Mengapakah pengembara melakukan perjalanan-perjalanan tersebut

Siapakah sebenarnya pengembara

Di akhirnya yang aku pelajari dari seluruh perjalanan memenuhi impian masa kecil ini ialah tatkala menemukan Si Dia.

Yang maha penting itu bukanlah perjalanan-perjalanan yang telah kita lakukan, atau pelarian-pelarian yang telah kita rencanakan.

Si Dia menemukan aku dengan diriku sendiri. Yang aku cari jauh di Kebumen, Jogjakarta. Kemudiannya aku temui

jauh di Christiana.