MENUJU NAFAS TERAKHIR - 1
Ayah memegang kepala saya perlahan-lahan. Usapan lembut itu tidak langsung membuatkan saya tenang. Pandangan saya terusterusan ke depan. Tidak pada ayah, tidak pada ibu, atau manusiamanusia lain di dalam kelas kecil itu. Seorang guru wanita yang saya agak berumur antara tiga puluh tahun sedang bercerita di kelas. Entah apa yang disuarakan, saya sendiri tidak pasti. Pada usia sekecil itu, apa yang saya tahu hanya main, main dan main.

Pada waktu itu, saya sudah pun berumur tujuh tahun. Saya tidak lagi ke tadika dengan berseragam merah jambu serta berseluar coklat seperti tahun sebelumnya. Saya mulai ke sekolah dengan memakai uniform rasmi sekolah rendah iaitu berbaju putih dan berseluar biru gelap. Wajah-wajah baru di dalam kelas itu sungguh menakutkan saya. Pada mulanya saya agak seronok kerana fikiran saya terbayang bahawa saya akan berjumpa rakan-rakan sekelas di tadika semula. Hampa, kerana semua itu hanya pembohongan minda seorang kanak-kanak. Ramai di antara pelajar yang masih mengalirkan hingus di dalam kelas itu, tidak pernah saya temui sebelum ini.

Sebelum diatur untuk ke kelas pada pagi itu, kami pelajar darjah satu serta ibu bapa dihimpunkan di dataran perhimpunan untuk sedikit taklimat ringkas berkenaan yuran dan macam-macam lagi. Di situlah saya bertemu dengan Syamie. Syamie dan saya sudah berkenalan agak lama. Pertemuan kami pagi itu sangat mesra seperti kawan karib yang sudah lama tidak berjumpa. Kami belajar dan bermain di tadika yang sama. Ibu bapa kami berdua juga agak rapat kerana berasal dari tempat yang juga sama Terengganu.

Ah cool, mungkin itu perkataan pertama yang mungkin keluar dari mulut Syamie apabila melihat saya berjalan ke arahnya dengan menarik sebuah beg berwarna hijau yang tertulis SWAN. Beg yang mempunyai roda dan membolehkan penggunanya membuat dua pilihan untuk membawanya sama ada dengan menggalasnya di bahu atau menarik beg itu dengan fungsi roda yang tersedia - salah satu beg yang hip bagi saya pada waktu itu.

Saya dan Syamie berborak kecil-kecilan seperti kau buat apa masa cuti, kau bawa buku tulis banyak mana, lawa baju kau dan beberapa lagi bahan perbualan yang menjadi isu kanak-kanak berumur tujuh tahun. Kami belum lagi mahir untuk berbual tentang isu semasa, ekonomi negara mahupun bentuk badan pelajar perempuan yang sedang berdiri di depan kami. Pagi itu juga membawa satu kenangan bersejarah antara saya dan Syamie. Kami menggendong beg masing-masing dan pergi ke tandas bersebelahan tapak perhimpunan itu, lalu membuang air kecil di dalam tandas yang sama, di dalam mangkuk tandas yang sama. Saya melihat Syamie, Syamie melihat saya, dan kami tergelak sambil terus mengawal air kencing masing-masing.

Tiga bulan selepas kejadian itu, seorang pelajar lelaki ditegur oleh seorang guru yang terkenal dengan kegarangannya. Dia ditegur dengan suara yang agak tinggi kerana telah membuang air di dalam tandas tersebut tandas yang pernah saya dan Syamie membuang air bersama. Tandas itu adalah tandas guru. Membuang air di tandas guru di anggap satu kesalahan besar dan patut mendapat balasan.

Sedih. Saya tidak ditempatkan di kelas yang sama dengan Syamie. Syamie di kelas Satu Jaya kelas yang pertama, dan saya di kelas yang kedua 1 Maju. Sehingga ke hari ini saya masih tidak faham, mengapa kami dikelaskan sebegitu. Ada kelas pertama, kelas kedua, kelas ketiga dan seterusnya. Sekiranya mereka membahagikan kami hanya kerana kami terlalu ramai, saya faham. Tetapi, pada sesetengah masa, ada guru-guru yang menggunakan perkataan kelas hujung untuk memaksudkan kelas yang didiami oleh pelajar yang kurang cerdik dan kelas pertama untuk pelajar yang agak cerdik. Mungkin ini tidak penting oleh sesetengah pihak. Atau mungkin tidak disedari oleh sesiapa. Tetapi, perkara ini akan menimbulkan prejudis dari pelajar kelas awal kepada pelajar kelas yang kebelakang.

Entah kenapa, saya terlupa bagaimanakah perlantikan saya sebagai ketua kelas Satu Maju boleh terjadi. Pada pandangan saya waktu itu, menjadi ketua kelas adalah satu perkara yang menyeronokkan. Setiap kali guru mata pelajaran masuk ke dalam kelas, saya akan bangun dengan pantas dan menjerit ;

Bangun semuaaaaaa. Assalamualaikum cikgu.

Dan tenaga pengajar pula akan menganggukkan kepala, menjawab salam, lalu membenarkan kami duduk semula. Pada akhir pembelajaran pula, apabila cikgu sudah pun bersiap untuk keluar dari kelas, saya akan menjerit sekali lagi, seperti yang telah diajar kepada saya pada hari pertama saya dilantik menjadi ketua kelas ;

Terima kasih cikguuuuuuuuuuuu.

