Demi Ajai - 1
BAB 1

ISA, malulah sikit dengan orang kampung.

Kamu jangan jadi jakun!

Cikgu! Cikgu Omar lekas menepis katakata Cikgu Maznah. Dia khuatir penduduk kampung terdengar. Tergeleng-geleng kepalanya. Kecewa dengan kedangkalan guru perempuan itu.

Oh, maafkan saya! Cikgu Maznah tersedar lalu tertunduk segan. Merah padam wajahnya. Dia berpaling ke belakang menghadap sekalian pokok kayu. Malu untuk terus menatap banyak pasang mata yang sedang membundar. Harapnya pokok-pokok di hutan itu mampu menjernihkan kesilapannya tadi.

Kemeriahan di pondok itu bertukar sepi. Sejak Cikgu Maznah tersalah cakap, rombongan guru dari Kuala Lumpur itu sedikit terganggu. Masing-masing tidak berani meriuhkan suasana seperti awal kedatangan ke pulau itu. Menyumpit pun sudah tidak lagi semeriah tadi. Biar anak damak kencang menujah ke tengah sasaran, suara bangga hanya akan tenggelam sendiri di dalam hati.

Cikgu Isa yang girang hati selepas membidik tepat tadi, jadi keluh-kesah. Dia berasa dialah punca kepada pembisuan rakanrakan guru yang lain. Namun, hatinya tetap lega kerana tiada seorang pun penduduk kampung menyertai percubaan menyumpit di situ. Mujur juga Tok Batin Kutam sudah beredar selepas mendemonstrasikan cara menyumpit.

Baik, semua. Sudah puas menyumpit, ayuh kita masuk hutan pula, ujar Cikgu Omar membuka tirai hati rombongan yang sedari tadi gagu. Dia tidak mahu lawatan mereka dicemari dek insiden tadi. Dia mahukan keceriaan.

Wajah guru-guru yang menyertai rombongan itu pun berubah. Ada riak-riak ceria ditampilkan tampang masing-masing. Mungkin menyedari hari ini adalah hari terakhir sebelum mereka berangkat pulang. Bisik-bisik kecil juga mulai kedengaran.

Kak Nah, maafkan saya. Elok kita lupakan.

Tak apalah, Isa. Kak Nah yang salah sebenarnya, balas Cikgu Maznah sambil tersengih paksa. Dia mahu menyembunyikan resahnya. Dia yakin rakan-rakan lain kurang selesa dengan tindakannya tadi. Kini, senyuman di bibir sahaja yang mampu melenyapkan segala prasangka.

Cikgu Isa faham. Dia ketawa kecil. Dia tidak mahu wanita yang dianggapnya kakak itu berasa susah hati. Lalu, mereka bersama-sama membawa bebayang resah pergi.

BUNYI buluh cetung di hujung pentas semakin giat menggeladak ke segenap pojok. Seperti mahu mengejar kesigapan kaki para penari sewang yang asyik merentak-rentak sejak tadi.

Begitu yang ditunjukkan oleh masyarakat Orang Asli di sini. Biar baru sahaja tiga hari didekati tetamu dari kota, mereka tidak canggung menonjolkan keunikan budaya nenek moyang. Masyarakat suku kaum Jakun di kampung ini sudah lali menerima kedatangan orang luar. Bagi mereka, tiada apa yang perlu digaduhkan kerana masyarakat Jakun adalah rumpun Melayu-Proto dan tidak terlalu berbeza daripada masyarakat Melayu lainnya. Cuma dari segi kepercayaan mungkin sedikit berselisih. Itulah norma alam dan ada sifir-sifirnya yang tertentu.

Alunan muzik Jakun bersipongang melata dan bersatu bersama bayu malam yang dingin. Cikgu Isa tidak berganjak dari duduknya. Masih menempel di kerusi buluh yang teguh itu. Dia leka melihat aksi rakan-rakan sejawat menyertai masyarakat kampung mempersembahkan tarian sewang.

Acara malam itu bakal mengakhiri lawatan sekumpulan guru ke Kampung Kelipuk. Aktiviti kemasyarakatan ini telah dirancang oleh guruguru Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Pantai dan perlu dilaksanakan seperti mana yang telah dijadualkan dalam takwim sekolah. Ini adalah program terakhir menjelang cuti persekolahan akhir tahun. Mereka berpeluang mengenali kehidupan masyarakat Jakun di sini selain menghulurkan bantuan keperluan asas pendidikan kepada anak-anak Orang Asli.

Sesekali Cikgu Isa terseringai melihat keletah rakan-rakannya membulati pentas. Lucu dia melihat susuk yang kebiasaannya garang dan bengis di sekolah, tetapi terlalu santai dan bersahaja terkinja-kinja di perkampungan itu. Sungguh, jika ada pelajar mereka di sini yang menonton, pasti akan terlopong.

