SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 1
2012. Pusat Perdagangan Pontian adalah sebuah bandar yang lahir dari pemalsuan geografi. Asalnya ia lautan di persisiran pantai yang terletak dua kilometer dari Bandar Pontian. Laut itu ditambak sehingga persisiran pantai berubah bentuk menjadi tanjung. Di situ agenda membangunkan sebuah bandar baru terancang direalisasi. Muncul bandar baru yang bercita-cita untuk menguburkan peranan utama Bandar Pontian yang telah berjasa sejak puluhan tahun dahulu. Tambakan tanah merah menyebabkan persisiran pantai di deretan kedai MARA dilimpahi lumpur. Deretan kedai-kedai kecil tempat aku membesar itu dirobohkan. Lapang. Lengang. Yang tinggal cuma melankolik kenangan.

Tsunami kecil yang melanda beberapa tahun lalu menjejaskan lagi persisiran pantai Bandar Pontian. Tempoh pemuliharaannya membantu kerja-kerja mengalih tumpuan komuniti ke bandar baru. Bandar baru yang pada awalnya tidak mendapat sambutan kini bakal menerajui kenangan masa hadapan penduduk Pontian.

Di situlah letaknya Restoran Dulang Tradisi, milik keluarga Anne. Tempat Anne bekerja. Anak kacukan CinaMelayu yang pernah mencatat keputusan lima A pada slip UPSR itu telah menamatkan pengajian ketika tingkatan empat, semasa kami sama-sama menuntut di sekolah bestari. Kali terakhir aku melihat Anne adalah ketika dia berlari keluar dari dewan peperiksaan SPM dalam keadaan tangannya menekup mulut menahan loya.

Anne yang telah dinikahi Asip ketika tingkatan empat cuma hadir pada hari peperiksaan dijalankan. Ketika peperiksaan SPM itulah kami tahu dia mengandung. Kandungannya itu menyebabkan fokusnya kepada SPM terjejas.

Kisah percintaan gadis kacukan Cina-Melayu itu bermula selepas keputusan PMR diumumkan. Ayah Anne, general manager kilang milik Jepun menunjuk rasa kasih pada anak tunggal perempuannya dengan menghadiahkan telefon bimbit atas keputusan peperiksaan yang cemerlang. Teknologi komunikasi itu menjadi medium perkenalan Anne dengan Asip. Dari situ datang keputusan drastik pelajar pintar itu untuk berumahtangga. Kini, ayahnya menunjuk kasih lagi dengan memberi ruang kepada anak tunggal perempuannya yang gagal SPM untuk meneruskan kehidupan dengan baik di restoran itu.

Buat pertama kali aku menziarahinya di sana, selepas aku berhubung dengan Anne melalui jaringan internet.

Restoran itu terletak di deretan lot kedai dua tingkat, tepat di belakang perhentian bas baru. Perhentian bas itu belum memulakan operasi. Ku jangka beberapa tahun lagi ketika kawasan ini maju, Restoran Dulang Tradisi akan turut dibanjiri pelanggan.

Anne menutup kepala dengan sapu tangan jenis keyall. Helaian rambut di bahagian belakang dibiarkan terdedah. Dia sedang mengira sesuatu di kaunter bayaran ketika aku tiba. Wajahnya masih seperti dahulu, kuning langsat begitu. Di tunduk. Aura tubuhku yang melintasi kaunter tidak membelai nalurinya untuk mengangkat dagu. Aku tidak menyapa, supaya tumpuannya terhadap kerja tidak terganggu. Aku duduk can mencapai menu restoran yang dilaminate kemas, sementara menunggu tauke muda itu menyudahkan kerja.

Seorang pelayan menghampiri meja.

Air kedondong. Itu sahaja. Pesanku. Mataku masih melirik ke arah Anne.

Aku bangun menghampiri kaunter. Ku tarik helaian tisu dari situ.

Hanim..bila kau sampai Aku tak perasan betul. Lainnya kau sekarang. Dah gemuk. Eh, kau dah order Makanlah apa-apa, aku belanja. Ya Allah..tingginya kau ni. Awalnya nada Anne tersentak melihat kelibatku di depan mata. Kemudian diiringi dengan soalan bertubitubi. Aku tidak tahu yang mana satu harus ku ulas dahulu. Kami duduk di meja tengah, menghadap permandangan Selat Melaka.

Air kedondong tiba.

