J.C memperkemaskan lagi balutan mafela di leher.
Dia berasa kesal kerana tidak turut memakai jaket kulit. Bibirnya kini naik lebam birat. Dia sedar kedinginan begini boleh membunuh tetapi apakah perbezaannya Dia akan mati juga. Bukan kerana dia mahu mati. Dia mesti akur kerana semua orang juga demikian. Mati.
J.C berdiri tegak di tebing sungai di Battery Park. Matanya menjamah sebuah kruiser. Perlahan-lahan berenang melintasinya meninggalkan buih-buih di belakang. J.C arif benar destinasi kruiser tersebut. Dia tahu perjalanan air ini ke selatan Hudson, melewati Battery Park dengan satu lintasan berhampiran Statue Of Liberty. Kemudian kruiser menempuhi Brooklyn di sebelah kanan dan terus ke East River di bawah naungan Brooklyn Bridge. Setelah itu meninggalkan United Nation dan kawasan perumahan di East Side lalu meluncur masuk ke Sungai Harlem.
Sepasang mata J.C mengekori kruiser tersebut hingga ia menghilang di sebalik pohon-pohon yang subur di Battery Park. J.C menghirup nafas sedalam-dalamnya. Alangkah indahnya New York. Alangkah hebatnya Bronx, Brooklyn, Queens, Richmond dan Manhattan. Dia dibesarkan di sini. Cintanya tumpah di sini. Ya, memang New York juga neraka. Namun dia tidak akan mencela New York. Dia telah tumbuh darinya. Dia tidak akan mengutuk pohon di mana dia adalah dahannya.
Bukan setakat itu sahaja. Dia memiliki banyak kenangan manis di sini. Kenangan bersama Pak Cik Bruce. Juga Mak Cik Jill. Dan kenangan bersama-sama Norman tentunya. Dia tidak akan melupakan.
J.C mencari-cari bangku untuk melabuhkan punggung. Keletihan. Matanya menangkap sebuah bangku marmar yang menghadap ke arah tebing. Tanpa berlengah dia menuju ke situ. Dia duduk menyilang kaki. Kedua-dua belah tangannya dikepitkan di bawah ketiak. Sekurang-kurangnya dapat mengekalkan haba. Telinga J.C menadah besar. Kedengaran suara anak-anak ketawa girang. J.C menoleh ke arah mereka. Seronok bermain-main salji di bawah pohon birch yang gondol. Seorang lelaki tua sibuk meladeni kanak-kanak tersebut. J.C tersenyum sendirian. Alam kanak-kanak memang meriangkan. Tiada bebanan masalah. Tiada penderitaan. Tiada keperitan. Cuma harapan. Harapan dari generasi tua. Dan harapan itulah yang kelak akan dipikul generasi muda.
Maka apabila cita-cita bertembung dengan harapan, di situlah bermulanya masalah mereka.
Itulah juga masalah Norman. J.C tahu dalam diri temannya itu bersengketa. Sebahagian darinya kuat berpegang pada kehendak diri, sebahagian lagi terdesak untuk menurut kemahuan ayahnya. Dan di situlah punca masalah Norman. Jiwanya tertekan. Kadang-kadang dia berasa sangat bersalah kerana sering menuding jari kepadanya. Akan tetapi J.C terpaksa. Kalau tidak didera atau dicela, dia tidak akan meninggalkan ganja. Jikalau dibiarkan Norman akan terus ketagih. Cukuplah sekadar dirinya diragut maut. Dia tidak akan membiarkan Norman dibelenggu dadah. Risikonya pelbagai.
J.C memicingkan mata. Jiwanya kosong. Soal perselisihan faham itu kembali menuba kotak fikirnya. Dia tahu Norman kecewa. Dia juga begitu. Dia tahu Norman marah. Dia terpaksa. Dia tidak mahu Norman terheret sama dalam jaringan masalah yang tiada akhirnya ini. Dia juga tidak mahu mencurahkan sekolam kusut kepada Norman. Masalah Norman sendiri sudah tidak ada titik noktahnya setakat ini. Jadi biarlah dia berseorangan mengendong beban.
