Lelaki yang membina rumah itu sangat suka akan hujan, dan tergila-gilakan matahari. Dia membina rumah itu
dengan banyak sekali tingkap agar dia boleh menikmati kehangatan matahari, sekali gus boleh menghirup wanginya bau tanah yang basah saat hujan membasahi bumi. Dulu, tingkap-tingkap itu tidak pernah ditutup.
Abriel belajar menyukai dua perkara itu kerana dia juga sayang lelaki yang membina rumah itu. Dengan sepenuh hati, dengan segenap jiwa, langsung tidak ada setitik pun yang kurang. Dia membiasakan dirinya bangun sebelum matahari terbit, menunggu untuk melihat sinar itu muncul di ufuk timur bersama lelaki itu di bilik tidur mereka. Dan ketika musim hujan datang, mereka akan melihatnya melalui tingkap keenam.
Abriel memejamkan mata, cuba mengingati kembali katakata yang selalu dibisikkan Ruben kepadanya. Malam seperti itu pernah mereka lalui bersama, menikmati hujan malam bersama-sama melalui tingkap yang terbuka. Rasanya seperti baru semalam Ruben memeluknya dari belakang, mencium harum rambutnya sambal tersenyum dan kemudian dia mendengar bisikan itu: Tuhan pasti sedang tersenyum melihat kita saat ini.
Awalnya Abrie tidak faham kenapa Ruben berkata begitu. Ketika ditanya, Ruben menjawab sambal tersenyum. Hujan tu berkat yang tak terhingga. Seperti matahari, hujan juga kehidupan. Seperti Abriel untuk Ruben. Dia tersenyum malu dengan pipi merah padam saat pertama kali mendengar penjelasan suaminya.
Suaminya itu memang seorang yang lembut dan romantik.
Terlalu romantik untuk seorang Abriel yang sudah terbiasa dengan percakapan tanpa bunga-bunga dan pujian. Katakata yang dibisikkan Ruben selalu membuat dia kehilangan kata, sehingga kadang-kadang dia mahu bersembunyi di satu sudut gelap di pelusuk Bumi.
Tetapi lama kelamaan, Abriel mula biasa mendengarnya. Dia juga sudah mula rindukan bisikan itu. Bisikan yang khas untuknya. Tidak ada orang lain. Abriel sangat cintakan Ruben. Lelaki itu juga pernah mengaku tak mampu hidup tanpa Abriel. Pada Ruben, Abriel adalah hujan yang membasahi hatinya dan matahari yang menyinari hidupnya. Abriel tersenyum mengingat tawa riangnya saat mendengar Ruben berkata begitu tanpa canggung. Merepeklah! seru Abriel saat itu.
Orang yang tidak faham mungkin menyangka mereka hanya terjebak dalam cinta monyet zaman remaja saja dan akan lenyap saat mereka meningkat dewasa. Itulah sebabnya ketika Ruben mahu melamar Abriel, ibu bapa Abriel menyuruhnya berfikir berulang-ulang kali. Mereka tahu Ruben lelaki yang baik tetapi mereka beranggapan perkahwinan muda itu bukan sesuatu yang mudah. Tetapi sebenarnya pasangan muda itu mempunyai alasan kenapa mereka mahu berkahwin secepat mungkin.
Rupa-rupanya Ruben sakit. Leukemia tahap tiga. Kata doktor, kemungkinan untuknya sembuh sangat tipis. Tidak ada ubat yang boleh merawatnya kerana sel kanser itu sangat aktif. Abriel kebingungan. Dia tak tahu apa yang harus dilakukan. Tetapi saat itu Ruben membisikkan sesuatu dengan senyum di bibirnya. Abriel adalah hujan dan matahari untuk Ruben. Kalau kita bersama, tak ada yang mustahil. Hujan membawa kehidupan dan matahari membawa hari baru. Mungkin kata-kata aku agak egois bunyinya, tapi tolonglah kabulkan satu keinginan aku. Akum ahu memiliki hujan dan matahari untuk diriku
sendiri.
Itulah kata-kata yang membuat Abriel mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Ruben. Dia memahami risiko yang diambilnya, termasuklah kemungkinan paling buruk yang akan terjadi. Baginya cuma ada satu pilihan: its now or never.
