SEMUA orang di Kampung Sungai Teja sangat mengenali pokok jejawi yang terletak di kepala simpang di tepi jalan lama. Kalangan tua di kampung itu sentiasa mengingatkan anakanak kecil tentang jejawi itu. Para pemuda yang suka melepak dan merayau-rayau juga sentiasa berusaha untuk menjauhi diri dari pokok jejawi itu. Selagi boleh, mereka akan mengelak daripada lalu di bawah pokok jejawi itu walaupun laluan di bawah pokok tersebut lebih dekat berbanding laluan sedia ada. Jangankan penduduk Kampung Sungai Teja, penduduk kampung lain yang bertandang ke Kampung Sungai Teja juga akan segera menjauhi pokok jejawi itu. Pokok jejawi yang tersergam bagaikan raksasa dengan bulu-bulu panjang berjerumbai mencecah permukaan tanah bagaikan raksasa lapar yang kakinya sudah terikat dan terbenam ke dasar bumi. Kata orang, pokok jejawi itu sudah wujud sebelum Kampung Sungai Teja dibuka lagi. Namun apabila ditanya, bila sebenarnya Kampung Sungai Teja dibuka, tidak ada sesiapa pun yang dapat memberikan jawapan tepat. Masing-masing sekadar mengagak atau paling tidak pun, sekadar berkata, moyang mereka yang menjadi pembuka kampung itu. Bila ditanya siapakah moyang mereka, mereka akan ternganganganga sambil berpandangan antara satu sama lain. Walau apa pun, pokok jejawi itu memang sudah tua dan masih hidup subur biarpun tiada sesiapa yang menyiram mahupun membajainya. Kawasan bawahnya pula bersih, tanpa sehelai pun daun kering seolah-olah ada orang yang telah ditugaskan untuk menyapu dan membersihkan persekitaran pokok jejawi berkenaan.
Angah Soyah sudah lama tahu tentang cerita pokok jejawi tua itu. Angah Soyah ialah orang yang paling pakar tentang jejawi tua tersebut. Bahkan, Angah Soyah ialah orang yang paling khatam tentang tumbuhan yang menakutkan itu. Sebabnya, Angah Soyah satu-satunya penduduk Kampung Sungai Teja yang berani memanjat dan memijak ranting serta dahan pokok jejawi tua puaka tersebut. Dia seorang sahaja yang berani berbuat sekehendak hati di sekitar jejawi tua itu. Angah Soyah sahaja yang tidak takut dan tidak gerun dengan jejawi tua itu. Semua orang kampung tahu tentang cerita Angah Soyah di pokok jejawi itu. Sudah beberapa kali dia sampai ke perdu pokok jejawi itu tanpa disengajakan gara-gara menggetah dan memikat burung. Namun tiada sebarang cerita yang keluar dari mulut Angah Soyah biarpun dia pulang dari pokok jejawi itu bagaikan orang mamai yang ditepuk dahinya. Puas didesak dan diampu, Angah Soyah sekadar tersengih menampakkan barisan giginya yang lebih banyak kuning daripada putih. Diupah gula-gula pun, Angah Soyah sekadar tersengih tanpa ulasan tentang jejawi tua. Sengih Angah Soyah tidak ada penghabisnya. Kalau ditegur, Angah Soyah akan jadi kaku dan tersengih. Galak benar dia menunjukkan barisan giginya yang tidak semenggah itu kepada orang lain. Diketuk, diterajang pun, Angah Soyah tetap tersengih. Diejek mahupun dicerca, Angah Soyah tetap tersengih tanpa sebarang perasaan sakit hati pada kulit mukanya.
Semula jadinya Angah Soyah adalah sengihan nya. Dan sememangnya tiada sesiapa pun yang dapat mentafsirkan perasaan Angah Soyah yang lebih gemar bersendirian, sama ada memikat dan menggetah burung, mahupun ketika dia terkangkang sambil berlenja-lenja air liurnya dengan kepala melekap di bantal busuknya. Dia sudah semula jadi begitu. Tersengih dan menyengih biarpun kepalanya diketuk dengan bongkah kayu. Tiada sesiapa pun yang dapat menyelam dan mengusik mahupun membongkar rahsia yang Angah Soyah kuasai sebab dia jarang bercakap dan bertegur sapa dengan sesiapa pun. Tiada sesiapa pun juga yang tahu, selain menangkap dan menggetah burung, apa lagi yang dilakukan oleh Angah Soyah. Bahkan tiada sesiapa pun yang bertanya, bagaimana Angah Soyah mengisi perutnya setiap hari kerana Angah Soyah tidak pernah ke kedai runcit untuk membeli sebarang keperluan harian. Jangankan bercampur dengan orang, diajak berborak pun, Angah Soyah sekadar tersengih tanpa sebarang suara yang keluar dari mulutnya.
