Tidak dapat disangkal, sejarah turut membuktikan saintis tersohor dunia mempamerkan ciri-ciri kegilaan ini. Albert Einstein menghidap disleksia sepanjang kerjaya beliau. Beliau juga gemar membawa bot layar di kala tiada angin untuk mendapatkan cabaran. Nikola Tesla terkenal dengan masalah gangguan tidur, namun tidak menghalang beliau untuk menggunakan badan sendiri sebagai pengalir arus elektrik untuk demonstrasi ujikaji beliau di khalayak umum. Thomas Alva Edison, terkenal dengan kata-kata inspirasi: Saya tidak pernah gagal. Saya hanya menemui 10,000 kaedah yang tidak berfungsi, pernah mengalami kesusahan semenjak di bangku sekolah lagi. Ayah beliau merupakan ahli politik buangan, manakala cikgu tidak yakin Thomas Edison bakal melalui masa kerjaya yang gemilang oleh kerana beliau terlalu aktif dan nakal di zaman kanak-kanak.
Saintis merupakan barisan hadapan yang meneroka dan menjelajah ilmu dan teori baru. Mereka sentiasa terpesona dengan hasil ujikaji yang mereka temui dan tidak pernah jemu atau kering idea dalam membangunkan kaedah dan ujikaji terkini demi menghasilkan keputusan yang berguna dalam membentuk ketamadunan manusia. Mereka sentiasa tertanya-tanya tentang perkara-perkara yang masih belum diterokai dan suka mencabar ilmu & teori sedia ada. Elemen kreativiti ataupun otak bergeliga perlu ada pada seorang saintis dalam menjana sesuatu inovasi ataupun produk yang dapat memperbaiki kualiti kehidupan manusia.
Ciri-ciri ini menjadikan kerjaya sebagai saintis sentiasa menyeronokan dan tidak jemu, bebas dalam memberi pendapat atau meneroka idea baru, berinteraksi dengan komuniti antarabangsa yang berkongsi minat dalam bidang penyelidikan yang sama dan tercatat sebagai salah seorang penyumbang dalam sejarah peradaban dunia.
Malaysia mempunyai ramai saintis yang ternama. Ini dipandu oleh polisi dan sokongan oleh pelbagai pihak dalam membudayakan penyelidikan di dalam negara sejak merdeka lagi. Pada tahun 2014, Malaysia merupakan negara ke-23 tertinggi dalam menghasilkan makalah penyelidikan, berdasarkan daripada pengkalan data Scopus. Dari segi perbelanjaan, Malaysia memperuntukkan sebanyak 1.13% daripada Keluaran Domestik Kasar (KDK) pada tahun 2012 untuk tujuan penyelidikan (sebagai panduan, negara-negara maju membelanjakan sekitar 2% hingga 4% daripada KDK untuk penyelidikan). Ini menunjukkan aktiviti-aktiviti penyelidikan di Malaysia tidak kurang juga rancaknya.
MajalahSains.Com merupakan satu portal yang ditubuhkan bertujuan mendekatkan masyarakat dengan sains dan teknologi secara berterusan melalui hebahan, rencana, berita dan liputan. Buku Sains-lah:Catatan Saintis Muda ini adalah buku pertama terbitan kami dengan kerjasama penerbit Simptomatik Press yang menggabungkan 24 saintis
8
muda, jurutera, penuntut di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang sains dan teknologi.
Ia bertujuan untuk mendekatkan pembaca dan masyarakat secara umum untuk mengetahui apakah sebenarnya yang mendorong penulis berkecimpung dalam bidang sains yang kononnya bidang yang sangat mencabar dan penuh rintangan. Jadi buku ini menceritakan pengalaman, dedikasi, aspirasi, kerjaya dan harapan mereka dalam dunia yang mereka sedang tekuni bagi menyelesaikan kemaslahatan masyarakat.
Melalui MajalahSains.Com dan buku Sains-lah, kami berharap agar sains dan pemikiran logik menjadi budaya hidup rakyat Malaysia.
Sepintas lalu, terdapat sepuluh (10) pecahan bidang sains yang diketengahkan di dalam buku ini. Kebanyakkan penulis merupakan saintis di dalam bidang kimia (7 penulis), diikuti oleh fizik (6 penulis), kejuruteraan (3 penulis), bioperubatan (2 penulis) dan selebihnya dalam bidang matematik, biologi, teknologi maklumat, sains nuklear, sains angkasa lepas dan bidang geologi (setiap bidang dengan 1 penulis)
Sebahagian penulis mempunyai pengalaman menjalankan penyelidikan di negara luar, seperti United Kingdom, Jepun, Kanada dan beberapa negara di benua Eropah. Tidak kurang juga, beberapa penulis yang sedang dan telah menjalankan penyelidikan di dalam negara. Ini membuktikan bahawa kepakaran tempatan sudah mula mendapat tempat di mata dunia, disamping masyarakat tempatan sendiri yang semakin yakin kepada kualiti penyelidikan dan kemahiran saintis di Malaysia. Pendedahan kepada pengalaman yang berbeza dan unik daripada pelbagai negara mewujudkan suasana dinamik dalam pembentukan budaya penyelidikan di Malaysia. Ikuti kisah suka dan duka penulis sepanjang perjalanan kerjaya mereka di dalam buku ini. Pengalaman dan ilmu ditimba mereka ini berguna dalam penyebaran ilmu kepada bakal graduan, mempertingkatkan ekonomi negara melalui penghasilan inovasi & produk hasil penyelidikan dan akhir sekali dalam membentuk pelapis saintis negara pada masa akan datang. Majoriti penulis telah menjalankan pengajian pasca-siswazah, iaitu ijazah sarjana dan doktor falsafah (Ph.D.). Ada di antara mereka sudah pulang ke negara dan sedang sedang berkhidmat sebagai ahli akademik di universiti-universiti tempatan.
Buku ini bertujuan untuk mengetengahkan bakat-bakat saintis tempatan dalam menempuh kerjaya di dalam bidang penyelidikan masing-masing. Ia juga merupakan usaha dalam menimbulkan kesedaran dan mencetus minat kepada pembaca untuk menceburi bidang sains dan teknologi. Harapan agar buku ini menimbulkan kesedaran kepada umum mengenai sumbangan hasil penyelidikan kepada tanah air kita dan peluang kerjaya sebagai saintis.
10
Biodata editor
Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee nordin, Jabatan Kejuruteraan elektrik, elektronik dan Sistem (JKeeS), UKM
Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin memiliki pengalaman selama lima tahun dalam industri telekomunikasi. Beliau kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia sejak tahun 2006. Memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Bristol, United Kingdom pada tahun 2011. Aktiviti penyelidikan tertumpu kepada kejuruteraan telekomunikasi tanpa wayar dan potensinya untuk generasi rangkaian akan datang. Beliau gemar menulis rencana sains popular dan merupakan penasihat kepada MajalahSains.Com.
Mohd Faizal Aziz, Institut Kejuruteraan Mikro & nanoelektronik (IMen), UKM
Beliau bertugas sebagai Pegawai Sains Kanan di Institut Kejuruteraan Mikro & Nanoelektronik, IMEN UKM.
Selain itu, beliau banyak menulis dan menyumbang karyakarya sains popular untuk terbitan majalah dan akhbar tempatan. Pernah memenangi Hadiah Tempat Pertama Anugerah Penulisan dalam kategori Bukan Akademi pada tahun 2008 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia. Portal web MajalahSains.Com diasaskan oleh beliau pada bulan Jun 2009, bertujuan mengajak masyarakat menghayati sains dan pemikiran logik dalam kehidupan.