BAB 1
KUDIN mengelap peluh yang menitik di dahi. Dia mendongak melihat ke dada langit. Matahari terik memancar. Silau mata melihat pancaran matahari sudah tembus ke bumi. Tuala di tengkuk ditarik dan dia mengelap lagi peluh yang semakin rancak menitik.
Sesekali dia jenguk ke tengah sawah. Padi sudah mula menguning. Bermakna hasilnya menjadi tahun ini. Dia tersenyum lebar. Puas dengan hasil usahanya selama ini. Air kopi panas dari dalam termos yang dibawa sejak pagi tadi masih panas. Dia teguk seketika.
Mata masih menghala ke tengah sawah. Angin sepoi menerpa ke mukanya. Ah! Nyaman dan segar. Pokok kelapa yang agak tua yang meneduhi pangkin yang didudukinya itu sudah banyak berjasa pada penduduk di situ. Pokok itulah rasanya yang tertua sekali di Kampung Pinang Patah. Seingatnya sejak kecil lagi pokok itu sudah wujud sehinggalah usianya mencecah tiga puluh tahun.
"Hmm...bila la agaknya aku nak dapat kerja tetap ni.." Kudin mengeluh. Dia sudah bosan dengan kerja kontrak di bandar KL. Selalu sahaja bertukar kerja. Terpaksalah dia balik ke kampung tanam padi.Nasib badan.
Pandangannya dilepaskan pula ke arah kiri. Jalan merah yang hanya muat untuk sebuah kereta itu diperhatikan seketika. Jalan merah itu masih tidak berubah. Sejak dia kecil lagi jalan merah itu masih seperti itu. Tidak bertar. Nampak sangat Kampung Pinang Patah tidak diendahkan pembangunannya dan tertinggal dari segi kemudahan. Zaman sudah moden tetapi kampungnya masih di takuk lama. Tiada lampu jalan, jalan tanah merah, kebanyakan rumah pula tiada bekalan elektrik, hanya pakai lampu gasolin. Sebelah malam pula, tidak ramai penduduk yang keluar lepak. Kampung pula dekat dengan hutan tebal. Bila difikirkan semula, memang ketinggalan!
Kudin mula melompat dari pangkin yang agak tinggi. Dia menelusuri batas sawah untuk pulang ke rumahnya yang terletak agak jauh dari rumah penduduk lain.
"Abang Kudin! Abang Kudin!"
Kudin menoleh. Senah berlari-lari ke arahnya sambil melambai-lambai.
"Ish! Apa pulak minah ni nak Dah la gedik tak cukup tanah!" Kudin mengomel. Memang dia tidak suka pada gadis itu sejak dulu lagi.
"Abang nak balik dah ke" Tercungap-cungap Senah di depan Kudin. Tadi dia berlari agak laju juga semata-mata nak bertemu dengan Kudin.
"Awak nak apa" Kudin hanya menjeling.
"Garangnya! Abang ni..apa salah Senna" Muka Senah sudah muncung.
Kudin sengih. Senna Ada hati nak nama orang putih. Nama melayu dah cantik dah...perasan je lebih minah ni.
"Saya nak balik. Lapar!" Kudin kembali mengatur langkah.
"Tunggu la bang! Senna belum habis cakap dengan abang ni.." Senah membuntuti Kudin berjalan di batas sawah yang becak. Semalam hujan agak lebat.
"Nak apa lagi" Kudin berpaling. Langkahnya terhenti.
"Abang tahu tak..semalam Mak Jemah tu cakap, ada orang mati kena bunuh kat kampung kita ni. Orang tu pulak bukan dari kampung kita ni. Dia orang luar. Entah siapa la yang campak mayatnya kat kampung kita ni. Bawa sial je kan" Laju saja mulut Senah bercerita.
Kudin pandang Senah dengan riak curiga. Bukan tak nak percaya tetapi dia sudah lali dengan cerita Senah yang suka bawa mulut.
Macam mulut Joyah kampung seberang sana. Tapi cerita yang dibawa kali ni bukan gosip liar macam gosip artis ke apa ke atau yang seawaktu dengannya. Kali ini cerita bunuh!