Malam semakin matang. Cikgu Isa menyeluruhi persekitaran Kampung Kelipuk. Damai dan tenang. Tidak seperti di kota yang penuh sesak dan sering mengguntur dengan bunyi kenderaan, terlalu menyenakkan.

Sekejap-sekejap dia berpaling semula ke pentas utama melihat persembahan yang unik itu. Serasanya, itulah kali pertama dia melihat tarian sewang secara langsung. Namun, masih tidak berkesempatan untuk turut serta. Nafsunya teringin menari bersama tetapi akibat ditugaskan oleh pengetua untuk duduk bersama-sama tok batin, dia pasrah. Sementelahan, rombongan kali ini dikendalikannya. Jadi, tidak molek dia membiarkan tok batin keseorangan.

Retinanya mampir di sudut pentas. Ada sesuatu yang berlaku. Dia dapat melihat dengan jelas seorang budak lelaki tergesa-gesa mendapatkan guru perempuan yang sedang mengacarakan majlis malam kebudayaan itu.

Guru tersebut seperti direnjat elektrik. Cikgu Isa nampak kedua-dua belah tangannya ditekupkan ke mulut. Kemudian, tanpa diduga tangan kanan guru itu memanah tubuhnya. Cikgu Isa kaget. Mindanya mula merantau ke wilayah fikir bagi mendapatkan jawapan.

Dadanya kian sesak. Resah berjejal-jejal mahu menembusi jiwanya. Mengapakah dia pula yang terlibat sama Budak lelaki itu berlari anak menuju ke arahnya. Semakin bergejolak nafas di tulang selangka. Terbabas.

Tokki, Tok Keman dah meninggal.

Cikgu Isa menghela halus. Resah tadi sedang bersiap untuk pergi. Bukan dirinya yang dicari, tetapi Tok Batin Kutam yang duduk di sebelahnya.

Tok Keman, datuk Si Ajai tanya Tok Batin Kutam dalam musykil. Seakan tidak percaya apa yang didengarnya.

Yalah. Yang itu, sahut budak lelaki itu masih tercungap-cungap. Lidahnya sedikit terjelir. Dicekak kuat perutnya mahu menahan senak dan lelah berlari dari sana ke mari.

Ajai ada di mana sekarang

Di atas pentas, sedang bersewang.

Cikgu Isa menangkap nama Tok Keman dan Ajai. Dalam hibanya, dia cuba mencari Ajai di pentas. Tegak tulang belakangnya mengintai ruang pentas. Entah mengapa dia begitu terpanggil untuk mencari kelibat Ajai sedangkan dia sendiri tidak pernah bersua dengan budak itu. Nafasnya ditarik dalamdalam. Dia memejamkan mata. Dia sedar, Ajai yang dicarinya tidak akan diketemui.

SELURUH kampung heboh dengan berita kematian Tok Keman. Segala aktiviti pada malam itu terpaksa diberhentikan. Mengikut kepercayaan masyarakat Jakun, apabila berlaku kematian, aktiviti yang dilakukan pada waktu itu perlu ditangguhkan sebagai memberi penghormatan. Jika tidak, malapetaka akan menimpa.

Kampung Kelipuk semakin taru. Seperti ada naga misteri yang menyerang kampung itu. Jalan kampung tidak sesepi sebelumnya. Ada sahaja manusia membega menghiasi jalan sempit yang hanya muat-muat untuk dua buah kereta kecil. Memang jalan utama kampung itu tidak lebar. Jika datang lori berselisih, pasti gamat.

Sudah menjadi adat, mengkala berlaku kematian, masyarakat kampung akan menziarahi keluarga gemulah. Derma kilat juga akan dikutip sebagai bantuan ikhlas meringankan bebanan yang diriba. Tok Keman tidak akan dikebumikan malam itu. Namun persediaan untuk esok pagi tetap dilangsungkan.

Meskipun berlainan agama, komuniti di sini begitu mementingkan pertalian dan keakraban. Mereka berpegang kepada amanat nenek moyang yang mahukan tanah diduduki dijaga bersama dengan sentosa. Maka sebab itulah amalan berderau ladang tidak pernah terkubur waima arus teknologi sedikit menakik tebing budaya mereka.

Cikgu Isa dan guru-guru lain sudah pulang di chalet. Malam kebudayaan terhenti begitu sahaja. Mereka mengambil keputusan untuk berehat dan tidur lebih awal. Perjalanan pulang besok memakan masa selama hampir empat jam. Sudah pasti rehat yang cukup diperlukan.

