DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 1
Aku hanya seorang doktor GP. Ijazah aku hanya segulung. Belajar pun sekadar lima tahun. Kerja tak cukup glamor. Tak seperti kawan-kawan doktor aku yang lain. Takda siapa nak panggil aku untuk ditemu ramah, di TV dan juga media arus perdana. Takda siapa nak panggil aku untuk beri ceramah di persidangan dalam atau luar negara, tetapi wartawan cukup suka mensensasikan berita bila doktor GP seperti aku ditangkap kerana menjual MC. Bila doktor GP diserkup kerana menjual ubat batuk. Bila doktor GP disergah kerana meraba dan mencabul.

Aku hanya seorang doktor GP. Kawan-kawan sekampung ingat aku ini orang kaya. Harta aku banyak dan duit aku berjuta-juta. Maklumlah kerjaku siang dan malam. Pesakit yang datang tak pernah habis. Jumpa sekadar 5 minit bayaran berpuluh ringgit.

Aku hanya seorang doktor GP. Aku tak pernah layak menjadi hero. Aku tak pernah memberi suntikan menyelamatkan nyawa. Aku tak pernah melakukan pembedahan menyelamatkan nyawa. Aku tak pernah mendiagnosis ketumbuhan dalam kepala. Aku tak pernah merawat jangkitan kuman dalam kepala. Aku hanya merawat sakit demam dan batuk selesema. Juga scan perut nak tahu jantina.

Aku hanya seorang doktor GP. Kerja aku senang asyik nak merujuk sahaja ke klinik kerajaan ataupun hospital swasta. Doktor-doktor klinik kesihatan pun rasanya naik menyampah. Baca surat rujukan yang kononnya entah apa-apa. Kes-kes mudah tak boleh nak selesai. Kes-kes susah lagilah tak nak ambil. Tetapi bukan ini kehendak aku. Aku tahu batasan dan kekanganku. Kalau aku rasa ada pihak lain boleh merawat lebih baik daripadaku. Itu adalah lebih adil kepada para pesakit aku.

Aku hanya seorang doktor GP. Ahli-ahli farmasi ramai yang bencikan aku. Aku banyak mengambil tugas-tugas mereka. Aku doktor cabuk tak pandai beri ubat. Aku doktor cabuk tak layak simpan ubat. Hari-hari bising kononnya Despensing Separation akan membunuh aku. Aku akan hilang bisnes. Aku akan hilang pesakit. Aku doktor cabuk hanya pentingkan bisnes. Tetapi bukankah mereka pun begitu juga

Aku hanya seorang doktor GP. Pak Menteri Kesihatan pun tak pernah menghargai kerja-kerja aku. Aku dituduh tak pandai mendiagnosis demam denggi. Aku dituduh suka sangat guna antibiotik. Aku dituduh jadi punca kepada kekebalan antibiotik. Tiada yang baik digambarkan untuk doktor GP seperti aku. Doktor GP tak mahu bersatu. Doktor GP hanya sibuk dengan diri masing-masing. Doktor GP hanya sibuk dengan bisnes masing-masing.

Aku hanya seorang doktor GP. Para majikan pun benci dengan aku. Aku dituduh tak suka merawat pesakit. Aku cuma suka beri ubat macam-macam. Aku suka beri ubat mahal-mahal. Aku juga mudah sangat tulis sijil sakit. Dan bila cukup bulan cepatcepat aku hantar invois. Tapi 3 hingga 4 bulan pun belum tentu dapat bayaran. Itu pun banyak sangat potongannya. Ada pula management fee. Dan kini pasti ada GST.

Aku hanya seorang doktor GP. Dilayan macam hamba abdi oleh syarikat-syarikat insurans dan orang tengah. Consultation fee cuma layak RM10 ringgit. Ubat tak boleh beri banyak-banyak. Ubat-ubat mahal tak boleh beri. Prosedur nak claim pula banyak terma dan syarat. Semuanya hanya menguntungkan sebelah pihak.

Aku hanya seorang doktor GP. Ramai pesakit yang menganggap aku tak layak. Tak cukup bagus untuk merawat mereka. Belum apa-apa dah minta tulis surat rujukan. Nak jumpa doktor pakar yang lebih pengalaman. Ramai juga pesakit yang sanggup menjatuhkan maruah. Datang berbohong cuba pula nak menipu. Tak sakit buat-buat sakit. Kerana malas nak pergi kerja dan minta cuti sakit.

Aku hanya seorang doktor GP. Tetapi 20 tahun pengalaman mendewasakan aku. Aku boleh mendiagnosis penyakit hanya dengan bertanya khabar. Aku boleh mendiagnosis penyakit dalam masa kurang 10 minit. Tak perlu alat canggih-canggih. Tak perlu ujian darah. Tak perlu gambar x-ray. Aku boleh memberi rawatan pada pesakit dengan peralatan apa yang ada. Dan semestinya dengan kos paling minimum. 20 tahun pengalaman menjadikan aku doktor pakar yang tak bertauliah. Pakar perubatan boleh. Pakar sakit kulit boleh. Pakar kanakkanak boleh. Pakar tulang boleh. Pakar sakit puan boleh. Pakar sakit jiwa pun boleh.

Aku hanya seorang doktor GP. Ijazah aku hanya segulung. Belajar pun hanya 5 tahun. Kerjaku tak cukup glamor. Tetapi aku adalah hero kepada sebahagian kecil pesakit aku. Itu sudah cukup membahagiakanku. Inilah asam garam perjalanan kehidupan aku.