Hasnah tidak mengendahkan langsung maki hamun yang diterimanya dari kereta Proton Wira tadi. Matanya terus ke arahku. Kata-kataku tadi telah menyebabkannya marah. Bengang. Frust! Matanya merah. Dia mula menangis. Aku mahu memujuknya tetapi hatiku terlalu keras untuk itu semua. Aku paling tak suka kalau aku terpaksa berhadapan dengan situasi seperti ini, apabila seorang gadis menangis di hadapanku.
Tapi aku mengaku, ini bukan kali pertama perkara ini berlaku kepadaku. Dah banyak kali. Tahun ini sahaja dah tiga kali. Tiga kali aku beritahu kepada awek-awek yang jadi girlfriend aku bahawa aku dah tak minat untuk meneruskan lagi hubungan kami. Aku tak minat sebab aku rasa dah sampai masanya untuk kita berpisah. Aku dah tak tahan lagi dengan perangai diorang. SAYA TAK SUKA AWAK MEMBEBEL. Itu yang aku kata. Lepas tu dengan selamba aku akan cakap.
MACAM TU KITA BERPISAH AJALAH. SAYA DAH
TAK MINAT LAGI NAK TERUSKAN HUBUNGAN INI. Mereka akan merayu. Mereka akan menangis. Aku pula aku buat muka seposen. Aku pekakkan telinga sampai diorang sedar kalau diorang menangis air mata darah pun aku tak akan ubah keputusan aku. Mereka tuduh aku dayus. Mereka akan tuduh aku degil. Ada kalanya mereka akan beritahu aku bagaimana mereka telah menyerahkan segala-galanya tetapi bila aku sudah dapatkan apa yang aku mahu, aku akan mereka tinggalkan begitu sahaja. DULU KAU Juga YANG NAK, AKU BAGILAH. BILA AKU TAK BAGI, KAU Pula YANG AKAN MERENGEK! Kataku tanpa memandang ke arah mereka. Selalunya selepas itu aku kena sepak. Ada sekali awek ni kata dia nak suruh abang-abang dia pukul aku sampai aku mati. Tapi benda ni semua tak pernah jadi sebab aku rasa dia masih sayangkan aku. Dia masih fikir aku akan ambil dia kembali sebagai awek dia. Dia masih berharap.
Hasnah lain daripada yang lain. Dia berhentikan kereta dia kemudian dia halau aku keluar dari keretanya.
Hasnah, stesen LRT kat depan tu, awak hantarlah saya ke sana, kataku dengan cara baik. Dia diam saja. Aku rasa kalau aku buka mulut aku lagi dia akan menjerit sekuat hati macam perempuan gila. Kalau benda ni berlaku, lain pula jadinya. Nanti orang ingat aku nak apa-apakan dia dalam kereta tepi LDP yang sibuk ni di tengah-tengah malam macam ni.
Kami sebenarnya baru sahaja balik dari One Utama, kami baru sahaja selesai tengok wayang. Cerita komedi lakonan Nicole Kidman yang ditulis oleh Nora Ephron. Cerita fasal nenek kebayan muda yang kahwin dengan manusia biasa. Dulu aku ada tengok cerita asalnya di kaca TV, tapi aku tak minat sangat. Aku masih ingat lagi mak suka tengok cerita ni. Dia selalu ketawa seorang diri bila dia tengok cerita yang bertajuk Bewitched ni. Tapi bila aku tengok cerita ni tadi dengan Hasnah aku langsung tak ketawa. Kepala aku berserabut untuk memikirkan cara yang terbaik untuk beritahu kepadanya aku nak putuskan hubungan aku dengannya. Sebelum aku dan Hasnah pergi menonton filem Bewitched, kami ke Ikano Power Centre. Kami ke sana sebab Hasnah hendak ke Ikea untuk beli para kayu untuk dijadikan rak buku. Dia nak cantikkan lagi bilik sewanya. Dia baru sahaja berpindah ke sebuah rumah baru yang disewa bersama dengan rakan-rakannya yang lain untuk semester baru ini. Kemudian dia beli beberapa benda lain yang tidak diperlukannya seperti pinggan mangkuk dan cawan sebab dia kata benda-benda yang dia nampak di Ikea tu semua cute. Masa dia masukkan cawan yang mahu dibelinya ke dalam beg kanvas Ikea warna kuning yang besar tu, dia kata alangkah bahagianya bila kami dah kahwin nanti jika kita berdua selalu bershopping macam ni untuk cantikkan rumah kami. Aku nak ingatkan dia bahawa kami masih belajar lagi. Umur kami baru nak cecah 21 tahun. Takkanlah dah nak fikir fasal kahwin kot Tapi macam biasa aku diam jer. Aku biarkan dia cakap sorang-sorang. Bila dia cerita fasal kahwin tubuh badan aku dah mula seram sejuk. Kenapa perempuan ni dah nak fikir fasal kahwin bila aku masih lagi fikir apa yang perlu aku lakukan untuk dapat duit lebih untuk tukar handphone aku yang dah dua tahun tak tukar. Aku nak juga ada handphone yang ada kamera ada MMS tu macam orang lain. Apa dia ingat aku tak ada nafsu ke untuk tu semua Aku tak nak fikir fasal kahwin lagi! Aku masih muda. Aku nak enjoy masa muda aku. Bila aku muda macam ni, aku nak fikir fasal fesyen, fasal study, fasal pasukan Liverpool, fasal awek cun macam Hillary Duff, fasal study, fasal study, fasal study!