Aku dengar malam tadi ada orang kena usik dekat pokok jejawi tu.
Sudin mencolek baki kuih keria yang terselit di celah gusinya. Apabila jarinya dikeluarkan, dia merenung sejenak, kemudian memasukkan semula jari ke dalam mulutnya dan menelan baki kuih keria yang suku hadam di hujung jarinya tadi.
Kau tak habis-habis dengan pokok jejawi tu!
Sahak sudah bosan dengan cerita pokok jejawi. Sudin berpaling ke arahnya. Tersengih walaupun tidak selebar sengih Angah Soyah.
Apa yang kau sengih-sengih macam kerang busuk tu
Sahak jerkah Sudin. Sudin terus ketawa terbahak-bahak. Jerkah Sahak tidak menakutkannya. Bahkan membuatkan dia semakin geli hati. Sahak mendengus. Cerita tentang Sahak pengsan berkali-kali kerana menyangkakan melihat pontianak di pokok jejawi itu, memang seronok untuk diingatkan oleh Sudin. Setiap kali ada masa, itulah modal cerita Sudin. Anehnya, orang kampung yang mendengar cerita lawak Sudin tidak pernah jemu-jemu untuk mendengar dan mentertawakannya. Hanya Sahak sahaja yang biru birat mukanya menahan malu. Takut yang keterlaluan menjadi punca Sahak jatuh pengsan biarpun objek putih yang dilihatnya bergerak-gerak itu hanyalah sebuah layang-layang koyak entah milik siapa yang tersangkut di ranting jejawi. Cerita-cerita seram tentang pokok jejawi itu sudah ditanam di hatinya semenjak dia mula mengenal dunia. Bukan dia seorang, bahkan semua kanak-kanak di Kampung Sungai Teja. Sudin menggiatnya seolah-olah dia terlalu berani dengan pokok jejawi serta cerita-cerita yang melingkari pokok tersebut. Padahal Sudin pernah terkencing terberak apabila mendengar suara perempuan menghilai dari arah jejawi tua itu.
Kau orang berdua ni memang tak ada kerja ke, Sahak, Sudin
Suara Pak Syuaib mengejutkan kedua-dua orang pemuda itu. Sudin cepat-cepat turunkan kakinya yang terangkat sebelah. Tawanya tadi tiba-tiba sahaja terhenti bagaikan kereta yang dibrek mengejut. Sedangkan Sahak, sekadar menyapu ubun-ubunnya seperti ingin memberitahu Pak Syuaib yang dia tidak bersalah.
Bila lagi telur-telur ayam tu nak dikutip Kau orang nak tunggu sampai telur-telur tu menetas
Suara Pak Syuaib tidak pernah lunak apabila dia berhadapan dengan kedua-dua orang pekerjanya itu.
Kami tengah buat kerjalah ni,
Sudin cuba memberi alasan, biarpun Pak Syuaib menangkap mereka ketika mereka berdua sedang bertenggek di atas guni dedak di luar reban ayam.
Buat kerja kepala tengkorak kau orang!
Pak Syuaib hilang sabar.
Dari mula aku datang sampailah sekarang, kau orang asyik bercerita tentang jejawi tua tu dan bergelak tawa.
Sudin pandang muka Sahak. Sahak pandang muka Sudin. Tidak ada sebarang alasan yang boleh mereka berikan. Dan sememangnya kata-kata Pak Syuaib benar amat.
Kalau kau orang nak berhenti kerja, cakap sajalah. Aku boleh gajikan mat indon-mat indon tu buat kerja. Gaji lebih murah. Tak payah suruh pun diorang buat kerja,
Pak Syuaib cuba menggertak kedua-dua orang pemuda itu.
Aku rugi kalau macam ni. Dah macam aku pula yang jadi kuli, kau orang berdua jadi taukeh.
Eh, janganlah macam tu, Pak Syuaib.
Sudin cepat-cepat bersuara.
Bukan selalu kami macam ni.
Bukan selalu apa, memang selalu pun!
Kami janji lain kali kami tak buat lagi. Kami minta maafl ah.
Pak Syuaib menghela nafas panjang. Dari raut wajahnya, kedua-dua pemuda itu seperti dapat meneka Pak Syuaib sedang diamuk sesuatu. Pun begitu, tiada sebarang tanda yang Pak Syuaib sudi untuk berkongsi masalahnya dengan mereka. Boleh jadi, telur-telur ayam Pak Syuaib turun harga hari ini. Mungkin dedak ayam naik harga. Atau barangkali juga Pak Syuaib sama seperti mereka... memikirkan tentang jejawi tua.