"Mana awak tahu semua ni Mak Jemah tu mulut celupar. Suka mengumpat, bawa cerita tak tentu hujung pangkal. Awak jangan percaya kata dia tu!" Kudin meneruskan langkah semula.
Senah turut melangkah sama, beriringan pula dengan Kudin.
"Tapi kan bang...orang yang kena bunuh tu perempuan. Cantik! Entah-entah artis kut!" Senah sengih.
"Tak usah percaya semua tu. Mengarut!" Kudin semakin laju melangkah.
Senah berhenti melangkah. Dia cukup geram dengan Kudin. Lelaki itu tak pernah melayannya dengan baik. Cerita yang dibawanya kali ini bukan rekaan, ianya benar belaka!
"Ah! Aku kena siasat apa yang berlaku sebenarnya. Aku nak abang Kudin tu percaya yang aku ni bukan bawa cerita kosong!" Senah berpatah balik, berjalan di batas sawah menuju ke arah basikal yang diletakkan di bawah pokok kelapa dekat dengan pokok Kerian.
Dia perlu tahu siapa perempuan yang kena bunuh itu!
SENAH mengayuh basikalnya ke arah sebuah kedai makan yang terletak di tepi jalan masuk ke kampungnya. Kedai makan itulah yang menjadi 'berita terkini' apa-apa jua cerita tak kira sensasi ataupun suam-suam kuku. Semuanya menjadi hangat bila orang kampung mula buka mulut. Kayuhannya semakin laju. Dia perlu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Tadi dia hanya tahu dari mulut Mak Jemah yang kebetulan lalu di depan rumahnya. Cepat saja dia panggil perempuan yang agak berusia itu ke rumahnya. Ya la..Mak Jemah tu kan dah jadi macam wartawan yang tak bertauliah. Yang peliknya semua ceritanya adalah benar! Ha..itu yang buat Senah suka sangat!
Basikal disandarkan di batang pokok mangga sebelah kedai makan. Senah perhati sekitar kedai makan. Ada dua tiga orang lelaki tua sedang bermain dam di situ. Dia geleng. Inilah orang tua zaman sekarang, tak ada kerja nak buat. Buang masa main dam! Baik jadi macam aku ni, ada juga hasilnya walaupun jadi tukang sibuk bawa cerita, bukan calang-calang cerita tapi semuanya sensasi! Senah senyum bangga.
Pak Mail pandang ke arah gadis berbaju kurung biru itu melangkah lemah gemalai ke arah kedai makan Pak Sahak. Dia sengih. Dari jauh dia sudah tahu, gadis itu bukan datang saja-saja tapi membawa cerita, tak pun mengorek cerita. Memang tak ubah perangai, sama sebiji seperti arwah mak dia yang mulut becok.
"Pak Mail!" Senah menyapa Pak Mail yang sedang menikmati kopi panas seorang diri. Dua orang lagi pula sedang asyik bermain dam..haih..tak juga naik haji orang tua tu!
Pak Mail menoleh. Dah agak dah.
"Pak Mail sorang je ke" Senah melabuhkan punggung di sebelah Pak Mail sambil tersengih.
"Ada kau nampak orang lain sebelah aku ni" Pak Mail jeling Senah yang sudah tersengih-sengih macam kerang tak cukup masak. Nak sengih luas tak juga, sengih sempit agaknya.
"Alah..Pak Mail ni..buat lawak la pulak tengahari buta ni. Haus la..Pak Mail belanja ek" Senah tanpa segan silu mula pesan teh ais dari Pak Sahak.
Pak Mail geleng-geleng. Inilah anak dara sekarang. Bukan nak tahu malu.
"Ni, yang kau mengendeng kat sini, kau tak reti nak duduk rumah ke Tuh! Tengok matahari dah terpacak dari tadi, tak reti nak masak" Sindir Pak Mail.
"Alah..lecehlah Pak Mail ni. Senna ni bukan apa..kalau masak atau buat kerja rumah tu..nanti kematu la segala kulit halus Senna ni.." Senah tunjuk jemarinya pada Pak Mail.
Pak Mail geleng lagi. Kalau aku ada anak bujang dan berjodoh pula dengan Senah ni, mahu kurus kering nanti. Dapur tak berasap!