Hasnah, saya minta maaf kalau saya buat awak marah, kataku sambil bersedia untuk keluar dari keretanya. Hasnah tidak menjawab. Mukanya masam macam cuka. Air matanya telah menyebabkan make-upnya cair. Tapi dia tetap nampak cantik. Memang Hasnah ni cantik orangnya, itu aku tak nafikan. Dia anak tauke balak dari Sarawak. Orangnya putih bersih. Ramai budak-budak lelaki dalam kampus aku yang tergila-gilakan si Hasnah ni. Tapi akhirnya aku juga yang dapat tawan hatinya. Itu pun, hubungan aku dengan Hasnah tak lama. Dua bulan setengah.
Aku rasa macam nak pulangkan semua jam Guess yang dia belikan untuk aku. Aku nak buka jam aku tu, tapi aku rasa nak simpan saja jam tu. Kalau aku fikirkan kembali, baju yang aku pakai ni pun dia yang belikan. Takkanlah aku nak buka baju aku sekali, kan Jadi aku tutup pintu keretanya.
Sebaik sahaja pintu tertutup, Hasnah bawah keretanya laju-laju untuk tinggalkan aku.
Aku pandang jam aku. Dah nak dekat pukul 12 malam. Aku tak tahu kalau masih ada lagi keretaapi untuk ke Stesen LRT Universiti. Aku rasa tak ada. Jadi aku cepat-cepat telefon Tamrin. Aku beritahu kepadanya supaya ambil aku di hadapan Stesen LRT Kelana Jaya. Dia suruh aku ambil teksi. Aku kata aku tak ada duit. Itu alasan aku sebenarnya. Aku ada duit, cuma aku malas nak perabih duit aku untuk naik teksi malam-malam buta macam ni.
Aku berjalan kaki ke arah Stesen LRT Kelaja Jaya. Alah, bukannya jauh pun. Sambil-sambil tu aku terfikir tentang Hasnah. Tentang Tamrin dan tentang diri aku. Aku rasa lepas ni mesti aku akan kena sound dengan si Tamrin sebab Hasnah ni kawan baik dia. Dia mesti akan maki hamun aku sebab aku tinggalkan Hasnah. Memang sejak dari mula lagi dia tak suka aku berkawan dengan Hasnah sebab dia kata aku akan memperdajalkan kawan baik dia tu macam apa yang telah aku lakukan kepada awek-awek aku yang lain.
Sebenarnya aku baru setahun sahaja kenal dengan si Tamrin ni. Dia ni budak baik. Dia bolehlah digolongkan sebagai pelajar contoh di fakulti kami. Aku dan dia samasama ikuti jurusan Kejuruteraan Elektronik. Aku selalu minta tolong dia supaya bantu aku buat assignment yang aku tak tahu hujung pangkalnya. Dia memang pandai. Dia rajin belajar, bukan macam aku. Tamrin ini asalnya orang susah. Mak bapa dia menetap di Pulau Pangkor. Dia pernah cerita kat aku mak bapa dia bekerja dalam sektor perikanan. Mereka kerja dengan seorang tauke Cina buat ikan kering. Walau pun anggota keluarganya ramai dan dia anak bongsu, dia satu-satunya yang berjaya masuk universiti. Yang lain hanya mampu belajar setakat sekolah menengah.
Satu hari Tamrin dapat tahu aku bergaduh besar dengan budak-budak yang duduk satu hostel dengan aku. Diorang tak ngam sangat dengan aku. Aku pun bukannya suka sangat dengan diorang. Banyak barang aku hilang. Aku rasa diorang juga yang curi. Bila handphone aku hilang, aku mengamuk. Bila aku cakap diorang yang curi, diorang marah. Terus aku tak bertegur dengan diorang semua.
