SELESTIAL - 1
the phosphorus / the martian

Bagaimana hendak huraikan sesuatu yang duduknya antara falsafah dan juga sains Sebagai contohnya, duduknya saya di sini selaku jirim gelap yang anda takkan mampu fahami walau sedikitpun dengan peraturan-peraturan fizik yang anda biasa dengar dan amal.

Saya mengandaikan, untuk saya menjelaskan analogi kewujudan saya dan simbiosisnya, saya harus keluar dari jirim gelap ini dan bentangkan secara manusiawi agar anda boleh faham. Bagaimana kalau saya gunakan analogi sebegini: seorang tua di permukaan planet Marikh sedang meneropong bumi anda yang dikatakan penuh kehidupan itu. Ya, penuh kehidupan di mata anda, tetapi di mata saya anda semua ini mati. Telahan inilah yang buatkan anda tidak dapat menemui kehidupan lain di alam semesta yang anda terokai. Bagaimana hendak anda temui kehidupan lain di tempat lain, sekiranya apa yang anda lihat itu sudah ditafsir selaku benda mati

Maka, itulah matlamatnya saya menukilkan sesi ini. Saya tak dapat berbicara dalam bahasa sains anda yang masih berkembang itu. Saya sampaikan karya saya dalam catatancatatan rawak. Diharap sesudah usai saya menukilkan karya ini, anda akan menyimpulkan hijab yang telah memisahkan kita dari bersua.

Kita harus berinteraksi jua untuk faedah bersama. Kita harus mengiktiraf kewujudan masing-masing dan cuba untuk hidup bersama secara harmoni.

Oleh yang demikian, saya akan memulakan perjalanan saya ini dengan pembayangan sebuah pondok di permukaan planet Marikh yang anda lihat kemerahan dan mati itu. Dan saya adalah orang tua di dalamnya yang sentiasa meneliti apa sahaja peralatan yang anda turunkan ke atas muka planet yang indah dan bernyawa ini.

Oh ya, anda masih melihat Marikh selaku planet yang mati bukan Biarlah saya tunjukkan apa yang tak mati di mata anda.