J.C ketawa tiba-tiba. Dia masih mengingati saat-saat manisnya berbulan madu di New York. Norman menemaninya ke auditorium Jazz Profiles di Museum Of Modern Arts. Mereka menikmati muzik jazz yang mengusik jiwa rindu. Kemudian makan malam di Chambord Restaurant di 5 East 55th Street. Di sana mereka berdua mengecapi Burgundy Wine. Ah, romantiknya.
Lamunan J.C mati andar. Saji makin lebat. Turun dari langit yang nilakandi. J.C bongkas. Bibirnya terketar-ketar. Kanak-kanak di taman telah lama berlalu. Cuma J.C sahaja keseorangan. Dia berjalan keluar dari landskap tersebut. Tanpa lengah dia menahan sebuah teksi.
Fifth Avenue.
Pemandu teksi menggeleng.
Leceh. Tapi saya cuba. Kata pemandu teksi berbangsa Korea itu. Nada suaranya berat. J.C diam. Dia ingin bertanya kenapa tetapi dibatalkan sahaja niatnya itu.
Ada demonstrasi, kata pemandu teksi itu lagi, tanpa dipinta.
Teksi itu mulai bergerak. Penuh hati-hati. Jalan raya licin ketika ini. Berbahaya. Pemandu teksi cekap mencelah ke sana ke mari.
Demonstrasi apa J.C membuka mulut akhirnya.
Ya, ramai yang turun menyokong Lorice Washington dan Emma Luntschild. Ramai juga yang mencela. Mereka bertembung.
Kes yang kontroversi itu Tanya J.C. Naluri kewartawanannya meronta-ronta.
Ooo, isu ini isu antarabangsa. Sekalian gay memberikan sokongan mereka dan lebih menarik, gereja sibuk campur tangan.
Saya tahu itu.
J.C melemparkan pandangannya ke luar. Peniaga sudah mula aktif. Kedai-kedai runcit kembali beroperasi. Namun restoran makanan segera sentiasa sibuk. Tidak pernah berehat.
Mata J.C tetap pada pemandangan tersebut. Hatinya tidak. Ada pilu yang terjarum di dalam. Ada sedih yang berongkol-rongkol dalam jiwa.
Kau boleh pilih jalan hidup kau sendiri. Aku tak campur. Tapi jangan kau pijak lagi tangga rumah aku ni. Pak Cik Bruce merenung tepat ke mukanya. Percikan malu bersinar dalam kedua belah matanya.
J.C menarik nafas panjang. Dia memerhatikan wajah Mak Cik Jill. Perempuan tua itu kelihatan cuba menahan tangisnya.
Barangkali kau telah lupakan Matt, Luke dan Jude. Kau telah padamkan Bible dari kepala kau. J.C terus diam.
Awak buang dia. Saya tidak. Dia tetap ahli rumah ini. Mak Cik Jill meluahkan rasa hatinya. Suaranya keras dan tinggi kepada Pak Cik Bruce.
Kau lihat. Semuanya sia-sia. Dua puluh tujuh tahun dan dia sedang menghancurkan dirinya sendiri. Pak Cik Bruce memalingkan muka. Dia menangis teresak-esak secara tibatiba. J.C tertegun. Mak Cik Jill juga demikian.
Bukan. Virus kejam itu yang bersalah... Mak Cik Jill bernada sayu.
Tidaakkk! Aku tak akan salahkan makhluk itu. Ia ciptaan tuhan juga dan ia berhak untuk melakukan apa sahaja. Lihat kepada budak ini. Pak Cik Bruce menuding jari ke arahnya. Air mata masih menjujuh turun.