Bila Tamrin dapat tahu tentang ini semua dia tanya aku kalau aku nak tinggal dengannya. Dia kata dia ada bilik kosong. Bila aku tanya dia tinggal di mana dia kata dia tinggal di Pantai Hill Park, Phase 1. Dia beritahu aku dia duduk dengan abang angkatnya yang bernama Rastam. Katanya, buat masa ini dia terpaksa tinggal seorang diri kerana abang Rastam bekerja di Dubai selama setahun.
Kondominiumnya itu memang cantik konsep rekaan hiasan dalaman ala Bali. Kondominium empat bilik. Dia dan abang Rastam tinggal sebilik. Sebuah bilik dijadikan bilik belajar, sebuah bilik dijadikan walk-in closet dan sebuah bilik lagi dijadikan bilik tamu. Bilik tamunya itulah yang telah disewakan untuk aku. Dia ada seekor kucing siam yang selama ini menemaninya. Dia telah namakan kucingnya itu Saadiah. Kucing betina. Kucing betina yang gatal yang selalu sahaja mahu dirinya diusap-usap lebih-lebih lagi apabila aku atau Tamrin mahu keluar rumah untuk ke kuliah. Saadiah si kucing gatal tu akan merebahkan dirinya di muka pintu lalu aku atau Tamrin akan diminta untuk meraba-raba badannya. Kalau aku malas untuk melayannya, aku akan menggunakan kakiku untuk mengusap-usap bulunya pada bahagian perutnya itu. Kemudian dia akan nampak khayal sampai matanya tertutup rapat kepuasan. Bila dia dah puas barulah dia bergerak daripada menghalang daun pintu daripada dibuka oleh kami.
Tamrin kata Saadiah jadi manja begini sebab abang Rastam yang manjakan dia sangat. Bila dia sebut nama abang Rastam mesti dia akan mengeluh seorang diri. Dia rindukan abang angkat dia tu agaknya.
Kereta Audi kepunyaan abang Rastam yang kini berada di bawah jagaan Tamrin berhenti di hadapan tempat menunggu bas di bawah Stesen LRT Kelana Jaya. Aku orang yang terakhir duduk menunggu di sini. Stesen LRT Kelana Jaya yang sibuk di waktu siang ini kini sunyi sepi. Yang hanya tinggal cuma dua orang pemandu teksi yang sedang syok berbual tentang pengalaman mereka membawa pelacur dan pelanggan mereka ke destinasi yang ingin mereka tuju. Kalau Tamrin lambat sedikit datang, mungkin aku akan tahu nama pelacur kelas atasan yang sedang hangat dibincangkan mereka...
Kau memang sial, Amat! Kata Tamrin kepadaku sebaik sahaja aku masuk ke dalam kereta. Aku tak tahu jika dia memang marah kepadaku atau dia sengaja keluarkan ayat tu sekadar untuk melengkapkan syarat. Tamrin memang jarang aku lihat marah-marah.
Hanya Tamrin sahaja orang yang paling rapat dengan aku yang panggil aku Amat. Kawan-kawan aku yang lain panggil aku Emmet. Sampai hari ini aku tak tahu kenapa dia masih panggil aku Amat walau pun dah banyak kali aku minta kepadanya supaya panggil aku Emmet. Dia kata dia orang kampung. Dia lebih suka kalau aku dipanggilnya dengan nama Amat. Dia kata nama aku tu nama kampung. Dia suka dengan nama Amat.
Aku bukan orang kampung. Aku dilahirkan di Johor Bahru. Aku tak dibesarkan di kampung. Aku orang bandar. Aku mula rasa Tamrin memang marahkan aku. Aku tahu dia marah walau pun dia diam sahaja ketika dia sedang memandu.
Kau ni apasal Kataku akhirnya. Mula-mula dia tak mahu menjawab, tetapi bila aku tanya soalan yang sama buat kali ketiga barulah dia jawab. Itu pun macam nak tak nak dia menjawab.
Dia kata Hasnah menangis teresak-esak bila dia menelefonnya tadi.
ALAH DUA TIGA HARI NANTI OKAY LAH
TU! Kataku sambil memandang ke luar tingkap. Aku dapat lihat beberapa orang Mat Rempit sedang berlumba-lumba sesama mereka. Seorang daripada mereka sedang membonceng aweknya. Aweknya itu sempat menoleh ke arahku dan sempat dia mengenyit mata kepadaku.
