Pelangi terlukis indah pagi itu. Ianya melakar dan mengukir tujuh warna terhormatnya dengan megah di ufuk langit. Warna-warna yang sering menjadi paksi kebahagiaan kepada penglihatan manusia. Keindahannya menerangi dan menceriakan bunga-bunga di tengah halaman dan taman ciptaan syurga cinta. Keindahan sinarannya, menggelodak hati dua insan yang sedang dilamun perasaan cinta dan saling menyayangi antara satu sama lain.
Tuan Fahreen, adalah nama lelaki yang menjadi kegilaan ramai wanita. Kehebatannya dalam dunia korporat, keagungan dan kekayaannya, setanding dengan kelebihannya sebagai lelaki kacak dan bergaya, pastinya memagut hasrat setiap wanita untuk menghuni hatinya, maupun dunianya. Wanita umpama kereta sewa, yang sentiasa sudi untuk membenarkan Tuan Fahreen memenuhi setiap ruangan kalbu mereka, sehingga ada yang sanggup menawarkan pakej kemanusiaan dan layanan terbaik. Asalkan Tuan Fahreen sudi menghuni hati mereka. Ada juga antara mereka yang begitu terdesak sekali untuk memiliki lelaki berpengaruh itu, termasuklah Che Ros, pembantu peribadinya sendiri. Che Ros sanggup memperhambakan dirinya demi menagih cinta dari Tuan Fahreen. Namun, usahanya sia-sia kerana Tuan Fahreen langsung tidak membuka pagar kota cintanya untuk perempuan seperti Che Ros.
Di dalam hati Tuan Fahreen, sudah bertakhta seorang wanita yang pernah ditagih cintanya suatu masa dahulu. Seorang wanita yang merasakan dirinya dinikahi dalam keterpaksaan. Seorang wanita yang pernah menuduhnya sebagai lelaki yang menggunakan kesempatan untuk menjerat dan menangguk di air keruh. Seorang wanita yang pernah membencinya sehingga hampir tergadai maruah sendiri. Dan seorang wanita yang sepatutnya mensyukuri segala kurniaan Allah kerana menganugerahkannya dengan seorang lelaki yang ikhlas, amanah dan mencintainya sepenuh hati. Wanita itu adalah Nurul Alyssa.
Suatu ketika dahulu, Alyssa cukup pantang melihat Tuan Fahreen di hadapan matanya. Hatinya akan meronta-ronta untuk mencemuh lelaki itu. Padahal, lelaki itu adalah lelaki yang paling layak untuk dicintainya sepenuh hati, kerana lelaki itu adalah suaminya. Kedegilannya dalam menerima suratan jodoh dari Allah, hampir menjerat dirinya sendiri.
Alyssa membiarkan dirinya dipengaruhi oleh manusia durjana seperti Nisya dan Fir, demi membalas sakit hatinya kepada suaminya sendiri. Biarkan Tuan Fahreen itu rasa, sudah menjadi suami tetapi tidak memiliki isteri, adalah frasa aneh yang menjarakkan lagi hubungan mereka. Kata-kata itu umpama api dendam yang menyala dan tidak akan pernah ada surutnya. Namun akhirnya, frasa itu seolah-olah memakan dirinya sendiri kerana suaminya yang budiman itulah yang telah mengeluarkannya dari neraka ciptaan Nisya dan Fir.
Fir yang menaruh hasrat untuk menodai dan memperdagangkan Alyssa, akhirnya mengalah kerana ketakutannya pada kelebihan Tuan Fahreen. Tuan Fahreen mampu menghancurkan hidupnya dalam sekelip mata sahaja. Sebelum perkara itu menjadi kenyataan, Fir menghilangkan dirinya, membuatkan Alyssa mulai sedar yang dia sedang berpihak di puak yang salah.
Kenapalah aku begitu bodoh sekali Cinta itu terlalu terang di hadapan mataku. Tetapi, aku buta dalam menilainya. Suamiku adalah lelaki terbaik yang diberikan Allah kepadaku. Kenapa aku perlu menyisihnya, hanya satu dendam kecil
Alyssa mulai sedar bahawa tindakannya selama ini adalah keterlaluan dan mengingkari batasan sebagai isteri yang dituntut untuk mematuhi syariat Islam di dalam melaksanakan tanggung jawabnya. Apalagi, setelah segala kebaikan dan keikhlasan Tuan Fahreen yang tersingkap satu per satu di depan matanya.
Mulai hari ini, aku berjanji demi diri aku sendiri dan atas nama suamiku, bahawa aku akan belajar untuk menjadi yang terbaik dan mengambus semua ruang kekuranganku. Aku tahu yang tak akan mampu untuk menjadi sesempurna wanita, tetapi aku boleh berusaha untuk menjadi seorang isteri yang boleh mencuit atau memenangi, walaupun sekelumit dari isi hati suamiku sendiri, tekad Alyssa.
Cinta mereka begitu unik dan aneh. Bermula dengan perkenalan sebagai majikan dan pekerja, kasih Tuan Fahreen berputik di pandangan pertamanya. Rupa-rupanya, hubungan mereka bukan setakat di situ, tetapi keganjilannya mula tersingkap dari satu tahap ke satu peringkat yang lebih serius. Sudah tentunya, sebagai lelaki budiman, Tuan Fahreen mahu memiliki Alyssa secara budiman juga. Namun, keadaan dan kekalutan dalam menunaikan amanah telah mencatat jodoh mereka tersurat dalam bentuk yang melangkaui kelaziman perkahwinan, iaitu pertemuan, percintaaan dan disudahi dengan perkahwinan yang rela.
Kini, cinta mereka mulai memekar di dalam hubungan yang halal. Tiada sesiapapun yang dapat menafikan hak istimewa mereka di dalam hati masing-masing. Zaman untuk Alyssa berduka dan menangisi suratan hidupnya sudah berlalu. Kehadiran Tuan Fahreen ke dalam hidupnya selama ini, sudah melukis satu pemandangan indah dalam kamus cintanya. Segala kecelaruan terganti dengan ketenangan dan semua kesusahan tertukar menjadi kesenangan, kemewahan dan keselesaan. Namun, hati Alyssa tetap mempersoalkan. Sejauh manakah dia mampu untuk bahagia dengan cinta baru ini Harapannya, semoga dia tidak akan kecewa lagi seperti sebelum ini, dan Tuan Fahreen sudi menerima segala kekurangan yang sudah terpahat dalam dirinya. Apa-apa sekalipun, lukisan asmaranya pada suami tercinta sudah menjadi lanskap yang begitu indah sekali.