Langit-langit yang bersama awan semuanya nampak mengasingkan diri. Tidak bersama. Entahlah kenapa.
Burung juga langsung tidak kelihatan. Dari sebatang pokok kepada sebatang pokok yang lain, semuanya suram. Diam dan sepi. Angin yang bersepoi menghempas batang-batang pokok pun tidak dihiraukan. Dicengkam kuat pada dahan-dahan pokok lalu burung-burung tersebut menundukkan diri memandang tanah.
Nurul duduk sahaja di pangkin rumahnya. Kepalanya didongakkan, sedang melihat awan yang terbentuk satu demi satu itu lalu memisahkan diri dan bergerak sepi seorang diri di atas awan. Kemudian melihat semua itu berlaku di hadapan mata kecilnya. Beliau tidak tahu atas alasan apa alam yang ada di hadapan matanya itu mahu menunjukkan diri yang sedang dalam perasaan gelisah yang amat sangat. Nurul merasakan ini pasti ada sesuatu. Sukar nak digambarkan, nak dikisahkan, dan nak diceritakan. Namun dia yakin ada sesuatu yang bakal berlaku.
Angin yang menyapa pun tidak mahu mengusik-usik tudungnya. Langsung tidak bergerak tinggi. Sekadar mencuit pipinya yang gebu separa itu. Wajah comel bulat yang sentiasa bertudung bawal kecil itu punya mata kecil yang menawan. Alis matanya itu cukup tebal, bibirnya merah dan dagunya sedikit berlapis. Cantik untuk umur semuda itu.
Ibunya menutup jendela satu demi satu. Dari ruang tamu hinggalah ke dapur. Lalu Nurul pun bangun dan berdiri. Menghembus nafas sepanjang-panjangnya. Sahut gelisah langit yang sudah pun memberi isyarat kepadanya sebentar tadi. Kemudian, untuk kali akhir hari itu, Nurul menatap awan yang semakin memekat, daripada putih kepada kelabu, kini hitam memekat. Seolah-olah hanya tinggal dibuka sahaja pilinya, tumpahlah segala air jatuh ke bumi Malaysia yang sedang gering dengan episode seorang kesayangan ramai sedang tenat di hospital.
Nurul berjalan perlahan masuk ke rumah melalui pintu dapur. Hampir kesemua bunga dan tanaman ibunya itu tidak diendahkan walau selalu dipuji Mak Cah dan Makcik Vijaya kerana punya seleksi tumbuhan berbunga yang cukup indah warna-warninya.
Masuklah, kejap lagi hujanlah tu. Emak Nurul menggesa. Laju sahaja menutup pintu lalu disendal dengan dua batang kayu yang melintang. Kemudian di selaknya di bahagian atas pintu juga di sebelah sisi bawah. Kemas dan terkunci rapat.
Pintu kayu itu kemudiannya di tutup bahagian bawahnya dengan sebatang kayu besar bersaiz sedikit panjang dari saiz pintu. Bimbang binatang berbisa boleh memasuki rumah melalui bawah pintu. Yalah, ular berbisa, kala jengking dan lipan bara mudah sahaja merayap melalui lubang-lubang udara yang terbuka. Terus sahaja ditekup dengan kain dan menjadi sendal yang ketat.
Jangan nak buka TV, ada juga yang meletup itu nanti. Emak Nurul bercakap sambil lalu. Nurul terus duduk sahaja di sofa kayu yang ada di ruang tamu. Kakinya dilunjurkan. Hajatnya memang benar mahu menonton televisyen, manalah tahu ada berita baru yang akan disampaikan oleh semua pemilik stesen tv. Beliau memandang televisyen lama yang hanya bersaiz 16 ini sahaja, tidak dibuka dan tidak punya keluar suara atau wajah yang boleh bergerak-gerak. Statik. Binaan kayu yang menutup televisyen tersebut dibuat dengan cukup terperinci seperti jendela pun ada rupanya. Jika pandang sekali imbas nampak seperti akuarium pun ada. Siap punya tingkap yang perlu dibuka untuk menghidupkan siaran, kemudian ada kain putih seperti alas meja menutupinya. Waktu itu jika mahu membuka siaran TV, perlu dipulaskan butang on off nya. Kemudian tidak punya remote atau apa pun untuk menekan butang siaran. Perlu berjalan ke arahnya dan pulas lagi dan lagi sampailah berjumpa dengan siaran mana yang mahu ditonton.