Tamrin kata ini semua salahnya. Dia kata dia sepatutnya marahkan Hasnah cukup-cukup bila aku cuba mengusha dulu. Dari dulu dia dah beritahu kepada Hasnah yang aku ini kasanova. Siang-siang lagi Tamrin sudah memberi amaran kepada Hasnah bahawa aku suka main-mainkan hati perempuan. Tetapi Hasnah berdegil. Hasnah fikir dia dapat lembutkan hati aku. Perempuan macam Hasnah ini fikir mereka ada kuasa luar biasa untuk ubah hati lelaki. Mereka fikir mereka Wonder Woman. Perempuan seperti Hasnah fikir mereka mempunyai tali sakti seperti yang dipunyai Wonder Woman yang digunakan untuk menjerat penjahat-penjahat (yang selalunya mesti lelaki) yang akhirnya menjadi lemah lalu akan tunduk kepadanya.
Hasnah bukan Wonder Woman dan aku pula bukan Superman. Aku bukan budak baik. Aku macam Batman kot, tak pun macam Wolverine...
Kau rasa kalau Wolverine lawan dengan Batman siapa akan menang Aku tanya kepada Tamrin. Dia tak mahu menjawab soalan aku. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
Sampai bila kau nak jadi macam ni, Amat Dia bertanya macam orang tua bertanya. Bapa aku sendiri tak pernah tanya aku macam ni.
Aku kata ini semua bukan urusannya. Apa yang aku lakukan adalah masalah aku sendiri. Dia tidak perlu masuk campur. Lagi pun aku tak mahu bertekak dengannya. Hari dah lewat. Aku kepenatan. Bila sampai rumah nanti aku nak terus masuk tidur.
Tamrin kata aku ini manusia yang degil. Aku keras kepala.
Aku kata aku setuju dengan pendapatnya. Aku setuju kerana aku tidak mahu dia membebel. Aku tidak suka dengar orang membebel, lebih-lebih lagi perempuan.
AKU TAK SUKA DIA MEMBEBEL! Kataku akhirnya berterus terang kepadanya. Aku kata, aku cukup pantang dengar suara perempuan membebel.
Cuma awek bisu sahaja yang tak akan membebel! Maka itulah yang terpacul dari mulut Tamrin.
Petang tadi bila aku lambat keluar untuk menemui Hasnah yang menunggu di hadapan pondok jaga, dia membebel. Dia kata aku selalu sahaja lambat. Dia membebel sehinggalah kami tiba di Ikano Power Centre. Dia hanya berhenti membebel bila dia nampak Papan tanda Ikea.
Tamrin beritahu kepadaku bahawa Hasnah baik orangnya. Aku patut rasa beruntung kerana Hasnah suka denganku. Hasnah cukup-cukup kecewa bila aku beritahu kepadanya tadi bahawa aku mahu berpisah dengannya.
Kau ada perempuan lain ke Tanya Tamrin. Aku kata tak ada. Dan itulah kebenarannya. Aku beritahu kepadanya aku bukan kaki perempuan. Dia ketawa sinis. Dia mahu buka mulut untuk perli aku, tapi aku suruh dia diam. Bila aku suruh dia diam, dia terus diam.
Aku rasa cukup bersalah menengking si Tamrin ni. Hatinya lembut. Orangnya sensitif. Bila dia meletakkan kereta di hadapan kondominium kami, aku terus meminta maaf. Dia kata dia tak ambil hati. Tapi dia sempat beritahu aku bahawa dia tidak suka dengan perangai aku. Dia kata aku telah memberi alasan yang tidak munasabah kenapa aku mahu berpisah dengan Hasnah.
Setibanya di dalam rumah, dia terus duduk di atas kerusi sofa. Dia ingin menyambung kembali filem Finding Neverland yang telah ditontonnya tadi. Aku duduk di sebelahnya. Aku dapat lihat ada beberapa keping DVD baru di atas meja. Aku belek-belek DVD yang baru dibelinya itu. Ada cerita hantu dari Korea dan ada pula cerita anime dari Jepun. Tak satu pun aku minat. Bila aku tanya di mana dia beli DVD ini semua, dia kata dia beli di Plaza Bukit Bintang. Kalau aku tahu dia mahu ke sana, pasti aku akan mengikutnya sahaja. Tak payah aku keluar dengan Hasnah. Aku break dengan dia pakai SMS jer. Lagi senang. Tak payah nak pening-pening kepala.