Lihat dan cerminlah dia. Apa yang diperolehinya Apa yang kita dapat daripadanya Cuba kau beritahu aku. Ya, memalitkan arang ke muka. Kau fikir aku boleh menentang wajah paderi pada setiap hari Ahad Ooo, tidak! Aku rasa bodoh. Aku rasa seolah-olah mempermain-mainkan tuhan. Pak Cik Bruce bercakap dalam nada pilu. Terketar-ketar. J.C terus diam.Tunduk mengira kusut.
Siapa yang boleh menerima hakikat ini
Mak Cik Jill memerhati muka suaminya yang sarat kekecewaan itu. Hatinya juga remuk tetapi dalam keadaan ini mereka harus pasrah. Mereka mesti menerima kenyataan. J.C juga manusia biasa. Cuma kelainannya itu agam. J.C seorang gay. Dan peduli apa soal itu sedangkan J.C sendiri sedang menghitung detik dan ketika untuk mati.
Dia akan mati Bruce. Dia kan ma... Kini Mak Cik Jill pula mencurahkan air matanya. Turun laju dan laju membasahi pipi tuanya.
J.C menahan pilu. Hatinya juga dikoyak ganas kesedihan.
Dia cari sendiri. Jadi biarkanlah...
Lamunan J.C mati begitu sahaja. Dia duduk menyandar. Dingin pagi yang jahat menyengat bias. Sesekali J.C menggetap bibirnya yang meligih kesejukan. Angin musim dingin terus-terusan menabrak masuk dari jendela kereta.
Angin itu menampar wajahnya keras. J.C mengemaskan lilitan mafela pada tengkuknya. Overcoat lusuh dirapikan. Semakin kuat angin mengganggu, J.C meminta pemandu teksi menaikkan jendela.
Maafkan saya. Awak kelihatan kurang sihat. Memang cuaca semakin tidak menentu. Kata pemandu teksi itu. Amat santun tutur dan gerak-gerinya.
Kereta mula macet. Kesesakan trafik. Jauh di hadapan demonstran melaung berbagai-bagai slogan. Mereka tidak cerap terhadap keadaan cuaca yang jatuh ke bawah paras beku secara mendadak.
Kita terperangkap. Demonstrasi.
Saya turun di sini sahaja.
J.C membayar tambang dan bergegas mencelah dan memotong kenderaan yang terkandas di jalan. Bunyi hon dan pekik pemandu yang tidak sabar menggamatkan suasana.
J.C berasa letih. Dia sedar kedinginan begini boleh membahayakan kesihatannya. Dia khuatir juga seandainya nanti mengalami kesukaran bernafas. Namun dia menguatkan diri. Aku mesti lihat dengan mata kepalaku sendiri, itulah yang dibisikkan kepada dirinya sendiri.
J.C sudah pun maklum darihal demonstrasi ini. Suatu perarakan yang dianjurkan oleh Queen Nation. Perarakan bermula di Central Park dan penunjuk perasaan dijangka berarak secara aman dengan membawa sepanduk-sepanduk menyokong golongan gay ke Statue Of Liberty. Ya, sebagai lambang kebebasan bagi setiap individu.
J.C melangkah laju-laju. Manusia semakin melaut ramainya. Dia menyelit di sebalik kepadatan itu. Matanya dapat membaca beberapa sepanduk yang dinaikkan.
Homophobias got to go.
No right for sodomites.
One must learn to love.
Dan yang paling menarik perhatiannya. I have AIDS, Please Hug Me, I Cant Make You Sick. J.C terus mara. Dia tidak menghiraukan langsung petunjuk perasaan yang memakai berbagai-bagai pakaian beragam. Malahan ada di antara mereka yang bersolek tebal.
J.C melupakan kepenatan. Dia sudah berada di barisan hadapan. Dia kini dapat melihat dengan jelas seorang wanita yang berpayu dara montok. Lorice Washington berada di atas pentas sambil berucap dengan berapi-apinya.
Saudara sekalian kita tinggal dan menetap di mana
New York! Bergemuruh jawapannya
Negara apa Tanya Lorice bersemangat.
Amerika! Sekali lagi suara mengaum.
