KEKASIHNYA QASEH - 1
DIRINYA akur dengan kehendak takdir. Nasib tidak perlu ditangisi. Apalah sangat yang mampu dilakukan kanak-kanak seusia 12 tahun itu melainkan mengenang nasibnya yang baru kehilangan ibu dan ayah. Sememangnya, pemergian ibu dan ayah buat selama-lamanya meninggalkan kesan begitu mendalam di dalam diri Zeidi bin Zakaria, atau lebih mesra dipanggil Zed. Seorang kanak-kanak bertubuh sasa, tinggi lampai dan kacak.

Apa guna menangis dan memendam rasa Yang pergi tetap pergi dan tidak kembali lagi. Bisiknya di dalam hati. Kehidupan aku ini perlu diteruskan juga. Bijak sungguh budak berusia 12 tahun ini berfikir. Dalam diam dia bertekad bahawa segala kebolehan dan bakat pemberian Tuhan kepadanya yang baharu berputik mengenali dunia, mesti dimanfaatkan sepenuhnya.

Di sebuah pekan kecil daerah negeri Pahang. Suasana begitu tenang. Riak burung riang sahut menyahut. Bayu bertiup nyaman menandakan cuaca tidak akan mengundang hujan, sambil cahaya sang mentari mengintai intai di celah dedaun yang rendang. Seperti biasa, Zed menjalankan rutin hariannya. Hidupnya sekarang hanya bergantung kepada Nenek Som yang sudah lanjut usia. Bila ditanya Nenek Som berapakah umurnya, orang tua itu akan jawab ringkas sambil tersengeh, entah, aku lupa. Tetapi apabila ditanya Nenek Som ada cucu ke tidak, dengan pantas dan panjang lebar dia menjawab, ada dua orang, yang duduk dengan aku sorang. Nama Zed, dia pandai main gitar. Begitulah keletah Nenek Som, nenek kesayangan Zed.

Aku johan festival muzik di sekolah, acara memetik gitar. Apakah tidak cukup untuk aku jadikan semangat. Arwah ayah juga seorang pemain gitar handalan. Biar aku teruskan karier ayah aku. Sekurang-kurangnya roh ayah akan bangga dengan aku. Amin.. Zed mengelamun sambil memetik gitar.

Bagi penduduk kampung itu pula, mereka hanya mampu melihat dari jauh betapa kegigihan Nenek Som memelihara Zed. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hampir-hampir Nenek Som kehilangan punca apabila anak dan menantunya pergi terlebih dahulu daripadanya dalam satu kemalangan di tempat kejadian tanah runtuh yang telah meragut nyawa kedua-dua insan yang selama ini menjadi tempat Nenek Som bergantung setelah kematian suaminya beberapa tahun yang lampau.

Sikap Nenek Som yang sangat rajin berkerja seperti habis kapak berganti beliung menyebabkan dia mampu menyara hidup dia bersama Zed. Kini hanya Zedlah tempat menumpang kasih. Zedlah segala-galanya. Baginya seluruh jiwa dan raganya hanyalah untuk Zed, cucu yang amat disayangi sebelum dirinya dibawa ke alam baqa.

Fikiran Nenek Som melayang sambil tangannya melipat daun sirih. Pelahan-lahan sirih disuapkan ke mulutnya. Matanya terkebil-kebil sambil air liurnya menerjah buah pinang bersalut daun sirih berulamkan kapur dan gambir. Walaupun zaman ini sudah berkurangan sekali orang mengamalkan makan sirih, tetapi itulah kebiasaan dilakukan Nenek Som setelah diri tua itu penat mengangkat sebaldi air dari paip di tepi rumah yang agak usang peninggalan arwah suaminya. Dengan sisa-sisa kudrat yang ada, segarlah beberapa rumpun pokok sirih yang telah ditanamnya dek air yang disiramkan Nenek Som. Setidaktidaknya, tidaklah perlu lagi dia mengeluarkan belanja untuk daun sirihnya. Malah kerap juga orang datang membeli daundaun sirih hasil tanamannya itu, dan paling laris ketika musim cuti sekolah yang serangkai dengan musim kenduri kahwin. Hasil dari menjual daun sirih Nenek Som akan simpan untuk keperluan Zed, agar tidak menghampakan Zed jika memerlukan sedikit duit membeli alat-alat ganti gitar kesayangannya itu.

Matanya redup Nenek Som merenung jauh ke celah-celah dinding rumahnya. Dari celah dinding, Amin, sahabat karib arwah ayah Zed melambai-lambai tangan ke arah Nenek Som sambil memberi salam. Masih utuh di ingatan Nenek Som betapa Amin dengan perasaan hampa meninggalkan rumahnya setelah Nenek Som naik angin.

Hari itu, Nenek Som betul-betul marah. Amin dan isterinya meminta Nenek Som menyerahkan Zed kepada mereka. Tergamak mereka hendak memisahkan Zed dengannya Mentang-mentang dirinya tua. Mentang-mentang dirinya tidak berharta. Apa, mereka fikir Zed akan bahagia hidup bersama mereka Apakah dengan ketiadaan Zed nanti akan meringankan beban Nenek Som Nenek Som memejamkan matanya, airmta jernih mengalir di pipi yang berkedut seribu itu, terkenangkan ejekan orang-orang kampung yang menganggap dia tidak mampu memelihara Zed.

Nenek Som terketar-ketar sambil tangannya bermain dengan kacip pinang. Dia tidak sanggup berpisah dengan Zed. Seolaholah biarlah dia hidup selama-lamanya untuk membesarkan Zed sehingga cucunya menjadi manusia. Suatu hari nanti, baharu semua orang tahu, tangan tua inilah yang telah menjadikan Zed manusia berguna. Tangan tua inilah juga yang akan turut sama-sama bertepuk di celah-celah jutaan manusia tatkala Zed membuat persembahan memetik gitar di pentas besar dan gah.

Biar mereka tahu, Nenek Som bukan calang-calang orang tua.