MOLOTOV KOKTEL - 1
Ini bukan cubaan pensejarahan semula apa yang pernah diriwayatkan dalam catatan sejarah. Ini hanyalah sebuah bingkisan, tentang sebuah legasi yang pernah wujud, namun dilupakan. Lebih teruk dari dilupakan apabila langsung dibenam dan ditimbus dalam sebuah penghinaan yang tidak sepatutnya berlaku; apa lagi dimaafkan. Ini adalah kisah sebuah institusi ulung yang pernah, dan masih berdiri utuh di atas tanah warisannya; institusi yang pernah dikenali sebagai bukan sahaja terawal, malah antara terbaik di rantau ini suatu masa dahulu. Sebuah institusi yang telah melahirkan anak-anak kandung yang akhirnya menjadi api nyala kemerdekaan tanah air. Ini adalah sebuah titipan ringkas institusi yang bernama SITC; Sultan Idris Training College.

1922, bumi kita masih tapak semaian dan tuaian imperialis British, yang hasilnya dikorek dan diratah semahunya atas nama peradaban manusia sejagat. Tidak perlu saya menulis bagaimana tergadainya ia ke tangan kolonial British. Anak semua bangsa yang punya kesedaran tidak boleh tidak pasti mengetahui walau sekelumit sekalipun penderitaan penjajahan yang pernah ditanggung oleh bumi ini. Bangsawan bertelingkah, bumi sendiri jadi mangsa. Maka terjuallah tanah dan maruah tanah air kepada imperialis jahat bernama British ini. Sudahlah tanahnya diratah, jiwa-jiwa di dalamnya mahu diperhambakan. Dengan molek dan beradab, dicanangkan oleh orang-orang asing ini bahawa menjadi tanggungjawab dan beban mereka untuk membawa tamadun ke tanah kita, malah seantero dunia. Membawa kemajuan untuk dinikmati bersama katanya. Dalam keghairahan menjual lebong-lebong peradaban Barat inilah, saya kira; suatu kesilapan dan penyesalan terbesar telah dilakukan oleh penjajah ini apabila mereka mendirikan SITC di sebuah daerah terpencil di hilir negeri Perak bernama Tanjung Malim.

SITC dibina dengan disulam cita-cita agar ia menjadi sebuah pusat untuk mengembangkan daya anak tempatan; tapi bukan pula demi kemajuan anak-anak ini sendiri, sebaliknya tidak lain hanya untuk menjamin produktiviti kerja-kerja penjarahan bumi kita dahulu. Maka dilatihnya anak-anak tempatan terutamanya Melayu agar mampu apabila keluarnya menjadi guru, mandur, jurulatih; dan mengajar pula orang-orang tempatan agar tambah mahir; lantas mampu menguntungkan lagi penjajah sendiri. Mungkin sifirnya; kenapa perlu membawa masuk tenaga luar jika anak-anak tempatan sendiri mampu untuk dijadikan kuli dan hamba kepada mereka, berkhidmat demi kemajuan empayar British yang semahumahunya diluaskan ke seluruh dunia. Beri anak-anak tempatan ini ilmu dari Barat, agar mereka jadi sealiran daya fikir dengannya, lantas menyokong peradaban yang dicanang sejak dari awal mereka menjejak kaki di tanah kita. Alangkah malang, mereka terlupa pepatah sendiri. Ilmu-ilmu yang diberi kepada anak-anak tempatan ini menjadi senjata lawan tuan.

Tentulah anak-anak Melayu yang menghuni SITC ini dikurnia akal cerdas. Tentulah mereka ini adalah baka-baka terbaik yang penuh sedar. Alang mustahil, anak-anak Melayu ini mahu terus memperabdikan diri kepada penjajah yang melakukan tanah air umpama lombong mengayakan empayar Tanah Inggeris. Maka lahirlah anak-anak kandung suluh budiman menongkah arus melawan kolonial.

Pendeta Zaba pemecah dogma lama. Semangat nasionalisme Zaba, melalui tulisan dan ajaran-ajaran ilmu bahasa dan bangsa menjadi sumber inspiratif anak-anak generasi muda SITC. Zaba bukan hanya pendeta bahasa dan bangsa, malah jauh lebih besar. Tidaklah mampu kita bayangkan nasib kita hari ini jika sosok mulia bernama Zainal Abidin Hasan ini tidak wujud di celahcelah lipatan sejarah panjang perjuangan bangsa. Andai Zaba ini menjadi keras dan kaku ketika waktunya; senyap sunyi, dan mulutnya meratib kata-kata ampu selayak boneka buat Barat, maka hari ini kita masih lagi mengibarkan Union Jack di Padang Kelab Sultan Sulaiman.