Jadi, sebagai rakyat negara ini. Sebagai warga kota ini, kita berhak saudara sekalian. Kita mempunyai hak yang tidak terbatas. Perjuangan kita ini di tengah-tengah sungai garang yang deras airnya. Kita mesti berkayak dengan berani. Kita mesti menang kali ini. Ya, supaya mereka kenal siapa kita. Supaya tidak ada lagi prejudis atau diskriminasi di negara yang sangat kita cintai ini. Tepukan kuat melantun ke telinga.
Saudara, kita tinggal di dalam sebuah bumi yang sarat pelbagai masalah. Kemiskinan, peperangan, jenayah yang menjadi-jadi dan mereka yang tidak memiliki tempat tinggal untuk berlindung. Terlalu banyak masalah. Akan tetapi sangat menghairankan. Pelik bin ajaib apabila kita disalahkan. Kita dipertanggungjawabkan dengan AIDS. Kita dituduh dengan seribu satu tuduhan berat yang tidak logik. Ada banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan oleh pihak berkuasa. Perkauman misalnya, bukan satu masalah apabila seorang wanita mencintai wanita yang lain. Dan bukanlah satu problem yang sangat memeningkan jikalau seorang lelaki berasmara dengan kekasihnya.
Sorak bersetuju kedengaran di sana sini. Kedinginan, sepuluh di bawah paras beku tidak dihiraukan. Sebaliknya kehangatan kian terasa. Sudah tentu bahangnya dari percikan api yang dicetuskan oleh Lorice.
J.C memerhatikan orang ramai di sekelilingnya. Dia menyedari sebahagian besar daripada mereka seperti dirinya juga. Hidup sebagai seorang gay. Lorice yang berucap di atas pentas itu juga merupakan seorang lesbian. Pasangannya Emma Luntschild. Kisah percintaan mereka sekarang ini menggegarkan seisi Amerika. Malahan ada yang menganggap isu ini sebagai cabaran teragung terhadap institusi kehakiman di negara demokrasi terbesar ini.
Isu tersebut mudah. Emma Luntschild baru sahaja bercerai dengan suaminya Bob Luntschild untuk hidup sebagai lesbian bersama Lorice. Dia berhasrat untuk membawa anak perempuannya bersama. Ini ditentang oleh Bob. Maka terjadilah perebutan hak penjagaan yang panjang di mahkamah. Justeru itu juga timbullah segala macam penghinaan terhadap golongan lesbian yang tanpa disedari telah menaikkan kemarahan masyarakat gay di Amerika.
J.C sedar manusia semakin bertambah di Central Park ini. Setelah ucapan daripada Lorice ini perarakan bakal bermula. J.C juga sedar yang tunjuk perasaan secara aman ini turut dilakukan oleh golongan anti-gay. Anjuran gereja. Jumlah mereka juga ramai. Hampir sama. Cuma mereka berhimpun di jihat tenggara Central Park.
J.C cuba menobros lapisan orang yang berhimpun di bahu jalan. Letihnya kini menjadi-jadi. Dia berjaya menyusup keluar dari kesesakan. J.C mendongakkan kepalanya. Melihat langit. Ada busar-busar salji yang turun menerpa semacam meludahi wajah halusnya.
Hei, dengar sini. Jangan kau pandang aku begitu. Kalau kau mahu, aku tidak. Jangan kau fikir tentang seks. Bawa kakak kau ke mari. Kau boleh menonton sahaja. Seorang lelaki dengan jaket kulit dan mafela hitam mencaci cara hidup golongan gay. Sendanya itu menyebabkan orang ramai yang berkumpul dengan kumpulan anti homoseksual ketawa besar.
Dapatkah kalian gambarkan, seorang lelaki mencapai kemuncak syahwatnya dengan lelaki yang lain Emm, tentu tidak. Kenapa Kerana Hawa tercipta khas untuk Adam. Itu suatu ketentuan.
Lihat dalam Bible atau lihat dalam kitab orang-orang Islam, AlQuran. Kecualilah anda seorang hermaphrodite seperti cacing tanah...
