DARI TANJUNG MALIM KE KLCC - 1
1992.

Aku tak berapa ingat sangat aku pakai baju apa di hari kejadian. Yang pasti bukan baju Harley Davidson sebab baju tu aku hanya pakai bila turun pekan Bagan Serai untuk main permainan arked kesukaan, Street Fighter atau dalam bahasa melayunya Pahlawan Jalanan.

Yang aku ingat sangat, petang tu aku berentap sakan main gasing bersama-sama kutu-kutu Taman Serai Jaya. Port seperti biasa, di belakang rumah Mat Nayan. Lepas jemu bermain gasing, kami berarak pula ke padang untuk bermain bola. Hari yang amat memenatkan aku kerana bertungkus lumus bermain dua jenis permainan tanpa henti.

Dalam pukul tujuh aku berundur dari gelanggang. Terasa amat haus. Selalunya lepas main aku akan menerpa ke rumah Egoi untuk pow air sejuk dari peti ais beliau. Tapi sebab aku berhenti main awal, terpaksalah aku mencari alternatif lain untuk melepaskan lelah. Dalam haus tu datang pula keinginan menikmati aiskrim kacang. Jadi dengan yakinnya aku mengayuh basikal ke kedai cina Oie (bacaan nama dia ni kena bunyi sengau baru betul!) yang terletak tidak jauh dari padang.

Setibanya di kedai, aku terus rebahkan basikal. Masa tu style rebah basikal dilihat amat cool dan sesiapa yang tidak merebahkan basikal ketika berhenti akan kelihatan tak ganas langsung di mata masyarakat budak-budak darjah empat. Aku melangkah ke peti aiskrim. Wah! Aiskrim kacang berasap-asap kesejukan di dalam peti. Aku kena selamatkan aiskrim kacang ini dengan segera. Capai aiskrim, selok poket...eh, seposen je tinggal Tadi ada tiga puluh sen Cepat-cepat aku sedar duit yang lagi dua puluh sen pasti sudah tercicir di tempat yang susah aku nak kesan. Aiskrim kacang tu berharga dua puluh sen. Aku letak balik aiskrim dalam peti. Apek Oie maintain peratikan gerakgeriku macam la aku ni penjenayah sangat nak curi aiskrim kacang dia. Ligat aku berfikir mana nak cari lagi seposen. Mataku melilau ke sekitar keropok-keropok chikedies dan balang gulagula yang berjenis-jenis. Ada keropok Bon Bon berperisa ayam, Mamee, kacang tumbuk dan beraneka jenis makanan rapu yang langsung tidak berkhasiat untuk tumbesaran.

Aku terpandang sebuah kotak putih. Dalam kotak putih tu ada kertas-kertas kecil berlipat yang terlekat. Aku sedar inilah satusatunya jalan keluar untukku. Demi aiskrim kacang yang sedang kesejukan di dalam peti ais! Dan demi melayan keinginanku yang dahagakan sebatang aiskrim.

Berbekalkan akal fikiran seorang budak darjah empat, aku membuat keputusan yang amat berisiko pada waktu tu. Aku nekad!

Aku masukkan tangan dalam kotak putih tu. Sambil pejam mata dan berdoa dalam bahasa melayu, aku gaul perlahan-lahan kertas-kertas yang berserakan. Aku capai sekeping. Apek Oie sudah sedia menghulur tangan. Aku serahkan seposen terakhir yang aku miliki sebagai pertukaran untuk harga sehelai kertas kecil. Kertas sudah di tangan. Aku koyakkan bucu kertas tu perlahan-lahan...

Aku pulang keriangan bersama 2 batang aiskrim kacang dan setin minuman ringan berkarbonat. Siap ada baki lagi lima puluh sen dalam poket. Alhamdulillah!