Makanlah apa-apa.. Ramah.

Aku baru lepas makan di rumah. Singgah ni untuk ziarah kau je. Aku memandang Anne. Wajahnya tidak jauh beza dengan kali terakhir aku menemuinya di sekolah menengah dulu. Berkaca mata tidak berbingkai, beralis condong dan bibir merah pudar.

Gemuknya kau ni..banyak betul berubah. Lama kan kita tak jumpa Anne mengulang lagi.

Aku mengiakan. Awalnya aku agak segan membuka tabir bicara kerana Anne kelihatan lebih dewasa dariku, aku kira kerana faktor tanggungjawabnya kepada rumahtangga. Kami tidak lagi boleh bergurau dan membuka topik sebarangan seperti dahulu. Tetapi sebenarnya proses kematangan komunikasi itu berlaku sejak kami sama-sama menuntut di sekolah menengah. Aku berada di dalam aliran Sains Tulen, manakala Anne aliran Sains Komputer. Kelas kami berada di bangunan yang berbeza. Jarak antara kelas tanpa disedari menjadi gap yang memutuskan keakraban kami. Kisah-kisah tentang percintaan Anne dengan Asip cuma aku tahu melalui khabar angin. Khabar yang kemudian datang bersama kad undangan perkahwinan. Majlis Anne aku hadiri bersama Wafa Thahirah. Ya, Wafa Thahirah. Gadis lemah lembut yang tinggal di sebelah rumah Anne. Wafa Thahirah, yang kisahnya cuma akan mati ketika berakhirnya hayatku nanti.

Asip mana Aku cuma menunjukkan keprihatinan. Kerja. Di kilang Jalan Johor tu. Aku angguk. Sekali. Dua kali.

Anne merapatkan dada ke meja, terus bercerita.

Masa aku hanyut bercinta dengan Asip dulu, daddy aku marah. Aku rasa nak lari rumah. Nak tinggal dengan keluarga Asip. Tapi semasa aku keluarkan buku-buku teks dari beg, untuk masukkan pakaian. Waktu tu aku perasan sehelai nota terjatuh dari tindihan buku teks.

Aku senyum.

Kau karang syair untuk aku. Tapi, macam mana syair tu boleh ada dalam beg aku Nada suara Anne tinggi rendah.

Aku teruja membuka rahsia.

Aku kan pengawas. Aku masuk kelas kau waktu rehat, kemudian aku selitkan dalam buku teks kau.

Pandai-pandai je bongkar beg aku. Anne ketawa kecil.

Aku mengingat kembali bait-bait syair yang ku karang indah di atas hamparan kertas bermotif fauna. Malam itu.

WARKAH BERLAGU.

Bagai teratai di tasik madu

Mekar umpama kasih padamu

Buat sahabat terulit syahdu

Syair ku karang warkah berlagu

Dunia bagai persada lakonan

Diri umpama mawar ditaman

Bakal nanti jadi suntingan

Buat penyeri kamar perasaan

Ingat sahabat mawar mewangi

Hilang kelopak tak harum lagi

Oleh itu jagalah diri

Kerana dirimu kami sayangi

Maafkan sahabat andai nasihat

Bersulam curiga mengudang kesumat

Hamba cuma sekadar mengingat

Agar langkah tiada tersesat

Hanim Hassan, 2003

Warkah itu aku buat khas untuk Anne. Setelah aku mendengar cerita-cerita yang kurang enak. Aku kira puisi tradisional mampu mengikat didaktik dalam nasihat yang halus. Syair itu ku tulis dengan tulisan sambung, menggunakan pen hitam dakwah basah jenis Parker. Pen ayahku.

Malam tu aku tak jadi lari. Aku fikir masak-masak. Keesokan paginya aku beritahu daddy yang aku nak nikah secepat mungkin. Mula-mula daddy mengamuk, tetapi akhirnya dia setuju.

Sungguh Aku tidak pasti dengan soalanku. Sekadar menyahut ceritanya.

Mengamuk betul. Mak aku pun mula-mula marah. Bila mereka bincang semula, baru aku nikah. Tingkatan empat itulah. Gatal sangat waktu tu. Anne ketawa lagi. Menunjukkan tidak ada gap antara kami.

Aku pula, tidak diselubungi lucu. Bagiku ia keputusan yang baik. Meskipun menjejaskan akademik, tetapi gerbang perkahwinan adalah alam yang diredhai Illahi.

