20:05 Malam.
THIS is your last assignment... kata lelaki itu dengan nada tegas.
Suaranya yang garau menusuk ke telinga Kharlissa. Dia menggigit bibirnya dengan kuat. Memang sudah demikian lama dia menanti dirinya bebas daripada organisasi itu. Dia mahu pulang! Pulang ke tempat asalnya. Walaupun tanpa sebarang pekerjaan. Dia tidak memerlukan pekerjaan ini lagi... Tidak! Tugasan terakhir yang harus dia laksanakan dengan sebaik-baiknya.
Then I will be free
Yes, free as a bird, Lelaki di hujung talian tertawa.
Tawa yang garau jua. Namun tawanya dengan cepat sekali hilang. Dia menyambung kata-kata yang terputus.
Someone will bring the information for you. Maybe now hes already arrived.
Serentak dengan itu, Kharlissa mendengar bunyi loceng pintu.
Okey, I got it! jawab Kharlissa sambil menutup panggilan.
Dia bergegas menghala ke pintu. Daun pintu apartment kecilnya yang terletak di tengah-tengah kota Manhattan itu ditarik dengan rakus. Di luar dia tidak melihat sesiapa. Dia menunduk dan mendapati sebuah envelop besar berwarna coklat gelap terdampar di hujung kaki. Dia membongkok, mengambil envelop itu dengan laju. Lalu, pintu ditutup dengan cepat.
Envelop tadi diletakkan ke atas meja. Dia tidak mahu membukanya dengan segera. Buat seketika dia hanya memerhati ke seluruh ruang apartment kecil yang didiaminya sendirian sejak lima tahun yang lalu. Setiap perabot yang ada di situ sudah semakin dimakan usia. Lima tahun lalu sofa merah itu masih baru. Cantik dan mengujakan. Tetapi akhirnya sofa merah tua itu semakin memudar. Begitu juga dengan meja kopi yang tercalar di permukaannya. Namun Kharlissa sudah tidak peduli! Dia tidak akan menukar perabot yang baru! Dia akan meninggalkan tempat itu... Selama-lamanya.
Perlahan-lahan Kharlissa bergerak ke arah meja kopi. Envelop itu dicapai. Hujungnya dikoyakkannya dengan cermat. Dia menarik beberapa keping gambar yang disertakan di dalam sampul surat itu. Kharlissa merenung gambar-gambar itu tanpa sebarang perasaan. Raut wajah lelaki itu tidak dikenalinya. Dia tidak pernah melihatnya seumur hidup. Ini adalah kali pertama dia melihatnya.
Di dalamnya juga terdapat sedikit maklumat tentang lelaki itu. Berusia lima puluh dua tahun, mempunyai aset yang berharga, syarikat, rumah dan kereta mewah. Agak kacak walaupun kepalanya sedikit botak. Mempunyai isteri tetapi tidak punya anak. Isterinya, Puan Martin berusia pertengahan empat puluhan. Namun tidak ada gambar isteri lelaki itu. Tidak mengapa. Maklumat itu tidak penting. Si lelaki yang akan menemui kematian.
Tak ada masalah, Kharlissa berbisik pada dirinya sendiri.
Kau adalah target yang mudah, Dia berkata lagi seorang diri sambil tersenyum. Senyumannya manis menggoda. Dua ulas bibirnya basah dan seksi, sentiasa dipalit lipstik merah darah.
Gambar dan maklumat itu segera dimasukkan ke dalam sampul surat. Kemudian disimpan di dalam laci yang berkunci. Malas mahu berlama, Kharlissa segera bergerak masuk ke dalam bilik tidur untuk menukar pakaian. Sepasang seluar kulit hitam yang ketat dan berkilat disarungkan ke tubuhnya yang lampai. Jaket kulit hitam dizip hingga menutup pangkal leher.