"Ni..Pak Mail.." Senah mula bersuara perlahan. Sedikit berbisik. Dia dekatkan mukanya dengan Pak Mail.
Pak Mail jarakkan sedikit. Lagak Senah tadi sudah seperti hendak memberitahu rahsia besar. Memang tak pernah berubah perangai budak ni.
"Pak Mail nak tahu tak..ada orang campak mayat kat kampung kita ni. Dengarnya, mayat tu perempuan cantik. Pak Mail tahu ke siapa" Senah berkerut kening. Matanya liar memandang sekitar. Bimbang ada yang mencuri dengar perbualannya tadi.
"Kau dengar dari mana ni Senah Mayat apa pulak ni" Pak Mail geleng lagi.
Senah sedikit tergamam. Takkkanlah orang tua ni tak tahu cerita sensasi ni Dah riuh satu kampung!
"Mak Jemah cakap, dia sendiri pergi tengok mayat tu yang dicampak ke dalam kolam kumbahan kat belakang kampung kita ni.
Takkan Pak Mail tak tahu" Senah sudah berkerut kening.
"Kau ni, kalau pasal hal ni, cepat je tersebar. Dah, minum air tu, lepas tu balik rumah! Kau tu anak dara! Tak baik merayap macam ni! Nanti tak ada orang yang nak masuk meminang kau." Pak Mail hulur teh ais yang diletak oleh Pak Sahak tadi.
Senah muncung. Payah betul hendak korek rahsia dari Pak Mail. Dia mula meneguk teh ais sampai habis. Dia bingkas bangun dan mula menapak ke arah basikalnya semula.
"Senah!"
Senah berpaling. Dia senyum lebar. Sumber cerita sensasinya sudah tiba. Mak Jemah dilihat terkedek-kedek berjalan ke arahnya dengan selendang menutupi kepala dan gincu yang teramatlah merahnya.
"Mak Jemah dari mana" Senah tak jadi ke basikalnya, dia berjalan ke arah perempuan separuh abad itu. Walaupun dah tua tapi masih bergetah. Masih kelihatan seperti anak dara. Entah ilmu atau petua apa yang Mak Jemah pakai. Nak juga dia menuntut. Sampai sekarang Kudin tidak pernah nak pandangnya.
"Dari pekan tadi. Aku tumpang kau boleh" Mak Jemah sengih.
"Boleh je! Tapi naik tu je la." Senah tuding ke arah basikalnya yang sudah tersadai di batang pokok mangga.
Mereka berdua mula menaiki basikal. Mak jemah duduk di belakang, pinggang Senah dirangkul kuat. Terhoyong hayang Senah kayuh basikal balik ke rumah Mak Jemah. Tiba di rumah Mak Jemah, Senah dipelawa masuk ke dalam rumah papan yang bercat hijau dan kuning. Senah sengih. Taksub betul Mak Jemah dengan pasukan bola Kedah. Padahal mereka tinggal di kampung ulu di sebuah negeri yang tak ada kena mengena dengan negeri Jelapang padi tu. Nampak saja Mak Jemah tu macam itu tetapi kalau musim bola, dialah orang pertama yang akan duduk di depan tv di kedai Pak Sahak tu. Kalah orang lelaki.
"Nak minum tak" Mak Jemah tanya Senah yang duduk di pangkin rumahnya di depan laman sambil mengipas badan dengan suratkhabar.
"Boleh jugak."
Mak Jemah ke dapur dan kembali semula ke anjung rumah membawa segelas air kosong.
"Aik! Air kosong je" Senah mencebik. Ingatkan bolehlah merasa jus tembikai ke, jus jambu batu ke, ni air kosong..entah-entah air paip!
"Jadilah dari tak ada kan" Mak Jemah sengih.
"Ni, saya nak tanya ni. Betul ke Mak Jemah nampak mayat tu dalam kolam kumbahan tu" Senah terus ke tujuan asal. Dari tadi dia ingin tahu sangat cerita sebenar. Kudin perlu tahu semua tu dan dia perlu yakinkan Kudin yang dia bukan bawa mulut atau menjaja cerita kosong.
"Betullah! Ni Mak Jemah tau! Apa juga berita yang aku bawa, ada kesahihannya!" Mak jemah tumbuk meja dengan kuat. Geram bila Senah persoalkan berita yang disampaikannya.