Aku gembira bila kau hadir majlis persandingan aku. Anne menokok.

Aku mengingat kembali. Semasa aku mengucap tahniah, kau tanya siapa aku. Persis amnesia. Sebutku serius.

Anne sengih, menampakkan barisan giginya yang putih.

Aku kena tanggal spec sebelum naik pelamin. Contact lens pula tiada. Jadi aku tak nampak siapa yang salam aku. Setiap orang yang salam, aku tanyakan nama. Anne kembali serius. Bersungguh-sungguh menjelaskan.

Dialog kami bermain emosi. Begitulah, dua sahabat lama yang baru bertemu semula.

Kami terdiam sebentar. Masing-masing mencari bahan cerita.

Mana anak kau Aku mengalih topik.

Ada di belakang tu. Sebentar, aku panggil. Nawal.. Anne memandang sebuah bilik kecil di dapur.

Diam.

Nawal Najah, keluar sini. Intimate mummy nak jumpa. Lembut.

Tak nak. Ada kerja sekolah!

Mummy kata keluar sini, sekejap saja. Kenapa degil sangat ni Keras.

Seorang gadis kecil berusia lapan tahun keluar dari pintu dapur. Menghentak-hentakkan kaki. Dahinya berkerut.

Salam auntie. Arah Anne.

Anak perempuan itu menghulur tangan. Wajahnya ma-

sih mirip anak Cina. Mata sepet, rambut hitam lurus dan berkulit kuning langsat.

Nawal masuk kembali ke bilik kecil di dapur.

Itulah anak sulung aku. Yang di luar tu Fauzuluddin, nombor dua. Nawal ni sekolah Cina. Sengaja aku masukkan ke sekolah Cina, biar faham mandarin macam kami. Cikgu dia kata, dia pelajar terbaik matematik. Subjek lain pun dia bagus juga. Anne menceritakan sedikit sebanyak mengenai anugerah Allah yang satu itu.

Pintar dan degil, persis ibunya. Getusku. Barangkali, anakku juga nanti tidak jauh seperti itu. Itulah amaran yang selalu diungkit arwah ibu.

Aku ingin bersuara,

Banyak yang berubah sekarang. Bandar Pontian ni, aku dan engkau. Tetapi dipotong Anne.

Hei, kau ingat Shuhada Kawan kau yang kecil molek tu. Minggu lepas aku terserempak dengan Shuhada di depan restoran aku ni. Dia housemen di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu.

Sekali dengan Madiah.. Aku menyampuk.

Kami mengungkit nama demi nama.

Ha, itu yang aku nak cerita sebenarnya. Kau ingat dia lagi Dulu kita selalu sisihkan dia. Sekarang dia bakal doktor. Shuhada pun terkejut bila dapat tahu Madiah jadi rakan sejawatannya. Anne melambung intonasi.

Aku telah bertemu Madiah beberapa kali. Termasuk sebelum dia bertolak untuk mengambil jurusan medic di Indonesia. Waktu itu aku singgah di restoran mamak milik bapanya. Dia bekerja dalam keadaan nota pelajaran terikat di lengan. Dulu sewaktu sekolah rendah, dia bukan pelajar cemerlang. Terkandas juga. Jadi aku bertanya tentang perubahan pada akademiknya. Katanya, di sekolah rendah semua orang mengelak berkawan dengannya kerana dia anak kacukan India. Diskriminasi itu membuatkan dia berazam untuk berjaya. Biarkan dia bergelut dengan dunia buku, berkawan dengan ilmu. Menurut Madiah, ilmu sekurang-kurangnya tidak mengenal warna kulit.

Ilmu berkawan dengan sesiapa sahaja.

Sejarah hidupnya memotivasikan, bukan. Dari

seorang pelajar tersisih, akhirnya berjaya dalam akademik, kerjaya sekaligus ekonomi. Aku memandang Anne. Aku mahu dia mengiakan.

Anne angguk, sesaat melirik senyum.

