BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 1
Itu apa abah

Leman menunjukkan sebaris tiga bintang yang elok tersusun di langit malam. Langit pekat malam yang dihiasi dengan bintikbintik cahaya bintang dan seketul bentuk bulat bulan ditambah dengan bias-bias cahaya di sekelilingnya. Indah. Ada juga yang berkuning-kuning bercahaya berterabur. Dengan sipi-sipi awan litup yang membuah kepul-kepul bayang bulan, alam yang hitam pekat menimbulkan makhluk Tuhan yang ini untuk dilihat dari Bumi.

Leman duduk bersila di atas pangkin lama. Yang lusuh dan buruk berwarna coklat hitam dan bersisir licin tanpa satu pun selumbar. Bekas-bekas duduk dan tempat kaki juga bersih tanda sering sahaja orang mengambil nafas dan berehat hilangkan penat di situ. Lalang-lalang merapati tiang-tiang pangkin. Serabut dengan semak di hujung kaki-kakinya. Bunga-bunga kecil yang hidup tanpa disiram manusia juga liar di sekitar.

Angin menyapa lembut. Gelap malam hanya menampakkan sedikit sahaja daun-daun yang bergoyang. Melambai-lambai.

Abahnya menjawab;

Itulah bintang tiga serangkai, zaman dulu-dulu orang Arab selalu guna untuk berlayar, menghadap kiblat bintang tu. Cuba tengok betul-betul.

Leman memandang ke atas dan cuba menggapai gapai dengan tangan kanannya. Tangan kirinya pula disandung di pinggang. Tangan kanan abahnya pula diletak perlahan di atas bahu Leman. Anak bongsu daripada tiga orang anak ini sangat rapat dengan Cikgu Muhammad, Guru Besar Sekolah Pasir Rawa yang terletak di pesisir kampung bersebelahan pekan Mentakab, bandar Cina yang sememangnya menjadi pusat membeli barang-barang dapur serta sekolah penduduk di sini.

Cikgu Muhammad berkulit sawo matang, berkening lebat dan berambut lembut panjang yang kadang-kadang jatuh sehelai dua di hadapan dahi. Popularitinya menaik kerana keberanian berkahwin dengan Mak Cik Vijaya yang berbangsa India datang jauh dari tanah Kerala. Pernah dulu gempar seluruh pelosok Kampung Pasir Rawa saat Cikgu Muhammad membawa balik isterinya yang putih melepak dan berambut kerinting bergulunggulung dengan ikatan ekor kuda di hujungnya. Hampir seluruh penduduk Kampung Pasir Rawa bercerita tentang ini. Tentang kecantikan. Tentang hidung. Tentang warna kulit. Tentang kenapa berkahwin dengan India. Tentang adat-adat. Tentang bahasa. Tentang pakaian. Tentang makanan. Habis lengkap semua pakej menjadi bualan.

Kelembutan wajah Mak Cik Vijaya memang tidak ada siapa boleh sangkal. Malah Mak Lang dan Mak Tehteh yang berjiran sepelangkung juga tidak pernah tidak menyinggah untuk melihat kecantikan Mak Cik Vijaya dengan berbagai alasan kosong mahu menghantar sayur dan buah. Dapat bersalam dan merasai kelembutan tangan dan jari jemari Mak Cik Vijaya sudah menjadi sebutan satu kampung. Hidungnya mancung, tirus runcing hingga ke tulang yang membelah dahi. Matanya pula bundar. Setiap kali beliau mengilas pandang kepada manusia lain yang sedang lalu, matanya pasti galak bersinar. Rambut yang bergulung-gulung itu pula mudah sahaja diangkat angin lalu seakan terbang dihembus-hembus laju ke belakang.

Dengan wajah persis pelakon Sri Dewi, Mak Cik Vijaya bijak mengenakan busana yang sesuai dengan dirinya. Kadangkadang memakai skirt labuh dengan baju blaus berkolar rendah. Rambutnya diikat kemas dan dibiarkan jatuh ke belakang. Bibirnya dibiar tanpa sedikit pun sentuhan gincu, pipi yang sedia putih juga dibiarkan tanpa bedak. Sudah cukup bersih. Ayu dan asli.