Gelak besar kedengaran kuat.
Kita tidak mahu mereka. Kita bencikan mereka. Kita bakar mereka!
Gelak besar bertukar menjadi sorak bersemangat.
Seorang paderi separuh umur menjulang Bible ke udara. Seorang wanita berambut perang menaikkan sepanduknya ke atas. Singkirkan Homo! Seorang lelaki yang menyarung pakaian berbulu dengan topeng berupa tengkorak menjerit-jerit bagaikan diserang histeria.
Hapuskan gay! Selamatkan dunia ini.
J.C mengundurkan dirinya dari kelompok itu. Telinganya sakit mendengar cacian. Rona mukanya kian pucat lantaran kesejukan.
J.C sudah keluar dari kawasan Central Park apabila telinganya menadah bunyi laungan dan sorakan dari kedua-dua belah kelompok. Ternyata kini mereka mulai mengejek dan menghina sesama sendiri.
Orang ramai di bahagian belakang kelihatan resah. Mereka tertanya-tanya apa yang terjadi di hadapan. Beberapa orang gay yang berpakaian ala Marilyn Monroe bergegas ke bahagian hadapan. Mereka mula bertolak-tolakan.
Jerit dan laung semakin kuat kedengaran. Semakin galak. Suasana kian kalut. Tidak terkawal. Kedua-dua kelompok di hadapan mulai mara sambil mulut penuh cercaan.
Salji lebat menyelimuti bumi putih. Manusia yang ramai menghinjak-hinjaknya menjadikan salji putih kelabu. Kedinginan berada di puncak tetapi penunjuk perasaan tidak merasainya.
Semua sedang hangat. Panas terbakar dengan slogan-slogan penuh hasutan. J.C dapat melihat beberapa sepanduk dan kain rentang yang tinggi dijulang.
Gay binatang!
Gay Got Aids Yet
Homoseksual, Tuhan tidak akan mengampunkan anda.
J.C menghindari kelompok anti-gay segera. Dia dapat merasakan bahang yang kuat. Dia seolah-olah dapat mengendus kehadiran bahaya. Pengalaman sebagai wartawan bertaraf antarabangsa banyak mengajarnya. Dia tahu pertembungan tidak dapat dielakkan apabila terdapat dua kelompok yang saling bertentangan. Cuma soalnya, apakah pertembungan itu berdarah
Pertengkaran kecil telah tercetus di saf hadapan. Makin ramai yang turut serta. Minyak dicurahkan ke api. Semangat kian menyala-nyala. Dan sekelip mata perkelahian kecil bertukar menjadi pergaduhan besar. Masing-masing menggunakan kayu penyokong sepanduk sebagai senjata. Mereka yang di belakang tatkala melihat orang ramai di hadapan mula bergasak turut sama. Bertolak-tolakan. Jerit dan laung memecah kedamaian pagi 2 Januari.
J.C meninggalkan kawasan tersebut tanpa menoleh lagi. Dia bimbang. Dia tidak mahu terlibat. Sebagai warganegara asing, dia lebih suka memencilkan diri dari sebarang masalah sebegini. Apatah lagi dalam keadaan kesihatannya yang semakin meruncing. Dia berjalan melawan arus manusia ke Fifth Avenue. Jauh tetapi tidak ada pilihan lain. Penat yang tersarang dalam tubuh cuba dilupakan buat seketika.
J.C melepasi beberapa blok bangunan. Manusia tidak susut. Malahan tambah ramai. Sesak dengan kenderaan yang terperangkap dan kereta-kereta polis yang bersimpang-siur. J.C kini seolah-olah terdorong menuruti arus manusia. Dia sangat letih. Sudah tidak berupaya. Pandangannya kadang-kadang timbul dan kadang-kadang tenggelam. Objek di hadapan sesekali kabur. Kepalanya berat. Dia tahu cuaca buruk memamah daya kekuatannya sedikit demi sedikit.