Restoran Dulang Tradisi milik keluarga Anne agak luas. Bahagian dalam restoran lebih bersih dan diletakkan papan tanda dilarang merokok. Bahagian dalam dan ruang di kaki lima luar dipisahkan dengan dinding kaca. Di luar, meja makan berhadapan kaunter roti canai menjadi perhatian lelaki yang lebih tua untuk bersembang sambil minum teh. Seperti restoran ini, seperti perhentian bas yang lengang di hadapannya, seperti pasaraya Giant yang jarang dikunjungi orang, begitulah populasi daerah ini. Daerah kecil yang mendapat julukan Pekan Koboi. Kerana sebelum bandar baru ini dibina, deretan kedainya masih bangunan kayu dua tingkat. Milik Cina-cina yang memonopoli kuasa niaga tanah Melayu. Katakanlah hendak membeli apapun, hampir semuanya di pusat perniagaan Cina. Dari alat tulis, cenderamata, barang runcit, pakaian, makanan ringan dan begkel, semua wang mengalir ke saku tebal orang Cina. Tuah pendatang di bumi orang. Jual beli yang belum dikuasai cuma makanan berat dan pemerdagangan orang. Makanan berat kerana orang Melayu dikawal syariat. Pemerdagangan orang pula diselia oleh kastam. Bukan pemerdagangan orang, cuma mengambil untung sebagai agen pembantu rumah. Cuma produknya manusia. Modalnya jawatan dan pengangkutan untuk membawa pembantu rumah Indonesia dari Tanjung Balai ke Kuala Lumpur. Perjalanan dari stesen feri Tanjung Balai ke Jeti Kukup tiga puluh minit. Tambangnya lapan puluh ringgit Malaysia. Untuk ke sana begitu mudah. Sekadar menyiapkan pasport bernilai RM100, akan tiba di bumi tanah pentadbiran Indonesia atau kurang dua jam untuk tiba di Tuas, Singapura. Dua jam kerana perlu melalui pos tertentu. Kalau berenang, tanah setepek di atas laut itu cuma hujung mata jika dilihat dari panorama Tanjung Piai. Begitupun, masih kecil nisbah penduduk daerah ini yang singgah kedua-dua tempat tadi, kerana sumber pendapatan yang terhad tidak memungkinkan penduduknya sering merayau-rayau tanpa sebab. Malah Pulau Pisang yang kami lihat setiap hari juga cuma dijejakkan kaki oleh nelayan.

Kadang kala aku menyesal juga nikah awal ni. Sekarang aku dengan suami aku dah macam tiada apa-apa per-

asaan. Orgasma mati. Senyap.

Hanim..

Aku memandang ke hadapan. Lautan seluas mata memandang. Di hujung sana, Pulau Pisang seolah-olah menagih janji.

Hanim.. Anne mencuit lenganku.

Aku sedikit tersentak. Sebentar tadi aku lebih berminat dengan permandangan Pulau Pisang di hadapan kami.

Iskh kau ni, mengelamun pula. Anne berkecil hati.

Kau cakap apa tadi

Tak, aku cakap sekali je. Cakap dengan kau pun, bukan kau faham. Anne bangun dari sisiku, berlalu ke kaunter melayan pelanggan yang membayar harga makanan. Seketika kemudian, dia kembali.

Sorry, ada customer tadi. Macam ni lah aku sekarang, sibuk sikit. Tapi masih untung dapat bawa anak-anak sekali ke sini.

Aku pun dulu ikut juga arwah ibu aku ke kedai jahitnya. Tapi dah besar tak pandai juga menjahit. Ujarku sinis, memerli tubuh sendiri.

Anak-anak aku pula, restoran ni dah macam rumah nombor dua mereka. Dah besar nanti entah pandai masak ke tidak.

Aku menyorot mata ke arah Fauzul, anak Anne nombor dua. Wajahnya lebih iras Melayu tetapi berkulit cerah. Fauzul lebih comel dari Nawal Najah. Najah mirip Anne. Anne walaupun anak kacukan Cina, wajahnya bukanlah secantik mana. Berbeza dengan Shahirah, teman baikku dulu yang juga anak kacukan Cina.

Daddy kau dah bersara Soalku ambil tahu.

Lagi tiga tahun. Ayah Fong Lay Mon lagi empat tahun. Lay Mon baru tamat Degree Perubatan di UM. Kawan baik dia, Jeffry Loh yang dulu gemuk tu juga sekarang dalam bidang doktor perubatan, tetapi di Rusia.

Haha. Aku tengok gambar Jeffry Loh di gambar profil Facebook. Tegap dan kacak. Oh ya, kau baca group Facebook alumi sekolah rendah kita Aku sebenarnya bukanlah benar-benar memuji, tetapi geli hati mengenang Jeffry Loh yang menayangkan dada tegapnya secara berlebihlebihan.