Kau orang sudahkan kerja tu cepat. Ah Seong nak datang petang ni. Telur-telur tu semua belum dikutip dan belum dikelaskan lagi. Sejak aku gajikan kau orang berdua, tak banyak untung yang aku dapat.
Sekali lagi Sahak dan Sudin saling berpandangan. Pak Syuaib bagaikan memberi isyarat, khidmat mereka tidak lagi diperlukan.
Janganlah Pak Syuaib berhentikan kami. Kami ni banyak tanggungan,
Sahak merayu. Suaranya dipengaruhi perasaan sebak. Pak Syuaib tidak menjawab, sebaliknya sekadar merenung Sudin dan Sahak yang masih berdiri di hadapannya ke atas dan ke bawah. Kemudian dengan satu dengusan, dia meninggalkan kedua-dua orang pemuda itu menuju ke kandang kambing berhampiran. Melihat aksi yang ditunjukkan oleh Pak Syuaib, Sudin dan Sahak bergegas masuk ke reban ayam. Kerja mereka tidaklah sesusah mana. Kerja pertama adalah mengutip semua telur ayam dan dikumpulkan setempat. Apabila semua telur ayam tersebut telah dikumpulkan, tugas yang menanti mereka adalah membersihkan bahagian bawah petak ayam-ayam penelur itu daripada najis. Mereka bukan sahaja terpaksa mengumpulkan najis ayam yang turut dibeli oleh Ah Seong tetapi juga menabur kapur bagi mengelakkan lalat daripada bertelur. Tiada lagi suara yang keluar dari mulut keduaduanya. Sahak dan Sudin benar-benar ingin menunjukkan kepada Pak Syuaib bahawa mereka tidak layak dipecat. Pak Syuaib tidak perlu menggantikan mereka dengan pekerja-pekerja asing yang berkampung di penjuru Kampung Sungai Teja. Mereka jauh lebih layak berbanding pekerja-pekerja asing itu. Pada masa yang sama,
Pak Syuaib di kandang kambingnya tersengih lebar. Taktiknya berjaya. Takut benar Sahak dan Sudin kehilangan pekerjaan. Laku juga suara gertakannya. Laku juga raut wajah garangnya. Rata-rata pemuda Kampung Sungai Teja bekerja di bandar berhampiran sebagai pekerja kilang. Pokokpokok getah hanya ditoreh oleh golongan tua. Kebun dan dusun juga dijaga oleh golongan tua. Ramai juga yang sudah berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari kekayaan dan kejayaan, kalau tidak pun untuk mencari pasangan hidup. Kecuali Sahak dan Sudin yang tidak pernah berjaya mendapat sebarang pekerjaan di kilang-kilang kerana kelulusan mereka sekadar tamat darjah enam. Akibat tidak berminat dengan pelajaran, menjadikan mereka terperuk di Kampung Sungai Teja. Beza mereka dengan Angah Soyah hanyalah, mereka bernasib baik kerana Pak Syuaib mempunyai ladang ayam dan kandang kambing serta menggajikan mereka, sedangkan Angah Soyah pula terpaksa bergantung hidup dengan burungburung yang berjaya dipikat dan digetahnya.
Pak Syuaib mana
Sahak berbisik kepada Sudin tatkala mereka selesai mengumpulkan semua telur ayam.
Entah.
Sudin angkat bahu.
Boleh jadi ada di kandang kambing tu lagi.
Aku nak balik awallah hari ni.
Kenapa
Mak aku....
Sahak tidak meneruskan katakatanya.
Kenapa pula dengan mak kau
Sudin kerutkan keningnya.
Tadi aku tengok elok saja mak kau.
Mak aku nak suruh aku bawa dia ke pekan. Nak keluarkan duit, katanya.
Alah, petang nanti pun boleh.
Tapi kalau dapat balik awal, lebih baik. Badan aku letih sangatlah. Malam tadi, aku tidur lewat.
Habis tu, kau nak suruh aku kerja sorang-sorang
Sahak tersengih bagaikan kerang busuk terkena air sungai.
Takkan dengan aku pun nak berkira
Ahhh!
Sudin mendengus kasar.
Mesti kena kira. Bukannya aku dapat gaji lebih kalau kerja sorangsorang. Bukannya gaji kau tu dibagi kat aku kalau kau balik awal dan aku terpaksa bergelumang taik ayam dan telur-telur ni!