Senah menelan liur. Sikap Mak Jemah tak boleh dijangka.
"Jadi, apa yang sebenarnya berlaku" Senah letak gelas tadi dan duduk berhadapan dengan Mak Jemah.
"Masa tu, aku nak ke pekan. Malas nak ikut jalan luar. Jadi aku ikut jalan belakang. tengah terkedek-kedek aku berjalan tu, aku nampak dua orang lelaki sedang mengangkat sesuatu dalam karung guni. Mereka bawa karung guni tu ke kolam kumbahan tu.
Karung guni tu dilempar ke dalam kolam tu. Lepas tu mereka blah. Aku ni jenis nak tahu je kalau benda-benda pelik macam ni. Aku pergi tengok. Karung guni tu hampir tenggelam. Sempat aku tarik pakai batang kayu. Berpeluh jugaklah nak tarik benda tu. Dah dapat tarik sehingga ke tebing tu, aku lagi nak tahu apa ke bendanya dalam karung guni tu. Aku buka la. Apa lagi, terkejut beruk aku masa tu! Ish! Ish! Ish!" Mak Jemah geleng.
Senah terlopong mendengar cerita Mak Jemah.
"Eh, yang kau meleleh air liur tu apa hal" Mak Jemah tepuk bahu Senah.
Senah sengih. Dia sapu air liurnya yang meleleh. Tak sedar, dia begitu khusyuk mendengar cerita Mak Jemah tadi.
"Mak Jemah nampak apa" Senah sudah tidak sabar. Semalam Mak Jemah beritahu itu mayat perempuan cantik.
"Mayat! Mayat seorang perempuan tapi yang peliknya..." Mak Jemah usap dagu. Cuba mengingati kembali kejadian itu.
"Apa yang pelik" Senah semakin tidak sabar.
"Mayat tu macam dikelar-kelar..tang muka pulak tu." berkerut dahi Mak Jemah.
"Hah Hari tu kata perempuan tu cantik" Senah tidak puas hati. Apa yang dia nak cakap pada Kudin nanti.
"Memanglah..mula-mula tu cantik..tapi perlahan muka dia macam ditoreh pisau..ada darah bagai.." Mak Jemah masih ingat lagi.
Muka perempuan yang dibunuh itu mulanya memang cantik tapi tiba-tiba ada benda yang menoreh dan mengelar muka perempuan tu dengan sendiri.
Senah terdiam. Memang pelik! Dia juga turut berfikir.
"Mana mayat tu" Senah kembali bertanya.
"Aku biarkan je kat situ. Tak kuasa aku nak tolak semula ke dalam kolam tu." Selamba Mak Jemah menjawab.
"Hah Mak Jemah biarkan je kat situ Buatnya dia jadi hantu macam mana Polis tahu tak" Senah menelan liur.
"Eii! Kau ni banyak tanya la! Dah balik!" Mak Jemah ambil semula gelas kosong dan mula melangkah ke dalam rumah membiarkan Senah terkebil-kebil di situ.
Senah masih berfikir. Siapa agaknya perempuan tu Kenapa dia dibunuh Ah! Aku kena siasat lagi. Dia mula mengayuh basikalnya pulang ke rumah.
SEMENTARA ITU, di rumah Nek Tom, Kudin sedang berehat di anjung rumah sambil menghirup kopi panas. Angin segar dari sawah menghala ke arah rumahnya terasa sunguh nyaman. Baru tadi dia selesai menjamu selera bersama nenek. Sejak balik kampung setahun yang lalu, neneklah insan paling gembira. Lima tahun dia menghabiskan waktunya di bandar KL. Mencari rezeki. Selama itulah dia hanya jenguk nenek sekali sekala. Kerja yang memaksa dia jarang menjenguk nenek. Sejak kecil dia dipelihara oleh nenek. Bila ditanya di mana kedua ibu bapanya, nenek seperti mengelak dari menjawab. Pernah dia ugut nenek untuk bunuh diri jika nenek tidak beritahu siapa orang tuanya yang sebenar. Haram nak jawab orang tua tu. Sehinggalah dia juga berputus asa bertanya walaupun sering diejek rakan sekolah semasa kecil dulu. Bila sudah masuk universiti, dia mula berdikari. Habis saja pengajian, dia terus kerja. Dari satu kerja ke satu kerja. Tak kira halal haram, asalkan masuk duit, semua disapu!