Cikgu Isa terpisat-pisat di jendela. Dingin malam itu mencucuk sendinya. Ngilu bertalutalu. Dia mengimbau kembali perbualannya dengan tok batin sebentar tadi.

Cikgu, budak tu bijak orangnya. Walaupun dia susah, tapi dia rajin. Selalu tolong buat kerja-kerja kampung, beritahu Tok Batin Kutam. Berkerut dahinya menceritakan perihal budak yang bernama Ajai itu.

Aduhai, malang betul dia. Jadi, siapa pula akan menjaganya nanti

Tok Batin Kutam menggaru-garu alisnya yang tidak gatal. Kepala yang dimahkotai uban digelengkan. Dadanya sesak. Sudah lebih sedasawarsa dia bergelar tok batin, namun kali ini dia berasa seperti tidak layak untuk merajai masyarakat Kampung Kelipuk.

Boleh dikatakan setiap masalah kampung mampu diselesaikannya, tetapi yang satu ini seperti sengaja menebak jiwanya. Dia sendiri buntu mencari jalan penyelesaian.

Beginilah, Tokki. Kita uruskan dulu pengebumiannya, hal-hal lain boleh dib incangkan kemudian.

Cikgu Isa memujuk Tok Batin Kutam yang terbungkam seperti dipangkur mulutnya. Ada nada apologetik pada bicara Cikgu Isa. Dia mengagumi sikap dan prinsip ketua masyarakat itu. Baginya, seorang tok batin bukanlah calang-calang pemimpin. Tentu sahaja dipilih berdasarkan ciri-ciri unggul yang lebih daripada masyarakat biasa.

Malam semakin kelam. Sedikit membalamkan pandangan Cikgu Isa yang asyik termangu di jendela. Perbualannya bersama Tok Batin Kutam tadi menggaru-garu mindanya. Dia jadi kacau.

Memang dia tidak punya anak dan tidak pula mampu merasakan perih seperti yang dititi oleh Ajai. Namun, selaku seorang guru yang sering disampuk tawa ria pelajarnya di sekolah, dia dapat merasakan kenihilan dalam hidup Ajai selepas itu. Ya, kekosongan yang entah bila akan terisi. Tawanya mungkin akan disekat dek kesepian.

Isa, kamu dah kemas barang-barang kamu Teguran Cikgu Omar, pengetua sekolahnya mencabul imbauannya.

Belum, ringkas sahaja Cikgu Isa memantulkan jawapan.

Belum Kita nak bertolak esok pagi.

Lepas itu kena pergi ke rumah, apa namanya

Ajai, sahut Cikgu Isa dengan pantas. Dia sedia maklum yang esok rombongan guru akan singgah dahulu ke rumah mendiang Tok Keman di hujung kampung sebelum bertolak.

Mereka berdua terdiam.

Cikgu Isa mengambal melihat tingkah pengetuanya. Asyik lelaki itu melipat baju. Omelan pengetuanya sebentar tadi langsung tidak lut. Dia tidak tahu sama ada mahu berkemas sekarang atau tidak.

Irisnya sekonyong-konyong menangkap satu lembaga kecil sedang berlari melintasi chalet. Segera benaknya menghantar pesanan. Dia amat cam budak yang berbaju Melayu itu. Sungguh, budak itulah yang bersewang di atas pentas tadi!

Cikgu Isa memanjangkan leher. Memerhati sekeliling jalan, takut-takut ada anjing yang menghambat budak itu. Jangkaannya menyimpang. Langkah budak lelaki itu makin deras. Sekejap sahaja, kelibatnya hilang dalam kegelapan malam.

Ke mana pula perginya budak itu Masakan waktu begini mahu ke Tasik Chini. Otaknya ligat menaakul.

Cikgu Isa terlongo. Tidak semena-mena kakinya bagai digugah. Ingatannya sudah cabul membayangkan sesuatu yang kurang enak berlaku. Dia juga turut buka langkah seribu.

Setelah beberapa minit berlari, Cikgu Isa sampai di sebuah tasik. Tasik itu amat agung bagi masyarakat Orang Asli di situ.

Nanti!

Langkah Ajai terhenti. Bajunya sudah separuh dibuka dan tersinggah di tengkuk.

Jangan. Bahaya terjun di sini, tersekatsekat suara Cikgu Isa. Lelahnya dimatikan perlahan-lahan. Kedua-dua belah tangan berpaut pada lutut yang masih terketar-ketar.

Ajai bingung. Dia memerhati dengan penuh curiga tindakan lelaki berkulit cerah itu.

Mengapa pula bahaya Saya selalu terjun di sini, tak ada apa-apa pun, Ajai mengecek.

Kamu mahu mandi Malam-malam begini

Saya nak berenang ke tengah tasik. Biar naga makan saya.