Sahak tidak mampu membalas kata-kata Sudin. Dia sentiasa mengalah dengan Sudin dalam segala hal. Kerja diteruskan semula. Cuma kali ini, tiada suara perbualan antara mereka. Sudin dan Sahak menumpukan perhatian kepada kerja yang dilakukan. Secara sedar atau sebaliknya, setiap tingkah laku mereka diperhatikan dengan kemas oleh Pak Syuaib. Pak Syuaib menyudahkan kerjanya di kandang kambing. Dia berlalu ke pokok nangka yang terletak lebih kurang lima belas meter dari kandang kambing kacangnya. Ada pangkin kayu di bawah pokok nangka itu. Ada kanvas buruk yang menghalang ulat bulu dan tahi burung dari jatuh ke pangkin kayu pada bahagian atasnya. Ada tongkol kayu yang ditarah berlekuk yang sering dilapik dengan kain cuking untuk memberikan kesan empuk apabila kepala diletakkan di atas tongkol kayu itu, sekali gus menjadikan ia sebagai sebiji bantal. Ada dua biji botol air mineral yang diisi dengan air teh yang pekat warnanya. Dan ada sebiji bekas plastik yang berisi makanan yang dibawa dari rumah untuk menjamu perut apabila kerjanya sudah selesai. Gelagat Sudin dan Sahak adakalanya membuatkan dia ketawa geli hati. Pak Syuaib cukup tahu, keduadua pemuda itu culas dan berat tulang. Mereka cuma rajin apabila di hadapan matanya. Pantang dia lepa, pasti kedua-duanya akan bersembang dan kerja mereka akan tertunda. Pun begitu, kedua-duanya adalah pemuda yang baik dan menurut perintah sekalipun orang kampung mengecop mereka sebagai kacang hantu. Sebabnya, setahu Pak Syuaib, baik Sudin mahupun Sahak, kedua-duanya hanya ada masa di ladang ayam. Tidak merayau-rayau dan berkumpul di kepala simpang mengacau anak dara kampung, mahupun merayap pada waktu malam mengendap orang berkelamin. Lalai mereka cuma di tempat kerja. Dek kerana itulah, Pak Syuaib akan mengawasi kedua-duanya ketika mereka memungut telur atau membersihkan najis ayam. Selagi telur-telur ayam tidak dikutip kesemuanya, dia tidak akan membenarkan Sahak dan Sudin berehat.
Selagi najisnajis ayam itu tidak dikaut dan dikumpulkan di tempat yang telah disediakan, dia tidak membenarkan mereka merehatkan tulang belakang. Selepas berpuas hati dengan hasil kerja mereka, barulah kedua-duanya boleh berehat. Dan rutin itu sentiasa berlaku saban hari. Sahak dan Sudin seolah-olah bertelinga badak dan berhati kering. Sudah berkali-kali Sahak dan Sudin menyindirnya. Kata mereka, kalaupun dibersihkan segala najis di bawah petak-petak ayam peranggang itu, bau busuk tetap ada. Sekalipun dicampakkan berguni-guni kapur yang boleh menghalang pembiakan berengga, lalat tetap juga banyak. Pantang letak makanan, habis dihurungnya dek lalat-lalat itu. Pantang letak kepala, lalat-lalat akan hurung sampai masuk ke lubang hidung. Kalau nak berbaring di pangkin itu, perlu juga diturunkan kelambu nilon yang digunakan untuk menghalau lalat. Kelambu nilon itu juga diturunkan ketika mereka makan bagi mengelakkan lalat-lalat hinggap di atas makanan. Satu-satunya cara untuk menutup mulut kedua-dua orang pemuda itu adalah dengan memaksa mereka bekerja tanpa henti. Kalau mereka hendak makan, Pak Syuaib tidak akan membenarkan mereka makan di atas pangkin berkelambu itu. Biar cepat mereka makan, cepat pula mereka menyambung kerja-kerja yang terhenti dek penangan lalat. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Terik mentari petang tidak terlalu dirasai. Bau dari kandang kambing dan reban ayam sudah lali di hidung Pak Syuaib. Bau yang berbaur itu langsung tidak menjijikkannya. Malah bau itulah yang menghidupkan dia dan keluarganya, bahkan turut memberi pendapatan kepada Sahak dan Sudin yang dianggap oleh kebanyakan orang kampung sebagai kacang hantu. Desir angin menggerakkan dedaunan nangka. Geseran dan tarian dedaunan hijau itu bertingkah dengan suara unggas di sekeliling selain ketak ayam dan embek kambing yang entah apa puncanya.