Zaman 1980-an dan 1990-an, televisyen dianggap perkara yang mahal bagi orang kampung. Sesiapa yang punya teknologi yang boleh mengeluarkan suara dan gambar bergerak ini sahih orang kaya. Hendak membeli dengan harga ratusan ringgit malah ada yang mencecah ribuan itu tidak pernah menjadi keutamaan bagi penduduk kampung. Malah, jika sesiapa yang punya televisyen di rumah, rumah tersebut akan menjadi tumpuan orang kampung untuk menonton berita atau bersenang lenang menonton filem P.Ramlee.
Ia lebih kepada sekadar memberi maklumat tentang berita segenap lapisan masyarakat. Abah Nurul dan emaknya biasanya akan duduk terus menghadap dari jam 8.00 malam hinggalah ke 8.30 malam. Mendengar dengan teliti apa lagi yang akan diterima kepada rakyat daripada pemberian kerajaan yang dipimpin Dato Seri Mahathir Bin Mohamad yang cukup disegani itu.
Perdana Menteri keempat tersebut merupakan anak jati Kedah Darul Aman yang mana menjadi orang kuat yang mengangkat Sudirman Haji Arshad menjadi ikon anak Mentakab ini menjadi insan ternama yang seterusnya menjadi kebanggaan negara.
Dari menjadi penyanyi untuk Perusahaan Otomobil Nasional Negara, Proton hinggalah kepada Honda, Sudirman ada sahaja di mana-mana. Di televisyen, di radio, papan billboard di tepi jalan raya, surat khabar malah majalah-majalah semuanya ada wajah beliau.
Beliau bukan sahaja menjadi penyanyi yang punya suara unik. Beliau juga diiktiraf sebagai penghibur kepada seluruh hati yang sentiasa inginkan lagu dan irama untuk didayu-dayukan di gegendang telinga. Sebut sahaja siapa, pasti akan suka dengan lagu-lagunya. Sedap. Lunak.
Menjadi anak bongsu kepada tujuh adik beradik, Sudirman digelar Peguam Yang Menyanyi. Kepandaian dan bijaknya beliau berkata-kata di atas pentas dengan punchline dan gelak tawa jenakanya sentiasa menjadi dan disambut dengan riuh rendah suara peminat. Jarang kali beliau gagal untuk menghampakan peminat. Semuanya dibuat dengan tersusun dan bersedia.
Beliau menjadi artis pertama yang menerima pelbagai perkara besar dalam satu masa. Seperti penyanyi Malaysia pertama yang membuat persembahan di The Paddock, Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada tahun 1983. Dalam masa yang sama juga merupakan duta nyanyian pertama bagi Proton, Malaysia Airlines dan Honda Cup. Beliau juga artis Malaysia pertama yang menjadi penghias muka depan majalah "Malaysian Business" dan "Asian Business" pada tahun tersebut.
Kebanggaan jenama Sudirman ini bukan sahaja berada di suara lunaknya. Ia disematkan kepada beberapa produk seperti air minuman bergas yang diberi nama Sudi. Air ini kemudiannya menguasai pasaran sebanyak 5% pada waktu itu. Boleh dikatakan di mana-mana sahaja, Sudirman mempunyai auranya yang cukup meluas.
Pada 15 April 1986, Sudirman juga telah menjadi artis pertama yang mengadakan konsert terbuka secara percuma di Jalan Chow Kit dan menarik seramai lebih 100,000 peminat. Konsert tersebut telah menyebabkan kesesakan jalan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Muda ke Jalan Raja Alang, malah pernah dikatakan Kuala Lumpur lumpuh terus di beberapa jalan raya kerana konsert ini. Beberapa orang peminat telah pitam, ada yang sesak nafas dan terpaksa digegaskan ke hospital.