Tuhan, mohon kaki ini teguh. Tolonglah Tuhan, mohon kaki ini utuh. J.C acap mengulang kata-kata itu. Sentiasa memberi semangat kepada dirinya. Dia tidak akan berputus asa. Dia tidak akan rebah dalam keadaan gawat ini.
Orang berjejal-jejal dari pelbagai arah. Ada yang menjerit-jerit. Ada yang merintih dan menangis. Hingar-bingar berganda dengan bunyi siren ambulan dan polis. Sah, telahannya. Tentu ada yang terluka. Tunjuk perasaan secara aman ini telah bertukar menjadi ganas.
J.C mengalihkan langkahnya ke sisi jalan. Penunjuk perasaan yang lelah kelihatan melepaskan penat di hadapan restoran makanan segera dan deretan mini pawagam. Sesak dan padat. Peniaga-peniaga sentiasa berwaspada. Mereka nampak gusar dengan pemandangan ini. Penunjuk perasaan berkumpul di hadapan pintu bukanlah suatu petanda yang baik. Siapa dapat menduga mereka berkelakuan biadap dan mencetuskan kemusnahan yang tidak terelak.
J.C dapat mendengar dialog orang ramai yang berehat di bahu jalan. Dia pasti mereka dari kelompok anti homoseksual. Katakata yang terbit dari mulut mereka keras sekali. J.C mengegosi mereka. Dia berjalan lagi hingga tersingkir ke 42nd Street. J.C tercungap-cungap. Dia sudah tidak berdaya.
Salji terus turun dengan lebat menimpa diri. Pandangan J.C semakin buruk. Ilam-ilam. Dia juga menggeresah hebat. Dia tahu tubuhnya yang kurus merehek ini tidak mampu menahan cuaca sejuk. J.C terbatuk-batuk kecil. Dia melesit hidungnya. Lenso yang digunakan untuk mengesat hingus disumbat semula ke dalam poket jeansnya.
J.C terus melangkah lemah. Sesekali dia menjerongkong.
Kemudian dia terseret lagi meniti arus manusia yang entah dari mana datangnya. Penuh membanjiri kawasan Central Park dan beberapa blok seterusnya. Dalam keadaan berambal-ambalan demikian tiba-tiba orang ramai dari hadapan menukar haluan mereka, bertempiaran lari ke belakang. Dua tiga orang terjatuh dan dipijak. J.C yang lemah tidak bertenaga menuruti jejak orang ramai.
Dia dapat melepaskan diri dari kelompok yang kacau itu dan menuju ke arah terminal subway di 42nd Street. Dalam keadaan tidak bermaya itulah dia terserempak dengan beberapa orang pemuda skin-head.
Kau salah seorang dari mereka bukan Kami dapat mengenali siapa gay.
J.C tergamam berdiri di hadapan mereka. Jantungnya berdebapdebap kedengaran memukul dada. J.C mengumpulkan sepenuh tenaganya dan merempuh kumpulan pemuda bertujuh itu dan mula berlari sekuat hati. Namun langkah kakinya amat berat. Dia terus meninggalkan mereka. Tidak jauh.
Kejar dia dan tangkap dia. Kita ajar dia bagaimana melakukan seks yang betul. Cepat!
J.C berlari dan terus berlari.
Tangkap dia. Kita ajar dia cukup-cukup!
Berlari J.C berlari.
Kau tak akan dapat lari jauh. Kejar binatang itu.
Kakinya tidak terangkat. Jalan yang tebal dengan salji melambatkan pergerakan. J.C jatuh melutut. Dadanya berombak kencang. Dia sempat menghela nafas apabila seorang lelaki tampan menariknya. Dia menurut. Mereka berlari laju ke sebuah blok bangunan kediaman yang agak usang. Dan membelok ke kawasan pembuangan sampah. Berlindung.
Diam. Kita akan selamat di sini.
J.C tidak menyahut. Dia cuma sukar bernafas. Giginya menggelatuk. Dan pandangannya jadi gelap. J.C tidak sedar.