Fikirannya melayang pula pada Senah tadi. Gadis itu sebenarnya satu sekolah dengannya dulu. Dari dulu, Senah suka padanya tapi dia saja yang tidak endahkan Senah. Tidak suka dengan sikap gedik dan manja tak bertempat! Dan yang paling meluat, mulut gadis itu yang becok bak bertih jagung! Kalau perkara baik tak apalah juga tapi semua cerita disapunya!
"Ah! Macam aku ni baik sangat." Kudin sengih. Dia keluarkan kad pengenalannya dari dompet. Lama dia memerhati namanya sendiri. Dia tersenyum gelihati. Nama sudah macam nama hero dalam novel, lagak macam keturunan kaya tapi di kampung ni dia dikenali Kudin! Ah! Tak kisahlah! Nama Kudin itulah yang membawanya mengenali dunia sebenar di KL. Dunia yang penuh dengan penipuan dan pengkhianatan! Siapa yang tidak kenal Kudin
Kudin melepaskan keluhan panjang.
NEK TOM sejak tadi asyik melihat Kudin termenung di tepi tingkap di anjung rumah. Kopi secawan di atas tikar mengkuang sudah separuh habis diminum. Dia menganyam lagi tikar mengkuang yang mempunyai pelbagai warna dan saiz. Memang itulah punca rezekinya dan itulah juga yang menyara cucunya sehingga masuk univerisiti. Ingatkan selepas habis belajar, bolehlah dia merasa hidup senang sikit dengan duit hasil kerja Kudin tapi semuanya hanya mimpi saja. Kudin jarang menjenguknya sejak bekerja. Bila ditanya kerja apa, Kudin akan diam membisu. Ah, tak kisahlah,di kampung ini pun dia masih boleh menyara hidup. Permintaan tikar mengkuangnya menggalakkan dari penduduk kampung. Hari itu, ada sekumpulan dari kraftangan Malaysia datang memborong tikar, kipas dan saji mengkuang. Tak menang tangan dibuatnya masa itu. Siang malam terpaksa bersengkang mata semata-mata hendak menyudahkan pesanan itu. Kudin nak tolong Dia banyak buat tahi mata, rela lepak di tepi sawah, buang masa di situ. Masa itu, Kudin baru saja pulang ke kampung. Entah apa yang Kudin mimpi agaknya, balik kampung kali ini, sudah rajin ke sawah sekangkang kera itu. Rajin pula tanam anak padi dan sekarang ini, padi sudah menguning. Nek Tom tersengih sendiri.
"Apa yang nek senyum sengih tu nek" Kudin hisap rokok dan asap dihembus perlahan. Terbang dibawa angin yang semakin rancak menerpa masuk ke dalam rumah.
"Tak ada apalah. Nenek pelik dengan kamu ni. Kamu mimpi apa sampai nak berkampung di sini dan tanam padi Kamu dah kecewa dengan girlpren ke" Nek Tom sengih lagi. Tangannya ligat menganyam tikar.
Kudin turut senyum. Girlfriend Benaknya mula teringat kembali satu persatu teman wanita yang cuba mendampinginya dulu semasa di bandar KL. Siapa yang tidak terpikat dengan lelaki macho dan maskulin sepertinya yang sentiasa berjaket hitam, berkaca mata hitam dan ke hulu ke hilir dengan motorsikal berkuasa tinggi Walaupun dia tahu, ramai juga perempuan yang suka pada lelaki kaya yang berlagak dengan kereta mewah mereka. Alah, hidup di bandar besar seperti KL itu, terkadang bergaya saja lebih tapi poket nipis. Dia sudah masak dengan semua itu.
"Kenapa kamu pula senyum sengih ni" Nek Tom pula menyoal.
"Siapa yang nak kat Kudin yang tak ada harta ni nek. Sudahlah miskin, rupa pula tak berapa nak handsome macam hero drama melayu tu." Kudin masih lagi senyum. Puntung rokoknya sudah pendek. Ditenyeh-tenyehnya ke dalam tempurung kelapa.