Peluh di dahi dan serata tubuh sudah bersatu dengan baju yang dipakai. Pak Syuaib mengeluarkan celepa tembakau dari kocek seluar labuhnya. Segulung rokok daun turut dikeluarkan. Dia memilih-milih daun yang paling besar dan dikangkangkan, sebelum digulung agar daun yang berwarna putih tulang itu terbuka. Kemudian, dia menggentel-gentel tembakau jawa yang dibeli di pasar basah di pekan sebelum dikenakan di atas rokok daun nipah yang melengkung.
Pak Syuaib!
Suara Sudin mendesah telinganya. Dia berpura-pura tidak dengar. Entah apa yang dimahukan oleh Sudin. Sebaliknya, Pak Syuaib menggulung rokok daun itu kejap-kejap sebelum dikumam dengan bibirnya.
Pak Syuaib!
Huh!
Dengus itu sahaja yang terpacul dari bibirnya, menyahuti panggilan Sudin. Pemetik api dinyalakan dan muncung rokok daunnya dinyalakan. Asap berkepul, menderu keluar dari lubang hidung Pak Syuaib dan di antara dua bibirnya yang hitam, sekali gus menerawang di udara sebelum hilang begitu sahaja. Sudin keluar dari reban ayam dan mendapatkan Pak Syuaib. Di belakangnya, Sahak membawa sebiji timba plastik berwarna merah hati.
Pak Syuaib!
Sudin seperti tidak berpuas hati kerana panggilannya tidak diendahkan oleh Pak Syuaib.
Ada apa
Pak Syuaib endah tidak endah. Sudin terus berjalan dan langkahnya hanya mati apabila dia berada betul-betul di hadapan Pak Syuaib.
Saya nak minta balik awal hari ni,
Sudin bersuara deras.
Kerja-kerja kau dah habis
Ada sikit lagi.
Siapa yang nak habiskan
Esok pagi-pagi saya datang.
Apa kerja yang kau tinggalkan tu
Hanya nak susun telur ikut gred saja.
Tak boleh! Selesaikan kerja tu dulu.
Air muka Sudin berubah. Sahak tersengih lebar.
Tapi....
Kalau kau nak balik awal, boleh....
Pak Syuaib bersuara lanjut.
Gaji kau, aku bagi kepada Sahak, boleh
Err... err... errr....
Sudin hilang kata-kata.
Kan aku dah cakap tadi, Ah Seong nak datang petang ni. Dia nak ambil telur-telur tu. Kalau tak dipilih dan dikelaskan telur-telur tu, bila masa pula Ah Seong nak ambil
Pak Syuaib menyoal kembali, sekali gus membuatkan kelopak mata Sudin terkelipkelip bagaikan mata katak tertelan kupu-kupu malam.
Tapi....
Sahak kena balik awal hari ini. Mak dia ajak dia ke pekan. Kalau kau pun nak balik awal, aku seorang sajalah yang kena buat kerja Kalau dah macam tu, baik kau tak payah kerja. Esok, nampak gayanya kenalah aku cari pekerja dari Indonesia tu untuk gantikan tempat kau.
Pedih sungguh hati Sudin apabila mendengar katakata Pak Syuaib. Sesuatu yang mencalar egonya ialah Pak Syuaib sudah bagi lampu hijau kepada Sahak untuk pulang awal. Niatnya untuk menghalang Sahak, nampaknya tidak berjaya. Taktiknya dipangkas oleh Pak Syuaib dan dia perlu bekerja di ladang itu seorang diri. Mana mungkin dia kehilangan kerja dengan Pak Syuaib. Tandingannya bukanlah dengan tenaga buruh dari seberang itu. Dia boleh buat kerja jauh lebih baik daripada mereka. Apatah lagi dia adalah anak tempatan. Dan yang paling penting, kalau dia diberhentikan kerja oleh Pak Syuaib, bagaimana pula dia hendak mengisi tembolok Bagaimana pula dia hendak meneruskan kehidupan sehari-hari sungguhpun dia masih mempunyai seorang bapa.
Tapi... kalau Sahak balik awal, takkan gaji dia pun dapat penuh juga Bagilah sedikit pada saya!
Sudin berterus-terang.
Kenapa pula aku nak potong gaji Sahak dan bagi kepada kau
Pak Syuaib beliakkan biji matanya. Rokok daun yang tercepit di bibirnya jatuh ke tanah ketika dia bercakap.
Saya kena buat kerja lebih.
Ah, selalunya Sahak yang buat kerja lebih. Dia tak minta pun gaji kau dipotong dan dibagi kepada dia.
Sudin berpaling kepada Sahak. Sahak tersengihsengih lagi. Hati Sudin semakin sakit. Sahak seperti mengejeknya.