Akhirnya Mama dan Papa menyerah. Sebaik Abriel tamat SPM, pasangan muda itu melangsungkan perkahwinan. Mereka selalu bersama sejak detik itu. Menjalani hari demi hari yang seakan mahu Abriel bekukan dalam ingatan. Tidak ada gambar atau video yang boleh merakam dengan sempurna hari-hari mereka. Kehidupan mereka tidaklah lancar setiap hari, namun dirasakan indah dan benar-benar hidup.
Saat mereka berkahwin, rumah itu belum siap sepenuhnya. Ruben mengajak Abriel berlari mejelajahi ruang demi ruang hinggalah dia sampai di bilik itu, ruang yang menghadap timur. Nah, this is our bedroom. We can see sunrise from here, kata lelaki itu sambil ketawa.
Abriel juga ketawa. Rasanya dia ingin menari-nari di tengah-tengah ruang yang masih kosong itu. Dan itulah yang mereka lakukan, berpusing-pusing di tengah ruang itu sambil ketawa. Ketika mereka merasa keletihan, Ruben memeluk erat isterinya, masih terus menari. Dan tersenyum. Gadis itu masih ingat betapa eratnya dia memeluk Ruben saat itu. Dia khuatir suaminya akan terbang melalui tingkap-tingkap yang terbuka itu kalau dia tidak melakukannya.
Abriel juga masih ingat gosip-gosip yang bertebaran saat mengetahui dia dan Ruben berkahwin. Ada yang menuduhnya sudah terlanjur dan sedang mengandung sebelum nikah. Abriel hanya tersenyum mendengar berita yang disamaikan itu. Kalau dilayan, menyakitkan hati. Jadi dia memutuskan untuk tidak melayani gosip-gosip liar itu. Yang ironinya, mereka tidak mampu untuk memiliki anak. Kos perubatan Ruben yang terlalu tinggi menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyediakan keperluan seorang anak. Malah pernah Ruben menyatakan hasrat untuk menghentikan rawatannya agar mereka boleh menyimpan wang dan bersedia untuk memiliki seorang anak tetapi idea itu dibantah keras oleh Abriel. Memang dia mahukan anak tetapi bagi Abriel, kesihatan Ruben lebih penting. Dia masih ingat sorot mata Ruben yang menyimpan duka dan kekesalan saat dia dengan tegas menyatakan penolakannya. Ruben lebih banyak mendiamkan diri selepas itu.
Sekarang Abriel menyesali keputusannya. Kalau dia setuju saat itu pasti sekarang dia sudah memiliki anak bersama Ruben. Anak yang akan terus mengikatnya bersama Ruben. Ah, cuma harapan kosong. Boleh jadi mereka tetap tidak mendapat anak walaupun Ruben menghentikan rawatannya.
Abriel mengusap perutnya yang rata tanpa sedar. Perutnya, tempat yang paling disukai Ruben untuk berbaring saat sakit menderanya. Malah saat berbaring berbantalkan perut Abriel lah Ruben menghembuskan nafas terakhir. Di situ, di dalam bilik tidur mereka, kerana Ruben enggan pergi ke hospital. Saat itu semua tingkap bilik itu terbuka, di luar hujan membasahi bumi ketika matahari masih bersinar terang. Dua perkara yang paling disukainya, menjemputnya pergi dan meninggalkan Abriel sendiri.
Ketika itu umur Abriel baru Sembilan belas tahun. Status yang disandangnya kembali menjadi bahan gosip. Dan kali ini dia benar-benar marah. Bukan kehendaknya untuk menjadi janda! Dia juga tidak mahu kehilangan suami! Tetapi siapa yang boleh menghalang takdir Tuhan Tahukah mereka yang tidak ada yang akan boleh menggantikan Ruben di hatinya
jjj
Dua tahun berlalu tetapi kenangan itu masih segar di ingatanya. Kadang-kadang dia terlupa sejenak tetapi kemudian ia pasti kembali. Seperti malam itu, Abriel berdiri di depan tingkap yang lebih tinggi daripada tubuhnya sambil berbisik. Hai Sayang, apa khabar Aku rindu. Abriel melangkah kembali ke katilnya. Matanya singgah ke katil yang kosong di bahagian tempat Ruben selalu tidur. Seperti hatinya yang kosong dan tidak mahu diisi. Air matanya mengalir tanpa dapat ditahan. Hujan di luar semakin deras, bau tanah masih dapat dihidunya. Ruben ada di situ malam itu. Abriel pasti.