Nek Tom mendongak. Dia pandang cucunya yang sedang asyik merenung ke arah sawah padi sambil menikmati kopi dan diselang seli dengan menghisap lagi sebatang rokok. Wajah lelaki muda itu ditatap seketika. Sejak Kudin masuk tingkatan satu lagi, rupa Kudin sudah terserlah kacak. Pernah dia jumpa surat cinta di dalam beg sekolah Kudin dulu. Bukan seorang dua budak perempuan yang suka pada Kudin tapi ramai sehinggakan setiap hari ada saja budak perempuan yang berlainan menghantar surat cinta.
Yalah..masa tu kan masih budak. Jadi, cinta monyet la tu. Yang pasti, tak seorang pun yang mendapat perhatian Kudin. Kudin buat dek adalah!
Dia perhatikan lagi wajah Kudin. Ada iras ayah Kudin, kulit agak putih, kening lebat, rambut hitam berkilat. Ada ciri-ciri lelaki tampan, cuma penampilan Kudin yang tidak menyerlah sekarang ini. Pakai baju T yang longgar, butang tak pernah ditutup, terbuka luas menampakkan baju putih di dalamnya. Seluar pula pakai yang sudah lusuh. Sekali tengok, sudah seperti Tauke Ah Chong jual sayur lagaknya. Mana perempuan nak berkenan
"Hmm..nek..Anum tingal kat mana sekarang" Kudin berpaling ke arah neneknya yang sudah ralit merenungnya.
"Anum"
Kudin angguk.
"Maksud kamu...Anum anak Pak Sahak kedai makan tu" Nek Tom terkejut. Tiba-tiba Kudin bertanyakan gadis itu.
Kudin angguk lagi. Sejak setahun dia balik kampung, tidak pernah dia melihat kelibat Anum. Segan pula nak tanya Pak Sahak, yalah..sibuk tanya hal anak dara orang tapi diri sendiri masih terumbang ambing.
"Tu la..tinggal lagi kat KL tu lama-lama. Apa yang berlaku di kampung ni pun kamu tak tahu. Anum tu dah kerja kat KL. Kamu tak pernah jumpa dia ke" Nek Tom pula terasa pelik.
"Nek..KL tu bukannya kecik macam kandang kambing Wak Leman tu. Pusing-pusing jumpa! KL tu luas." Kudin geleng. Dia tak salahkan nenek, sebab nenek tidak pernah ke KL. Hidupnya hanya di kampung Pinang Patah itu saja.
"Oh...macam tu." Nek Tom sengih lagi.
"Saya nak ke kedai Pak Sahak kejap nek." Kudin tonyoh lagi puntung rokok dan mula bangun. Butang bajunya mula ditutup.
"Nak buat apa" Nek Tom pula bertanya.
"Ada la. Nenek ada dengar tak apa-apa pasal kampung kita ni" Kudin duduk semula. Kali ini dia duduk di sebelah neneknya yang sedang menganyam tikar.
"Dengar apa"
"Pasal...ada orang campak mayat kat kampung kita ni.." Teragak-agak Kudin berkata. Terpedaya juga dengan cerita Senah tadi.
"Mayat" Terbeliak Nek Tom mendengar perkataan mayat. Itulah kali pertama dia mendengar kampungnya jadi tempat membuang mayat. Kalau bangkai binatang tu, biasalah!
Kudin angguk.
"Mana kamu dapat cerita ni" Berkerut kening Nek Tom.
"Senah becok tu yang cerita tadi.." Kudin mengalihkan pandangnya ke arah sawah semula melalui jendela kayu tadi. Bimbang neneknya akan ketawakannya bila sebut nama Senah.
"Senah Eh, kamu percaya ke cerita dari mulut Senah tu" Nek Tom mula ketawa.
Kudin senyum kelat. Dah agak dah.
"Tak ada la..mungkin cerita Senah tu banyak yang gosip macam gosip artis tu, tapi kebanyakannya betul semua tu. Tadi dia cerita ada mayat pula. Nenek ada dengar tak" Kudin sekali lagi bertanya.