Kau jangan nak mengarut! Pergi buat kerja kau!
Pak Syuaib berpaling ke arah Sahak.
Kau siapkan kerja kau, lepas tu balik. Bawa emak kau elok-elok. Jangan pula kau merempit di jalan raya tu.
Apa lagi yang boleh Sudin katakan. Sahak telah mendapat kemenangan walaupun tidak berterusterang dengan Pak Syuaib. Sedangkan dia pula terpaksa bekerja di ladang itu seorang diri. Mujurlah telur-telur telah dikutip. Mujurlah juga tahi-tahi ayam semuanya sudah dikumpulkan. Tempat tadahan najis ayam itu telah dibersihkan dan ditabur kapur.
Kau dah minum
Pak Syuaib bertanya sebaikbaik sahaja Sudin memulakan langkah ke arah reban ayam.
Belum lagi.
Mari minum dulu. Kejap lagi kita sambung kerja.
Sudin berpaling dan kembali mendapatkan Pak Syuaib. Pak Syuaib membalut rokok daunnya yang baharu. Sudin duduk di sebelah Pak Syuaib.
Ambil air teh tu. Dalam bekas tu, ada lepat pisang. Bini aku yang buatkan untuk kau. Katanya, kau suka sangat dengan lepat pisang.
Sudin tidak bersemangat dengan pelawaan Pak Syuaib. Pun begitu, perutnya yang berkeriau kelaparan, membuatkan dia mengagau juga lepat pisang dan menuang air teh ke dalam cawan plastik yang saban digunakannya setiap hari. Lalat-lalat segera datang dan menghurung lepat pisang di tangannya. Hilang sudah harapannya untuk balik awal. Hilang sudah rancangan yang diaturnya untuk bersemuka dengan Rohani. Dan hilang jugalah angan-angannya untuk berbual-bual dengan gadis jelita itu. Lebih-lebih lagi dia terpaksa bekerja seorang diri, sekali gus akan membuatkan masa kerjanya menjadi lebih panjang.
Naik atas sikit. Turunkan kelambu tu. Nanti kena penyakit pula,
kata Pak Syuaib. Sudin dan Sahak akur dengan arahan Pak Syuaib. Makan minum di ladang Pak Syuaib tidak menjadi soal. Setidak-tidaknya, sebahagian besar daripada belanja dapat dikurangkan kerana Pak Syuaib membawa makanan untuk dia dan Sahak setiap hari. Kalau tengah hari, adalah nasi dengan lauk pauk. Kalau pada sebelah petang pula, pastinya teh o dan kuihkuih. Hanya rokok sahaja yang perlu dibeli sendiri. Tentang makan minum, Sudin dan Sahak tidak gusar langsung. Kalau Pak Syuaib tidak dapat datang sebab ada urusan lain, isterinya yang akan menghantar makanan dan minuman buat mereka berdua. Selepas menghantar makanan, Mak Limah akan duduk di ladang itu sambil memerhatikan mereka bekerja, sekali gus menggantikan Pak Syuaib yang tidak pernah percaya untuk melepaskan dia dan Sahak bekerja sendirian. Cuti mereka hanya pada hari Jumaat dan Ahad. Pada kedua-dua hari itu, anak-anak Pak Syuaib akan balik dari bandar dan bergotong-royong di ladang tersebut. Merekalah yang melakukan segala kerja. Tidak pula Sudin pasti sama ada Pak Syuaib memberi mereka upah atau sebaliknya. Namun kerja-kerja yang mereka lakukan, sangat kemas dan teratur. Pak Syuaib menjadikan hujung minggu sebagai perhimpunan ahli keluarganya di ladang itu. Sahak dan Sudin tidak pernah diajak bersama-sama. Bahkan kalau mereka datang sekalipun Pak Syuaib pasti akan menyuruh mereka balik dan berehat. Satu perkara yang sangat dimaklumi oleh keduadua orang pemuda itu ialah, setiap kali Pak Syuaib mengajak mereka minum di atas pangkin itu dengan kelambu nilon diturunkan, itu tandanya Pak Syuaib sedang berusaha mengambil hati mereka.
Bau apa ni
Sudin hilang selera. Dia mendongak seolah-olah sedang menggunakan lubang hidungnya yang terperahang untuk mengesan datangnya bau yang kurang menyenangkan itu. Bau yang jauh lebih kuat berbanding bau tahi ayam dan tahi kambing.
Si Angah Soyah tengah cari burunglah tu,
Pak Syuaib masih leka menggentel rokok daun bertembakau jawanya, menjawab spontan. Wajahnya juga tidak menunjukkan reaksi terkejut.
