FILSUF UNTUK NOOB - 1
Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini dikurniakan dengan kemampuan untuk berfikir, mereka punyai nikmat akal yang diberi Tuhan. Ilmu falsafah merupakan satu kunci bagi membuka pintu khazanah segala ilmu yang mampu diketahui. Al-Ghazali, dalam Kitab Al-Jawahir AlQuran ( Permata-permata AlQuran) dalam mengajak pelajar Islam untuk mendalami Al Quran berkata kau yang berjalan di tepi laut, takkan kau tak ingin untuk menyelam kedalamnya, melihat apa khazanah di dasarnyaTakkan kau tak ingin berlayar dan meneroka pulau-pulanya Puas sahajakah kau hanya berjalan meniti air di pantai

Hai.

Buku ini ditulis bagi mewujudkan sebuah bahan bacaan yang bersifat pengenalan kepada sejarah falsafah barat. Aku tidaklah bertujuan untuk menghasilkan sebuah buku akademik yang berautoriti dalam sejarah falsafah. Maka memilih untuk menjadikan penyampaian aku bersifat santai supaya mudah difahami. Idea untuk buku ini terhasil apabila aku mengkritik (sebenarnya lebih kepada membebel) kepada tuan ZF Zamir dan rakan-rakan lain bahawa bahan bacaan yang ringan untuk memperkenalkan falsafah (walaupun agak sukar untuk meringankan sebuah topik yang maha berat) wujud dalam bahasa-bahasa lain, tetapi tiada dalam bahasa Melayu di Malaysia. Di setiap bandar yang aku lawati, aku perasan buku-buku falsafah, malahan yang dipermudahkan untuk kanak-kanak sudah pun wujud dalam bahasa-bahasa asal tempat tersebut. Hasil daripada perbincangan bersama ZF Zamir dan rakan-rakan buku jalanan Jerman, aku diminta untuk menghasilkan sebuah karya sebegini ( pengenalan kepada sejarah falsafah). Maka inilah percubaan aku untuk menceritakan serba sedikit mengenai topik ini.

Namun, memandangkan topik ini berat dan luas, buku ini sudah tentu mempunyai kelemahan. Pertama, bagaimana hendak menceritakan secara santai sebuah tradisi yang melangkaui lebih 2000 tahun yang sarat dengan idea-idea dan tokoh-tokoh hebat Mana mungkin aku mampu meringkaskan idea-idea para pemikir yang mereka sendiri memerlukan berjilid-jilid buku dan bertahun-tahun lamanya untuk dihuraikan

Tambahan pula, tradisi falsafah itu sendiri memandang hina mereka yang cuba mengambil jalan pintas untuk mendapatkan kebijaksanaan (sophia) dan kebenaran. Schopenhaueur, seorang ahli falsafah Jerman kurun ke 19 menyimpulkannya dengan baik sekali apabila berkata percubaan untuk belajar falsafah dari sumber-sumber ringkas ianya seperti membenarkan orang lain mencernakan untuk kita makanan yang telah kita telan.

Akankah ada seseorang yang mahu membaca sejarah dunia ini jika dia sendiri berpeluang untuk mengalami perkara-perkara menarik yang berlaku zaman dahulu kala

Disini, Schopenhauer menekankan peri penting mereka yang mencari sophia untuk belajar dari sumber primer. Dan di universiti-universiti juga, cara yang terbaik untuk mengenali falsafah adalah dengan membaca sendiri karya-karya ahli pemikir.

Namun, aint nobody got time for that!

Tetapi, seperti aku katakan, di kedai-kedai buku di negara-negara lain termasuklah negara jiran kita Indonesia terdapat banyak buku-buku falsafah berupa pop yang memenuhi rak kedai buku, ringkasan idea falsafah, ataupun buku yang bersifat pengenalan. Dan juga apabila aku terkenangkan terdapat orang-orang yang bekerja dan belajar dalam bidang lain-lain yang tidak mempunyai masa untuk menceburi secara serius bidang falsafah, ataupun pelajar sekolah menengah mahupun kolej-kolej persediaan yang tida diberi pendedahan kepada falsafah Barat, tetapi tetap ingin tahu apa sebenarnya falsafah Barat; dan apabila aku teringat kembali bahawa pengenalan pertama aku sendiri dengan falsafah adalah melalui buku yang bersifat pop ini, kepada mereka-mereka ini lah aku rasa tergerak hati untuk menulis.

