KARKUMA - 1
PULAU Lenggeng terletak di sekitar perantaraan Laut Andaman dan Teluk Bengal. Berkurun-kurun dahulu Pulau Lenggeng didiami penduduk peribumi dari tiga puak berlainan iaitu puak Anyer, Sulu dan Tuban.

Meskipun mereka berlainan puak, budaya dan kepercayaan agama namun mereka hidup aman damai di pulau tersebut. Kekecohan bermula pada awal abad 417 Masihi ketika berbagai kepercayaan dan ajaran tentang agama tersebar di Nusantara. Suatu malam tatkala bulan mengambang penuh: Cantiknya bulan mengambang pada malam itu memikat setiap makhluk bumi hatta makhluk halus sekalipun.

Saat bintang-bintang menyanyi dan bulan menari-nari, datang berlabuh bala tentera bangsa Nabui di tepian pantai barat Pulau Lenggeng. Menjelang Subuh, diketahui rupa-rupanya bala tentera itu berniat menceroboh Pulau Lenggeng. Mereka dengan ganas menyerang penduduk hingga berlaku pertempuran yang merebak dari satu daerah ke satu daerah lain di seluruh Kepulauan Lenggeng.

Orang Nabui berasal dari negeri Tanah Nabui, di pesisiran selatan negeri Silon. Negeri Tanah Nabui berada di bawah pemerintahan seorang raja bernama Sutan Ghadabijinga. Sutan ialah gelaran nama bagi orang lelaki berdarah keturunan pemerintah negeri. Bagi orang perempuan pula gelarannya ialah Puti.

Hampir seluruh rakyat Tanah Nabui terdiri dari bangsa Nabui dan menganut agama Huku. Huku ialah agama penyembah berhala, pengamal ilmu hitam atau sihir yang dikenali sebagai mubtadi, yang menjadi pegangan asas rakyat Tanah Nabui. Kepada mereka yang ahli dalam hal pengetahuan agama Huku akan diberi darjah gelaran Warak.

Golongan pemikir atau warak-warak Huku sangat terkenal kerana memiliki kepakaran tentang ilmu sihir. Begitu juga golongan bangsawan Nabui, sebilangan besar mereka adalah pengamal mubtadi. Tidak hairanlah, dalam masa enam minggu Pulau Lenggeng jatuh ke tangan orang Nabui.

Dan tidak hairan bahawa kejayaan itu diperoleh melalui permainan sihir selain pedang. Ketika pertempuran berlaku antara tentera Nabui dan penduduk peribumi, ramai penduduk cedera parah dan terbunuh. Sebaliknya tiada seorang pun daripada anggota tentera Nabui yang terbunuh dan boleh dikira dengan jari mereka yang cedera, pada hal anggota tentera Nabui hanya seramai 400 orang berbanding hampir 10,000 penduduk peribumi. Kesudahannya, dalam tempoh tiga bulan, pulau Lenggeng berada di bawah kerajaan Tanah Nabui. Nama Pulau Lenggeng juga dengan rasmi ditukar menjadi Pulau Nabui.

Panglumar ialah orang yang bertanggungjawab mengepalai bala tentera Nabui ketika menyerang Pulau Lenggeng. Sebagai menghargai jasanya, maharaja atau pemerintah kerajaan Tanah Nabui iaitu Sutan Ghadabijinga telah melantik Panglumar menjadi Datuan Tinggi pertama, memimpin Pulau Nabui, negeri yang baru ditaklukinya. Datuan Tinggi adalah darjah gelaran yang setaraf Perdana Menteri.

Sejak awal kepimpinannya di bawah naungan Sutan Ghadabijinga, Panglumar sudah mengerah kudrat rakyat peribumi pulau itu membina bangunan rasmi kerajaan di bandar Kemubing.

Bandar Kemubing diisytiharkan sebagai ibu negeri Pulau Nabui dan bangunan pertama dibina ialah Istana Bijinga, mahligai kediaman rasmi Sutan Ghadabijinga. Diikuti pula dengan pembinaan Kompleks Kuil Huku atau bangkir iaitu bangkir pertama dibina di Pulau Nabui yang kemudiannya dikenali sebagai Bangkir Ghadabi, sempena nama Sutan Ghadabijinga.