Angah Soyah
Menjelanak mata Sudin mencari kelibat Angah Soyah. Lepat pisang dan cawan teh o tidak disentuh langsung. Bau Angah Soyah bagaikan memberitahu, jaraknya terlalu hampir dengan mereka, tetapi Sudin masih tidak dapat melihat kelibat Angah Soyah.
Mana pula dia menyorok
Menyorok apanya Tu ha! Kat depan pokok pisang tu!
Pak Syuaib menuding ke arah serumpun pisang rastali yang terletak ke kiri kandang kambingnya yang bersempadan dengan belukar dan dibatasi kawat berduri. Puas Sudin jegil. Puas Sudin beliakkan biji matanya. Rasa-rasanya dia masih belum rabun, sama ada rabun dekat ataupun rabun jauh. Namun kelibat Angah Soyah tidak kelihatan langsung. Hanya bau badannya sahaja yang kuat menusuk ke lubang hidungnya seperti bau kambing randuk yang ketagih hendak mengawan. Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, Sudin renung muka Pak Syuaib dalam-dalam. Pak Syuaib kelihatan sangat selamba. Lelaki yang berusia lima puluh lima tahun itu seperti benar-benar melihat Angah Soyah. Sedangkan dia pula, langsung tidak dapat melihat Angah Soyah. Dicuitnya Sahak. Sahak angkat bahu menandakan dia juga tidak dapat melihat Angah Soyah. Jangan-jangan Angah Soyah pakai pelimun, tak Sudin sempat bertanya di dalam hati. Tidak berpuas hati kerana kelibat Angah Soyah masih belum menyentuh pandangannya, Sudin bangun dan langsung berdiri bersama-sama cawan berisi air teh manakala sebelah tangan lagi memegang lepat pisang yang sudah ditokak separuh.
Mana dia Tak nampak pun
Pak Syuaib langsung ketawa. Entah apa yang menggelikan hatinya, Sudin tidak dapat meneka. Bergelak sakan sungguh Pak Syuaib sampai terkeluarkeluar air matanya. Malah tawa Pak Syuaib turut menarik perhatian Sahak yang masih berada di reban ayam. Dia keluar bersama-sama baldi plastik berwarna merah hati dan merenung Pak Syuaib serta Sudin sambil mengerutkan dahinya.
Kau tak nampak
tanya Pak Syuaib dalam gelak tawanya yang memanjang. Sudin menggeleng dengan sederas-derasnya. Sekali lagi Pak Syuaib ketawa terbahak-bahak. Sudin berasa tidak sedap hati. Lain macam pula nada tawa Pak Syuaib. Pak Syuaib bukan lagi mentertawakan ketololannya tetapi tawa Pak Syuaib bagaikan memberi amaran kepadanya. Tawa Pak Syuaib sudah semakin sama dengan tawa pontianak yang sering diceritakan oleh penduduk Kampung Sungai Teja. Bezanya cuma, si pontianak mungkin ketawa tanpa perlu mengalirkan air mata, sedangkan Pak Syuaib pula ketawa sambil menekan-nekan perut dan berkali-kali mengesat air matanya.
Kau tak nampak Angah Soyah, ke
Pak Syuaib bertanya dalam tawanya yang terbahak-bahak. Sudin tidak menjawab pertanyaan Pak Syuaib. Sebaliknya dia mendekati Sahak yang turut terpingapinga dengan gelagat Pak Syuaib.
Kenapa dengan Pak Syuaib tu
Sahak segera bertanya sambil mencuit lengan Sudin. Sudin kehilangan kata-kata. Air liurnya ditelan dengan penuh kepayahan. Pucat merata di seluruh kulit mukanya. Gelagatnya tidak keruan.
Kenapa dengan bos kita tu
Sahak mengulangi pertanyaan apabila Sudin tidak menjawab pertanyaannya tadi.
Aku... aku... aku tak tahu!
Sudin menjawab dengan nada tersekat-sekat.
Eh, kenapa dengan kau ni
Sahak kerutkan dahinya. Tebal. Sudin pandang muka Sahak. Halkumnya turun naik. Dia seperti mengalami kesukaran untuk menyusun dan menuturkan ayat.
Kenapa
Pak Syuaib....
Itu sahaja yang mampu diberitahu oleh Sudin kepada Sahak.
Kenapa dengan Pak Syuaib Kenapa dia gelak kuat sangat
Sudin angkat bahu. Sahak tenung Pak Syuaib.
Jangan-jangan Pak Syuaib dah kerasukan tak
Kerasukan apa
Kerasukan hantu jejawi tua.