Konsert ini menjadi sejarah besar buat penggiat industri tanah air kerana ia berjaya menarik segenap lapisan masyarakat untuk turun dan mendengar sendiri suara Sudirman secara langsung. Hingga hari ini, belum ada sesiapa pernah menjayakan konsert berskala besar seperti ini secara percuma di Chow Kit Road.
Nurul hanya duduk dan mengeluh. Sejak berita Sudirman tumbang dan pengsan kemudian dibawa ke Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur tempoh hari, jiwanya tak tenteram. Di sekolah, di rumah, atau di mana-mana sahaja orang bersembang perkara yang sama. Ia menjadi rimas, juga melemaskan. Ia beri gelisah tak sudah. Resah, muram, durja dan disebalik semua itu, hampir semua penduduk Pasir Rawa mendoakan semoga kesayangan ramai itu kembali sihat seperti sediakala. Kembali bangun dan berdiri di atas pentas dan menghiburkan semua manusia yang tergila-gilakan aksinya itu.
Dari suara kepada keletahnya. Semuanya menambat. Seronok.
Pumpang-pumpang bunyi atap zink ditimpa hujan lebat hingga azan maghrib dari Masjid Pasir Rawa pun tidak kedengaran. Nurul bingkas bangun mahu bersiap mandi. Bermalasan menuju ke bilik air dan terus sahaja mencapai tuala merah muda yang sudah pun ada bersidai di belakang pintu biliknya.
Emak Nurul pula sudah bersiap dengan telekung bersulam penuh, lalu mengambil sejadah dan disusun menghadap ke kiblat. Sejadah hijau yang di bahagian atasnya itu berkerawang kusut disentuh-sentuh supaya nampak kemasannya. Gambar Kaabah tersergam indah di separuh bahagian. Manakala di bahagian kaki cantik sahaja susunan bunga kecil dibentuk-bentuk menjadi elemen bersegi. Sejadah kesukaannya itu dibeli semasa menunaikan umrah pada dua tahun lalu bersama ibunya sendiri. Punya memori tersendiri saat mahu menunaikan solat dan menghadap Tuhan.
Elok sahaja Emak Nurul berdiri tegak dan mahu mengangkat takbir, berdentum bunyi pintu diketuk. Emak Nurul terus sahaja berlari kecil ke pintu lalu bertanya siapa yang mengetuk. Oh rupanya Makcik Cah.
Kau tak pasang TV ke Nor Tak ada berita pasal Sudirman tanya Makcik Cah.
Astaghfirullah. Saya ingatkan apalah tadi Makcik Cah oi. Tak buka TVnya, guruh berdentum beria sangat, takutlah nanti meletup! Emak Nurul menepuk-nepuk bahu Makcik Cah. Lalu dipimpinnya masuk. Baju Makcik Cah basah di bahagian belakang, tudung kecilnya juga lencun. Emak Nurul terus mengambil tuala dan menghulur ke Makcik Cah. Lalu terus sahaja ditekup kepalanya dan disapunya ke kedua belah tangan. Basah-basah tadi semakin ikut pergi ke tuala. Tidak mengering, hanya sedikit memberi selesa kepada Makcik Cah.
Aku bukan apa, tak boleh tidur dibuatnya! Kau tahulah, dia tu kalau balik ke sini, baik sangat dengan kita semua. Mana pernah dia lupakan kita. Makcik Cah meletak tangannya ke dada.
Semua orang tahu, Sudirman jika pulang ke Mentakab, beliau akan berprogram di Masjid. Di sekolah-sekolah. Malah balai raya dan dewan-dewan akan dikunjunginya. Pasar dan pekan sehari juga beliau hadir untuk beramah mesra dengan peminat.