Tugasan terakhirnya akan bermula. Dia tidak mahu menunggu lama untuk melaksanakannya. Dia yakin dengan keupayaan dirinya. Dia seorang wanita muda yang kuat dan tangkas. Dia menggoda dan seksi tetapi merbahaya.
Kharlissa berdiri di cermin sambil merenung wajahnya yang telah bersolek cantik. Wajahnya sungguh menawan, dengan wajah seorang wanita Asia. Masyarakat di sini selalu menyangka dia berbangsa Cina ataupun Korea. Lebih-lebih lagi dia fasih berbahasa Kantonis, Korea, Inggeris dan Sepanyol. Walau bagaimanapun dia juga bukanlah berdarah Melayu tulen, sebaliknya ada darah campuran dalam tubuhnya. Darah seorang lelaki keturunan Jepun dan seorang wanita Melayu. Lelaki yang dia sendiri tidak pernah kenal! Lelaki yang meninggalkan ibunya hidup dalam penderitaan. Lelaki yang membuat ibunya hampir-hampir jadi gila.
Dia benci lelaki. Lelaki hanya pandai menghadiahkan penderitaan. Tapi sampai bilakah dia harus membendung rasa benci ini Dia sendiri tidak tahu. Terkadang tumbuh jua keinginan di hati. Dia ingin hidup normal. Bolehkah dia hidup seperti seorang wanita biasa Sejak kebelakangan ini soalan itu sering menghambatnya.
Kharlissa terus memaling wajahnya kala terasa ada sebutir titisan air mata jernih mengisi sudut mata. Hatinya jadi hampa dan sedih setiap kali mengingati kenangan silam. Tidak! Lupakan saja! Bisik hatinya berulang kali. Apa guna diingat segala kisah yang sudah menjadi sejarah.
Dia memandang ke arah tilam beralas comforter. Di situ terletak aman segala peralatan yang bakal dia gunakan. Tangannya bagaikan tidak sabar untuk menggenggam senjata yang menjadi teman karibnya sejak beberapa tahun lampau. Sejak dia diajar dan dilatih oleh Organisasi Maxy menjadi seorang pembunuh upahan!
Kharlissa pernah mendengar orang berkata, pekerjaan tertua di dunia adalah pelacuran. Tetapi Kharlissa tidak pernah melakukannya walaupun sekali. Dia masih unggul. Mungkin menjadi pembunuh upahan pekerjaan kedua tertua di dunia, fikir Kharlissa lagi. Sejak manusia lahir, mereka sudah tahu untuk saling memusnahkan demi kepentingan diri sendiri. Lihat sahaja kisah Habil dan Qabil.
Seumur hidup Kharlissa, dia tidak pernah percaya kepada lelaki. Justeru itu, Kharlissa tidak pernah punya teman lelaki. Malah, saudara dan ayah pun dia tidak pernah ada. Hanya ada seorang lelaki sahaja yang Kharlissa kenal dengan agak rapat, iaitu Maxy, seorang yang hanya memikirkan wang setiap masa.
Kharlissa juga tidak punya rakan wanita. Wanita yang Kharlissa kenal hanya ibunya yang sudah dua puluh tahun meninggalkannya. Kharlissa terbiar seorang diri di tengah-tengah kota raya. Namun, dia telah membuat keputusan untuk kembali ke tanah kelahiran ibunya. Dia harus mencari si ibu kandung. Dia mesti mencari wanita itu! Ada perhitungan yang belum selesai antara mereka! Banyak persoalan yang ingin dia tanyakan nanti. Kenapa dia ditinggalkan sendirian untuk mengharungi hidup Apa salah Kharlissa Ibu tidak sayangkan Kharlissa Ibu jenis apakah dia
Mungkin jenis yang tidak sayang pada darah daging sendiri. Jenis manusia berhati kejam dan jahat, bisik hati Kharlissa sambil mencapai pistolnya. Dia memeriksa peluru yang ada di dalamnya. Ianya diisi penuh, sedia untuk digunakan.