Baca. Budak-budak ni sibuk kutuk cikgu muzik kita dulu. Teringat murid-murid 1 Merah yang bodohkan Cikgu Kartini dengan bunga ros plastik. Merah padam muka cikgu kerdil tu. Kadang-kadang ada juga cerita seronoknya main air masa banjir di bangunan sebelah padang. Eh, kau tinggal di kampung setinggan tu lagi

Masih. Tak tahu sampai bila. Ada desas desus mengatakan JPS akan ambil semula tanah itu kerana mereka telah mendapat peruntukan untuk melebarkan sungai. Kami tidak akan memperoleh pampasan, ia pun bukan tanah TOL. Sekarang, sibuklah ketua kampung bodek Umno. Umno boleh dipercayai dalam hal-ehwal menjaga kebajikan orang Johor ni. Ulasku berterus-terang. Kalau bukan sebab Umno pun, dah lama kampung tepi sungai itu dirobohkan. Dari jalan tanah merah ke jalan tar yang tinggi, semua usaha Umno. Dari jambatan gantung yang hampir roboh ke jambatan batu yang kukuh, pun usaha kerajaan negeri juga. Sekarang tidak ada lagi anak-anak kampung kami yang pergi sekolah dengan membungkus kasut dengan plastik merah, atau menggunakan papan sebagai alas lecak. Rezeki orang Johor, kerajaan negeri boleh dikatakan kaya hasil berjiran dengan Singapura. Selain itu, kastam di sini pun buat duit dengan kemasukan ramai pembantu rumah Indonesia. Kesenangan ini mendorong kestabilan politik Johor, menyebabkan ideologi pembangkang sukar menembusi mentaliti rakyat.

Aku tengok Ajmain yang muka masam je dulu, sekarang jambu sebab sedang asyik bercinta. Hakimi Ridzuan pula kecelaruan identiti. Dia tukar nama jadi Anne Rosemary. Boleh migrain aku tengok gambar-gambar terbaru dia. Ahli alumni Facebook kelas kita, cukup tiga puluh dua orang. Kurang empat orang termasuk Irfan dan Shuhada yang berpindah dan budak-budak Mesir tu..Fahmi dan Wafa Thahirah.

Hatiku bagai disentap-sentap apabila Anne menyebut nama itu. Nama orang yang aku tunggu-tunggu. Pemilik gelang kayu pudar yang ku pakai sekarang. Langit bertukar mendung dalam khayalku. Kalau boleh aku tidak mahu Anne menyebutnya. Biarkan, biarkan kisahnya berlalu begitu sahaja.

Air kedondong ais di hadapanku terasa panas. Penyedut minuman terasa tajam. Aku terasa ingin bangun dari situ. Berjalan keluar dari pintu, dan terus berjalan hingga tiba di Pulau Pisang di hadapan kami. Biar ku redah lautan biru itu. Biar ku tenggelam ke dasar Selat Melaka. Akan ku selam jua hingga tiba di persisiran pantai sana. Mungkin di sana ada Wafa. Mungkin di sana Wafa menanti, akan ku tarik tangannya untuk kembali. Biar berkolek, biar berenang, kami akan kembali ke daratan ini semula. Wafa tidak boleh terpisah dengan kami. Wafa, harus kembali ke landasan Illahi.

Hanim, kau tahu

Tahu.

Jadi, tak perlu menunggu.

Hatiku membentak. Pedih, bagai disiat-siat mendengar ungkapan Anne. Ingin sahaja aku jerit, Diam! Kalian tidak pernah faham.

Jangan menunggu lagi. Anne menyambung,

Mak Wafa kata kau selalu ke rumahnya, menyelit helaian demi helaian diarimu yang terlipat di dalam envelope. Kau catat di situ, tolong kirim ke Kaherah.

Aku tidak melirik ke sisi. Tetapi aku merasai. Anne menangis.

Aku juga. Air mataku tumpah dari empangannya.

Hanim, bersabarlah. Kau kuat. Dulu masa sekolah pun kau kuat. Ingat Wafa dalam hati, tapi jangan sampai terbawa-bawa emosi.

Apa yang boleh aku lakukan Kalaulah masa boleh ku undur, tidak akan aku perlekeh gadis lurus bendul itu.

Kelopak mataku terpejam rapat.

Ku sambut ketibaan cebisan kenangan.