Alyssa!!!
Suasana pagi yang sejuk dan damai itu bagaikan bergegar dengan lengkingan suara Mariana Idham. Bingitnya bagaikan panahan halilintar, Mariana menyalak memanggil-manggil anak gadis tunggalnya. Pantang sungguh dia apabila panggilannya tidak disahut, arahannya tidak dituruti. Memang itulah sifat semulajadi wanita pertengahan tiga puluhan itu yang mulai menjadi perempuan banyak lemak sejak mula dinikahi suaminya Sulaiman Bakhtiar ketika usia sebaya umur anak gadisnya itu. Dia telah terbiasa dengan segala kehendak dan arahannya dipenuhi oleh suaminya. Mariana ditatang bagai minyak yang penuh.
Tanpa sesaat pun Sulaiman membiarkan hidup wanita kesayangannya itu dirempuh derita dan kepayahan. Mariana disayangi dengan wang, dicintai dengan pemberian-pemberian indah dan terlalu dimanjai dengan perhiasan-perhiasan duniawi yang mengalungi setiap sudut susuk tubuhnya yang indah itu.
Apa lagi setelah Mariana melahirkan satu-satunya zuriat miliknya yang diberi nama Nurul Alyssa itu, semakin mendalam lagilah kasih sayang Sulaiman kepada isterinya itu. Anak dan isteri kesayangan membuatkan dia bekerja lebih keras lagi bagi menyediakan kemewahan dan kesenangan yang tidak terhingga kepada mereka. Namun begitu, segala-galanya mula berantakan apabila Sulaiman ditimpa musibah yang serta-merta merenggut kebahagian mereka sekeluarganya. Dua tahun yang lalu, Sulaiman mendapat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Baru petang itu dia diberi khabar gembira oleh majikannya bahawa dia telah dinaikkan pangkat dari penolong pengurus ke pengurus yang sebenarnya dan bakal meraih pendapatan lima angka termasuk komisen dan bonus. Lebih dari itu, dia turut dijanjikan saham syarikat sebanyak lima ke sepuluh persen dari keuntungan bersih setiap projek yang mampu diperolehinya untuk syarikat.
Alangkah bahagianya Sulaiman ketika itu. Rezeki yang banyak itu menandakan bahawa isteri dan anak tunggalnya bakal menikmati kemewahan hidup yang melimpah ruah. Bermacam-macam perkara mulai bersarang di fikirannya.
Akan kusalut tubuh isteriku dengan intan berlian dan busana-busana yang mewah dan indah. Biar setiap kali dia melangkah, semua mata-mata takkan berkedip memandang kehebatan rupa paras isteriku itu. Aku akan menjadi suami yang bangga sekali dan tentunya ramai pria-pria yang akan cemburu dengan aku kerana mempunyai seorang isteri yang rupawan.
Tersenyum Sulaiman sendirian dijentik hasutan syaitan di fikirannya.
Dan Alyssa pula....
tiba-tiba satu dentuman kuat kedengaran apabila kereta yang dipandunya dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan. Apabila tersedar Sulaiman mendapati dirinya sudah terlantar di hospital. Menurut pihak hospital, dia koma selama seminggu dan selama itulah puteri tunggalnya, Alyssa setia menunggu. Tapi, di mana kelibat isterinya Tiga hari sebelum itu, doktor yang merawatnya telah memaklumkan berita duka pada Mariana.
Puan, akibat dari kecederaan teruk pada kaki suami puan, kami terpaksa memotong kakinya kerana kaki suami puan telah hancur. Tapi ada satu lagi berita yang mungkin akan memeranjatkan puan. Setelah menjalankan CT Scan dan Biopsi pada suami puan, kami dapati suami puan mengidap kanser tulang dan telah merebak ke bahagian paru-parunya. Berat untuk kami katakan, tapi kami jangka hayat suami puan, paling lama pun hanya sekitar dua ke tiga tahun sahaja. Harap bersabar ya, puan.
Mariana hanya terdiam dengan penerangan doktor itu. Menurut jururawat di situ, itulah kali terakhir Mariana muncul di hospital itu. Hari-hari berikut sehinggalah dia sedar semula, hanya Alyssa menemaninya di situ.
Sayang, kenapa tak balik lagi
Tangan Sulaiman mula mengusap muka anak gadisnya itu. Kelihatan manik-manik halus turun membasahi pipi mulus gadis remaja itu. Sulaiman tahu Alyssa hiba dengan keadaannya tapi gadis kecil terpaksa menahan perasaannya
Jangan sedih sayang, papa kan sudah sedar Sayang jangan susah hati, papa takkan apa-apa.
Tangannya terus-menerus mengusap muka dan rambut anaknya yang mengurai ke paras bahu itu. Sekali-sekala dia menyeka air mata yang menitis di pipi Alyssa.
Tapi pa, doktor cakap papa cuma boleh bertahan dua ke tiga tahun saja. Lepas tu...
Rintih Alyssa tidak berupaya mengekang esak dan tangisnya.
Sulaiman juga sedih kerana dialah yang empunya badan yang dikatakan tidak dapat bertahan lama itu. Sebagai seorang ayah, dia tahu dia perlu menenangkan hati anaknya. Alyssa masih terlalu muda untuk menanggung segala kesedihan itu.