Saadiah memandang tepat ke arahku ketika dia sedang duduk di sebelahku. Aku rasa jika dia boleh bersuara, mesti dia mahu membebel macam perempuan-perempuan lain. Aku mengusap tubuh Saadiah sambil berkata: Kalau perempuan semua macam kau, kan bagus, Saadiah Senyap jer. Kena sepak pun senyap, kena marah pun senyap, bila lapar jer baru pandai buat bising!
Manusia bukan macam kucing! Kata Tamrin.
Manusia ada akal, ada fikiran!
Mana kau tahu kucing tak ada akal
Tamrin kemudian menjeling. Aku rasa dia tak dapat tumpukan perhatian dia kepada filem yang dia tonton, lalu dia tonton pula rancangan Astro. Aku tak tahu rancangan apa yang mahu ditontonnya kerana dia akan tukar saluran setiap tiga saat.
Aku rasa masalahnya adalah kau, bukan budak-budak perempuan yang kau tinggalkan, kata Tamrin tiba-tiba. Eh, aku ingat dia dah lupa fasal ini semua, rupa-rupanya tidak. Dia masih nak ungkit-ungkit cerita tadi. Poyo betullah Mamat ni! Kau ada masalah komitmen! Katanya seolah-olah aku ada masalah dengan penagihan dadah.
Takdelah. Pandai jer lah kau ni.
Selagi kau tak sedar kau ada masalah ini, selagi itulah kau akan kecewakan awek-awek yang sukakan kau tu.
Alah, rilek lah! Kau ni serius sangat lah!
Jadi kau yakin kau akan satu hari jumpa seorang gadis yang tidak akan membebel. Bila kau jumpa dengan gadis seperti
ini kau tidak akan meninggalkannya sesuka hati kau
Aku mengangguk cepat.
Apa kata, lepas ini kau cari awek bisu... Aku nak tengok berapa lama kau boleh bertahan dengannya. Budak ni biar benar. Dah apa hal dengan si Tamrin ni
Kalau kau anak jantan kau buktikan yang kau ni anak jantan. Kau buktikan kepada aku yang kau boleh bertahan dengan seorang budak perempuan bisu yang kau jadikan awek! Kata Tamrin macam nak makan aku. Aku rasa dia masih marah lagi aku tinggalkan Hasnah.
Eh kau dah gila ke
Aku cabar kau! Alah kau hensem. Muka hensem macam kau kalau nak dapatkan awek main petik jadi saja.
Kalau aku dapat buktikan aku boleh bersamanya lebih dari satu semester macam mana Apa yang aku dapat Kau tak payah bayar sewa bilik kau sampai bila-bila...
Tapi kalau kau kalah...
Kalau aku kalah apa pula
Kau tentu kenal dengan kawan aku si Raslan budak
UiTM yang nak jadi fashion designer terkenal tu
Budak lembut tu Jadi kenapa dengan dia Kalau kau kalah... Kau kena pakai baju rekaan dia ke mana sahaja kau pergi selama seminggu.
SET! Itulah jawapan yang diberikan walau pun seluruh tubuhku seram sejuk. Aku pernah lihat baju-baju rekaan si Raslan kepala tiga suku tu. Macam pakaian badut sarkis. Macam baju alien pun ada.
Masalahnya sekarang mana aku nak cari awek bisu Tanyaku sambil tersenyum.
Aku selalu nampak seorang budak bisu ni di kampus kita. Dia selalu lepak di perpustakaan dengan seorang kawan baiknya. Kau cuba usha dia. Cantik budaknya. Rambutnya pendek, tinggi lampai. Persis model. Aku rasa kalau Raslan nampak budak ni mesti dia nak jadikan budak ni model untuk pakaian rekaannya.
Lusa akan menandakan permulaan semester baruku di Universiti Malaya dan aku sudah pun mempunyai tugasan. Nampaknya aku terpaksa menghabiskan masaku bersamanya di perpustakaan, satu perkara yang jarang aku lakukan!
Okay. Fine. Nanti kau tunjukkan aku siapa budak bisu ni. Aku harap budak ni secantik yang kau cakapkan... Macam model. Kalau tak, aku tak nak! Kensel!
Budak ni memang cun gila... Percayalah!
Tamrin kembali menekan butang play untuk menonton filem DVD yang terbantut tadi. Aku meninggalkannya di ruang tamu lalu masuk ke dalam bilikku dalam keadaan kepenatan. Ketika aku melelapkan mataku aku cuba memikirkan tentang habuan yang bakal aku terima jika aku menerima cabarannya ini dan membuktikan bahawa hipotesisnya tentang diriku adalah salah sama sekali. Aku tidak perlu membayar sewa bilikku lagi.
Banyak yang boleh aku jimat nanti!