Cikgu Isa melangut. Tulang belakangnya yang bengkok kembali diluruskan. Masih kencang nafasnya. Jelas dapat didengar bersebati dengan nyanyian katak di tasik itu.

Naga Mana ada naga di sini Cikgu Isa bertopeng. Dia tahu penduduk di sini percaya akan naga misteri di Tasik Chini. Sengaja dia berkata begitu untuk menarik perhatian Ajai. Langkah budak itu perlu dipertangguhkan. Jika tidak, padah jawabnya.

Sekejap bening datang menyinggah.

Abang bukan orang sini

Ajai menduga. Dia tahu ada kelainan pada diri batang tubuh lelaki di hadapannya. Berkulit cerah dan berpakaian kemas, langsung tidak melambangkan ciri-ciri lelaki dewasa di perkampungan itu.

Cikgu Isa tersengih. Lucu mendegar gelaran kepadanya. Abang Dia tidak mempedulikan kontradiksi itu.

Ya, saya bukan orang sini. Kamu siapa tanya Cikgu Isa.

Ajai.

Riak muka Cikgu Isa berubah. Nama yang dikaitkan dengan Tok Keman, seorang individu yang tidak sempat diakrabi. Nama itu juga sering menghantuinya sejak tadi di dewan terbuka Kampung Kelipuk. Sungguh, inilah budaknya. Memang dia berakal dan bijak berkata-kata. Tidak padan dengan usianya yang baru mencecah 12 tahun.

Oh, Ajai. Kamu darjah berapa

Baru habis UPSR, balas Ajai acuh tidak acuh. Dia rimas dipertanyakan sebegitu. Kehadiran susuk ini benar-benar menambah celaru yang sedia terperam di sangkar resahnya. Dia perlu mencari jalan untuk melampiaskan segala kekecamukan yang terpenjara.

Oh, kamulah Ajai. Yang mendapat keputusan 5A dalam ...

4A 1B, dengan pantas Ajai memangkah. Dia yakin Cikgu Isa berbuat-buat tahu. Betapa dia lagi pantas membaca fikiran lawan. Saya mahu terjun. Jangan halang saya.

Nanti! Bertenang dahulu. Pasti ada cara lain. Ceritakan kepada saya, apa sebenarnya yang telah berlaku.

Ajai terbungkam. Siapa sebenarnya gerangan lelaki ini Muncul dalam kesamaran malam secara tiba-tiba dan kini cuba menangguhkan geraknya. Dia tidak pasti sama ada mahu menceritakannya kepada lelaki itu. Entah macam mana, akhirnya dia memulakan juga bicaranya. Babad seorang piatu di kampung itu diriwayatkan.

Setelah selesai diceritakan, maka Cikgu Isa mula mengejamkan mata. Seperti mahu menghadam sepenuh hati gelora perasaan Ajai yang kehilangan seluruh anggota keluarganya.

Bunyi cebur dari tasik sedikit mengganggu. Barangkali sang temperas sedang gesit berkejarkejaran. Cikgu Isa terpejam lagi selama beberapa saat. Lagaknya serupa ahli nujum yang sedang mentakwilkan mimpi.

Jadi, kamu tinggal dengan siapa sekarang

Seorang diri, mendatar sahaja suara Ajai.

Cikgu Isa termenung sejenak. Selama ini dia juga sunyi bernafsi-nafsi. Dia sudah nampak bayang apa yang akan dilalui oleh Ajai. Meneruskan kehidupan dengan sepasang kaki sahaja sangat sukar. Lagi pula, usianya yang masih di awal remaja memustahilkannya untuk berdikari. Di sudut yang lain, dia berasa bersyukur kerana misinya tampak mudah untuk diteruskan.

Kamu kisah, jika saya mempelawa kamu tinggal bersama di Kuala Lumpur Meluncur kata-kata itu dari bibirnya. Langsung tidak terhalang oleh sebarang tembok curiga. Penuh yakin.

Ajai diam. Dia tidak pasti apa jawapan yang paling tepat untuk soalan yang diajukan. Namun, dia dapat merasakan ketenangan saat berbual dengan lelaki berkulit cerah itu. Antara mahu terima atau tidak pelawaan itu.

Hatinya mula bercabang. Sempat juga menyumpah diri sendiri kerana terlalu gelojoh datang ke jeti kala itu. Sepatutnya dia berfikir terlebih dahulu. Dia juga seperti orang lain yang takut akan mati. Masakan dia sanggup membiarkan dirinya dibaham naga.

Bagaimana, Ajai

Ajai memandang Cikgu Isa. Jawapannya sengaja dibisukan. Dia tidak tersenyum, tetapi ada riak kecewa pada wajahnya. Baju yang tersangkut di tengkuk kembali disarung pada tubuh kudus bilis itu.