SANG PENGUASA - 1
Memberikan hadiah kepada seorang penguasa untuk mendapatkan bantuan telah menjadi perkara biasa. Mereka selalu diberikan hadiah berbentuk kuda, senjata, emas, permata dan barang-barang berharga yang lain. Oleh itu, sebagai tanda kesetiaan kepada Yang Mulia Tuan Lorenzo De Medici, saya juga ingin memberikan harta saya kepada Tuan. Namun, saya tidak menjumpai sebarang harta lebih berharga yang saya miliki melainkan pengetahuan sejarah mengenai tokoh-tokoh ternama yang terdapat dalam peristiwa lampau dan kontemporari.

Dengan penuh tekun, saya telah lama menekuni tindakantindakan mereka ini. Kini saya mahu sampaikan hasilnya dalam bentuk pedoman jilid kecil kepada Tuan. Saya anggap karya ini tidaklah begitu berharga bagi Tuan, namun saya percaya Tuan akan menerimanya. Saya tahu bukan mudah untuk mempersembahkan kepada Tuan hadiah yang lebih megah daripada sekadar pengertian yang telah saya pelajari. Pengertian yang telah membuatkan saya mengorbankan hal peribadi dan ditimpa bahaya selama bertahuntahun untuk memperolehnya

Saya tidak menghiasi karya saya ini dengan ungkapan yang panjang, atau bunga-bunga bahasa yang sering dilakukan oleh ramai penulis dalam karya mereka. Saya tidak mencari kehormatan bagi karya ini, sebaliknya hanya mengharapkan kebenaran dan kepentingan subjek ini mampu membuatkan ia layak diterima oleh Yang Mulia Tuan Lorenzo De Medici.

Saya juga tidak ingin menganggap karya ini sebagai cubaan dari golongan bawahan untuk membahas dan mengarahkan pemerintahan para penguasa. Seperti para pelukis yang perlu berhenti di dataran rendah untuk melukis pemandangan gunungganang yang indah tersergam, dan mendaki bukit dan gunung tinggi untuk melakar pemandangan dataran lembah, maka seorang penguasa yang berada di atas diperlukan untuk memahami sepenuhnya sifat rakyatnya yang berada di bawah, dan sebaliknya juga, rakyat diperlukan untuk memahami sifat penguasanya.

Dengan itu, saya memohon Tuan sudi menerima hadiah kecil ini. Apabila Tuan berkenan untuk membacanya dengan teliti, Tuan akan menemui harapan saya yang membara. Tuan akan mencapai kemuliaan yang diberkati oleh kekayaan dan kebaikan Tuan sendiri. Dan sekiranya Yang Mulia Tuan sanggup memandang ke bawah sudut yang kecil ini, Tuan akan menemui penderitaan besar yang saya alami kerana nasib yang kejam ini.