Yang seronoknya tentang ini adalah apabila suara saya disambung pula oleh rakan-rakan yang lain. Saya terasa seperti seorang konduktor yang berada di depan pemuzik-pemuzik dengan sebatang tongkat di tangan dan perlahan-lahan menggerakkan tongkat tersebut ke atas dan kadangkala ke bawah. Saya merasa seperti seorang ketua yang sangat dipatuhi oleh anak-anak buahnya. Cuma pada suatu hari, saya dimarahi oleh guru kelas Puan Azaedah kerana tidak memberi salam pada Guru Besar Encik Abdullah, yang masuk ke kelas kami. Saya tidak sekadar dimarahi, malah dicubit di perut dengan cubitan yang kecil, tetapi berbisa.

Pada waktu yang lain pula, apabila seorang guru biasa, atau bahasa mudahnya guru yang tidak berjawatan apa-apa masuk ke kelas kami kerana ingin berurusan dengan Puan Azaedah, dan saya pula terlupa untuk bangun dan memberi salam, dia tidak pula memarahi saya atau pun mencubit perut saya. Malah dia meneruskan pengajaran yang sedang dilakukan sebelum itu tanpa apa-apa tindakan.

Perkara yang paling indah pada waktu itu selain cuti sekolah adalah mesyuarat. Para guru akan mengadakan mesyuarat pada sesetengah waktu. Dan kekerapan mereka melakukan hal ini adalah pada hujung-hujung waktu persekolahan. Sekiranya guru sudah pun keluar dari kelas selepas memesan agar tidak bising dan membuat kerja sendiri, kami akan berteriak dengan gembira. Bagi kami, sekiranya guru tidak hadir atau mereka ke mesyuarat, itu adalah satu perkara yang sangat menyeronokkan. Dan saya, seperti sudah memahami situasi seperti itu, akan bergerak ke depan kelas dan memeluk tubuh sambil memerhatikan sesiapa yang cuba bercakap dan membuat bising. Dengan menggunakan sebatang kapur, saya akan menulis nama-nama pelajar yang membuat bising, walaupun sekadar bercakap atau berbisik. Jadi, semua pelajar akan memandang saya dan memerhatikan penglihatan saya. Sekiranya saya menoleh ke papan hitam dan menulis nama pelajar yang bising, bunyi hampaan akan kedengaran. Dan saya tahu, bunyi itu datang dari pelajar yang sudah ditulis namanya di papan hitam.

Seorang rakan saya pada waktu itu Azman pernah terangterangan merasuah saya untuk memadam namanya di papan hitam. Dia memberikan saya sekeping duit syiling 20 sen. Saya terima hadiah itu dan memadamkan namanya. Dia terselamat. Perbuatan kami itu dilihat oleh semua pelajar di dalam kelas. Rakan-rakan kami yang lain mengagumi perbuatan saya yang baik hati itu. Jadi, untuk menyelesaikan masalah mereka iaitu memadam nama mereka di papan hitam pada waktu yang lain, mereka akan memberi saya wang beberapa puluh sen. Dan saya dengan hati yang pura-pura tawar, akan menerimanya.

Pada suatu hari, seorang rakan Shazuwan telah tertolak saya dengan kuat. Pada waktu itu dia sedang mengejar seorang rakan yang lain. Tanpa sengaja, dia tertolak saya dan saya pula terjatuh di atas seorang pelajar perempuan Shahirah Elyana. Dia tidak menangis. Dan saya pula tidak meminta maaf kepada Shahirah. Shazuwan pun begitu. Langsung tidak bersuara apaapa. Dia memandang saya, dan memandang Shahirah. Selepas itu, Shazuwan mula mengejek-ngejek saya.

Oooooooooo kau pakwe Shahirah yaa Oooooo pakwe Shahirah.

Sungguh, sangat seronok menjadi kanak-kanak. Sekiranya berlanggar atau tersentuh sedikit dengan mana-mana perempuan, perempuan malang itu akan terus menjadi makwe kepada lelaki yang melanggar atau menyentuhnya itu.

Selepas kejadian tersebut, kami berdua terus-terusan diejek seperti itu. Saya tidaklah benar-benar meminati Shahirah. Tapi entah kenapa, atas dasar ejekan kawan-kawan yang lain, saya perlahanlahan sebagai kanak lelaki yang nakal dan gatal, mulai mengacau Shahirah yang langsung tidak berdosa. Seingat saya, sekiranya seorang kanak-kanak itu tidak henti-henti mengacau seorang yang lain, sebenarnya dia menaruh hati pada orang yang dikacaunya itu. Begitu juga saya. Sampaikan suatu ketika, Shahirah menangis dan tidak henti-henti mengelap hingusnya.

Shahirah pada waktu itu bukanlah seorang kanak-kanak yang comel, pada pendapat saya. Matanya sepet seperti tidak mahu dibuka lagi. Dan seperti kebiasaan kanak-kanak yang lain, Shahirah tidak pandai untuk memakai tudungnya sendiri. Seringkali tudungnya longgar ke belakang dan sesekali juga melabuh ke depan. Selain itu, dia juga mempunyai kesan lecur yang sangat besar di kedua-dua belah tangannya. Seorang kawan saya yang juga nakal, pantas mereka-reka cerita nasi panas tertumpah di atas tangannya. Saya cepat sahaja mempercayai kata-kata kawan saya itu.

Pada pertengahan tahun 2000, Shahirah Elyana tiba-tiba hilang. Dia berpindah. Entah di mana, saya sendiri tidak pasti. Tidak pula saya memberanikan diri untuk bertanya pada kawankawan rapatnya atau guru kelas kami pada waktu itu. Selepas pemindahannya ke tempat lain, saya makin melupai Shahirah, dan dia terus hilang dalam memori kanak-kanak saya.

Kami tidak lagi berjumpa selepas itu.