Hari ini kenyataan Tuan Pemerintah menghiris hati Kaum Pekerja. Ah, bukan hari ini, malah setiap hari. Bongkah pencakar langit yang bongkak tersergam di tengahtengah Bandaraya neo-Kuala Lumpur memancarkan imej hologram Tuan Pemerintah, bongkah yang dibina 50 tahun selepas tragedi Gempa Mega yang tinggi menjulang ombak, membasuh dosa-dosa manusia yang bobrok, liar dan angkuh. Gempa Mega itu disambut dengan tempikan dan lolongan manusia-manusia yang tidak jumpa jalan keluar, melainkan lubang-lubang celaka yang akan melemaskan jiwa-jiwa mereka, seolah mimpi ngeri yang tidak akan terjaga kembali. Ngeri.
Gempa mega itulah anarki pada tahun 2060 Masihi. Habis segala arca keagungan manusia menjadi puing-puing hina apabila alam menyahtinja dendam dan luka lama bila manusia-manusia mabuk melaknat alam sekitar, seolaholah mereka sahaja yang menciptanya. Gempa Mega itu juga berniat murni; habis luka-luka golongan miskin dan tertindas disapu, menjadi rata seolah dunia ini bermula baharu. Seolah kanvas putih yang minta dicatan oleh pelukis baharu bila catan lama itu mengoyak kanvas usang dengan ketajaman berus warna palsu dan nuansa berkimia yang jijik membeku.
Suatu hari nanti, manusia akan melupakan Tuhan.
Hampir kesemua agamawan berkata bahawa ketika Gempa Mega merayai sebahagian Pantai Barat Malaysia (pada tahun 2016 ia dikenali sebagai Lembah Klang) dan juga seluruh kawasan timur dan selatan; itulah katanya kiamat telah tiba. Kaum Mutalizah menafikan. Katanya, pergerakan plat tektonik. Ada ancaman tsunami barangkali. Ketika mereka sedang berbalah, Gempa Mega membawa temannya, Tsunami Raya dan terus menyelimuti hampir keseluruhan semananjung Malaysia, mencampakkan Semenanjung Borneo menghampiri kepulauan Filipina.
Benua baru menghilangkan benua lama. Begitulah alam mengajar manusia.
Hari ini, 2112 Masihi, kenyataan Tuan Pemerintah menghiris hati Kaum Pekerja. Kenaikan Cukai Udara diselaputi dengan terma-terma canggih untuk menutup kesalahan Tuan Pemerintah yang gagal mentadbir urus neo-Kuala Lumpur (NKL) digunakan, lantas mengenakan tekanan berbentuk kenaikan Cukai Udara. Bumi semakin sakit dan jijik; justeru kerajaan pimpinan Tuan Pemerintah mengenakan kenaikan Cukai Udara dengan alasan sebahagian besar perbelanjaan Kerajaan terpaksa dihabiskan untuk mengitar-bersih udara dan mengeluarkan oksigen semacam oksigen asli bumi seratus tahun dahulu. Tuan Pemerintah telah memaksa Kaum Pekerja untuk membayar benda yang diberi percuma oleh Tuhan.
Apakah perbelanjaan Tuan Pemerintah melebihi perbelanjaan Tuhan
Tetapi hologram itu masih terus memancar di antara dua bongkah Neo-KLCC yang baru dibina. Imej kepala Tuan Pemerintah membesar, matanya lebih tajam mencengkam batang tengkuk manusia-manusia yang melihatnya. Suaranya membelah kecamukan minda dan kerencaman perasaan rakyat jelata.
Sesungguhnya saya, Tuan Pemerintah, begitu cinta akan neo-Kuala Lumpur ini, dan mahu kita bersatu padu dalam masyarakat yang majmuk dan harmoni. Sesungguhnya saya Tuan Pemerintah, mahu kita bekerjasama atas nilai keamanan manusia sejagat. Sesungguhnya saya Tuan Pemerintah, menyeru wahai manusia-manusia neo-Kuala Lumpur, marilah bersama saya memakmurkan dunia ini. Cukai Udara memakmurkan Negara!