Membeli barangan dapur untuk keluarnya dan sengaja sahaja berjalan keliling bandar untuk beritahu kepulangannya itu sebuah tanda terima kasih kepada semua penduduk kampung dan bandar Mentakab yang sering mendoakannya.
Nurul berlegar lalu lalang dan lekas disuruh untuk menjerang air. Laju sahaja beliau menuruni anak tangga ke dapur. Kemudian diambilnya cerek besi yang ada kemudian dipasangnya pili dan dibiarkan seketika menanti penuh. Setelah itu, diangkatnya perlahan dan terus dibuka api dapur. Nurul naik semula ke ruang tamu untuk mendengar perbualan Makcik Cah dan ibunya.
Emak Nurul meminta mahu solat sekejap, Makcik Cah minta juga untuk tunggu dan kemudian mereka menunaikan solat bersama. Sudah siap semuanya, Nurul menutup api dapur. Air yang sudah menggelegak itu dicurahnya ke dalam teko putih berwarna merah milik emaknya, kemudian diletak 2 bungkus teh yang sudah menjadi trend kepada semua manusia waktu itu. Teh tersebut sudah dibungkus dalam bungkusan yang kecil seperti sup bunjut. Hanya perlu masukkan ke dalam air panas sahaja, tunggu ia memekat warnanya, kemudian masukkanlah gula atau susu. Sedap.
Kemudian disusun dua cawan putih yang punya bunga merah yang sama lalu disusun di atas piring yang sama jenis. Lalu dibawa 2 cawan tersebut yang sudah berisi teh o panas yang masih nampak wap-wapnya keluar. Dihulurnya secawan kepada Makcik Cah dan kemudian secawan lagi diletakkan setentang. Selesai solat, Emak Nurul bingkas bangun dan duduk. Nurul pula terus masuk ke dalam bilik, mendengar perbualan mereka dari dalam sahaja. Mereka berbual rancak. Cerita daripada Makcik Vijaya sampailah ke Ketua Mukim di Kampung Bangau, Temerloh. Kisah kebaikan Sudirman hinggalah kepada jasanya yang tidak pernah terbalas dan tidak diceritakan kepada orang luar. Hanya penduduk kampung yang mengetahuinya. ***
Pagi itu Nurul bangun seperti biasa. Bersiap ke sekolah dan dihantar emaknya menaiki basikal. Emaknya mengayuh perlahan. Nurul tersengguk-sengguk. Antara anak yang masih dihantar oleh ibunya. Sedang orang lain sudah pun membawa basikalnya sendiri sahaja. Embun nampak banyak berkumpul di lembah-lembah. Daun-daun basah memenuhi semuanya. Sungai Semantan juga dingin sahaja seperti sediakala. Awan masih mendung seperti semalam, ada rahsia yang mahu diberitahu barangkali. Nurul memandang semua kepulan-kepulan itu lalu berdoa yang baik-baik sahaja. Dalam hatinya dia tahu seperti ada sesuatu yang masih berbuku tidak dilepaskan keluar oleh awan-awan itu. Mereka saling bergaduh sesama sendiri hingga terlalu nampak dari bawah. Dari pandangan bumi.
Waktu persekolahan macam biasa. Bahari dengan kawan-kawannya, Imah dengan buku-bukunya, dan Nurul juga bersama koleksi-koleksi Hamka yang pernah disuruh Leman untuk dibaca dengan tekun.
Tepat jam 5.00 petang, selepas waktu asar, tiba-tiba Tok Penghulu mengumumkan yang berita yang mengejutkan, seluruh penduduk yang mendengar menutup mulut. Ada yang pengsan ada yang pitam ada juga yang terduduk. Guruh yang mendayu dari semalam menjadi-jadi kuatnya, semakin berlawan antara satu sama lain. Awan-awan tiba-tiba bersatu dan menjadi hitam sepekat-pekatnya. Semakin berpanjangan dan semakin bersuara seperti menangis kuat. Lalu hujan. Ya hujan.
