Mak...
Aku rindu...
Aku pilu...
Di sini bukan tempat aku...
Aku rasa belenggu...
Mak...
Aku ingin lindungmu...
Seka tangismu...
Hilang rasa sendumu...
Belai rambutmu...
Kucup dahimu...
...dan bawamu dalam pelukku...
Mak...
Ambillah aku...
Aku nak kita bertemu...
Aku nak kita kembali bersatu...
Macam waktu dulu...
Bila aku di dalammu...
Dakap aku...
Dalam batik birumu...
"Adib..."
Sunyi.
"Adib..."
Masih sunyi. Hanya angin yang berbunyi. Tapi bukan angin yang Munir seru.
"Adib cakap dengan siapa"
Adib menoleh. Matanya kosong tapi senyumnya penuh.
"Tak ada siapa-siapa. Aku cuma rindu pada ibu aku..."
Munir mendekati Adib. Berdiri di sebelahnya. Menghadapkan dirinya pada bukaan tingkap yang sama. Pada langit hitam yang sama. Dan pada bulan merah yang sama yang Adib tenung sejak tadi.
"Adib tau tak Orang tua-tua kata kalau bulan penuh kelihatan warna dia kemerahan, maksudnya bulan tu tengah sakit."
"Kenapa"
"Yalah. Bulan kan biasanya warna putih dan bercahaya. Tapi kadang-kadang bila dia kemerahan dan suram, maksudnya dia tengah sakit. Seolah-olah macam... berdarah," jawab Munir sebelum menelan liur.
Sehingga ke hari dewasanya ini Munir masih berasa gerun pada bulan yang kemerahan. Barangkali kerana waktu kecil dulu ibunya sering menakut-nakutkannya dengan mengatakan bahawa pada malam bulan mengambang warna merah, pintu di antara alam-alam yang berbeza akan terbuka. Dimana pada waktu itulah, 'jiran-jiran' kita akan datang menjenguk saudara-saudara jauhnya. Maka segelintiran yang bertuah, akan berpeluang untuk melihat mereka. Mereka yang sama dengan kita, walaupun berbeza. Sama wujud. Sama benar. Sama makhluk. Dan yang paling penting, berkongsi Tuhan yang sama.
Tapi resam manusia. Lebih mengenalpasti perbezaan dari persamaan. Berbeza wajah. Berbeza tubuh. Berbeza suara.
"Manusia takut pada sesuatu yang mereka tak tau..." luah Adib.
Munir sedikit tersentak.
"Kenapa Adib cakap macam tu"
"Sebab memang itu kebenarannya. Abang Munir takut pada bulan yang merah sebab Abang Munir tak tau kenapa ia begitu. Orang takut pada hantu, sebab mereka tak tau kenapa hantu begitu. Kenapa wajah hantu hodoh. Kenapa kuku mereka panjang. Kenapa mata mereka merah. Kenapa gigi mereka tajam. Kenapa pontianak ketawa, menangis dan mengilai di atas pohonnya. Kenapa pocong melompat dalam kain kapannya. Kenapa saka hingga ke akhir pun enggan meninggalkan tuannya. Orang takut pada semua benda yang mereka tak tau. Takut pada kegelapan sebab mereka tak tau apa yang ada di hadapan mereka. Takut pada kematian sebab mereka tak tau apa yang akan berlaku selepas itu. Begitu juga manusia takut pada kiamat. Sebab mereka tak tau bagaimana rasanya untuk berhadapan dengan kehancuran dan penghujungan kepada setiap benda yang mereka kenal dan sayang selama ini. Penamat kepada segalanya. Mereka boleh baca, mereka boleh bayangkan, mereka boleh mendengar cerita. Tapi mereka tak mungkin boleh benar-benar tau. Sebab tu mereka takut."
Munir cuba menarik nafas. Terasa berat di dada. Seakan sesuatu sedang menekan. Barangkali jantungnya yang begitu terstimulasi kesan dari luahan Adib itu tadi.
Memang Adib begitu. Hampir setiap perkataan yang lahir dari bibirnya, membuatkan Munir rasa sesak. Bingung. Buntu. Keliru.... Takut....
Munir juga sudah berhenti bertanya. Dua tahun sudah berlalu. Terlalu banyak soalan. Tapi tak pernah jawapan. Dari hari pertama Adib muncul dalam hidupnya, budak itu seolah-olah tidak pernah wujud pun. Tak mungkin seorang budak seperti Adib itu wujud. Dia terlalu aneh.
Munir mengusap kepala Adib. Sebelum mengangkatnya dan membaringkannya di atas katil. Selimut ditarikkan ke dada. Satu kucupan hinggap di dahinya. Seiring dengan doa agar Tuhan bisa menyembuhkannya. Sembuhkan dari apa Munir sendiri pun tak tau. Dia hanya mau Adib menjadi seorang kanak-kanak biasa. Macam budak lain yang seusia dengannya.
Munir turun ke bawah dan terus ke ruang tamu. Mendapatkan isterinya yang walaupun sedang duduk menghadap televisyen, namun ada benda lain yang sedang ditelaahnya. Sesuatu yang membuatkan dia mengurut dahi beberapa kali dari tadi.
"Macam mana" soal Munir sebaik menghempaskan tubuhnya di atas sofa bersebelahan dengan Suraya.
"Saya dah baca habis. Memang betul.... Semua soalan dijawab dengan tepat. Dan ini memang tulisan Adib. Saya kenal. Tulisan tangan dia memang unik," terang Suraya sambil menyerahkan kertas perperiksaan percubaan SPM yang sudah tiga kali diulang baca, disemak dan dikaji dengan teliti.
Munir mencapai kertas-kertas tersebut. Diselak beberapa kali. Namun tumpuannya bukan di situ. Sebaliknya melayang kepada peristiwa pagi tadi bila dia dan Suraya dipanggil ke sekolah oleh guru kelas Adib.
"Adib anak angkat kan"
Munir dan Suraya cuma mengangguk.
"Tau banyak tentang kehidupan dia sebelum dia tinggal dengan Encik Munir dan Puan Suraya"
bersambung
Bab akan datang:
Mengapakah guru kelas Adib memanggil Munir dan Suraya ke sekolah