Hah!
Atau boleh jadi, Pak Syuaib sengaja nak mengenakan kau
Pak Syuaib kerasukan hantu! Hantu Angah Soyah!
Giliran Sahak pula terkejut. Wajah Sudin ditenungnya dalam-dalam.
Hantu Angah Soyah Bila masa pula dia mati
Tapi... baunya....
Bau Angah Soyah
Sahak cuba mendapatkan kepastian. Sekali lagi Sudin mengangguk pantas.
La... tu saja
Mana Angah Soyahnya
Sudin cabar Sahak. Sahak memandang sekeliling. Dia tercangak-cangak dan terdongak-dongak.
Dekat pokok pisang rastali sebelah kandang kambing tu.
Sudin segera mengarahkan matanya ke kandang kambing. Lebih tepat lagi ke perdu pokok pisang rastali seperti yang dimaksudkan oleh Sahak dan Pak Syuaib. Namun, sama seperti tadi, dia tidak melihat kelibat Angah Soyah di situ. Jangankan kelibatnya, dehem Angah Soyah juga tidak kedengaran. Cuma yang ketara adalah bau badan Angah Soyah yang tidak menyenangkan nafas.
Kenapa aku tak nampak
Sudin sempat mengerling ke arah Pak Syuaib yang kembali membalut rokok daunnya dengan tenang seolah-olah tiada apaapa yang berlaku sebentar tadi.
Cuba kau tengok elok-elok. Kat balik pokok pisang rastali tu. Terlindung dengan pelepah pisang kering,
beritahu Sahak. Sudin tajamkan pandangannya. Dia masih gagal melihat Angah Soyah seperti mana yang dilihat oleh Pak Syuaib dan Sahak. Hanya setelah Angah Soyah bergerak sedikit, barulah Sudin perasan di mana Angah Soyah sedang bersembunyi.
Celaka punya Angah Soyah!
Sudin sudah tahu mengapa Pak Syuaib ketawa terbahak-bahak sebentar tadi. Tentu sekali Pak Syuaib ingin menakut-nakutkannya, apatah lagi Pak Syuaib kerap mendengar dia mentertawakan dan mengejekngejek Sahak yang pengsan berkali-kali kerana takutkan pontianak jejawi tua. Dengan kata lain, Pak Syuaib sengaja hendak mengenakan dia kali ini. Lebih malang lagi, Pak Syuaib mengenakan dia betul-betul di hadapan mata Sahak. Sekali gus membalas dendam bagi pihak Sahak.
Dah nampak
Pak Syuaib sengaja menekankan suaranya seolah-olah ingin memberitahu Sudin yang dia terlalu banyak berkhayal tentang puaka jejawi tua seperti yang sering diperkatakannya bersama-sama Sahak.
Dah!
Sudin menggertap bibir. Cepat-cepat dia menyarungkan seliparnya dan pandangannya kepada Angah Soyah langsung tidak lekang-lekang.
Kau nak pergi mana tu
Pak Syuaib kembali bertanya.
Nak mengerjakan Angah Soyah.
Sudin berterusterang.
Jangan nak mengada-ngada!
Suara Pak Syuaib kembali tegas.
Jangan kau apa-apakan Angah Soyah. Kalau aku tahu kau ada buat apa-apa kat dia, tahulah nasib kau nanti.
Sudin tidak menjawab sebaliknya kembali mendapatkan Pak Syuaib dan menghabiskan makan minumnya. Gerun juga dia dengan ancaman yang diberikan oleh Pak Syuaib. Dan sememangnya dia cukup maklum, Pak Syuaib bukan ancam kosong.
Lepas Ah Seong ambil telur-telur ini, kau ikut aku petang ni,
beritahu Pak Syuaib setelah Sudin duduk di sebelahnya dan kembali tenang.
Nak pergi ke mana
Tak payahlah tanya. Nanti kalau aku cakap, kau takut pula.
Sudin menelan air liurnya lagi. Pada masa yang sama, dia sempat melemparkan pandangan ke arah Angah Soyah yang masih bersembunyi di sebalik pelepah pisang kering. Kalaulah bukan kerana Pak Syuaib ada di situ, pastinya dia akan mendekati Angah Soyah dan menyekeh kepala pemuda tiga suku itu dengan sepuas-puas hati. Biar lain kali Angah Soyah belajar sedikit, agar tidak menakut-nakutkannya.
Celaka punya Angah Soyah!
Sudin berbisik dengan ekor matanya tajam menikam badan Angah Soyah yang hampir sebati dengan warna batang pokok pisang rastali itu.