Ada sahaja yang mahu melihat. Waima jadual waktu Mak Cik Vijaya menyidai pakaian juga diketahui oleh mak cik-mak cik yang lain. Ada sahaja yang mahu menjenguk, lalu lalang sambil memegang bungkusan konon-konon begitu begini. Semua tidak terlepas mahu menonton wajah asing yang punya istimewa pada mata bundar, pipi licin dan bulu mata yang melentik separuh bulat tersebut.

Pernah satu ketika, Cikgu Muhammad membawa Mak Cik Vijaya ke pasar Mentakab. Hampir semua nenek-nenek yang berniaga pada waktu itu bersalaman dengan Mak Cik Vijaya. Cikgu Muhammad pula terkebil-kebil dengan beberapa beg supit di kiri dan kanan tangannya. Keramahan dan budi bahasa Mak Cik Vijaya menjadikan dia disenangi orang kampung walaupun masih belum fasih berbahasa Melayu.

Kini sudah pun beranak tiga, Mak Cik Vijaya masih lagi disenangi dan dikelilingi peminat. Jika dulu mahu melihat kecantikan wajahnya, kini kenalannya mahu merasai air tangannya. Dengan promosi Cikgu Muhammad, hasil dapur Mak Cik Vijaya sudah setaraf chef-chef handalan di televisyen. Ada sahaja pesanan yang dibawa oleh Cikgu Muhammad. Kek buah, kek marble, biskut Mazola dan tidak lupa kari kambing yang menjadi kegilaan rakan-rakan cikgunya.

Kadang-kadang Leman akan menolong Mak Cik Vijaya menyiapkan satu dua pesanan. Satu-satunya anak lelaki yang boleh diharapkan. Yang lagi dua lebih gemar bersukan dan menghabiskan masa menonton rancangan kegemaran masingmasing di televisyen kecil di ruang tamu yang sebesar satu perlapan ruang rumah itu. Rumah kayu yang dibina sendiri hasil dari menjadi guru di kampung. Menggunakan kayu-kayu khas yang dibeli dari Syarikat Perkayuan Semantan, rumah Cikgu Muhammad boleh sahaja dikatakan rumah paling istimewa di kampung ini.

Bahagian hadapannya lengkap dengan tujuh anak tangga yang menurun tiga puluh peratus. Tidak curam. Tidak juga terlalu mendatar. Disambung bahagian atas tangga dengan sedikit ruang yang dibuat ala beranda Inggeris yang pimpinannya suka sekali berdiri dan melambai manusia dari atas. Kemudiannya barulah disatukan dengan pintu ruang tamu rumah. Atapatapnya pula tersusun rapi sama cantik dengan susunan kayukayu yang menjadi dinding. Nampak serasi dengan warna dan aturan bumbung yang dipaku dan diikat kuat bersama-sama.

Di bahagian belakang pula, dibuatnya tangga untuk menuruni menuju ke dapur. Nampak dari luar rumah yang ada sedikit batuan yang dicampur binaannya. Simen kelabu pudar nampak retak-retak seakan menjadi corak-corak yang tersendiri. Leman antara yang suka sekali melepak di tangga tersebut menghadap ibunya memasak. Kadang-kadang tangan itulah juga yang membantu ibunya.

Sekadar mengangkat tepung dan menimbang menggunakan dacing lama. Atau membasuh telur-telur ayam yang banyaknya tersusun di atas sarang kelabu untuk dipecah dan diadunkan bersama dan menjadi produk hangat buat yang memesan. Leman satu-satunya anak yang kerap bersama Mak Cik Vijaya di dapur dan yang paling gembira setiap kali diajak ke pasar oleh Cikgu Muhammad.

Tiga bintang ini menyinari gemilau Kampung Pasir Rawa. Dua daripadanya dikenali, satu daripadanya hanya menjadi bintang kecil yang kadang-kadang sahaja membawa tuah.