Basahlah bumi dengan segala air mata. Dari awan yang menangis hinggalah ke penduduk Pasir Rawa. Semuanya saling mengesat air mata yang tidak henti-henti.
Nurul berlari mendapatkan ibunya. Ikut menangis juga.
Mak, Sudirman dah tak ada, ujarnya perlahan.
Emak Nurul mengurut dada. Mereka sekampung baru sahaja menerima berita pemergian Almarhum Sudirman Haji Arshad yang pergi meninggalkan semua dan selama-lamanya tepat jam 4.00 petang pada 22hb Februari 1992. Almarhum menghembuskan nafas terakhir di rumah kakaknya di Bangsar, Kuala Lumpur selepas beberapa hari tenat di hospital.
Selang beberapa jam sudah ada beberapa kenderaan hadir ke Kampung Gantuk. Kemudian menjadi sebuah perhimpunan yang besar sebesar-besarnya. Mereka yang hadir saling memakai baju putih dan hitam. Ada yang berpayung, ada yang bertopi, ada yang bertudung ada yang tidak.
Berpusu-pusu kenderaan media masuk ke Kampung Gantuk dan Perkuburan Kampung Chengal. Jenazah Almarhum dikebumikan berhampiran dengan makam ibu bapanya sendiri. Dikatakan hampir 5,000 orang datang memberi penghormatan terakhir buat Almarhum termasuk Perdana Menteri Malaysia.
Dari Singapura hinggalah ke penghujung Perlis, semuanya turun ke Mentakab. Yang tak pernah berjanji untuk menerima tempias populis sesiapapun, yang nama kampung ini pernah keluar seketika di dada akhbar kerana ada kelahiran yang memberi makna kepada negara, namun semua itu tidak kekal lama. Sudir sudah pun tiada. Yang datang dari jauh menangis. Yang dekat juga bersedih. Semuanya tenggelam dalam perasaan yang sama.
Pasir Rawa bersedih, Kampung Gantuk juga bersedih. Dari Mentakab hinggalah ke semua pelosok negara, Singapura, Indonesia dan Brunei, semua bersedih. Tinggallah semua lagu. Semua kenangan kita bersama. Dari konsert Chow Kit hinggalah ke Royal Albert Hall London, semua tinggal kenangan!
Selepas beberapa bulan, hampir semua masyarakat yang mendengar lantunan lagu Salam Terakhir daripada Almarhum memahami yang kemungkinan beliau sudah mengerti sakitnya itu akan membawa beliau pergi buat selama-lamanya.
Walau pergi, tetap memberi irama di dalam hati. Menambah maksud dalam setiap perkara yang memberi erti. Pelangi Petang yang dicipta untuk anak-anak gelandangan dalam cerita Kami, kemudiannya Punch Kad untuk anak muda yang baru masuk kerja serta Basikal Tua yang dinyanyikan kerana terlalu sayang kepada sedikit harta yang memberi makna besar dalam hidupnya, maka beliau hadiahkan juga buat kali penghujung, Salam Terakhir yang diminta oleh beliau sendiri untuk dinukilkan oleh rakan baiknya, Puan Habsah Hassan.
Kata Puan Habsah Hassan apabila ditemu ramah, lagu ini bukan lagu terakhir yang diminta oleh beliau. Ia diminta semasa beliau masih sihat lagi. Dengan alasan katanya yang beliau tidak akan hidup lama. Maka itu makbul, dan ia terjadi dengan betul. Lagu ini kemudiannya dipasang di corong-corong radio berbulan-bulan lamanya. Malah senang sekali dihafal dan dinyanyikan oleh sesiapa sahaja.
Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang
Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepada mu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu
Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah pada-Nya
Salam akhir
Salam yang teristimewa
Kepada-Nya ku memohon keampunan
Melalui-Nya ku beri kemaafan
Kepadamu
Andainya aku punya waktu
Masih ku ingin mengulangi semula
Saat indah bersama mu
Sayang tak berkesempatan
Abadikan saja salam ku di ingatan
Salam ku yang terakhir