Bangkir Ghadabi terletak di pinggir bandar Kemubing. Bangunan setinggi lima tingkat ini memiliki lima lapisan bumbung bermahkota, diperbuat daripada lima jenis batu-batu berharga. Bumbungnya dari lima jenis tumbuh-tumbuhan, ditambah pula serinya dengan ukiran penuh kreatif dan halus.

Segala kemahiran seni ukir dan binaan bangunan bangkir datangnya dari kebolehan dan keringat rakyat peribumi puak Anyer, Sulu dan Tuban. Rakyat peribumi ini diumpamakan sebagai hamba abdi oleh Datuan Tinggi Panglumar. Semua kaum lelaki dewasa puak-puak itu dipaksa menjadi buruh paksa untuk membina Istana Bijinga dan Bangkir Ghadabi.

Mereka sentiasa dikawal ketat oleh bala tentera Nabui ketika membuat kerja pembinaan kedua-dua bangunan yang memakan masa lebih dua tahun untuk disiapkan. Tidak cukup dengan dua bangunan itu, tenaga dan kepakaran rakyat peribumi ini dikerah hingga ke penghujung bagi menyiapkan beberapa bangunan milik kerajaan di sekitar Bandar Kemubing.

Untuk mengelakkan berlakunya pemberontakan dari penduduk peribumi, setelah siap sepenuhnya semua kerja-kerja pembinaan bangunan, Sutan Ghadabijinga mengarahkan kumpulan Ahli Sihir Diraja atau Sitarta melemparkan sihir terhadap seluruh keturunan tiga puak peribumi ini.

Ekoran sumpahan Sitarta yang dahsyat itu, seluruh keturunan Anyer, Sulu dan Tuban berubah wajah pada hari keesokannya, mereka bertukar menjadi manusia jadi-jadian. Wajah dan tubuh mereka berkongsi rupa separuh manusia dan separuh haiwan. Sejak itu kehidupan puak Anyer, Sulu dan Tuban merana zahir dan batin, sengsara di tanah tumpah darah sendiri. Bukan itu sahaja, bahkan mereka dipaksa pula menganut ajaran Huku. Jika berdegil, hukumannya dikurung tanpa makan, dan dibiarkan sampai mati jika terus berdegil. Kezaliman Sutan Ghadabijinga memang amat terkenal.

Mendengar sahaja perkataan Sutan, rakyat jelata sudah ketakutan. Itu belum melihat kemurkaan diwajahnya. Di mana bumi dipijak di situ langit kita junjung, itulah cogan kata pembakar semangat puak Anyer, Sulu dan Tuban untuk meneruskan kehidupan mereka dari satu generasi ke generasi pemerintahan Sutan Ghadabijinga.

Sebelum disumpah dan dijajah orang Nabui, Puak Anyer yang berkulit kuning langsat, mengamalkan ajaran nenek moyang mereka, menyembah patung monyet diukir pada dahan pokok besar di hutan, setiap kali bulan mengambang. Setelah disumpah menjadi manusia jadi-jadian, wajah mereka hodoh menyerupai beruk. Pakaian mereka diperbuat dari jerami, menutupi dari paras dada hingga lutut. Kehidupan mereka bercucuk tanam. Rumah-rumah mereka bertiang tinggi, dibina di persekitaran kawasan hutan, diperbuat dari dahan pokok dan berbumbungkan daun nipah.

Puak Sulu, secara fizikalnya, berkulit hitam dan tinggi lampai. Mereka tidak percaya adanya Tuhan, selain ketua kampung mereka. Setelah disumpah, wajah mereka hodoh, telinga dan gigi menyerupai keldai, berhidung tebal dan kembang. Tangan luar biasa panjang, mencecah hingga ke betis. Pakaian diperbuat daripada kulit kayu ditumbuk nipis. Kaum lelaki menutupi bahagian depan dan punggung. Kaum wanita menutupi dada hingga lutut. Kaum lelaki memburu binatang. Kaum wanita menternak. Rumah mereka diperbuat daripada rotan dan buluh, dibina di persekitaran lereng-lereng bukit.