"Tak ada la pulak. Ah, ni tentu Senah tu tahu dari Mak Jemah tu kan" Nek Tom mencebik. Tahu benar dengan perangai perempuan yang muda hanya lima tahun darinya itu. Dari zaman muda sampailah dah nak kematu ni, masih tak berubah perangai. Kubur dah panggil, rumah dah suruh pergi. Entah bila nak bertaubat nasuha!
"Entahlah..ya la kut. Mana lagi sumber dia tu" Kudin turut gelak.
"Tahu tak apa.." Nek Tom turut ketawa.
"Tak apalah nek. Kudin nak ke kedai Pak Sahak kejap." Kudin bingkas bangun dan mula menapak turun ke laman. Basikal tua yang disandar di tepi tiang rumah itu dikayuh perlahan menuju ke kedai Pak Sahak.
DI KEDAI Pak Sahak, pelanggan agak ramai juga lepak bila waktu petang begini. Kebanyakkannya lelaki tua. Memang di kampung itu, orang tua lebih suka membuang masa di kedai-kedai kopi, sambil minum air, main dam dan berbual kosong. Bukan nak penuhkan masjid! Dah tua-tua macam itu, sepatutnya mengimarahkan masjid dan surau. Mendengar ceramah agama. Ini tidak, siang hari main dam, borak kosong, malam pula penuh kedai makan Pak Kahar dengan karaoke dan dangdut gelek. Terkadang pelik juga rasanya.
Ingatkan di KL saja ada kelab dangdut dan karaoke ni, di Kampung Pinang Patah yang terceruk itupun ada benda-benda lara macam tu.
"Ah, aku dulu pun selalu jugak masuk kelab malam ni kat KL tu.." Kudin sengih. Kerjanya yang membuatkan dia terpaksa masuk ke kelab malam dan kadang-kadang ke kelab mewah yang hanya boleh dimasuki oleh orang kenamaan saja.
Kudin letak basikal tuanya di perdu pokok mangga. Dia mula melabuhkan punggung di kerusi. Badannya dikipas-kipas dengan suratkhabar dari atas meja makan. Matahari masih terik walaupun sudah hampir empat petang.
"Pak Sahak! Kopi ais satu!" Kudin lambai pada Pak Sahak yang sibuk membancuh air minuman di dapur.
Seketika kemudian, minuman yang dipesan sudah sampai.
"Kamu dari mana ni Kudin" Ramah Pak Sahak bertanya.
"Dari rumah pakcik." Kudin senyum. Kopi ais diteguk perlahan.
"Oh..rajin kamu sekarang ni. Dengarnya padi kamu sudah menjadi." Pak Sahak duduk di sebelah Kudin.
"Macam tulah pakcik. Berbudi pada tanah ni banyak untungnya. Tinggal usaha saja lagi." Kudin sengih. Terasa malu pula pada Pak Sahak yang beria memujinya.
"Hmm...kerja kamu kat KL tu macam mana" Pak Sahak mula bertanya soal kerja.
Kudin diam seketika. Dia kalau boleh tak ingin lagi sambung kerjanya di KL. Cukuplah di situ. Tak pening kepala.
"Saya dah berhenti pakcik. Lagipun, nenek tinggal sorang kat sini." Kudin tunduk.
"Hmm..eloklah tu. Eh, malam nanti datanglah rumah pakcik ya. Ada hal sikit nak bincang." Pak Sahak senyum.
Pantas Kudin menoleh. "Hal apa pakcik"
"Kamu datang la dulu. Minumlah, pakcik belanja." Pak Sahak mula bangun dan kembali ke dapur semula.
Kudin perhati sekitar kedai makan, ada seorang lelaki muda asyik merenung ke arahnya dari tadi. Dia juga tidak pasti siapa lelaki itu kerana dia sendiri tidak begitu kenal dengan penduduk kampung, terutama yang muda. Hanya beberapa orang saja yang seusia dengannya dan satu sekolah dengannya. Jai, Chad dan Jo, memang dia rapat sejak dulu tapi setelah masing-masing berhijrah, hubungan mereka juga turut renggang.
"Hmm..hal penting apa Pak Sahak nak beritahu aku ni.." Kudin mengusap dagu. Dia menghabiskan kopi ais.