Keduanya, menulis buku pengenalan falsafah adalah seperti menabur jala di laut. Yang dapat kau tangkap amatlah sedikit jika dibandingkan dengan ribuan ikan dalam lautan. Berapa ramai ahli falsafah yang menarik yang aku ingin sertakan sekali dalam penulisan ini tetapi tidak aku sertakan lantaran kesempitan ruang. Begitu juga dengan berapa banyak cabang yang aku tidak dapat ceritakan secara mendalam,hanya mengambil sedikit cabang ini, sedikit cabang itu. Malahan, tradisi-tradisi selain daripada Barat juga tidak dapat aku masukkan, seperti falsafah Judaism dan Kristian, tradisi falsafah dari China ataupun India , tradisi falsafah feminisme, malahan tradisi falsafah rantau kita sendiri . Kalian mungkin mempersoalkan mengapa hanya tokoh-tokoh lelaki sahaja yang diperkenalkan. Ini semuanya lantaran zaman yang aku pilih bagi menulis buku ini, iaitu pada waktu wanita tidak diberi peluang untuk pendidikan, walaupun tidak dinafikan sudah ada beberapa tokoh falsafah wanita penting yang muncul sezaman dengan tokoh-tokoh yang aku liputi dalam buku ini, terutamanya di zaman Eropah Moden. Zaman falsafah post-moden menyaksikan begitu ramai filsuf wanita yang menyumbangkan idea-idea penting dalam dunia falsafah ini, namun, tidak aku masukkan kedalam buku ini.

Seterusnya, struktur buku ini adalah seperti berikut:

Aku hanya fokus kepada zaman Sokrates sehingga zaman yang dipanggil zaman Falsafah Moden (kurun ke 19). Falsafah Moden pula, aku fokuskan kepada falsafah dari negara Jerman ( dan seorang dari Denmark). Aku hanya akan menulis mengenai pemikir yang aku pernah baca karya asal mereka dan pernah diajar mengenai mereka. Dan aku hanya akan menghuraikan idea-idea terpenting mereka. Sekiranya mereka terkenal dengan banyak idea, aku hanya memilih yang mana aku rasa paling penting ataupun paling menarik. Terjemahan kedalam Bahasa Melayu telah aku buatkan sendiri, dan kesemunya aku lakukan daripada terjemahan Inggeris sesuatu karya tersebut (kecuali David Hume yang memang menulis dalam Bahasa Inggeris), jadi sudah pasti berlaku kehilangan makna di beberapa tempat. Maafkan aku, aku tidak mampu membaca Bahasa-bahasa Yunani Purba, Latin, Arab, Perancis mahupun Jerman.

Aku tidak berniat untuk menulis sebuah buku akademik, jadi aku tidak mengikut sistem rujukan yang standard. Namun apa-apa petikan secara langsung yang aku buat dari mana-mana sumber, akan aku letakkan referens nya. Lagipun niat asal untuk menghasilkan buku bersifat pop . Di penghujung buku ini ada sebuah senarai cadangan buku-buku yang boleh dibaca untuk pemula yang bacaan aku dalam membuat buku ini. Namun, sekali lagi, aku ingin tekankan, buku ini bukanlah buku akademik yang mempunyai autoriti.

Jadi, sebelum kau melangkah ke mukasurat seterusnya, ingat kelemahan-kelemahan buku ini. Walaupun aku berusaha sehabis boleh untuk bersifat adil kepada pemikir yang aku persembahkan, apa yang kau baca adalah falsafah yang telah melalui mata minda aku sendiri dan ada potensi dicemari dengan prejudis dan biasku. Maka aku amatlah mengesyorkan kau untuk membaca karya primer (namun begitu amat sedikit karya asal diterjemah kedalam Bahasa Melayu). Pun begitu, aku yakin, disebalik kelemahan buku ini, akan ada sesuatu yang kau akan dapat darinya (mungkin cara membuat buku pengenalan falsafah yang jauh lebih baik!).

Aku sertakan disini kata-kata seorang ahli falsafah Perancis kurun ke 17, iaitu Pascal,

Manusia hanyalah sebatang buluh, iaitu yang paling rapuh dan yang paling lemah sekali dalam alam ini, namun dia adalah buluh yang berfikir. Tidak perlu untuk seluruh alam semesta mempersiap siaga dengan segala senjata untuk menghancurkannya; cukuplah sekadar sehembus angin, atau setitik air, lalu dia akan ditundukkan. Namun jika alam semesta menghapuskan dia, manusia masih lagi lebih mulia daripada benda yang mengalahkannya. Kerana dia tahu bahawa dia telah tewas dan dia sedar bahawa alam semesta mempunyai kelebihan dari nya. Akan tetapi,alam semesta tidak tahu apa pun mengenai ini.

Selamat membaca.