Puak Tuban mengamalkan ajaran pemyembahan batu-batu besar yang terdapat di pesisiran pantai. Puak ini secara fizikalnya kerdil, berkulit coklat. Setelah disumpah, wajah mereka hodoh, bibir tebal dan hidung kecil penyet tanpa batang menyerupai ikan. Gigi mereka kecil-kecil dan tajam serupa gigi ikan, telinga kecil, berbulu mata lebat tetapi tanpa bulu kening. Tidak kira lelaki atau perempuan, tubuh mereka hanya ditutup dari paras pinggang hingga ke lutut, dengan anyaman siput-siput kecil yang seperti jala atau tali. Puak Tuban hidup sebagai nelayan. Kaum lelaki pakar dalam bidang pelayaran, membuat sampan, perahu atau kapal. Rumah mereka dibena di sepanjang persisiran pantai, diperbuat dari batu dan tanah liat.

BERMULANYA DI SINI....

BERATUS tahun kemudian, Pulau Nabui masih kukuh di bawah pemerintahan kerajaan bangsa Nabui, yang makin kuat sikap patriotiknya serta pegangan terhadap agama Huku. Patung berhala Huku diperbuat daripada batu yang berharga.

Berhala paling tinggi darjat dan dianggap sangat berkuasa, ialah berhala gergasi seorang lelaki gagah bertubuh sasa dan bersayap lebar di belakangnya, serta berekor panjang di belakang duburnya.

Berhala dinamakan Dewata Garuda Chandi, ketinggian 20 kaki. Berhala lain pula adalah patung Sutan Ghadabijinga sendiri. Sifat garang menjadi lambang kehidupan penganut agama Huku. Maka itu kebanyakan orang Nabui menyombong dan membenci orang Anyer, Sulu dan Tuban.

Bagaimanapun, Gatha Uda dan isterinya Wanis, tergolong daripada segelintir orang Nabui berhati mulia. Walaupun miskin harta, mereka kaya budi bahasa. Gatha Uda dan isterinya, sangat disayangi penduduk Kampung Cendana.

Ini terbukti di sekitar tahun 961 Masihi, hampir semua penduduk Kampung Cendana dibanjiri air mata apabila Gatha Uda dan Wanis diberitakan mati. Penduduk kampung berkabung, berpakaian hitam selama empat belas hari empat belas malam. Dan, selama tempoh itu juga suasana Kampung Cendana diselubungi kegelapan.

Suatu malam itu, bumi sungguh indah disinari bulan yang terang. Gatha Uda dan Wanis berjalan pulang dari majlis keramaian di Kampung Seberang.

Iye, kami ade nampak dema bergelak tawe, jalan pegangan tangan seraye berborak terkekeh-kekeh. Begitulah jawapan dari setiap orang yang ditanya sama ada mereka ada ternampak Gatha Uda dan isterinya.

Namun begitu, pada hari keesokannya, mayat pasangan suami isteri itu ditemui di bawah pohon kemboja di pinggir tempat laluan orang Kampung Cendana. Mayat Gatha Uda tergantung di pokok, manakala mayat Wanis terbaring di tanah, di bawah kaki suaminya yang tergantung.

Kedua-dua mayat basah kuyup. Ngeri rasanya difikirkan mengapa keadaan mayat begitu, padahal hari tidak hujan dan tiada pula sungai atau tasik di kawasan berdekatan. Sungguh tragis peristiwa itu, menjadi misteri orang Kampung Cendana yang hingga ke hari ini masih terkejut dan tertanya-tanya sebab kematian Gatha Uda dan Wanis.

Selama hidup Gatha Uda dan Wanis sebagai suami isteri, mereka dikurniakan anak lelaki, bernama Karkuma.

Karkuma seorang pemuda berbudi tinggi dan berhati mulia seperti ibu bapanya. Bak kata bidalan, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tahun 979 Masihi, Karkuma berusia 38 tahun, bekerja sebagai tukang kebun di Bangkir Ghadabi.