Dari jiwa mulia bernama Zaba, lahirnya seorang permata yang mana mungkin dapat kita cari ganti bernama Ibrahim Yaakob. Berjuanglah Ibrahim Yaakob ini bersama teman-temannya, anakanak kandung suluh budiman dari SITC, yang segar dan maju mindanya; walau sepanjang hari-hari berjuang, terus-terusan dilukiskan wajah mereka sebagai pengkhianat kepada penguasa. Bertitik tolak dari Ikatan Semenanjung Malaya/Borneo, akhirnya lahir Kesatuan Melayu Muda. Maka diriwayatkanlah dari surat-surat haram bahawa Kesatuan Melayu Muda inilah manifestasi kesedaran pemuda-pemuda berdarah nasionalis. Siapa sangka, pelajarpelajar Melayu yang dilatih untuk jadi kuli penjajah akhirnya menjadi wira ketuanan rakyat. Teriak MERDEKA akhirnya bergema setelah ratusan tahun dijajah. Resam pejuang yang menentang kezaliman, berdepan dengan gergasi bersenjatakan wang dan emas; hanya semangat jadi pedoman. Tidaklah pernah disangka, anak-anak yang kecilnya dijajah, akhirnya dewasa menjadi pembebas anak bangsa. Kesatuan Melayu Muda jadi benteng bangsa dan orang miskin yang siangnya dirompak, malamnya dirogol segala maruah dan air muka.

Sayang, matinya di tanah orang, namanya tidak pula dikenang. Ibrahim Yaakob adalah anak kandung suluh budiman yang terbaik pernah dilahirkan di bumi Tanjung Malim.

2009, saya menjejakkan kaki ke tanah keramat Tanjung Malim. Dulunya SITC, kininya Universiti Pendidikan Sultan Idris. Berdiri teguh, jadi mercu di bumi usang penuh sejarah. Jujurnya, tidaklah tinggi harapan saya pabila menjadi sebahagian daripada keluarga UPSI ini. Kampus hari ini tidak mungkin mampu untuk melahirkan lagi Zaba dan Ibrahim Yaakob. Masuk mengaji ibarat duduk dalam penjara besi. Siangnya dikerah, malamnya disanggah. Bercakap tidak boleh, berhimpun jadi larangan, alang berpersatuan sahaja sudah ibarat mahu membuka sawah payahnya. Walau harapan tidak tinggi, tapi saya tahu ada istimewanya UPSI ini. Inilah institusi keramat yang melahirkan cendekiawan ulung, pejuang terunggul.

Hari pertama, saya jelajahi seluruh kampus kecil ini. Dan akhirnya langkah kaki saya terhenti di suatu sudut. Tidak jauh dari Bangunan Suluh Budiman, dipagari dengan beberapa pokok bunga kertas yang jelas tidak diindahi, berdiri sebuah rumah kecil. Terpacak dihadapannya sebuah papan tanda lusuh: Rumah Zaba yang masih kelihatan jelas. Terpegun sebentar. Lantas wajah berkumis manis Almarhum Zaba segera terbayang dalam benak fikiran. Sedari kecil saya membaca tentang manusia hebat ini, dan hari itu, saya berdiri betul-betul di hadapan rumahnya.

Saya hampiri rumah kecil tersebut; siapa tahu akhirnya hanya kecewa dan kesal tertinggal di hati. Mengapa dihina sedemikian rumah bersejarah itu Sebuah rumah yang menjadi bukan sahaja tinggalan sejarah kepada SITC dan Tanjung Malim, malah seluruh negara berhutang budi kepadanya. Rumah kecil bertulis Rumah Zaba itu dengan hinanya kini hanya menjadi ruang lusuh menyimpan barang-barang berkebun dan kadangkala jadi bumbung untuk peronda keselamatan berteduh daripada hujan dan panas.

Bagaimana pula Ibrahim Yaakob Namanya sahaja sudah dilupakan, apa lagi tinggalannya. Andai tinggalan Zaba sahaja sudah dihina sedemikian rupa, apa lagi pengkhianat seperti beliau. Saya hentikan pencarian saya di situ. Takut bertambah lagi luka di hati. Akhirnya saya pulang dan tidak lagi kembali ke situ.

Semoga Zaba dan Ibrahim Yaakob dari SITC memaafkan saya dari UPSI yang belum mampu berbuat apa-apa.